Showing posts with label Malaysiakini. Show all posts
Showing posts with label Malaysiakini. Show all posts

Wednesday, September 28, 2011

Umur persaraan 64 tahun belum dipersetujui k'jaan



Kenaikan had umur persaraan pekerja sektor swasta sehingga 64 tahun adalah dicadangkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan bukan pandangan rasmi kerajaan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan masih dalam peringkat perbincangan dengan wakil pekerja dan majikan bagi menggubal Rang Undang-Undang Umur Persaraan Minimum Swasta.

"Had umur sehingga 64 tahun adalah pandangan MTUC. Ia belum dipersetujui oleh kerajaan. Mereka telah kemukakan pelbagai cadangan tetapi akhirnya keputusan akan dibuat dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

"Proses untuk menggubal akta itu sudah mula dibuat dan kita harap ia boleh diselesaikan segera seterusnya boleh dilaksanakan secepat mungkin," katanya kepada Bernama di pejabatnya di Kuala Lumpur, semalam.

Subramaniam berkata rang undang-undang itu digubal kerana berpendapat bahawa had umur persaraan pada 55 tahun sudah tidak relevan sekarang memandangkan rakyat Malaysia kini lebih sihat dan masih mampu bekerja pada usia tersebut.

"Mereka bersara pada umur 55 tahun, tetapi pada umur itu mereka masih sihat, cerdas dan boleh bekerja. Usia pekerja-pekerja di Malaysia kini lebih panjang berbanding pada masa dulu," katanya.

Beliau berkata kenaikan had umur persaraan juga dapat membantu jaringan sosial dan kebajikan pekerja di mana mereka mampu memperolehi pendapatan pada usia tua selain menambah caruman di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk masa depan mereka.

"Kalau golongan pertengahan dan bawahan, caruman mereka di KWSP tidak mencukupi untuk jangka masa panjang. Bila mereka sudah bersara pada usia 55 tahun ada yang masih mencari kerja.

"Sebab itu perlu ada perubahan bahawa rakyat akan kerja lebih lama dan diberi gaji lebih lama untuk pastikan mereka dapat pendapatan untuk tanggung keperluan mereka," katanya.

Gaji minimum
Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata kerajaan menyasarkan agar pelaksanaan gaji minimum sektor swasta dapat dilaksanakan pada awal tahun depan setelah anggota Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan dilantik dan mula bermesyuarat esok.

"Pengumuman mengenai gaji minimum akan dibuat sebelum hujung tahun ini dan mungkin sedikit masa diperlukan untuk majlis membuat persiapan, mungkin awal tahun depan dapat kita laksanakan," katanya.

Beliau berkata seramai 25 orang akan dilantik menganggotai Majlis itu yang terdiri daripada seorang pengerusi, timbalan pengerusi serta setiausaha, masing-masing lima wakil dari pihak kerajaan dan bebas serta masing-masing enam wakil dari wakil pekerja yang dicadangkan MTUC dan wakil majikan yang dicadangkan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Lima wakil kerajaan ialah dari Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Unit Perancang Ekonomi manakala wakil bebas terdiri daripada pihak badan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi serta institusi yang mempunyai kaitan dengan pekerja dan gaji.

"Mereka akan diberi tanggungjawab untuk mengkaji gaji minimum dan cadangan itu akan disampaikan kepada kementerian sebelum diteliti oleh kerajaan.

“Sekiranya semua pihak setuju kita akan umumkan dan jadikan ia gaji minimum kebangsaan," kata Subramaniam.

- Bernama

Friday, December 11, 2009

Tabloid Melayu kian popular, harian merosot



Salhan K Ahmad
Dis 11, 09
1:15pm

dikemaskini Dua harian berpengaruh bahasa Melayu mencatatkan penurunan jumlah edarannya tetapi tabloid terbitan syarikat media yang sama merekodkan kenaikan, sehingga 12 peratus setahun lalu.

Jumlah edaran Utusan Malaysia menurun sehingga 8 peratus kepada 181,346 nashkah, sementara Berita Harian pula merosot 5 peratus kepada 183,187 naskhah.

Kosmo! mengalami kenaikan tertinggi sebanyak 12 peratus kepada 129,663 naskhah, manakala Harian Metro naik 4 peratus kepada 338,552 naskhah).

Kosmo! dan Harian Metro masing-masing berada satu bumbung dengan Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Laporan audit pengedaran itu – bagi tempoh 1 Julai tahun lalu hingga 30 Jun lalu – bagaimanapun menunjukkan edaran akhbar-akhbar berbahasa Malaysia mencatatkan kenaikan kecil berbanding akhbar-akhbar berbahasa Cina dan Inggeris yang mencatat penurunan.

Data itu, yang dikeluarkan Biro Audit Pengedaran (ABC) Malaysia semalam, menunjukkan jumlah edaran harian berbahasa kebangsaan meningkat 2 peratus kepada 832,718 naskhah.

Menurut data ABC, Utusan Malaysia dan Berita Harian semakin merosot jualannya perlahan-lahan sejak audit 1 Julai 2005 hingga 30 Jun 2006 – masing-masing 213,445 dan 203,704 naskhah – kecuali sedikit kenaikan pada enam bulan pertama tahun lalu.

Sementara Kosmo! dan Harian Metro pula semakin laris dalam tempoh yang sama.

Dalam segmen akhbar mingguan pula, edaran Kosmo Ahad mencatat kenaikan tertinggi sebanyak 8 peratus kepada 130,375 naskhah tahun lalu, diikuti Metro Ahad dengan purata edaran sebanyak 386,795 naskhah tahun ini - meningkat 6 peratus.

Seorang ahli lembaga ABC, Adi Satria Ahmad berkata trend ini menunjukkan kuasa beli pembaca dalam segmen bahasa Malaysia masih kuat berbanding pembaca akhbar-akhbar Cina dan Inggeris.

Tambahnya, kenaikan itu turut disokong dengan kenaikan jumlah perbelanjaan pengiklan dalam akhbar-akhbar berkenaan, berbanding dalam akhbar dua bahasa itu.

Jelasnya, jumlah perbelanjaan iklan yang dilaporkan itu bagaimanapun tidak menggambarkan situasi sebenar kerana terdapat akhbar yang memberikan potongan harga kepada pengiklan dan pada masa sama menaikkan harga akhbar mereka.

"Ini kerana bukan semua akhbar bahasa Malaysia ini diaudit, seperti Sinar Harian, kerana belum sampai masa untuk diaudit," katanya ketika dihubungi Malaysiakini selepas sidang media ABC di Petaling Jaya semalam.

Sementara itu, ketika mengumumkan perangkaan terbaru itu, seorang lagi ahli lembaga ABC Tan Sio Chian berkata peningkatan jumlah pembacaan akhbar bahasa Melayu juga didorong oleh kelembapan ekonomi negara.

"Ia menunjukkan pembaca Melayu membeli lebih banyak akhbar disebabkan pengangguran (untuk cari kerja) dan mengurangkan perbelanjaan untuk kandungan hiburan," katanya.

Jelasnya, peralihan trend ini dikesan melalui penurunan 5 peratus bagi purata edaran majalah dalam segmen bahasa itu sehingga 1,015 naskhah tahun ini.

Bagaimanapun edaran majalah berbahasa Inggeris dan Cina lebih teruk terjejas, masing-masing menurun 40 peratus dan 81 peratus.

Laporan ABC itu juga menunjukan edaran keseluruhan harian berbahasa Inggeris mencatat penurunan sebanyak 2 peratus kepada purata 736,981 naskhah.

Edaran The Star merosot sebanyak 3 peratus kepada 295,479 naskhah tahun lalu, manakala New Straits Times menurun sehingga 12 peratus kepada 120,770 naskhah.

Dua lagi akhbar harian berbahasa Inggeris, The Edge dan The Sun masing-masing menunjukkan kenaikan sebanyak 7 peratus (kepada 23,369 naskhah) dan 6 peratus (287,935 naskhah).

Sementara itu, edaran akhbar-akhbar berbahasa Cina pula menurun hingga 7 peratus kepada 863,976 naskhah.

Friday, March 20, 2009

Kongres Melayu mahu PPSMI dibatalkan

Fathi Aris Omar | Mar 17, 09 4:59pm

Pertemuan bersejarah cendekiawan Melayu dalam kongres kebudayaan kedua hari ini meluluskan 10 resolusi penting, termasuk membawa akibat pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Deraf resolusi-resolusi yang menyentuh pelbagai bidang termasuk pendidikan, politik, keperlembagaan, ekonomi dan agama diedarkan di hujung pertemuan dua hari di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur.

"Kami mendesak hanya satu bahasa kebangsaan tunggal dilaksanakan dalam seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah hingga universiti demi perpaduan bangsa, keutuhan negara dan kemajuan seluruh kapisan masyarakat; pelaksanaan dasar pengajaran selain bahasa kebangsaan akan melemahkan maruah bangsa, menjatuhkan martabat negara dan menanam perpecahan antara kaum dan lapisan masyarakat; segala tindakan berkaitan bahasa kebangsaan mestilah selaras peruntukan semua perundangan negara," resolusi kelima dipetik.

Sementara resolusi keenam mengenai 'bahasa, kesusasteraan dan kesenian' berbunyi:

"Dasar bahasa dalam pendidikan mestilah dikembalikan kepada dasar yang berkuatkuasa sebelum 2003 sebagai bahasa pengantar di seluruh sistem pendidikan daripada tahap rendah kepada tahap universiti."

Kongres kedua itu yang diadakan selepas pertemuan pertama pada Disember 1957 juga menegaskan kembali peri pentingnya sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi didaulatkan kerana kedua-dua unsur itu "bahagian sempurna dan utuh bagi kerajaan Malaysia."

"Institusi raja dan Majlis Raja-raja adalah menjadi bahagian utuh daripada sistem pemerintahan Malaysia, maka segala kemuliaan dan kuasa yang termaktub sebagai 'pemerintah tertinggi' mestilah dipelihara dan dijunjung tinggi oleh semua pihak," kata profesor Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Datuk Dr Zainal Kling sewaktu membacakan resolusi mengenai politik.

Kongres itu, yang turut mendapat inspirasi resolusi Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1970 - yang menghasilkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan - turut menentang gagasan multikulturalisme yang dianggap "mengancam dan meruntuhkan seluruh sistem kebudayaan bangsa."

Sewaktu membentangkan hujahnya di kongres tersebut semalam, Dr Zainal berkata gagasan itu yang disebarkan oleh golongan sosialis dan Marxis menggalakkan kebangkitan penentangan kumpulan-kumpulan budaya kecil terhadap dasar-dasar kerajaan.

Tindakan seumpama ini, tambahnya, seperti gagasan Ketuanan Rakyat yang diseru oleh pakatan pembangkang dan idea-idea perjuangan hak asasi manusia yang dibawa NGO boleh menghancurkan negara.

"Kebudayaan Melayu-Bumiputera adalah visi dan kerangka budaya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menjadi landasan pembangunan dan kemajuan kebudayaan Malaysia, maka dengan itu, kami menolak segala gagasan dan tafisran yang berkait dengan multikulturalisme sebagai kerangka pemikiran dan pembangunan kebudayaan kebangsaan Malaysia yang akan mengancam dan meruntuhkan seluruh sistem kebudayaan bangsa," resolusi pertama dipetik.

Kongres menyokong kembali tiga prinsip asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai landasan utama kemajuan kebudayaan nasional:

kebudayaan kebangsaan mesti berasaskan kebudayaan pribumi di rantau Alam Melayu,

unsur-unsur kebudayaan lain boleh disesuaikan dengan kebudayaan kebangsaan, dan

Islam adalah unsur utama dalam kebudayaan kebangsaan.

Kumpulan cendekiawan Melayu ini juga melahirkan kebimbangan berhubung pindaan perlembagaan negara secara sewenang- wenangnya yang boleh mendorong kemuliaan raja, kepentingan rakyat, hak istimewa Melayu dan hak asasi semua rakyat dilemahkan dan diremehkan.

"Keluhuran perlembagaan dan dasar-dasar utama negara yakni dasar pendidikan, dasar kebudayaan, Rukun Negara dan dasar bahasa kebangsaan dikembalikan sebagai asas tindakan semasa terutama Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mencapai keseimbangan ekonomi antara kaum," dokumen setebal lapan halaman itu dipetik.

Mereka juga mendesak agar semua kakitangan pentadbiran awam dan penggubal undang-undang "mesti diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan (Melayu) yang baik dan fasih demi pencapaian keadilan dalam masyarakat."

Kongres mencadangkan media filem dimanfaatkan sepenuhnya untuk meneguhkan jati diri bangsa dan menyaring keselamatan bangsa dan negara, selain mendesak kerajaan mengawal kerencaman pemikiran Islam yang boleh menggugat kedudukan agama dan Melayu sebagai "bangsa penakrif" Malaysia.

Kongres ini dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ia ditutup dengan rasmi oleh Pengerusi Bernama, Datuk Seri Annuar Zaini.

Kongres: PPSMI umpama 'jolok sarang tebuan'

Fathi Aris Omar | Mar 16, 09 6:38pm

Kongres Kebudayaan Melayu Ke-2 yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini, dijangka meluluskan sekurang-kurangnya empat resolusi penting esok, antara lain, menyentuh dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Empat resolusi tersebut dibincangkan di peringkat awal oleh panitia kongres tersebut.

Berhubung isu PPSMI, kongres menyifatkan dasar kontroversi tersebut seolah-olah "menjolok sarang tebuan" dan menyentuh kesucian Perlembagaan Persekutuan.

Ia tidak harus disentuh oleh mana-mana, pihak termasuk parti politik di Malaysia, kata ketua satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) Tan Sri Dr Ismail Hussein sewaktu majlis perasmian kongres petang ini.

Dalam masa yang sama, ia juga membuka peluang kepada pihak lain untuk mempertikaikan perlembagaan, tambahnya.

Beliau juga menegaskan, "ada sejuta cara" lain untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar Melayu, bukannya dengan memperkenalkan PPSMI.

Pertemuan bersejarah ini - yang disifatkan sebagai kesinambungan kongres pertama yang berlangsung di Melaka pada hujung 1957 - dijangka turut meluluskan usul untuk mempertahankan kemuliaan Raja-raja dan pihak istana Melayu.

Tentang multikulturalisme

Institusi kesultanan Melayu tersebut merupakan titik perpaduan seluruh bangsa dan titik pertemuan sejarah tanahair yang panjang, hujah Dr Ismail lagi.

Persidangan yang bertemakan "Di Mana Bumi Dipijak" juga dijangka meluluskan usul menentang keras gagasan multikulturalisme dan serta berpegang teguh kepada usul Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971, antara lain, yang menyatakan bahawa budaya Melayu haruslah menjadi teras kebudayaan Malaysia.

Perhimpunan itu dijangka akan meluluskan usul bahawa sejarah dan tamadun Melayu harus dilihat secara global iaitu ia tidak harus dikurung dalam konteks negara bangsa Malaysia sahaja.

Kongres ini yang berlangsung di Wisma Sejarah di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan berakhir tengah hari esok.

Upacara perasmian pembukaan konges tersebut disempurnakan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Kajian: Hanya 4% kuasai BI melalui PPSMI

Jimadie Shah Othman | Mar 18, 09 12:13pm

Kajian mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa asing itu, dan sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari dua subjek tersebut.

"PPSMI hanya mampu menyumbang pada tahap paling minimum, iaitu kurang empat peratus kepada peningkatan pencapaian Bahasa Inggeris secara keseluruhannya," laporan bertajuk 'Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid' dipetik.

Menurut kajian 53 pakar bahasa itu, dasar kontroversi tersebut juga "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

"PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat sekolah rendah lagi."

Kajian yang melibatkan tujuh universiti awam itu dijalankan antara Jun hingga Disember tahun lalu oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina).

Universiti terlibat termasuklah Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Kajian merumuskan PPSMI harus ditamatkan dan mengembalikan sistem pengajaran sebelum dasar itu diperkenalkan pada 2003.

"Dari segi perkiraan analisis kos-faedah dalam konteks pelaburan jangka panjang, amalan PPSMI tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang.

"Dengan ini, disarankan supaya dasar PPSMI diberhentikan," laporan eksekutif setebal sepuluh halaman itu dipetik.

Menurut kajian, analisis keputusan peperiksaan terhadap 5,595 sampel pelajar tahun lima daripada 56 sekolah kebangsaan mendapati pencapaian pelajar makin merosot dan merudum mendadak apabila berpindah ke tahun enam.

Kajian menjelaskan, kemerosotan berlaku akibat kegagalan pelajar memahami konsep sains dan matematik kerana tidak mampu berinteraksi dengan guru atau murid lain menggunakan bahasa Inggeris.

Pola yang sama didakwa turut ditemui daripada kajian Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Daerah dan sekolah tertentu.

Pengerusi eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raof Hussin yang menaungi kajian itu mengesahkan kajian tersebut kepada Malaysiakini hari ini.

Laporan eksekutif kajian itu diedarkan buat pertama kali kepada umum semalam di hujung Kongres Kebudayaan Melayu Kedua anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara.

Kongres itu turut meluluskan resolusi yang membawa akibat pemansuhan PPSMI apabila mendesak hanya satu bahasa kebangsaan tunggal dilaksanakan dalam seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah hingga universiti.

Hasil kajian yang sama pernah dibentangkan dalam mesyuarat meja bulat membahaskan dasar tersebut anjuran Kementerian Pelajaran tahun lepas.

Menjelaskan latar belakang kajian, Abdul Raof berkata, walapun pakar bahasa yang terlibat hanya diberikan saguhati minimum, namun kajian tujuh bulan itu tetap melibatkan kos besar kira-kira RM470,000.

Beliau berharap kajian itu mampu memberikan gambaran sebenar pelaksanaan PPSMI kerana, sampelnya besar dan luas, melibatkan 15,089 orang daripada pelbagai jenis dan aliran sekolah dari pelbagai kawasan perbandaran seluruh negara.

Seramai 553 guru – termasuk pengetua, guru besar dan penolong kanan sekolah – turut dipilih sebagai sampel.

Abdul Rauf menegaskan, kajian itu dilakukan secara bebas dan tidak dibuat berdasarkan kepentingan tertentu.

"Kami hanya mengemukakan hasil kajian. Kalau positif, positiflah, kalau negatif, negatiflah," katanya.

Thursday, September 11, 2008

Peguam bantah kes Anwar dipindah mahkamah

Peguam bantah kes Anwar dipindah mahkamah
Sep 10, 08 7:04pm

Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah permohonan pihak pendakwaraya untuk memindahkan kes liwat terhadap penasihat PKR itu, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Kes Anwar yang ditetapkan untuk sebutan hari ini, telah ditangguhkan kepada 24 September berhubung pertikaian mengenai sijil untuk memindahkan kes tersebut yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mahkamah akan mendengar hujah dari kedua belah pihak mengenai kesahihan sijil tersebut.

Sebelum prosiding selama 30 minit itu berakhir pagi tadi, peguam utama Anwar, Sulaiman Abdullah (foto) memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan membantah pemindahan kes tersebut.

Katanya, Mahkamah Sesyen memenuhi semua keperluan untuk terus mendengar kes tersebut, dan menegaskan bahawa Hakim SM Komathy Suppiah layak mendengarnya.

"Kita tidak nampak sebarang keperluan untuk memindahkannya," tegas Sulaiman.

Komathy tersenyum mendengar kenyataan Sulaiman itu dan menjawab: "Saya telah berkhidmat selama 26 tahun".

Pada 7 Ogos lalu, Anwar mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau dituduh melakukan kesalahan tersebut pada petang 26 Jun lalu di sebuah bilik di Desa Damansara Condominium, Bukit Damansara.

Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pagi tadi, Anwar sekali lagi mengaku tidak bersalah apabila tuduhan tersebut dibaca kepadanya.

Sunday, August 10, 2008

Peguam dakwa Anwar ada 'alibi'

Beh Lih Yi | Aug 7, 08 8:29pm


Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa pelanggannya itu memang berada di kondominium Desa Damansara pada masa dakwaan berlakunya liwat, tetapi ketua umum PKR itu berada di sana kerana mengadakan pertemuan dengan beberapa orang.

Menurut peguam Sankara Nair hari ini, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan "kira-kira lima orang" - yang merupakan satu alibi terbaru bagi pemimpin pembangkang tersebut

Beliau berkata, pihaknya mempunyai alibi yang jitu dan "kita telah memberi alibi (dan nama mereka) kepada pihak polis sewaktu siasatannya".

Sankara memberitahu demikian kepada pemberita selepas Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi.

Katanya, Anwar berada bersama mereka kerana mengadakan pertemuan di rumah (unit kondominium).

Ketika dihubungi Malaysiakini kemudiannya, Sankara berkata Anwar tidak pernah menafikan yang beliau pernah pergi ke kondominium tersebut.

Unit tersebut, katanya, adalah milik rakan ketua umum PKR itu.

Sankara mengesahkan bahawa kenyataan mereka yang berada bersama Anwar ketika itu - dan kini adalah alibinya - telah dirakamkan oleh pihak polis.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut sama ada pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, adalah antara mereka yang menghadiri pertemuan tersebut.

Saiful, 23, bekas pembantu Anwar, mendakwa telah diliwat oleh ketua umum PKR itu.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan penghujung Jun lalu.

Menurut kertas pertuduhan terhadapnya (lihat carta), Anwar didakwa melakukan jenayah tersebut pada petang 26 Jun lalu di sebuah bilik di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mahkamah membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin.

Pada 2 Julai, Anwar juga memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak pernah menafikan telah pergi ke kondominium mewah itu, tempat di mana Saiful mendakwa dia diliwat.

Mengulas lanjut mengenai kes Anwar itu, Sankara berkata, pasukan peguam mantan timbalan perdana menteri itu mempunyai pembelaan yang kuat bersama dengan alibi serta satu laporan perubatan yang mendapati tiada tanda-tanda Saiful diliwat.

Sankara juga berkata, pihaknya belum lagi menerima salinan laporan polis Saiful.

Dengan adanya bukti-bukti tersebut, Sankara menyuarakan harapannya, pihak pendakwaraya akan menggugurkan kes tersebut.

“Kita mahu melihat bagaimana mereka (pihak pendakwaraya) akan menjalankan pendakwaan dan kita harap mereka akan menggugurkan kes tersebut," katanya.

Liwat: Doktor Pusrawi pertahan laporan

Aug 7, 08 12:50pm

Dalam akuan berkanunnya bertarikh 1 Ogos lalu, Dr Mohamed Osman Abdul Hamid berkata, beliau tetap berpegang kepada hasil pemeriksaannya ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan - pemuda yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Mohamed Osman, yang memeriksa pemuda itu beberapa jam sebelum membuat laporan polis 28 Jun lalu, berkata beliau tetap berpegang dengan hasil pemeriksaannya itu.

Mohd Saiful ke Hospital Pusrawi dan kemudiannya di Hospital Kuala Lumpur sebelum membuat laporan polis, mendakwa diliwat oleh ketua umum PKR.

Di Hospital Pusrawi, Mohd Saiful diperiksa oleh Dr Mohamed Osman.

Dalam laporan perubatannya, yang dibocorkan kepada media, doktor tersebut menyatakan beliau tidak menemui sebarang bukti berlaku liwat.



Dr Mohamed Osman juga mendakwa beberapa perenggan dan perkataan telah ditambah kepada kenyataannya kepada polis berkaitan perkara tersebut.

Sebelum ini, Hospital Pusrawi menyatakan bahawa Dr Mohamad Osman tidak membuat sebarang pemeriksaan berkaitan liwat ke atas Mohd Saiful.

Tersebar di media

Dalam akuan berkanunnya itu, kini beredar di internet, Dr Mohamed Osman berkata, Mohd Saiful pada mulanya menemui seorang doktor wanita tetapi kemudiannya dirujuk kepadanya kerana pemuda itu mahu diperiksa oleh seorang doktor lelaki.

Katanya, berdasarkan pengalamannya, beliau pernah berdepan dengan ramai pengadu seumpama itu. Oleh itu, beliau menjalankan pemeriksaan yang sesuai ke atas pesakit tersebut.

Dr Mohamed Osman berkata, beliau telah menjalankan pemeriksaan rektum dan mencatatkan laporannya dalam 'folder pemeriksaan perubatan standard' Hospital Pusrawi.

Katanya, beliau kemudiannya terperanjat apabila mendapat tahu bahawa laporan pemeriksaan tersebut telah tersebar luas dalam media dan internet.

Menurutnya lagi, beliau hanya mengetahuai tentang kebocoran laporan perubatan tersebut selepas beliau pergi bercuti.

Menurut Hospital Pusrawi, Dr Mohamed Osman bercuti sejak pertengahan bulan Julai lalu.

Sehubungan itu, Dr Mohamed Osman menegaskan bahawa beliau tidak tahu pihak yang bertanggungjawab membocorkan laporan tesebut kepada sebarang pihak ketiga.

Dalam akuan berkanunnya itu, beliau juga mencerita tentang tiga pertemuannya dengan dua pegawai polis yang mengambil kenyataannya.

Laporan bertaip

Katanya, pada Julai 2008, kenyataannya diambil oleh ASP Rosmi Mat Derus daripada jabatan siasatan jenayah (CID) ibu pejabat polis daerah Brickfields.

Menurutnya, ASP Rosmi menulis kenyataannya, setebal kira-kira sembilan atau sepuluh halaman, dalam bahasa Malaysia dan membawa salinan yang telah ditaip pada minggu berikutnya untuk ditandatanganinya.

Dr Mohamed Osman mengakui bahawa beliau tidak memahami kebanyakan yang ditulis dalam kenyataan tersebut, kerana beliau tidak fasih berbahasa Malaysia.

Apabila ditunjukkan salinan kenyataan yang bertaip itu, beliau terpaksa membuat pindaan-pindaan dengan bantuan pegawai polis berkenaan.

Katanya, beliau bertanya mengapa nama Datuk Seri Anwar Ibrahim terdapat pada beberapa perenggan, sedangkan ia tidak pernah disebut sepanjang beliau memberi kenyataan.

Mohd Saiful juga, tambahnya, tidak pernah menyebut identiti seorang orang berpengaruh (VIP) yang didakwa melakukannya.

Katanya, ASP Rosmi memberitahunya bahawa Anwar adalah seorang suspek dalam siasatan polis.

Dr Mohamed Osman menjelaskan, beliau mengetahui Anwar terbabit dalam siasatan kes tersebut selepas membaca akhbar.

Menurut doktor itu lagi, seminggu kemudiannya, DSP Choo dari bahagian CID ibu pejabat polis daerah Dang Wangi juga mengambil kenyataannya.

Kes berprofil tinggi

Katanya, pegawai wanita berkenaan memintanya menceritakan semuanya sekali lagi, dan beliau menceritakan semua yang diketahuinya secara terperinci mengenai keseluruhan prosedur berkaitan dengan pemeriksaan yang dijalankan ke atas pesakit tersebut.

Menurutnya, mereka berbicara dalam bahasa Inggeris dan DSP Choo menulisnya dalam Bahasa Malaysia.

Kenyataan bertulis tersebut kemudiannya diterjemah kepadanya dalam bahasa Inggeris dan beliau kemudiannya diminta menandatangani empat hingga lima halaman.

Menurutnya lagi, di peringkat permulaannya, DSP Choo memberi tanggapan bahawa beliau akan didakwa jika enggan bekerjasama dengan pihak polis.

Katanya, siasatan polis yang berterusan dalam kes berprofil tinggi itu mengganggunya sehingga beliau bimbang dengan keselamatan dirinya dan keluarganya.

Kira-kira seminggu selepas pertemuan kali ketiga dengan pihak polis, beliau memohon untuk bercuti dan meninggalkan Malaysia bersama keluarganya.

Dr Mohamed Osman dijadual kembali semula bertugas di Hospital Pusrawi pada 1 Ogos - kebetulan pada hari beliau menandatangani akuan berkanunnya itu - tetapi tidak dapat dihubungi.

Semalam, Mstar Online memetik kenyataan pengarah Hospital Pusrawi, Dr Kamaruddin Ahmad yang menyebut Dr Mohamed Osman mungkin bimbang untuk kembali bertugas.