Showing posts with label Minyak. Show all posts
Showing posts with label Minyak. Show all posts

Friday, September 5, 2008

Petrol turun 15 sen lagi

Petrol turun 15 sen lagi
Oleh Abdul Razak Raaff
raaffar@bharian.com.my

Jika pasaran dunia terus susut: PM


PUTRAJAYA: Kerajaan akan menurunkan 15 sen lagi harga petrol dan diesel akhir tahun ini jika harga minyak mentah dunia terus susut di bawah paras AS$109 setong, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Harga minyak mentah dunia turun naik, tetapi kalau ia boleh kekal pada paras AS$109 setong sehingga hujung tahun, sudah tentu saya gembira untuk mengurangkan 15 sen lagi daripada harga sekarang.

"Kita sentiasa membuat kajian serta pemantauan mengenai harga minyak mentah dunia dan mengikut kaedah serta formula yang digunakan sekarang, maka rakyat akan menikmati penurunan harga bahan api 15 sen," katanya.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2008, semalam. Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan harga petrol diselaraskan setiap 1 hari bulan berdasarkan purata bulanan harga minyak mentah dunia dan penetapan subsidi 30 sen seliter. Formula pelarasan itu hanya dilaksanakan jika harga pasaran bulanan minyak mentah dunia susut di bawah paras AS$125 setong, iaitu kadar ketika penstrukturan semula subsidi minyak diumumkan kerajaan pada 4 Jun lalu.

Pada 22 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit petrol RON97 dan RON92 masing-masing sebanyak 15 sen dan 22 sen kepada RM2.55 dan RM2.40 seliter manakala harga diesel turun lapan sen kepada RM2.50 seliter, berkuat kuasa keesokan harinya.

Abdullah berkata, kerajaan sentiasa berusaha memberi yang terbaik kepada rakyat dan keputusan menurunkan harga bahan api bulan lalu itu adalah antara langkah yang diambil untuk mengurangkan beban orang ramai, terutama golongan berpendapatan rendah.

"Jika harga minyak mentah dunia terus menunjukkan penurunan yang stabil, maka kita akan memberi sesuatu yang terbaik kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri yakin kerajaan dapat menurunkan defisit fiskal tahun depan kepada 3.6 peratus daripada 4.8 peratus tahun ini menerusi pelbagai pendekatan ekonomi yang akan dilaksanakan.

Abdullah berkata, defisit fiskal tahun ini meningkat kerana perbelanjaan mengurus dan pembangunan bertambah kepada RM9.6 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, berbanding lebihan sebanyak RM975 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Mengenai nilai ringgit, Abdullah berkata: "Walaupun pada waktu ini nilai ringgit berkurangan, belum sampai pada peringkat membimbangkan"

Terdahulu, ketika berucap pada mesyuarat itu, Abdullah berkata, Kementerian Kewangan akan memantau secara berterusan bagi memastikan jumlah pinjaman dan pendahuluan dibuat kerajaan negeri dijelaskan mengikut jadual.

Katanya, tunggakan bayaran balik pinjaman kerajaan negeri sehingga 31 Disember 2007 berjumlah RM3.036 bilion manakala bayaran balik pinjaman yang dibuat kerajaan negeri daripada tempoh 1 Januari hingga 30 Jun lalu sebanyak RM87.54 juta berbanding jumlah anuiti sebanyak RM274.01 juta bagi tempoh sama.

Tuesday, September 2, 2008

Minyak melonjak kembali?

Minyak melonjak kembali?


KUALA LUMPUR 1 Sept. - Kenaikan harga minyak dunia dijangka kembali menghantui pasaran saham tempatan kerana penurunan yang berlaku lebih sebulan lalu hanya bersifat sementara.

Sehubungan itu, kelegaan yang dirasai oleh rakyat Malaysia, selepas kerajaan mengumumkan pengurangan harga minyak tidak akan berkekalan, kata Pengarah Eksekutif Jupiter Securities Sdn. Bhd., Nazarry Rosli.

Beliau berkata, pasaran meramalkan harga minyak akan melambung semula pada bila-bila masa selepas mengalami pembetulan teknikal.

Katanya, berdasarkan trend penurunan itu, harga bahan bakar itu telah merosot daripada 33 peratus pada awalnya kepada 55 peratus dalam tempoh lebih sebulan lalu.

''Selepas mencecah kejatuhan harga sebanyak 55 peratus, ia dijangka akan naik atau kalau jatuh lagi pun ia hanya akan merosot pada tahap 68 peratus.

''Selepas itu (kejatuhan 68 peratus), harga minyak tidak mungkin susut lagi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau berkata, kejatuhan harga minyak akibat pembetulan teknikal itu begitu ketara dan sangat tinggi.

Rekod tertinggi harga minyak mentah dunia yang dicatatkan setakat ini ialah AS$147.21 (RM476.96) iaitu pada 11 Julai lalu sebelum menjunam dan berada pada harga semasa sekitar AS$112 (RM379.68) hingga AS$120 (RM406.08) setong.

Mengulas mengenai jangkaan harga minyak apabila bahan api itu kembali melonjak, Nazarry berkata: ''Kemungkinan besar ia mampu mencecah paras AS$147, harga sebelum kejatuhannya''.

Sebelum ini, bank pelaburan, Goldman Sachs meramalkan harga minyak berada di sekitar AS$150 (RM508.50) hingga AS$200 (RM678) setong dalam tempoh 24 bulan selepas berlaku pembetulan teknikal.

Beliau berkata, pasaran tempatan juga tidak menolak harga minyak berupaya melonjak ke paras tersebut kerana spekulasi kenaikan harga komoditi emas hitam itu tetap kukuh.