Showing posts with label Metro. Show all posts
Showing posts with label Metro. Show all posts

Monday, November 10, 2008

Anak kanser

Anak kanser
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my


APA agaknya jawapan anda apabila anak kesayangan yang menghidap kanser bertanya soal kematian? Selepas melihat beberapa rakan senasib pergi dulu, bila pula gilirannya? Adakah dia berbuat salah sehingga dihukum dengan mendapat kanser?

Bagaimana anda mahu menerangkan mengenai penyakit kanser kepada kanak-kanak? Apa cara terbaik boleh anda gunakan untuk membantu menenangkan perasaan pesakit kanser kanak-kanak?

Semua soalan ini sukar dijawab kerana selagi tidak mengalaminya sendiri, kita tidak tahu kekacauan perasaan dan fikiran yang melanda pesakit kecil serta ibu bapanya.

Walaupun kanser bukan bererti mati, perkataan itu sendiri mampu membunuh semangat pesakit, sama ada kecil atau orang dewasa.

Malah, ahli keluarga sentiasa diburu kebimbangan mengenai perkembangan penyakit, keberkesanan rawatan, kesan sampingan, kos serta masa depan pesakit.

Punca sebenar kanser (tidak kira apa jenis pun) tidak diketahui. Namun, pakar perubatan percaya setiap orang ada sel tidak normal dalam kuantiti kecil.

Jumlah sel tidak normal ini bertambah dengan peningkatan usia, kehadiran faktor risiko dan luaran yang boleh merangsang aktiviti sel berkenaan yang akhirnya bertukar menjadi sel kanser.

Bagaimanapun, itu hanya teori kerana kanser juga menyerang kanak-kanak. Dianggarkan 10 peratus daripada pesakit kanser di seluruh dunia adalah kanak-kanak yang menghidap jenis kanser berbeza dengan orang dewasa.

Di negara kita, daripada 26,000 hingga 30,000 kes kanser yang dilaporkan setiap tahun, 2,600 hingga 3,000 kes membabitkan pesakit kanak-kanak dan ia meningkat 10 peratus setahun. Daripada jumlah ini, 70 peratus adalah leukemia (kanser darah).

Satu kesilapan yang sering dilakukan ibu bapa apabila anak menghidap kanser ialah cuba merahsiakannya daripada pengetahuan pesakit.

Walaupun tujuannya mahu melindungi dan menjaga perasaan anak, tindakan itu sebenarnya membuatkan pesakit lebih takut, bimbang dan tertekan.

Pesakit kecil, terutama yang bersekolah, boleh faham mengenai penyakit mereka. Jadi tiada sebab untuk ibu bapa merahsiakan keadaan atau perkembangan penyakit anak bagi memudahkan proses rawatan.

Malah, berbincang secara terbuka boleh mententeramkan perasaan pesakit kerana jika dirahsiakan, kanak-kanak mungkin menyangka keadaan mereka sangat teruk sehingga menyebabkan ibu bapa susah hati, kata Pengarah Eksekutif Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr Saunthari Somasundaram.

“Apabila seorang ahli keluarga menghidap kanser, kanak-kanak biasanya boleh mengesan ada sesuatu yang tidak kena walaupun tidak tahu perkara sebenar. Perbincangan ini tidak terhad kepada pesakit saja, bahkan anak lain juga berhak mengetahuinya.

“Kanak-kanak sebenarnya sangat sensitif. Tidak hairan jika ada kanak-kanak beranggapan mereka melakukan sesuatu yang tidak baik atau berbuat salah dan menyebabkan adik beradik menghidap penyakit sebagai balasan. Kekeliruan ini perlu dibetulkan,” katanya.

Pun begitu, bukan mudah untuk ibu bapa menerangkan penyakit kanser kepada pesakit atau anak lain. Selain perlu tahu mengenai penyakit itu, ibu bapa mesti menerangkannya dalam bahasa yang mudah difahami bersesuaian dengan umur anak.

Pada masa sama mereka perlu bersedia menjawab pelbagai soalan yang mungkin dikemukakan anak atau pesakit, terutama membabitkan rawatan, kesan sampingan, penjagaan atau isu lebih sukar iaitu mengenai kematian.

Biasanya isu ini diutarakan pesakit lebih besar, dalam lingkungan sembilan hingga 12 tahun. Bagi pesakit lebih kecil, mereka menerima kanser seperti penyakit lain. Reaksi mereka biasanya adalah disebabkan gejala penyakit atau orang di sekeliling mereka.

Mereka mungkin akan rasa bersalah kerana membuat orang sekeliling, terutama ibu bapa dan ahli keluarga, bersedih. Jika tidak dibendung, perasaan ini bukan saja menyebabkan mereka bersedih, tetapi juga dikhuatiri melemahkan semangat pesakit untuk meneruskan rawatan dan melawan kanser.

Justeru, penerbitan buku Apa Itu Kanser sangat tepat pada masanya, apatah lagi dengan peningkatan kes baru setiap tahun, sama ada di kalangan orang dewasa mahu pun kanak-kanak.

Buku ini disasarkan kepada kanak-kanak berumur antara sembilan hingga 12 tahun yang berdepan kanser secara langsung atau tidak langsung.

Untuk permulaan, ia diterbitkan dalam tiga bahasa (Inggeris, Bahasa Malaysia dan Mandarin)dan 2,000 naskhah diedarkan di semua hospital besar di seluruh negara.

Mengapa saya?

“Mengapa saya? Bagaimana saya boleh mendapat kanser?” antara soalan yang sukar dijawab. Tiada siapa tahu kenapa dan bagaimana seseorang itu mendapat kanser.

Pesakit juga perlu diberitahu, penyakit mereka tidak berjangkit dan tiada alasan untuk menjauhkan diri daripada orang lain. Ibu bapa juga perlu memberitahu anak bahawa mereka tidak perlu risau untuk berkawan, bercakap atau memeluk pesakit kanser.

Adakah saya boleh sembuh?

Kanser kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa, dan dalam kebanyakan kes peluang untuk sembuh adalah tinggi iaitu sehingga 90 peratus, termasuk kes leukemia. Yang penting ialah mendapatkan rawatan seawal mungkin sebaik penyakit dikesan.

“Memang pesakit kanak-kanak akan menderita sepanjang tempoh rawatan, tetapi mereka boleh bertahan. Mereka akan berasa letih, lemah dan mungkin muntah. Apabila ini berlaku, doktor akan memberi ubat tambahan untuk membuatkan mereka lebih baik.

“Selain pembedahan, pesakit perlu menjalani rawatan kemoterapi. Antara kesan sampingan paling ditakuti ialah keguguran rambut.

“Bagaimanapun, jangan bimbang kerana rambut baru akan tumbuh semula enam bulan selepas tamat rawatan. Rambut baru tidak sama dengan rambut asal, tetapi ia jauh lebih sihat,” katanya.

Saya sihat, mengapa masih perlu mengambil ubat?

Ini untuk memastikan semua sel kanser dibunuh dan menghalangnya menyerang semula. Semua ubat mesti dihabiskan sepanjang tempoh rawatan.

Pun begitu, risiko kanser menyerang semula sentiasa ada. Pesakit yang mendapat rawatan ketika kanser dalam peringkat pertama ada risiko pengulangan 10 peratus dan lebih tinggi jika penyakit lambat dirawat. Namun, jangan putus harapan jika ia berlaku kerana masih ada rawatan yang boleh menyelamatkan pesakit.

Jenis kanser kanak-kanak

Menurut Dr Saunthari, ada beberapa jenis kanser kanak-kanak yang lazim iaitu:

Leukemia — Kanser darah dan paling lazim berlaku pada kanak-kanak akibat kehadiran sel darah putih yang tidak normal. Ia menyebabkan pesakit mudah mengalami lebam, sakit tulang dan tidak bermaya.

Ketumbuhan otak — Antara gejala biasa ialah sakit kepala, mual pada waktu pagi, mengalami kesukaran untuk berjalan, menjadi mudah marah dan terasa tidak sihat.

Limfoma (kanser pada nodus limfa) — Nodus limpa adalah ‘kilang’ menghasilkan sel yang melindungi badan dan nodus yang ‘sakit’ perlu dibuang segera.

Neuroblastoma (kanser pada saraf) — Ia boleh berlaku pada mana-mana saraf termasuk di leher, dada dan perut.

Retinoblastoma (kanser mata) — Kanser ini biasanya berlaku pada kanak-kanak kecil. Jika terlewat mendapat rawatan, mata yang diserang kanser terpaksa dibuang dan diganti dengan mata palsu (untuk tujuan kecantikan).

Ketumbuhan otot — Ia boleh berlaku pada mana-mana otot yang menyebabkan pesakit berasa lemah dan sakit pada bahagian diserang.

Nefroblastoma (kanser buah pinggang) — Kanser boleh menyerang sebelah atau kedua-dua buah pinggang dan menyebabkan fungsinya terjejas teruk. Biasanya rawatan dimulakan dengan kemoterapi (untuk mematikan sel kanser) dan disusuli pembedahan.

Pemeriksaan dan rawatan

Buku Apa Itu Kanser terbitan bersama NCSM dan Blackmores (M) Sdn Bhd yang ditulis dengan bahasa mudah dan disertakan karikatur juga menerangkan jenis ujian yang perlu dilalui pesakit kanser. Lapan jenis ujian digunakan untuk pengesahan kanser iaitu:


Ujian darah (dilakukan setiap kali kunjungan ke hospital)


Imbasan CAT (untuk mengambil gambar bahagian dalam badan)


Imbasan Imej Magnetik Resonans (MRI, untuk mengambil gambar bahagian dalam badan)


Ultrabunyi (untuk mengetahui organ berfungsi dengan baik)


Imbasan tulang (bagi memastikan tulang tidak terjejas)


Biopsi ketumbuhan (untuk memastikan jenis kanser dihidapi)


Biopsi sumsum tulang (untuk pengesahan jenis kanser)


Ujian air tulang belakang (bagi memeriksa kehadiran sel kanser pada tulang belakang). Ramai orang percaya pesakit menjadi lebih teruk jika air tulang belakang diambil, tetapi anggapan ini tidak benar. Air tulang belakang tidak akan habis dan badan menggantikannya dengan yang baru. Pengambilan air tulang belakang tidak memburukkan penyakit.

Seperti diketahui umum, kaedah rawatan utama kanser ialah kemoterapi, radioterapi dan pembedahan. Namun dalam sesetengah keadaan (bergantung kepada jenis kanser) pesakit kanak-kanak perlu menjalani pemindahan sumsum tulang, sama ada daripada pesakit atau penderma lain (biasanya ahli keluarga).

Walaupun selamat, kemoterapi ada kesan sampingan seperti penat, mulut dan tekak menjadi kering, masalah kulit, tiada selera makan, keguguran rambut dan berasa tertekan.

Manakala radioterapi biasanya menyebabkan letih, tidak sihat, rambut gugur, terasa asyik hendak kencing, hilang selera makan, perut tidak selesa dan masalah kulit.

Sepanjang tempoh rawatan kemoterapi, daya ketahanan badan pesakit lemah dan mudah mendapat jangkitan. Pastikan pesakit tidak ada berhampiran individu yang alami jangkitan seperti selesema, flu atau demam campak.

Untuk mendapat keputusan terbaik, doktor akan mencadangkan gabungan beberapa rawatan yang disebut di atas, termasuk imunoterapi dan terapi hormon. Pemilihan ini bagaimanapun dibuat mengikut kesesuaian.

Bagi kes serius, rawatan mungkin tidak dapat menyembuhkan kanser, tetapi mampu menghilangkan kesakitan serta meningkatkan kualiti hidup.

Pemakanan

Pemakanan seimbang dan berkhasiat sangat penting untuk menguatkan tubuh pesakit kanser. Ibu bapa perlu bijak menyediakan makanan anak kerana sepanjang tempoh rawatan, mereka tiada selera makan.

Menurut Perunding dan Pelatih Kesihatan, Monitar Tan, jangan paksa pesakit kecil makan makanan pejal kerana jika menjalani kemoterapi, mulut dan tekak menjadi kering dan menyukarkan mereka untuk menelan.

“Sediakan makanan lembut. Lecek buah-buahan dan sayur-sayuran supaya ia mudah ditelan. Beri apa saja yang mereka teringin, termasuk burger atau makanan manis, kerana ini antara cara menggalakkan pesakit makan.

“Jika mereka mahu burger, sebaik-baiknya sediakan di rumah bersama pesakit jika mereka cukup kuat. Cara ini bukan saja menjadikan sesi makan itu menarik, tetapi membantu anak melupakan kesakitan.

“Tidak mengapa jika mereka makan sedikit, tetapi ia perlu kerap supaya anak mendapat khasiat secukupnya. Jika mereka tidak boleh menelan pil vitamin, jadikan ia sebagai manisan untuk diambil bersama makanan lain,” katanya.

Sokongan

Ia penting untuk membantu pesakit melawan kanser dan mempercepatkan proses penyembuhan. Sokongan ini datang dalam dua bentuk iaitu moral dan fizikal.

Pesakit biasanya lebih tenang jika bertemu rakan senasib dan ini boleh dilakukan dengan menyertai kumpulan sokongan atau mana-mana program yang diadakan khusus untuk pesakit kanser.

Sokongan fizikal secara tidak langsung juga penting seperti tidak merokok berhampiran pesakit kanser, tetapi lebih baik jika tabiat ini dapat dihentikan terus. Jika mengalami jangkitan, pastikan anda duduk jauh dari pesakit kerana anda boleh membahayakan nyawanya.

Rakan sekolah pasti ada banyak perkara yang hendak ditanya kepada pesakit. Sebagai guru, anda boleh membantu pesakit dengan mengadakan projek khas mengenai kanser untuk dibentangkan di dalam kelas.

Melalui cara ini pesakit bukan saja tidak perlu menjawab soalan sama berulang kali, tetapi dapat membantu meningkatkan kesedaran kanak-kanak mengenai kanser.

Namun, paling penting ialah sokongan ibu bapa. Mereka perlu berterus terang mengenai status kesihatan pesakit dan sentiasa memberi dorongan untuk menguatkan semangat. Banyak bukti semangat yang kuat boleh melawan kanser.

“Jangan sembunyi status kesihatan anak kerana ia menyebabkan pesakit lebih tertekan. Ibu bapa juga tidak harus mengubah tajuk perbualan apabila anak bertanya soal kematian.

“Memang ia isu sukar, tetapi ibu bapa perlu bijak memberi jawapan kerana kanak-kanak tahu bila mereka akan ‘pergi’. Namun sebelum sampai waktu itu, kita bertanggungjawab memberikan mereka kehidupan sebaik mungkin,” katanya.

Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web www.cancer.org.my untuk mendapat maklumat lanjut mengenai jenis kanser, faktor risiko, saringan dan pengesanan, pilihan rawatan, pemakanan serta pelbagai maklumat lain.

Thursday, September 25, 2008

Mencari Lailatul Qadar

Mencari Lailatul Qadar
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my


"SESUNGGUHNYA Kami menurunkannya (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu?


"SESUNGGUHNYA Kami menurunkannya (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu?

***************************************

Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Al-Qadr:1-5)


Lailatul Qadar itu ialah satu malam pada Ramadan yang penuh berkat, iaitu malam yang mengandungi banyak kebaikan, kerana pada malam itu malaikat turun membawa rahmat dan kesejahteraan seperti diterangkan dalam al-Quran.

Agung dan mulianya Lailatul Qadar sehingga Rasulullah s.a.w menganjurkan umatnya melakukan persediaan menyambut dan menghayati malam yang berkat itu. Persediaan yang dimaksudkan itu bukan dengan pesta yang tidak ketentuan, tetapi dengan amal ibadat yang membawa rahmat.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabdanya, bermaksud: "...sesiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai ibadat lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya dia diampunkan dosanya yang lalu." (Hadis sahih riwayat Bukhari)

Ibadat yang dimaksudkan termasuk membaca al-Quran, berzikir, beristighfar, bertaubat dan berdoa pada malam yang berkat itu manakala beriman disebut dalam hadis berkenaan merujuk kepada kepercayaan dan keyakinan benarnya keistimewaan Lailatul Qadar yang mulia itu.

Sebenarnya Ramadan, al-Quran dan malam Lailatul Qadar adalah gandingan yang mempunyai hubungan sangat rapat. Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadar, pada Ramadan.

Walaupun Lailatul Qadar mempunyai keberkatan dan kebaikan berlimpah ruah, sehingga dikatakan tiada tandingan berbanding malam lain, ia tidak dinyatakan dengan jelas pada hari tertentu.

Tetapi Rasulullah s.a.w ada membayangkan malam berkenaan, malah menasihati supaya melakukan persediaan untuk menghadapinya, seperti dinyatakan dalam hadis bermaksud:

Daripada Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: "Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Lailatul Qadar pada malam ganjil 10 malam akhir Ramadan." (Hadis sahih riwayat Bukhari)

Malam yang ganjil sudah pasti malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan. Ada hadis yang menyatakan Lailatul Qadar pernah ditemui pada zaman Rasulullah s.a.w pada malam 21 Ramadan dan malam 23 Ramadan.

Baginda juga pernah meminta seorang sahabat yang bertanya mengenai Lailatul Qadar supaya dia bersedia menghayatinya pada malam 27 Ramadan.

Keterangan di atas menunjukkan Lailatul Qadar tidak tetap, sebaliknya boleh bertukar dalam 10 malam terakhir Ramadan pada setiap tahun.

Hikmah malam penuh berkat itu dirahsiakan supaya setiap orang Islam bersungguh-sungguh menghayati 10 malam terakhir Ramadan dengan amal ibadat dan memberi pengharapan yang tinggi kepada Ilahi supaya dapat bertemu malam berkenaan.

Imam Nawawi, berkata: "Lailatul Qadar dapat disaksikan orang yang dikehendaki Allah pada tiap-tiap tahun ketika Ramadan, sebagaimana yang diterangkan dengan jelas dalam hadis Rasulullah s.a.w dan diberitakan juga oleh orang yang soleh..."

Kemudian beliau menyebutkan penjelasan Imam Al-Mawardi, dalam kitabnya, Al-Hawi: Bahawa orang yang dapat menyaksikan Lailatul Qadar, elok dia menyembunyikan perkara yang disaksikan (supaya dia terselamat daripada perasaannya) dan hendaklah dia berdoa (pada saat yang berkat itu) dengan ikhlas serta sepenuh-penuhnya yakin dengan permohonan yang disukainya mengenainya agama dan dunianya, biarlah kebanyakan doanya itu untuk (kebaikan dan keselamatan) agama serta hari akhirat."

Ada orang berkata, mereka yang menemui Lailatul Qadar akan melihat cahaya terang di segenap tempat manakala sesetengah pihak mendakwa mendengar ucapan salam dan kata-kata lain daripada malaikat, melihat semua benda termasuk pokok rebah (sujud) dan doanya makbul.

Bagaimanapun, Imam at-Tabari memilih pendapat yang menegaskan, semuanya itu tidak lazim (tidak semestinya dia dapat melihatnya), kerana tidak disyaratkan melihat sesuatu atau mendengarnya untuk menemui Lailatulqadar.

Cuma yang penting ialah taat beribadat kerana Allah semata-mata dan ganjaran orang beribadat adalah terjamin, sama ada dapat dirasai di dunia atau di akhirat. Justeru, umat Islam digesa rajin beribadat pada Ramadan, lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir Ramadan.

Rasulullah s.a.w contoh terbaik menghayati Ramadan, terutama 10 malam yang akhir dengan beriktikaf di masjid dan melakukan amal ibadat sebagai persediaan untuk menyambut kedatangan Lailatul Qadar.

Daripada Aisyah r.a katanya: "Rasulullah s.a.w memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang ke-10 terakhir Ramadan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya). Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut ulama, Lailatul Qadar kemuncak Ramadan kerana kemuliaannya yang diterangkan di dalam al-Quran dan hadis Nabi s.a.w, malah malam berkenaan dirakamkan khusus dalam satu surah di dalam al-Quran, menunjukkan keistimewaannya.

Orang yang tekun beribadat pada 10 malam yang berkenaan akan mendapat rahmat yang dijanjikan kerana sudah sabit dalam hadis yang sahih Lailatul Qadar wujud pada satu daripada 10 malam itu.

Justeru, orang yang tekun beribadat pada 10 malam terbabit akan mendapat rahmat yang dijanjikan itu, sama ada dia menemuinya atau tidak dan tidak melihat apa-apa. Cuma yang dapat menemuinya dianjurkan berdoa kebaikan, kesejahteraan dan keampunan.

Nabi s.a.w ada mengajar berdoa seperti berikut: "Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau sentiasa memaafkan (salah silap hamba-Mu), lagi suka memaafkan, oleh itu maafkanlah salah silapku."

Yang penting ialah menghayati malam terbabit dengan amal ibadat, beriman dengan yakin Lailatul Qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadat semata-mata ikhlas dengan mengharapkan rahmat dan reda-Nya.

Thursday, September 11, 2008

Hati berlemak dedah risiko

Hati berlemak dedah risiko


HATI adalah fungsi penting dalam tubuh manusia. Jika ia berlemak atau steatosis, kesannya amat berbahaya.

Di Amerika Syarikat, kira-kira 25 peratus penduduknya menghadapi masalah ini terutama di kalangan wanita.

Hati berlemak jika tidak dirawat mendedahkan individu itu kepada situasi yang lebih serius.

Ini kerana hati berfungsi menukar lemak yang dimakan kepada jenis lemak yang digunakan oleh tubuh.


Trigliserid adalah satu bentuk lemak yang disimpan dalam tubuh dan digunakan untuk tenaga serta pembentukan sel baru.


Bagaimanapun, pemecahan lemak ini boleh terganggu jika seseorang itu mengambil minuman keras, kekurangan zat makanan, kehamilan atau keracunan.

Hati berlemak tidak menyebabkan penghidapnya berasa sakit dan ia ibarat api dalam sekam.

Dalam jangka panjang, hati berlemak boleh menyebabkan radang pada sel hati yang dikenali sebagai steatohepatitis.

Pengambilan minuman keras sebanyak 10 auns seminggu memadai mendedahkan seseorang itu kepada hati berlemak.

Namun, hati berlemak juga berlaku disebabkan faktor non-alcoholic steatohepatitis (NASH).

Kira-kira 15 hingga 50 peratus pesakit NASH boleh menghidap fibrosis atau sirosis hati yang menyebabkan saiz hati meningkat tiga kali ganda dari saiz normal.

Penyakit seperti batuk kering, diet yang tidak seimbang, pembedahan pintasan usus kecil untuk onesiti dan sesetengah ubat seperti kortikosteroid juga punca hati berlemak.

Di kalangan individu yang obesiti, lemak lebih banyak terbentuk dalam sel hati.

Kadar kemampuan hati untuk memecah dan mengumuh lemak ialah punca kemungkinan berlakunya pengumpulan lemak dalam hati.

Kajian mendapati hati berlemak punca menurun enzim hati yang dikenal pasti pada ujian darah secara rutin.

Enzim mini dikeluarkan oleh sel-sel hati apabila berlaku radang pada sel berkenaan.


TANDA HATI BERLEMAK

Sakit atau tidak selesa pada bahagian atas abdomen.

Dalam tempoh jangka panjang, ia boleh menyebabkan seseorang itu mengalami busung, hati bengkak, demam dan demam kuning.


RAWATAN

Rawatan awal, seseorang itu perlu pemeriksaan ultrasound atau CT Scan bagi melihat perubahan pada hati akibat pengumpulan lemak.

Ujian darah dilakukan bagi mengetahui paras kolestrol, trigliserid dan fungsi hati serta untuk mengetahui punca lain radang hati.

Rawatan bergantung kepada puncanya. Elak mengambil minuman keras dan lakukan senaman bagi mengurangkan berat badan.

Mereka yang berisiko mendapat hati berlemak ialah mengambil minuman keras, kurang mengambil makanan berzat yang seimbang, obesiti, diabetis, sindrom Reye di kalangan kanak-kanak, kehamilan atau mengambil ubat secara berlebihan.

Friday, September 5, 2008

Rukyah tentukan Ramadan, Syawal

Rukyah tentukan Ramadan, Syawal



DALAM sistem taqwim Islam, melihat anak bulan atau melakukan rukyah adalah satu ciri utama bagi menentukan awal bulan.

Rukyah menurut definisi hukum fiqah ialah melihat anak bulan (hilal) selepas matahari terbenam, manakala anak bulan didefinisikan sebagai bulan sabit selepas ijtimak yang pertama kali kelihatan atau kemungkinan boleh kelihatan selepas matahari terbenam.


Secara tradisinya, petunjuk bagi penyusunan taqwim Islam keseluruhannya berdasarkan kepada dalil syarie berkaitan dengan permulaan dan akhir puasa Ramadan.

Puasa bermula selepas anak bulan kelihatan pada 29 Syaaban. Begitu juga dengan hari raya, disambut selepas anak bulan kelihatan pada 29 Ramadan.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya): “Berpuasalah kamu kerana melihat anak bulan dan berbukalah kamu (berhari raya) sesudah melihat anak bulan.”

Hadis di atas tidak bermaksud memerlukan semua orang melihat anak bulan terlebih dulu sebelum memulakan puasa, malah hanya memadai ada segolongan yang melakukannya atau menyaksikannya.

Bagi mazhab Hanafi, memadai yang melihat itu seorang saja dalam keadaan cuaca mendung bagi penentuan Ramadan, tetapi bagi penentuan Syawal yang melihat anak bulan itu mesti dengan dua saksi. Sementara bagi mazhab Syafie wajib berpuasa walaupun hanya seorang melihatnya.

Awal bulan hijriah, khususnya Ramadan dan Syawal boleh juga ditetapkan berdasarkan laporan atau berita mengenai kelihatan anak bulan oleh seseorang yang boleh dipercayai.

Dalil ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan at-Tirmidzi daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas, katanya (maksud):

“Seorang Arab (Badwi) datang kepada Rasulullah s.a.w lalu berkata; wahai Rasulullah, bahawasanya saya telah melihat hilal Ramadan. Lalu bertanya Rasulullah s.a.w; apakah kamu mengakui tiada Tuhan melainkan Allah? Badwi itu menjawab: Ya, benar. Bertanya lagi Rasulullah s.a.w; apakah engkau mengakui Muhammad itu Rasulullah? Badwi itu menjawab: Ya, benar. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Bilal, beritahulah kepada manusia supaya mereka berpuasa esok hari.”

Bagi maksud ini, orang ramai yang nampak anak bulan sama ada Ramadan atau Syawal, boleh melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, seperti mufti, hakim atau kadi.

Pihak berkuasa pula boleh mengadakan prosedur soal selidik sebelum menerima kesaksian berkenaan dan membuat keputusan mengenainya.

Ulama fiqah sepakat, wajib bagi orang yang mendakwa nampak anak bulan itu berpuasa, tetapi untuk anak bulan Syawal terdapat perselisihan pendapat.

Begitupun, perkara di atas tidak menjadi masalah dewasa ini, kerana di setiap negeri ada balai cerap untuk melihat anak bulan di tempat masing-masing dan Jawatankuasa Falak Syarie di setiap negeri akan hadir pada majlis terbabit bagi menentukan permulaan Ramadan dan Syawal.

Apabila anak bulan tidak kelihatan pada akhir sesuatu bulan itu, sama ada pada 29 Syaaban, 29 Ramadan atau Zulqaedah, bulan terbabit dijadikan 30 hari.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda (maksud): “Berpuasalah kamu kerana melihat anak bulan dan berbukalah (hari raya) kamu setelah melihat anak bulan, jika mendung maka genapkanlah Syaaban 30 hari).

Penetapan awal puasa dan hari raya boleh juga dilakukan berpandukan hasil kiraan falak.

Ini berdasarkan ayat 5 surah Yunus, maksudnya: “Dialah Allah yang telah menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan menetapkan manzilah baginya, supaya kamu mengenai bilangan tahun dan pengiraan masa.”

Tetapi, penggunaan kaedah hisab sebagai penentu dalam permulaan Ramadan dan Syawal sering menimbulkan kontroversi. Malah, jumhur ulama fiqah menekankan rukyah hendaklah menjadi penentu berdasarkan kaedah istinbat hukum yang muktabar.

Bagi mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali, rukyah diterima sebagai asas penetapan awal Ramadan dan Syawal.

Khilaf (perbezaan) antara rukyah dan hisab disebabkan tafsiran terhadap dua hadis, iaitu hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn Umar serta satu lagi hadis diriwayatkan al-Bukhari daripada Abu Hurairah.

Persidangan Hilal Negara-negara Islam di Istanbul pada 1978 memberikan impak positif dalam penggunaan kaedah saintifik sebagai asas penentuan awal bulan termasuk di Malaysia.