Thursday, September 11, 2008

Peguam bantah kes Anwar dipindah mahkamah

Peguam bantah kes Anwar dipindah mahkamah
Sep 10, 08 7:04pm

Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah permohonan pihak pendakwaraya untuk memindahkan kes liwat terhadap penasihat PKR itu, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Kes Anwar yang ditetapkan untuk sebutan hari ini, telah ditangguhkan kepada 24 September berhubung pertikaian mengenai sijil untuk memindahkan kes tersebut yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mahkamah akan mendengar hujah dari kedua belah pihak mengenai kesahihan sijil tersebut.

Sebelum prosiding selama 30 minit itu berakhir pagi tadi, peguam utama Anwar, Sulaiman Abdullah (foto) memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan membantah pemindahan kes tersebut.

Katanya, Mahkamah Sesyen memenuhi semua keperluan untuk terus mendengar kes tersebut, dan menegaskan bahawa Hakim SM Komathy Suppiah layak mendengarnya.

"Kita tidak nampak sebarang keperluan untuk memindahkannya," tegas Sulaiman.

Komathy tersenyum mendengar kenyataan Sulaiman itu dan menjawab: "Saya telah berkhidmat selama 26 tahun".

Pada 7 Ogos lalu, Anwar mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut pada petang 26 Jun lalu di sebuah bilik di Desa Damansara Condominium, Bukit Damansara.

Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pagi tadi, Anwar sekali lagi mengaku tidak bersalah apabila tuduhan tersebut dibaca kepadanya.

Kes Anwar, campurtangan Gani Patail dipertikai

Kes Anwar, campurtangan Gani Patail dipertikai
Irwan Muhammad Zain | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Wed | Sep 10, 08 | 12:12:46 pm MYT


KUALA LUMPUR, 10 Sept (Hrkh) - Pasukan peguam Dato' Seri Anwar Ibrahim membantah perintah yang ditandatangani Peguam Negara untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.


Pihak pendakwa telah mengemukakan perintah untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun perintah yang ditandatangani Tan Sri Abdul Gani Patail dipertikaikan kerana Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini memberi jaminan, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara tidak akan terbabit secara langsung dalam kes liwat terhadap Anwar.

Selain itu Abdul Gani dan Tan Sri Musa Hassan sedang menghadapi siasatan terhadap laporan polis yang dibuat oleh Anwar berhubung membuat bukti palsu dalam kes-kes terhadap beliau 10 tahun yang lalu.

Pasukan Peguam Anwar turut mempertikaikan perintah tersebut yang didakwa ditandatangani oleh Abdul Gani bertarikh hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, SM Komathy Suppiah kemudiannya menangguhkan kes kepada 24 September depan.

Anwar dihadapkan di mahkamah yang sama pada 7 Ogos lalu atas tuduhan tersebut.

Hakim SM Komathy membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin.

Beliau juga menetapkan kes itu disebut pada hari ini.

Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pihak polis telah meningkatkan kawalan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Sekurang-kurangnya lima trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditempat di situ.

Para wartawan pula diminta mendaftarkan di tiga tempat sebelum dibenarkan masuk ke kamar mahkamah untuk mengikuti kes Anwar. - mks.

Penghujahan Permohonan Pindah Kes Anwar Ke Mahkamah Tinggi Didengar 24 Sept

10 September, 2008 22:41 PM

Penghujahan Permohonan Pindah Kes Anwar Ke Mahkamah Tinggi Didengar 24 Sept


KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 24 Sept ini untuk mendengar hujah berhubung permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi.

Hakim S.M. Komathy Suppiah menetapkan tarikh itu ekoran bantahan terhadap permohonan itu oleh peguam Anwar, Sulaiman Abdullah.

Beliau juga membenarkan permohonan Sulaiman untuk diberikan masa menyediakan hujah kerana mendakwa pihak pembelaan diberitahu mengenai pemindahan itu hanya 10 minit sebelum prosiding hari ini bermula pada 10 pagi tadi.

Anwar, 60, yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat, mengaku tidak bersalah pada 7 Ogos lepas terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lepas. Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Komathy memberi masa dua minggu kepada pihak pendakwaan dan pembelaan untuk membuat persiapan bagi penghujahan nanti.

Sebelum itu, Sulaiman mempertikaikan kesahihan sijil yang dikemukakan oleh pendakwaan bagi memindahkan perbicaraan itu ke Mahkamah Tinggi yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, dengan alasan Abdul Gani sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah ekoran laporan oleh Anwar yang mendakwa Peguam Negara itu telah memalsukan keterangan dalam kes liwat yang juga melibatkan Anwar pada 1998.

Sijil itu dikemukakan oleh Ketua Unit Pendakwaan Pejabat Peguam Negara, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, mengikut Seksyen 418 Kanun Acara Jenayah.

Sulaiman memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan berpendapat kes itu tidak perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana Komathy adalah seorang hakim yang berpengalaman dan mampu mengendalikannya dengan baik.

"Kami tidak ada apa-apa halangan jika kes ini dijalankan di hadapan Yang Arif," katanya.

Komathy kemudian mencelah dan berkata beliau mempunyai pengalaman 26 tahun dalam bidang itu.

Sulaiman berkata pihak pembelaan gembira kerana kes itu didengar oleh Komathy.

Prosiding selama setengah jam hari ini bermula pada 10 pagi dengan bacaan pertuduhan terhadap Anwar, yang lantas menjawab : "Tidak Bersalah. Ini tindakan jahat melibatkan ramai orang".

Anwar kini dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000.

Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun yang mengetuai pendakwaan tidak hadir pada prosiding hari ini. Selain Yusof, pihak pendakwaan hari ini diwakili Datuk Nordin Hassan, Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Farhan Read dan Shamsul Sulaiman.

Pasukan pembelaan turut mengandungi R.Sivarasa, Sankara N.Nair, Leela Jesuthasan, Edmund Bon, Saiful Idham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Mohd Radzlan Jalaludin.

Kawasan Kompleks Mahkamah Jalan Duta dikawal anggota polis termasuk daripada Unit Simpanan Pesekutuan dan Pasukan Gerakan Am.

Polis membuka kaunter pendaftaran di luar pintu masuk ke kompleks itu.

"Kami ambil butiran setiap orang awam bagi memastikan kompleks ini terkawal dan keadaan keselamatan terurus," kata Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan.

-- BERNAMA

Friday, September 5, 2008

Rukyah tentukan Ramadan, Syawal

Rukyah tentukan Ramadan, Syawal



DALAM sistem taqwim Islam, melihat anak bulan atau melakukan rukyah adalah satu ciri utama bagi menentukan awal bulan.

Rukyah menurut definisi hukum fiqah ialah melihat anak bulan (hilal) selepas matahari terbenam, manakala anak bulan didefinisikan sebagai bulan sabit selepas ijtimak yang pertama kali kelihatan atau kemungkinan boleh kelihatan selepas matahari terbenam.


Secara tradisinya, petunjuk bagi penyusunan taqwim Islam keseluruhannya berdasarkan kepada dalil syarie berkaitan dengan permulaan dan akhir puasa Ramadan.

Puasa bermula selepas anak bulan kelihatan pada 29 Syaaban. Begitu juga dengan hari raya, disambut selepas anak bulan kelihatan pada 29 Ramadan.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya): “Berpuasalah kamu kerana melihat anak bulan dan berbukalah kamu (berhari raya) sesudah melihat anak bulan.”

Hadis di atas tidak bermaksud memerlukan semua orang melihat anak bulan terlebih dulu sebelum memulakan puasa, malah hanya memadai ada segolongan yang melakukannya atau menyaksikannya.

Bagi mazhab Hanafi, memadai yang melihat itu seorang saja dalam keadaan cuaca mendung bagi penentuan Ramadan, tetapi bagi penentuan Syawal yang melihat anak bulan itu mesti dengan dua saksi. Sementara bagi mazhab Syafie wajib berpuasa walaupun hanya seorang melihatnya.

Awal bulan hijriah, khususnya Ramadan dan Syawal boleh juga ditetapkan berdasarkan laporan atau berita mengenai kelihatan anak bulan oleh seseorang yang boleh dipercayai.

Dalil ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan at-Tirmidzi daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas, katanya (maksud):

“Seorang Arab (Badwi) datang kepada Rasulullah s.a.w lalu berkata; wahai Rasulullah, bahawasanya saya telah melihat hilal Ramadan. Lalu bertanya Rasulullah s.a.w; apakah kamu mengakui tiada Tuhan melainkan Allah? Badwi itu menjawab: Ya, benar. Bertanya lagi Rasulullah s.a.w; apakah engkau mengakui Muhammad itu Rasulullah? Badwi itu menjawab: Ya, benar. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Bilal, beritahulah kepada manusia supaya mereka berpuasa esok hari.”

Bagi maksud ini, orang ramai yang nampak anak bulan sama ada Ramadan atau Syawal, boleh melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, seperti mufti, hakim atau kadi.

Pihak berkuasa pula boleh mengadakan prosedur soal selidik sebelum menerima kesaksian berkenaan dan membuat keputusan mengenainya.

Ulama fiqah sepakat, wajib bagi orang yang mendakwa nampak anak bulan itu berpuasa, tetapi untuk anak bulan Syawal terdapat perselisihan pendapat.

Begitupun, perkara di atas tidak menjadi masalah dewasa ini, kerana di setiap negeri ada balai cerap untuk melihat anak bulan di tempat masing-masing dan Jawatankuasa Falak Syarie di setiap negeri akan hadir pada majlis terbabit bagi menentukan permulaan Ramadan dan Syawal.

Apabila anak bulan tidak kelihatan pada akhir sesuatu bulan itu, sama ada pada 29 Syaaban, 29 Ramadan atau Zulqaedah, bulan terbabit dijadikan 30 hari.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda (maksud): “Berpuasalah kamu kerana melihat anak bulan dan berbukalah (hari raya) kamu setelah melihat anak bulan, jika mendung maka genapkanlah Syaaban 30 hari).

Penetapan awal puasa dan hari raya boleh juga dilakukan berpandukan hasil kiraan falak.

Ini berdasarkan ayat 5 surah Yunus, maksudnya: “Dialah Allah yang telah menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan menetapkan manzilah baginya, supaya kamu mengenai bilangan tahun dan pengiraan masa.”

Tetapi, penggunaan kaedah hisab sebagai penentu dalam permulaan Ramadan dan Syawal sering menimbulkan kontroversi. Malah, jumhur ulama fiqah menekankan rukyah hendaklah menjadi penentu berdasarkan kaedah istinbat hukum yang muktabar.

Bagi mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali, rukyah diterima sebagai asas penetapan awal Ramadan dan Syawal.

Khilaf (perbezaan) antara rukyah dan hisab disebabkan tafsiran terhadap dua hadis, iaitu hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn Umar serta satu lagi hadis diriwayatkan al-Bukhari daripada Abu Hurairah.

Persidangan Hilal Negara-negara Islam di Istanbul pada 1978 memberikan impak positif dalam penggunaan kaedah saintifik sebagai asas penentuan awal bulan termasuk di Malaysia.

Petrol turun 15 sen lagi

Petrol turun 15 sen lagi
Oleh Abdul Razak Raaff
raaffar@bharian.com.my

Jika pasaran dunia terus susut: PM


PUTRAJAYA: Kerajaan akan menurunkan 15 sen lagi harga petrol dan diesel akhir tahun ini jika harga minyak mentah dunia terus susut di bawah paras AS$109 setong, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Harga minyak mentah dunia turun naik, tetapi kalau ia boleh kekal pada paras AS$109 setong sehingga hujung tahun, sudah tentu saya gembira untuk mengurangkan 15 sen lagi daripada harga sekarang.

"Kita sentiasa membuat kajian serta pemantauan mengenai harga minyak mentah dunia dan mengikut kaedah serta formula yang digunakan sekarang, maka rakyat akan menikmati penurunan harga bahan api 15 sen," katanya.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2008, semalam. Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan harga petrol diselaraskan setiap 1 hari bulan berdasarkan purata bulanan harga minyak mentah dunia dan penetapan subsidi 30 sen seliter. Formula pelarasan itu hanya dilaksanakan jika harga pasaran bulanan minyak mentah dunia susut di bawah paras AS$125 setong, iaitu kadar ketika penstrukturan semula subsidi minyak diumumkan kerajaan pada 4 Jun lalu.

Pada 22 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit petrol RON97 dan RON92 masing-masing sebanyak 15 sen dan 22 sen kepada RM2.55 dan RM2.40 seliter manakala harga diesel turun lapan sen kepada RM2.50 seliter, berkuat kuasa keesokan harinya.

Abdullah berkata, kerajaan sentiasa berusaha memberi yang terbaik kepada rakyat dan keputusan menurunkan harga bahan api bulan lalu itu adalah antara langkah yang diambil untuk mengurangkan beban orang ramai, terutama golongan berpendapatan rendah.

"Jika harga minyak mentah dunia terus menunjukkan penurunan yang stabil, maka kita akan memberi sesuatu yang terbaik kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri yakin kerajaan dapat menurunkan defisit fiskal tahun depan kepada 3.6 peratus daripada 4.8 peratus tahun ini menerusi pelbagai pendekatan ekonomi yang akan dilaksanakan.

Abdullah berkata, defisit fiskal tahun ini meningkat kerana perbelanjaan mengurus dan pembangunan bertambah kepada RM9.6 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, berbanding lebihan sebanyak RM975 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Mengenai nilai ringgit, Abdullah berkata: "Walaupun pada waktu ini nilai ringgit berkurangan, belum sampai pada peringkat membimbangkan"

Terdahulu, ketika berucap pada mesyuarat itu, Abdullah berkata, Kementerian Kewangan akan memantau secara berterusan bagi memastikan jumlah pinjaman dan pendahuluan dibuat kerajaan negeri dijelaskan mengikut jadual.

Katanya, tunggakan bayaran balik pinjaman kerajaan negeri sehingga 31 Disember 2007 berjumlah RM3.036 bilion manakala bayaran balik pinjaman yang dibuat kerajaan negeri daripada tempoh 1 Januari hingga 30 Jun lalu sebanyak RM87.54 juta berbanding jumlah anuiti sebanyak RM274.01 juta bagi tempoh sama.

Tuesday, September 2, 2008

Minyak melonjak kembali?

Minyak melonjak kembali?


KUALA LUMPUR 1 Sept. - Kenaikan harga minyak dunia dijangka kembali menghantui pasaran saham tempatan kerana penurunan yang berlaku lebih sebulan lalu hanya bersifat sementara.

Sehubungan itu, kelegaan yang dirasai oleh rakyat Malaysia, selepas kerajaan mengumumkan pengurangan harga minyak tidak akan berkekalan, kata Pengarah Eksekutif Jupiter Securities Sdn. Bhd., Nazarry Rosli.

Beliau berkata, pasaran meramalkan harga minyak akan melambung semula pada bila-bila masa selepas mengalami pembetulan teknikal.

Katanya, berdasarkan trend penurunan itu, harga bahan bakar itu telah merosot daripada 33 peratus pada awalnya kepada 55 peratus dalam tempoh lebih sebulan lalu.

''Selepas mencecah kejatuhan harga sebanyak 55 peratus, ia dijangka akan naik atau kalau jatuh lagi pun ia hanya akan merosot pada tahap 68 peratus.

''Selepas itu (kejatuhan 68 peratus), harga minyak tidak mungkin susut lagi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau berkata, kejatuhan harga minyak akibat pembetulan teknikal itu begitu ketara dan sangat tinggi.

Rekod tertinggi harga minyak mentah dunia yang dicatatkan setakat ini ialah AS$147.21 (RM476.96) iaitu pada 11 Julai lalu sebelum menjunam dan berada pada harga semasa sekitar AS$112 (RM379.68) hingga AS$120 (RM406.08) setong.

Mengulas mengenai jangkaan harga minyak apabila bahan api itu kembali melonjak, Nazarry berkata: ''Kemungkinan besar ia mampu mencecah paras AS$147, harga sebelum kejatuhannya''.

Sebelum ini, bank pelaburan, Goldman Sachs meramalkan harga minyak berada di sekitar AS$150 (RM508.50) hingga AS$200 (RM678) setong dalam tempoh 24 bulan selepas berlaku pembetulan teknikal.

Beliau berkata, pasaran tempatan juga tidak menolak harga minyak berupaya melonjak ke paras tersebut kerana spekulasi kenaikan harga komoditi emas hitam itu tetap kukuh.

Perak tak tumbang, Tajol dan Nizar sekadar bertemu 31 Ogos

Perak tak tumbang, Tajol dan Nizar sekadar bertemu 31 Ogos
01-09-2008 07:43:12 PM
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


PETALING JAYA: Sasaran 31 Ogos bagi Barisan Nasional (BN) untuk mengambil alih kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat tidak kesampaian.

Ternyata keyakinan yang dilahirkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali (gambar atas) awal bulan ini kerajaan negeri pimpinan pembangkang itu akan jatuh menjelang sambutan Merdeka tidak menjadi kenyataan.

Tajol ketika dihubungi mStar Online hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.

“Tak payah komenlah,” katanya ringkas.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar bawah) yang turut dihubungi berkata, beliau juga menunggu perkara itu berlaku, namun ia ternyata tidak menjadi kenyataan.

“Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak masih mempunyai 31 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) pada 31 Ogos. Tiada perubahan... tiada yang melompat (parti),” katanya.

Mohammad Nizar berkata, beliau ada bertemu dengan Tajol ketika upacara perbarisan Hari Merdeka peringkat negeri di Ipoh semalam, namun katanya mereka sekadar bersalam dan bertanya khabar.

“Saya jumpa beliau... saya tunggu juga kalau-kalau ada pengumuman yang beliau hendak lakukan tapi tak ada pula.

“Saya bersalaman... bertanya khabar dan ucapkan Selamat Hari Merdeka dan selamat berpuasa kepada beliau. Tiada pula tanda-tanda yang beliau akan menggulingkan kerajaan,” katanya.

Ketika ditanya kemungkinan Tajol mempunyai tarikh lain selepas ini untuk mengambil alih kerajaan pimpinannya, Mohammad Nizar berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

“Itu kenalah tanya dia. Saya tidak tahu kenapa ia tidak berlaku (ambil alih kerajaan)...ada perkara-perkara yang tidak tercapai.

“Namun, apa yang penting matlamat kerajaan Pakatan Rakyat pada hari merdeka adalah memerdekakan negeri Perak dari kejahilan dan semangat perkauman,” katanya.

Bulan lalu, Tajol yang juga Pengerusi BN Perak mengharapkan lebih daripada dua ADUN Pakatan Rakyat akan menyertai BN dan beliau turut menawarkan jawatan Menteri Besar kepada PAS sekiranya parti itu bersedia membentuk kerajaan campuran dengan BN.