Showing posts with label mstar. Show all posts
Showing posts with label mstar. Show all posts

Wednesday, May 25, 2011

Dr Chua: 300 Terbaik Patut Diberi Biasiswa Luar Negara

Oleh NG CHENG YEE & MANJIT KAUR
Selasa Mei 24, 2011


KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menegaskan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sepatutnya menganugerahkan biasiswa ke luar negara kepada 300 pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa perlu melalui proses temuduga sepertimana yang diamalkan sekarang.

Ia, katanya, haruslah berasaskan merit.

Menurut beliau lagi, keempat-empat menteri yang mewakili MCA dalam kabinet akan mengenegahkan perkara ini dalam mesyuarat mingguan Jemaah Menteri, Rabu.

Buat masa ini, katanya, sesetengah daripada pelajar terbaik SPM hanya diberikan biasiswa untuk belajar di dalam negara.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Presiden MCA di sini, Selasa, Dr Chua menegaskan, apa yang menjadi amalan pada masa ini ialah, 20% daripada biasiswa JPA diberikan kepada pelajar terbaik berasaskan merit, tetapi mereka terpaksa terlebih dahulu melalui proses saringan temuduga. Dr Chua berkata, beliau dan beberapa pemimpin MCA yang lain telahpun mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah JPA, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, Selasa bagi membincangkan isu tersebut. Kata Dr Chua, hasil daripada pertemuan itu, JPA telah memberi perakuan bahawa mereka akan melihat semula isu yang melibatkan 66 pelajar cemerlangan yang ditawarkan kursus bukan pilihan mereka.

Dr Chua juga menambah, JPA menyatakan bahawa mereka akan turut melihat kepada isu yang melibatkan 102 pelajar cemerlang yang memohon untuk menyertai program pra-ijazah tetapi sebaliknya ditawarkan program diploma.

Malah katanya, dua pelajar kurang upaya cemerlang yang gagal memperolehi biasiswa kini akan menerimanya.

Dalam pada itu, Dr Chua memberitahu, tahun ini daripada 4,000 penerima biasiswa JPA, 1,552 telah diberikan kepada pelajar keturunan Cina. Daripada jumlah 1,552 itu, 466 pelajar telah menerima tawaran biasiswa untuk menyambung pengajian mereka ke luar negara.

Sementara itu di Ipoh, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong sekali lagi mengingatkan bahawa MCA memperjuangkan nasib para pelajar cemerlang berasaskan merit dan bukannya kaum.

”Oleh itu, tolong jangan mencampur adukkan isu ini dengan sentimen perkauman. Jika anda hendak tahu, yang menduduki senarai teratas pelajar yang MCA perjuangkan ialah seorang berketurunan India dan bukannya Cina. Jadi MCA membawa isu ini kepada JPA berasaskan merit dan bukannya perkauman,” ujar beliau.

Thursday, September 25, 2008

Sijil pindah kes Anwar dipertikai, mahkamah putus 7 Okt

Khamis September 25, 2008
Sijil pindah kes Anwar dipertikai, mahkamah putus 7 Okt
PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam menetapkan 7 Oktober bagi memutuskan sama ada kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dipindah ke Mahkamah Tinggi.


Ia diputuskan oleh Hakim S.M.Komathy Suppiah.


Komathy berkata, beliau memerlukan masa dua minggu untuk menimbang hujah yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan.


Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut bahawa Mahkamah Sesyen risau kerana sijil untuk memindahkan kes liwat Anwar ke Mahkamah Tinggi ditandatangani oleh Tan Sri Abdul Gani Patail di sebalik kenyataan Perdana Menteri yang memberikan jaminan Peguam Negara tidak akan terlibat dalam kes itu.


Komathy yang menyuarakan kebimbangannya itu hari ini, menyatakan ia akan menghakis keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman.


Abdul Gani sedang disiasat oleh badan Pencegah Rasuah (BPR) berikutan laporan polis yang dibuat terhadapnya oleh Anwar atas dakwaan memalsukan keterangan dalam kejadian "mata hitam" Anwar pada 1998.


Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, ketua unit pendakwaan di Pejabat Peguam Negara, menjelaskan dalam kapasitinya sebagai peguam negara, adalah menjadi tugas Abdul Gani untuk menandatangani sijil itu sebagai satu prosedur pentadbiran.


Komathy: Kenapa anda fikir Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) berkata demikian? (kenyataan yang Abdul Gani tidak akan terlibat dalam kes Anwar)


Mohamed Yusof: Untuk memastikan tidak berlaku berat sebelah terhadap Anwar yang membuat laporan kepada BPR terhadap Abdul Gani.


Mohamed Yusof berhujah Perdana Menteri boleh kata apa sahaja yang beliau mahu tetapi akhirnya mahkamah yang perlu membuat keputusan mengikut undang-undang.


Komathy menerima penjelasan Mohamed Yusof.


Peguam bela utama Anwar, Sulaiman Abdullah, memberitahu mahkamah yang orang ramai telah terkeliru dengan kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan Abdul Gani tidak akan terlibat dalam kes itu namun Abdul Gani telah menandatangani sijil itu.


"Perdana menteri telah mengeluarkan kenyataan tanpa merundingi Peguam Negara. "Kenapa nak mengelirukan orang ramai jika Peguam Negara tidak terlibat.


"Pendirian kami ialah Abdul Gani tidak patut mempunyai sebarang peranan dalam kes ini. Beliau tidak sepatutnya menggunakan atau menandatangani sijil itu. Inilah intipati bantahan kami," kata Sulaiman.


Beliau berkata, pada peringkat ini apa yang pembelaan ingin katakan ialah Abdul Gani tidak boleh menandatangani sijil itu, menjadikannya (sijil) tidak sah.


Selain Sulaiman, Anwar juga diwakili R. Sivarasa, Sankara N. Nair, Leela Jesuthasan, Edmund Bon, Saiful Idham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Mohd Radzlan Jalaludin.


Pasukan pendakwaan terdiri daripada Mohamed Yusof, Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Farhan Read dan Shamsul Sulaiman.


Sementara itu, Mohamed Yusof mengemukakan bantahan awal, menyatakan Mahkamah Sesyen mempunyai mandat untuk memindahkan kes Anwar ke Mahkamah Tinggi sebaik sahaja sijil pemindahan dikeluarkan oleh pihak pendakwaan.


Katanya, mengikut Seksyen 418A (3) Kanun Acara Jenayah, Mahkamah Sesyen tiada pilihan lain tetapi melaksanakan pemindahkan itu selepas menyerahkan sijil itu.


Mohamed Yusof berkata, Mahkamah Sesyen, sebagai mahkamah lebih rendah, tidak mempunyai sebarang budi bicara untuk menafikan pemindahan itu.


"Dalam mengemukakan bantahan terhadap sijil yang dikeluarkan oleh pendakwa raya, peguam yang bijaksana yang mewakili Anwar adalah sama ada memohon perisytiharan bahawa sijil itu tidak sah atau menolak keputusan pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi," kata beliau.


Menurutnya, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk mendengar atau diputuskan.


Sulaiman berhujah pendakwaan telah gagal memberikan sebarang alasan yang kukuh bagi kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.


Katanya daripada penyelidikan pihak pembelaan, keskes yang dilaporkan berkaitan kesalahan liwat di negara ini telah dikendalikan di Mahkamah Sesyen.


Selepas mendengar hujahan daripada keduadua pihak di mahkamah terbuka, Komathy menangguhkan prosiding dan memanggil Mohamed Yusof dan Sulaiman ke kamarnya.


Kira-kira 30 minit kemudian, Komathy keluar dan memaklumkan semua yang hadir yang beliau perlukan masa untuk meneliti hujahan dan pihak berkuasa yang dirujuk oleh kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan.Beliau kemudian menetapkan 7 Oktober untuk menyampaikan keputusannya.


Sementara itu, Sankara Nair ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya dapat menerima keputusan mahkamah hari ini untuk menunda perbicaraan kes tersebut pada 7 Oktober bagi memutuskan sama ada kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.


"Kalau mahkamah tidak dapat membuat keputusan, mereka memang memerlukan masa.


"Jadi, kita bersetuju supaya kes itu ditangguh kepada 7 Oktober bagi mahkamah membuat keputusan," katanya.


Terdahulu, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 10 pagi bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.


Pada 10 September lalu, Hakim S.M. Komathy Suppiah menetapkan esok ekoran bantahan terhadap permohonan itu oleh peguam Anwar, Sulaiman Abdullah.


Anwar, 60, yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen mengaku tidak bersalah pada 7 Ogos lepas terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu.


Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Anwar kini dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000


Ia merupakan kes liwat kedua melibatkan Anwar selepas yang pertama 10 tahun lalu.

Tuesday, September 2, 2008

Perak tak tumbang, Tajol dan Nizar sekadar bertemu 31 Ogos

Perak tak tumbang, Tajol dan Nizar sekadar bertemu 31 Ogos
01-09-2008 07:43:12 PM
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


PETALING JAYA: Sasaran 31 Ogos bagi Barisan Nasional (BN) untuk mengambil alih kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat tidak kesampaian.

Ternyata keyakinan yang dilahirkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali (gambar atas) awal bulan ini kerajaan negeri pimpinan pembangkang itu akan jatuh menjelang sambutan Merdeka tidak menjadi kenyataan.

Tajol ketika dihubungi mStar Online hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.

“Tak payah komenlah,” katanya ringkas.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar bawah) yang turut dihubungi berkata, beliau juga menunggu perkara itu berlaku, namun ia ternyata tidak menjadi kenyataan.

“Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak masih mempunyai 31 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) pada 31 Ogos. Tiada perubahan... tiada yang melompat (parti),” katanya.

Mohammad Nizar berkata, beliau ada bertemu dengan Tajol ketika upacara perbarisan Hari Merdeka peringkat negeri di Ipoh semalam, namun katanya mereka sekadar bersalam dan bertanya khabar.

“Saya jumpa beliau... saya tunggu juga kalau-kalau ada pengumuman yang beliau hendak lakukan tapi tak ada pula.

“Saya bersalaman... bertanya khabar dan ucapkan Selamat Hari Merdeka dan selamat berpuasa kepada beliau. Tiada pula tanda-tanda yang beliau akan menggulingkan kerajaan,” katanya.

Ketika ditanya kemungkinan Tajol mempunyai tarikh lain selepas ini untuk mengambil alih kerajaan pimpinannya, Mohammad Nizar berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

“Itu kenalah tanya dia. Saya tidak tahu kenapa ia tidak berlaku (ambil alih kerajaan)...ada perkara-perkara yang tidak tercapai.

“Namun, apa yang penting matlamat kerajaan Pakatan Rakyat pada hari merdeka adalah memerdekakan negeri Perak dari kejahilan dan semangat perkauman,” katanya.

Bulan lalu, Tajol yang juga Pengerusi BN Perak mengharapkan lebih daripada dua ADUN Pakatan Rakyat akan menyertai BN dan beliau turut menawarkan jawatan Menteri Besar kepada PAS sekiranya parti itu bersedia membentuk kerajaan campuran dengan BN.