Monday, August 25, 2008

Mubahalah agar umat tidak berbalah

Sepatutnya kerja-kerja politik itu adalah urusan menguruskan negara dan rakyat agar hidup dalam keadaan mendapat hidayat dan sejahtera. Inilah juga tanggungjawab kekhalifahan manusia di atas muka bumi ini.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah: ayat 30).

“Khalifah itu bermaksud (segi bahasa) sesiapa yang menggantikan tempat pihak yang lain atau menjadi penggantinya. Yang dimaksudkan dengan khalifah dalam ayat ini adalah Adam a.s. kerana beliau merupakan khalifah Allah di bumi-Nya. Demikian sekalian nabi yang Allah utuskan mereka sebagai pengganti (khalifah) bagi memakmurkan bumi, menguruskan manusia, menyempurnakan keperluan mereka dan melaksanakan perintah Allah ke atas mereka” (lihat: Al-Baidawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Takwil, 1/64.)

Maka urusan kekhalifahan itu memegang amanah Allah dalam perancangan dan pembangunan bagi memakmurkan bumi ini berdasarkan syariat-Nya. Itu bukan hanya tugas Adam a.s seorang, sebaliknya anak cucunya wajib melaksanakan tanggungjawab yang sama. Firman Allah SWT menceritakan tentang nasihat Nabi Solih kepada kaumnya: (maksudnya): “Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Solih. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Tiada bagi kamu tuhan daripadanya. Dialah yang menjadikan kamu daripada (bahan-bahan) bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya”. (Surah Hud: ayat 61)

Maka inilah sepatutnya kerja orang politik. Memakmurkan bumi dengan menghidupkan ketenteraman dan keamanan dalam kehidupan manusia. Maka, amatlah malang melihat gelagat sesetengah ahli politik dalam negara kita yang kebanyakan mereka mengaku muslim tetapi seakan tidak memahami kerja kekhalifahan itu menghidupkan keamanan, bukan kekalutan.

Kerja politik yang sepatutnya menampilkan kepada rakyat idea-idea pengurusan negara demi keadilan dan kedamaian dalam kehidupan rakyat bertukar menjadi kerja selak-menyelak kain masing-masing di khalayak ramai atas nama politik. Cerita-cerita dalam kain mereka yang memalukan kita untuk menjelaskan kepada anak kecil jika hadir di samping kita mendengar berita-berita daripada media menjadi bahan politik mereka. Mereka memakmurkan urusan ‘kekhalifahan’ mereka dengan menjadikan cerita-cerita seperti itu sebagai modal menunjukkan ‘ketajaman’ idea politik ‘menghidupkan kekalutan dan kegusaran’ dalam kehidupan rakyat.

Benarlah dakwaan sesetengah pihak ‘politik itu saudara pembohongan’. Ramai yang menghantar SMS dan e-mel kepada saya menyatakan dukacita mereka yang amat sangat dengan cara politik pemimpin-pemimpin Melayu ini. Sehingga mereka yang dulunya saya kenali mempunyai minat yang tinggi terhadap politik, sama ada pembangkang atau kerajaan, telah bertukar menjadi muak dan bosan dengan ‘politik selak kain’ yang giat ditampilkan sekarang.

Dalam Islam, sepatutnya keaiban peribadi tidak dijadikan mainan atau berita utama yang ditebarkan secara luas dalam masyarakat yang sehingga nanti masyarakat terbiasa dengan akhlak-akhlak buruk lantas maruah orang menjadi taruhan atas kepentingan peribadi. Hanya apabila terpaksa sahaja, seperti kes di mahkamah baru keburukan itu didedahkan. Bukan memperjudikan maruah satu sama lain dalam perlumbaan kuasa.

Firman Allah: (maksudnya) “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa”. (Surah al-Nisa: ayat 148-149).

Soal maruah adalah besar dalam Islam. Bukan seperti Barat yang menjadikan maruah taruhan berita sensasi. Justeru, sekalipun Islam menjatuhkan hukuman sebat 100 rotan kepada penzina, Islam juga menetapkan syarat ketat terhadap yang menuduh orang lain berzina. Maka Islam menghukum penuduh tanpa cukup saksi dalam kes zina dengan 80 rotan. Ini kerana dia telah mempermainkan maruah orang lain. Juga Islam cuba menghalang sikap suka mendedahkan aib orang lain dalam perkara yang tidak cukup keterangan dan bukti.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan orang- orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4)

Namun, Islam tidak mewajibkan pula seseorang yang menuduh isterinya berzina agar mendatangkan empat orang saksi. Ini kerana tuduhan zina kepada isteri sendiri hanya mencalarkan maruah penuduh. Maka, agak sukar untuk seseorang itu menuduh isterinya secara bohong berzina. Juga amat berat untuk seseorang itu mendiamkan diri apabila mengetahui isterinya berzina. Ini kerana kedua-dua keadaan itu merobohkan maruah dan kehormatan dirinya. Jika orang lain yang berzina, mungkin dia mampu mendiamkan diri disebabkan kekurangan saksi. Tetapi sudah pasti tidak bagi kes isterinya.

Justeru Allah menyebut: (maksudnya) “Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar; Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): “bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia dari orang- orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa terhadap isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah dia (isteri) bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu benar-benar daripada orang-orang yang berdusta; - Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang- orang yang benar. (Surah al-Nur ayat 6-9).

Bab ini dinamakan dengan ‘li‘an’ atau penglaknatan. Inilah jalan yang Allah berikan kepada pasangan suami isteri yang tuduh-menuduh dalam perkara seperti ini. Selepas proses ini dilakukan, mereka dipisahkan selamanya, tanpa ada hukuman keseksaan mahkamah yang dijalankan, sebaliknya diserahkan urusan tersebut kepada Allah. Ini kerana, kes ini adalah kes mempalitkan keaiban diri sendiri.

Maka, mereka yang mendakwa diri dirogol atau diliwat juga adalah menampalkan keaiban ke atas diri sendiri. Amat sukar bagi insan normal itu membuat dakwaan seperti itu secara semberono. Melainkan jika ada kepentingan tersembunyi yang lain. Maka mereka juga tidak perlu mendatangkan empat saksi. Sebaliknya boleh diterima pakai kaitan (qarinah) yang membuktikan kejadian itu berlaku. Justeru, paksi dalam hal ini semua, ada demi memelihara keturunan dan maruah.

Jelas, isu-isu aib peribadi tidak patut dijadikan gelanggang permainan dalam masyarakat muslim sehingga setiap individu merasakan dirinya memiliki lesen besar untuk menuduh sesiapa sahaja yang dia mahu atau sesiapa sahaja yang dianggap musuhnya. Namun dalam masyarakat kita sehari dua ini nampaknya keadaan berlaku sebaliknya. Isu dalam kain individu-individu politik telah mencetuskan kegelisahan awam. Sehingga mewujudkan ketegangan, tuduh-menuduh dan maki-memaki yang seakan tiada kesudahannya. Jika dibiarkan, ketenteraman boleh tergadai disebabkan kerenah mereka.

Dalam al-Quran Allah mengajar mubahalah sebagai penyelesaian bagi perbalahan yang tidak diuruskan secara baik dan mengikut peraturan. Ini kerana ada pihak yang menunjukkan sikap keras kepala sehingga menimbulkan kekusutan. Mubahalah bermaksud mereka yang berbalah bertemu dan berdoa agar Allah menurunkan kelaknatan ke atas pendusta antara mereka.(lihat: Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab, 11/71). Disebut juga mulaa‘nah iaitu meminta agar Allah melaknati sesiapa yang berdusta atau bersalah di kalangan yang berselisihan dakwaan tersebut.

Ini seperti firman Allah kepada Nabi Muhammad SAW: (maksudnya) “Sesungguhnya bandingan (kejadian) Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka jadilah ia. Kebenaran itu datang daripada Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi di kalangan mereka yang ragu-ragu. Kemudian sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, isteri-isteri kami serta isteri-isteri kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”. (Surah Ali ‘Imran 59-61).

Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w pernah mencabar puak Kristian daripada Najran agar melakukan mubahalah ini dengan baginda tentang Nabi Isa dan kebenaran ajaran Islam, namun mereka takut dan enggan melakukannya. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H): “Mubahalah itu adalah sunnah bagi sesiapa yang keras kepala di kalangan puak kebatilan. Bahawa menjadi sunnah dalam berdebat dengan ahli kebatilan, apabila telah ditegakkan hujah namun mereka enggan kembali kepada kebenaran sebaliknya terus berdegil, maka diseru mereka agar bermubahalah. Allah telah memerintahkan rasul-Nya berbuat demikian. Tanpa Allah menyatakan ini bukan untuk umatmu selepas ini. Sepupu baginda Abd Allah bin ‘Abbas juga pernah mengajak mereka yang membantah dalam beberapa perkara furu’ bermubahalah dengannya. Tiada seorang sahabat Nabi SAW yang membantah tindakan itu. Juga al-Auza‘i pernah mengajak Sufyan al-Thauri bermubahalah dalam masalah ‘mengangkat tangan’ tanpa ada yang membantah tindakannya. Ini adalah hujah yang kuat” (Ibn Qayyim, Zad al-Ma‘ad 3/562-563).

Dalam mubahalah setiap orang akan memohon kelaknatan Allah ke atas dirinya jika dia berada di pihak yang salah. Ini seperti dalam kes tuduh menuduh dalam negara kita sekarang, maka satu pihak diminta menyebut: “Ya Allah! jika aku lakukan apa yang dituduh ke atasku, maka laknatilah aku”. Sementara pihak yang lain menyebut: “Ya Allah! jika dia tidak lakukan apa yang aku tuduh itu, maka laknatilah aku”. Selepas itu, kita semua tunggu hukuman dalam hal ini. Ramai ulama silam menyebut, biasanya Allah tidak akan menangguhkan hukuman melebihi setahun. Bahkan ramai dalam sejarah hanya beberapa bulan, atau hari.

Al-Imam al-Sakhawi (meninggal 902H) dalam bukunya al-Qaul al-Munbi ‘An Tarjamati Ibn ‘Arabi menceritakan bagaimana gurunya al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) bermubahalah dengan seorang pengikut Ibn ‘Arabi. Ibn ‘Arabi (bukan al-Imam Ibn al-‘Arabi) ada tokoh sufi sesat yang membawa fahaman wahdatul wujud iaitu penyatuan tuhan dengan manusia. Alirannya itu diikuti oleh banyak para pengikut tarekat sehingga ke hari ini.

Di Malaysia, antara pencintanya adalah juru kempen ajaran martabat tujuh. Pada zaman Ibn Hajar al-‘Asqalani, terdapat para pencinta Ibn ‘Arabi ini. Apabila al-Hafiz Ibn Hajar mempertikaikan Ibn ‘Arabi, mereka cuba mendapatkan campur tangan sultan ketika itu dan menuduh al-Hafiz Ibn Hajar menghina orang soleh. Sehingga akhirnya Ibn Hajar bermubahalah dengan syeikh mereka. Kata Ibn Hajar: Sebutlah “Ya Allah, jika Ibn ‘Arabi di atas kesesatan, maka laknatilah aku”. Lalu dia menyahutnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar pula menyebut: “Ya Allah, jika Ibn ‘Arabi berada atas petunjuk, maka laknatilah aku”. Lalu mereka bersurai. Mubahalah itu dalam bulan Ramadan. Pada bulan Zulqaedah, pengikut Ibn ‘Arabi itu menjadi buta lalu ditimpa kematian. Di zaman Harun al-Rasyid juga ada yang menerima hukuman Allah setelah bermubahalah. Al-Imam Muhammad bin Abdul Wahhab (tokoh yang dituduh membawa ajaran Wahhabi) pernah mencabar mereka yang menyanggahinya bermubahalah, namun penentangnya enggan.

Saya bukan inginkan agar Allah menurunkan bala kepada mereka yang tuduh- menuduh. Tetapi pertelingkahan mereka telah mengkucar-kacirkan umat dan negara, maka eloklah mereka bermubahalah agar orang ramai tidak lagi berbalah. Selepas bermubahalah, kita serahkan urusan ini kepada Allah. Dialah Yang Maha Mengetahui mengenai hal hamba-hambanya itu. Jika mereka tidak bersalah, apa yang hendak ditakuti? Orang politik rela belanja berjuta-juta untuk menceriakan imejnya. Mubahalah tidak perlu wang atau modal, namun dapat mengembalikan keyakinan dan menghapuskan prasangka yang telah ditaburkan dalam masyarakat.

'Tiada paksaan mubahalah'

Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my

Gesaan individu lakukan sumpah laknat tidak tepat: Mufti

KANGAR: Tidak ada paksaan dalam melakukan mubahalah kerana ia membabitkan sumpah laknat secara sukarela, kata Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Justeru, Mohd Asri berkata, tindakan menggesa mana-mana pihak untuk melakukan sumpah laknat, termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan liwat yang dihadapinya adalah tidak bertepatan.



Beliau berkata, proses mubahalah berhubung dakwaan liwat sudah bermula apabila bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan melafazkan sumpah laknat, Jumaat lalu.

"Bagaimanapun, proses mubahalah antara mereka masih belum sempurna, sehinggalah pihak kedua iaitu Anwar turut melakukan sumpah laknat terhadap dakwaan yang dilemparkan.

"Apa pun, dalam melakukan perbuatan sumpah laknat ini, tidak boleh ada paksaan dan ia bergantung kepada diri individu sendiri.

"Malah, pada pandangan saya, Mohd Saiful juga tidak perlu menyatakan sumpah laknat buat kali kedua untuk membetulkan kaedah digunakan. Jika ada pihak yang mempertikaikannya, mereka boleh menyatakan cara yang betul untuk bersumpah," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Jumaat lalu, Mohd Saiful, 23, yang ditemani bapanya, Azlan Mohd Lazim, melafazkan sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dengan disaksikan Imam Ramlang Porigi, bahawa dia diliwat Anwar.

Bagaimanapun, tindakannya dipertikai beberapa pihak terutama pemimpin parti pembangkang yang tidak bersetuju dengan cara Mohd Saiful mengangkat sumpah, terutama memegang al-Quran kerana dianggap mempunyai persamaan dengan ajaran Kristian.

Mohd Asri ketika diminta mengulas mengenainya berkata, lafaz sumpah laknat dibuat Mohd Saiful, Jumaat lalu, adalah sah mengikut ajaran Islam kerana ia disertai lafaz Wallahi, Wabillahi dan Watallahi.

Bagaimanapun, katanya, kaedah digunakan ketika lafaz itu terutama tindakannya memegang al-Quran dan berada dalam masjid tidak perlu dilakukan dan dianggap kepercayaan yang salah.

"Saya setuju perbuatan memegang al-Quran dan berada dalam masjid ketika mengangkat sumpah laknat menyamai ajaran Kristian.

"Perbuatan sumpah yang dibuat ini bukan untuk menentukan siapa bersalah atau tidak, tetapi lebih mengelak prasangka buruk dan tuduh menuduh," katanya.

Akibat tak sahut sumpah

PERISTIWA mubahalah atau sumpah laknat yang berlaku baru-baru ini adalah sesuatu yang baru kepada umat Islam di Malaysia. Menurut tokoh agama, Prof. Madya Dr. Mohd. Radzi Othman, beliau tidak pernah mendengar sumpah laknat dilakukan di negara ini.

Dalam temu bual dengan wartawan ZULKEFLI HAMZAH, AZMAN ANUAR dan ROKIAH ABDULLAH di pejabatnya di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang Jumaat lalu, Dr. Mohd. Radzi menghuraikan secara terperinci mengenai mubahalah.

Pensyarah Jabatan Pengajian Islam itu telah 23 tahun berkhidmat di USM selepas memperoleh ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah kedoktoran dari Universiti Madinah, Arab Saudi. Beliau merupakan pakar bidang hadis, dakwah dan usuluddin.

Berusia 57 tahun, Dr. Mohd. Radzi pernah menjadi ahli Majlis Fatwa Pulau Pinang selama 11 tahun. Sejak 23 tahun lalu, beliau ialah ahli Majlis Fatwa Perlis selain menjadi penasihat syariah Bank Rakyat.

Beliau juga menulis buku dalam bahasa Arab mengenai sejarah sahabat Nabi dan gerakan pembaharuan dalam Islam.

Dalam temu bual selama lebih satu jam itu, Dr. Mohd. Radzi menyifatkan sumpah laknat sebagai perkara serius kerana ia melibatkan maruah seseorang penganut Islam dan ia boleh membawa kepada pelbagai reaksi daripada masyarakat yang pelbagai pengetahuan dan latar belakang.

Katanya: “Tanggapan yang diberi pula datang dalam pelbagai bentuk. Saya khuatir perkara ini boleh membawa kekeliruan, perpecahan dan kekecohan kepada umat Islam. Penyelesaian secara mubahalah sesuatu yang jarang berlaku. Ia satu sejarah pada umat Islam di Malaysia.”

MINGGUAN: Apakah kedudukan sumpah dalam Islam dan adakah sumpah pernah menjadi isu besar dalam sejarah Islam?

DR. MOHD. RADZI: Mengikut sejarah Islam, sumpah secara umumnya adalah perkara biasa. Sumpah boleh berlaku pada bila-bila masa, sama ada dalam mahkamah kalau kes dibawa ke mahkamah atau jika diminta bersumpah ataupun dibuat di luar mahkamah sesama orang Islam. Sumpah dibuat bertujuan mendapat kepastian yang lebih tinggi tentang kebenaran sesuatu dakwaan. Jika seseorang itu mendakwa sesuatu yang kita tidak pasti, kita boleh memintanya bersumpah. Jika orang tidak meminta kita bersumpah sekali pun, jika kita rasa maklumat yang kita beri tidak dapat diterima dengan baik, kita boleh bersumpah. Ini sumpahan biasa.

Sumpahan adalah sesuatu yang dibuat secara bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan, menguatkan dan menyokong kenyataan-kenyataan kita supaya kebenaran dapat diterima oleh pihak kedua


Sumpah ini ada kategori tertentu atau hanya bagi menentukan kebenaran kes-kes jenayah?

DR. MOHD. RADZI: Tidak hanya dalam kes jenayah, dalam isu pertikaian harta benda pun boleh bersumpah. Sumpah juga boleh dibuat untuk menentukan kebenaran kes-kes peribadi.

Bagaimanakah cara bersumpah yang sah dan betul?

DR. MOHD RADZI: Bersumpah dengan menyebut nama Allah. Waallahi, Wabillahi dan Wataallahi. Ini lafaz-lafaz sumpah. Lafaz ini hanya digunakan pada perkara-perkara untuk mengukuhkan kebenaran dan dakwaan supaya pihak kedua boleh menerimanya.


Sumpah laknat yang berlaku baru-baru ini, apakah kedududkannya dalam Islam?

DR. MOHD. RADZI: Sumpah yang semacam itu dikenali sebagai mubahalah iaitu bermakna saling melaknat sesiapa yang berbohong antara kedua-dua belah pihak, termasuk orang yang bersumpah. Sumpah laknat melibatkan orang yang bersumpah itu sendiri. Andai kata apa yang disumpah tidak betul, sesuatu yang batil, ertinya orang yang bersumpah juga termasuk dalam mereka yang dilaknat dalam sumpahan itu. Tapi perkara ini jarang berlaku.


Sumpah laknat disebut dalam al-Quran?

DR. MOHD. RADZI: Dalam Surah al-Imran Ayat 61 Allah berfirman yang bermaksud: “Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan ) kamu, maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan- perempuan kamu, dan diri kami serta diri kami, kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang yang berdusta.

Latar belakang turunnya ayat itu ialah ada satu kabilah Nasara, Bani Najran, di selatan Semenanjung Tanah Arab bertemu Nabi Muhammad. Mereka ingin mendapatkan perlindungan keselamatan daripada negara Islam melalui Nabi Muhammad. Nabi Muhammad meminta mereka membayar jizyah. Dalam pertemuan itu, mereka enggan membayar jizyah sebaliknya mereka mencabar untuk bermubahalah.

Tetapi akhirnya mubahalah tidak berlaku kerana kabilah Nasara bersetuju membayar jizyah tanpa melakukan sumpah mubahalah. Orang Nasara itu takut melakukan mubahalah kerana merasakan Nabi Muhammad berada di pihak yang betul manakala mereka tidak betul. Hasilnya mereka terpaksa menanggung akibat buruk. Akibat itu bukan sahaja menimpa mereka tetapi turut dilaknat sehingga ke anak cucu. Justeru, kabilah Nasara membuat keputusan untuk menerima sahaja permintaan Nabi.

Akibat buruk dalam sumpah mubahalah, adakah ia memang janji Tuhan atau hanya sumpah manusia?

DR. MOHD. RADZI: Ia memang janji Tuhan. Melalui Ayat 61 Surah al-Imran itu juga pada perenggan yang terakhir, dinyatakan “kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang yang berdusta.”

Apabila kita bermubahalah, Allah akan memberi balasan buruk kepada mereka yang berdusta. Apabila kedua-dua belah pihak bermubahalah, mesti ada salah satunya benar dan salah satunya tidak benar. Melalui ayat itu, Allah menjanjikan balasan buruk kepada pihak yang tidak benar.


Balasan buruk yang Tuhan janjikan itu, adakah kita boleh melihatnya?

DR. MOHD. RADZI: Daripada kes-kes sumpah yang berlaku, ulama-ulama hadis ada merakamkan beberapa kes. Kata Ibn Hajjar, akibatnya tidak melebihi tempoh satu tahun. Tidak melebihi tempoh dua bulan pun ada. Namun di kalangan pengikut Ahli Sunah Wal Jamaah, mubahalah dilafazkan hanya pada kes-kes yang serius dan pada kes-kes yang besar sahaja. Itu pun selepas dirujuk dengan pelbagai cara lain yang perlu diusahakan untuk menyelesaikan perbalahan dua pihak tadi. Jika ia masih tidak selesai, akhirnya barulah dirujuk kepada cara mubahalah.

Dalam sejarah Syiah, pengikut Syiah banyak merujuk kepada cara mubahalah. Mereka memang lebih suka cara mubahalah.


Bolehkah diberikan contoh-contoh mubahalah yang dilakukan oleh orang Syiah?

DR. MOHD. RADZI: Berdasarkan satu catatan dalam laman web Syiah, terdapat beberapa kes mubahalah yang berlaku pada zaman Jaafar al-Sadiq. Orang Syiah bermubahalah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku pada waktu itu. Ketika itu mereka melakukan mubahalah dengan meletakkan jari-jari kedua belah tangan secara berselang seli antara satu sama lain dan kemudian berkata, “Ya Allah, andai kata si polan ini engkar kebenaran dan menerima kebatilan, maka kenakanlah dia dengan balasan daripada langit atau azab daripada engkau, ya Allah, dan melaknatnya sebanyak 70 kali.”

Mubahalah itu dilakukan pada waktu subuh iaitu ketika antara naik fajar hingga naik matahari. Orang Syiah memang biasa dan kerap bermubahalah. Cuma bagi kita pengikut Ahli Sunah Wal Jamaah, mubahalah jarang-jarang berlaku. Apabila wujud kes-kes pertelingkahan yang tidak dapat diselesaikan dengan cara lain, baru mubahalah digunakan. Sumpah itu jarang digunakan kerana ia mengakibatkan perkara buruk yang boleh menimpa pihak-pihak yang berkenaan.


Adakah pernah berlaku kes mubahalah dalam sejarah masyarakat Islam di Malaysia?

DR. MOHD. RADZI: Sepanjang pengetahuan saya, saya tidak pernah dengar ia berlaku di Malaysia.


Sumpah laknat atau mubahalah yang dilakukan pada 15 Ogos lalu, apakah balasan-balasan yang boleh berlaku?

DR. MOHD. RADZI: Hanya Allah yang tahu. Antara yang mungkin boleh berlaku seperti kematian secara mengejut atau sakit berpanjangan atau lain-lain. Sumpah biasa sekalipun, kalau tidak benar, ia sudah merupakan satu dosa besar dan orang yang berdusta perlu bertaubat. Mubahalah tentunya lebih serius kerana ia bermaksud laknat Tuhan iaitu dijauhkan daripada rahmat Tuhan. Jadi bila kita dijauhkan daripada rahmat Tuhan, rahmat siapa lagi yang kita harapkan? Dalam mubahalah, kita dijanjikan dengan balasan laknat. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk iaitu laknat Allah, laknat Nabi dan laknat para mukminin. Maknanya sumpah itu meminta pihak yang berkenaan dijauhkan daripada rahmat Tuhan.

Manusia dinaungi rahmat Tuhan dan Tuhan memberikan rahmat kepada sesiapa yang dikehendakinya, tidak kira Islam dan bukan Islam. Dalam sumpah laknat, rahmat itu akan dijauhi daripada orang yang berdusta.


Adakah sumpah mubahalah ini sama dengan hukum li‘an yang dinyatakan dalam Ayat 6-10 Surah An Nur?

DR. MOHD. RADZI: Li‘an hanya boleh berlaku di antara suami isteri sahaja iaitu seseorang suami yang bersumpah untuk tidak mendekati isterinya dalam tempoh tertentu manakala mubahalah pula memang ada unsur sumpahan dan ia boleh berlaku di kalangan suami isteri atau sesiapa sahaja.


Apakah cara bermubahalah yang paling tepat?

DR. MOHD. RADZI: Mubahalah tidak tertakluk kepada banyak syarat kerana dalam nas-nas syarak tidak dinyatakan dengan jelas syarat-syarat yang diperlukan. Cuma mubahalah ini boleh dilakukan ekoran daripada perbalahan yang tidak dapat diselesaikan dengan cara biasa melalui perbincangan dan persefahaman. Caranya boleh berlaku di mahkamah di depan hakim jika kes dibawa ke mahkamah. Ia juga boleh dilakukan di luar mahkamah bahkan di mana-mana sahaja. Pada zaman Abdullah Ibn Abbas Al-Auzar dan Syuraih Al-Qa‘di, mubahalah pernah berlaku di dalam masjid dan di luar masjid selepas kesepakatan kedua-dua pihak untuk sama-sama merujuk kepada pendekatan mubahalah untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.


Apakah syarat-syarat khusus mubahalah?

DR. MOHD. RADZI: Apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk bermubahalah maka pihak yang berkenaan perlu bersumpah dengan lafaz Waallahi, Wabillahi dan Wataallahi dan kemudian terus menyebut masalah yang dimaksudkan dan pada akhirnya dengan menyatakan laknat Allah kepada mereka yang berdusta atau laknat Allah terhadap dia yang bersumpah andai kata dia berdusta.


Adakah ada syarat-syarat tertentu yang lain?

DR. MOHD. RADZI: Tidak ada syarat tertentu, tapi ketika Nabi Muhammad mahu bermubahalah dengan kabilah Nasara, Bani Najran, baginda membawa anaknya, Siti Khadijah, menantunya Saidina Ali serta cucunya Hasan dan Husin sebagai saksi.

Bagaimanapun, kes pada zaman Rasulullah itu tidak berakhir dengan mubahalah. Ketika mubahalah, kedua-dua pihak boleh hadir secara bersama ataupun satu pihak sahaja manakala pihak yang lagi satu yang melakukan mubahalah secara berasingan juga dianggap mubahalah.


Dalam sesuatu isu yang dipertikaikan, kalau satu pihak sahaja bersumpah laknat manakala pihak yang dituduh tidak mahu bersumpah, apakah kedudukan mubahalah itu?

DR. MOHD. RADZI: Dalam kes sebegitu di mana ada pihak yang engkar iaitu tidak mahu bersumpah, kebenaran memihak kepada pihak yang bersumpah.


Kalau kedua-dua yang menuduh dan dituduh bersumpah laknat, apa pula kedudukannya?

DR. MOHD. RADZI: Dalam kes sumpah laknat, kita akan dapat lihat petanda-petanda awal yang boleh membawa kepada kebatilan. Sumber-sumber agama tidak menyebut secara jelas tentang petanda-petanda yang berkenaan kerana perkara seumpama itu jarang berlaku di kalangan kita pengikut Ahli Sunah Wal Jamaah dan ia tidak diperbesar-besarkan. Bagaimanapun, ulama-ulama Syiah mencatatkan bahawa tidak lama selepas mubahalah berlaku kejadian seperti orang yang berdusta tidak boleh bercakap, cakapnya tidak lancar, tergamam, terjatuh dan bermacam-macam lagi. Sejauh mana kebenarannya tidak pula diketahui.

Apa yang penting ialah pihak berkenaan telah bersumpah dan yang kedua pula menyahut cabaran itu dengan bersumpah, jadi kita tengoklah di antara kedua belah pihak itu apa yang akan berlaku. Ulama Ibn Hajar Al Salam as Qualani pernah berkata, pada pengetahuannya, akibat sumpah akan dapat dilihat tidak lebih daripada satu tahun.


Bagaimana pula jika kes yang dipertikaikan itu dibawa ke mahkamah?

DR. MOHD. RADZI: Bagi kes yang dibawa ke mahkamah, mubahalah boleh berlaku di mahkamah andai kata pihak mahkamah merasakan pihak yang terbabit perlu bermuhabalah. Tujuan mubahalah adalah untuk mencari kebenaran. Antara dua pihak yang terlibat, walau apa pun yang diperkatakan, mereka sudah tentu lebih mengetahui perkara sebenar daripada mana-mana pihak yang lain. Kekeliruan mungkin berlaku apabila salah seorang enggan bercakap benar, menyebabkan pihak yang merasakan dia berada di pihak yang benar inginkan pembelaan. Maka mubahalah menjadi jalan penyelesaian yang terbaik.


Adakah mubahalah adalah sebahagian daripada hukum Islam?

DR. MOHD. RADZI: Mubahalah adalah sebahagian daripada hukum hakam Islam untuk menyelesaikan masalah yang berlaku bukan sahaja untuk Islam sesama Islam tetapi juga antara orang Islam dan pihak bukan Islam. Ia boleh dibuat dalam mahkamah dan boleh juga di luar mahkamah bergantung kepada persetujuan antara kedua belah.


Dalam mubahalah yang baru berlaku, timbul isu mubahalah telah dieksploitasi oleh pihak lain?

DR. MOHD. RADZI: Isu dieksplotasi, itu perkara lain. Yang penting, mubahalah adalah untuk menyelesaikan masalah.


Dalam satu kes mubahalah pada 15 Ogos lalu, timbul persoalan kononnya cara orang yang bersumpah laknat memegang al-Quran macam perbuatan orang Kristian. Apakah haram memegang al-Quran ketika bersumpah?

DR. MOHD. RADZI: Memang dalam kes mubahalah atau sumpah biasa tidak diperlukan memegang al-Quran atau junjung al-Quran ketika bersumpah atau bermubahalah. Akan tetapi jika ada yang berbuat demikian tak adalah boleh disamakan dengan amalan orang Kristian.Bersumpah atau bermuhabalah mengikut hukum syarak, seseorang yang bersumpah hanya bersumpah dengan nama Allah tidak boleh selain daripada Allah. Begitu juga mubahalah, hanya bersumpah dengan nama Allah dan juga melaknat pihak yang berdusta.


Apakah cara sumpah laknat yang betul?

DR. MOHD. RADZI: Cukup dengan hanya lafaz sumpah Waallahi, Wabillahi dan Watallahi dan ditambah pengakuan ‘Aku melakukan perbuatan atau aku tidak melakukan perbuatan yang dituduh itu’. Itu sudah cukup.

Dalam kes mubahalah, seseorang kena tambah ungkapan laknat Allah terhadap orang yang berdusta termasuk dirinya yang bersumpah andai kata dia berdusta.

Didik masyarakat fahami mubahalah

Apakah nasihat ustaz terhadap umat Islam yang mungkin keliru berikutan peristiwa sumpah yang berlaku minggu lepas?

DR. MOHD. RADZI: Saya rasa dalam kes semacam ini, ia boleh diselesaikan dengan cara berbincang antara kedua-dua belah pihak. Secara langsung atau tidak langsung supaya dapat dibendung lebih awal dan tidak mengaibkan mana-mana pihak. Ini yang paling baik dan paling cepat dalam menyelesaikan masalah itu. Ataupun dengan cara melantik wakil daripada kedua-dua pihak andai kata tidak boleh bersemuka kerana perbalahan itu telah membawa kemarahan dan perasaan tidak terkawal. Mereka boleh melantik pihak ketiga untuk menyelesaikannya di luar mahkamah.

Jika tidak, ia boleh dirujuk kepada mahkamah khususnya Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan kes-kes yang boleh diselesaikan di mahkamah mengikut budi bicara dan kebijaksanaan hakim.

Mubahalah hanya merupakan cara terakhir. Barangkali ia dibuat apabila sudah tidak ada pilihan lain. Umumnya kita umat Islam dikehendaki sentiasa dalam keadaan berpadu tenaga, bersatu padu dan tidak membiarkan perbalahan kecil membawa kepada perpecahan umat. Jadi dalam kes-kes yang berlaku, cubalah selesaikan dan bendung sedaya yang boleh. Tambahan pula dalam kes-kes peribadi dan sulit.

Apatah lagi kita hidup dalam negara yang mempunyai kepelbagaian agama dan bangsa. Dalam dunia moden ini, melalui Internet, semua perkara dalam tempoh masa singkat boleh tersebar ke seluruh dunia. Jadi kes semacam ini elok dibendung lebih awal.

Adakah ustaz fikir apa yang berlaku itu telah memalukan umat Islam?

DR. MOHD. RADZI: Saya rasa sedikit sebanyak ia menjejaskan maruah kita umat Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara. Umat Islam secara keseluruhannya berasa tersentuh hati dengan kes seperti ini. Sebab seolah-olah kita menjadikan media massa sebagai hakim, sebagai mahkamah. Atas kesilapan yang kecil terus diperbesar-besarkan khususnya melalui media elektronik sehingga dunia tahu.

Padahal kes seperti ini elok disalurkan melalui saluran yang sedia ada seperti mahkamah. Mahkamah merupakan institusi yang diberi tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah umat manakala para hakim pula akan menggunakan kebijaksanaan mereka untuk melaksanakan amanah yang diberikan.

Ketika ini mubahalah tidak termasuk dalam undang-undang syariah di Malaysia. Adakah kerajaan patut menjadikan mubahalah sebahagian daripada perundangan syariah kita?

DR. MOHD. RADZI: Saya rasa elok kita dari semasa ke semasa membuat semakan terhadap keperluan perundangan yang sedia ada berdasarkan kes-kes yang berlaku. Di mana terdapat keperluan mengemaskinikan atau ditokok tambah bahkan diperbaiki atau diubah suai gaya bahasa dan ayat yang lebih mantap dan jelas.

Respons masyarakat Malaysia mengenai muhabalah menunjukkan mereka berpecah kepada beberapa kumpulan. Apakah nasihat ustaz kepada masyarakat Islam.

DR. MOHD. RADZI: Secara umumnya banyak orang Islam terkejut bila penyelesaian secara mubahalah disebut oleh Mufti Perlis. Tetapi mereka yang berpengetahuan tentang hukum-hakam syarak sepatutnya tidak terkejut. Memang dalam pengajian syariah, perkara ini ada dan dinyatakan secara jelas oleh al-Quran melalui Ayat 61 Surah al-Imran.

Kita mengetahui tentang lafaz sumpah laknat yang dibuat di masjid baru-baru ini. Adakah ia tidak boleh dilakukan di masjid?

DR. MOHD. RADZI: Cara lafaz mubahalah itu betul. Tempat bermubahalah tidak dihadkan kepada tempat tertentu. Tidak semestinya masjid. Cuma bersumpah pegang al-Quran tidak diperlukan.

Saya fikir, kita semua tahu al-Quran ialah kitab suci. Apabila seseorang terdesak untuk mendapat kekuatan, dia akan bersandar pada apa saja. Masjid ialah tempat ibadah. Orang yang terdesak untuk menegaskan apa yang dikatakannya benar akan pilih apa yang ada di depannya untuk membolehkan percakapannya diterima.

Mengenai sumpah, kita kena bersumpah dengan nama Tuhan sahaja. Dalam amalan sumpah ini ada unsur mengagungkan Tuhan. Jadi kita hanya boleh bersumpah kepada Allah. Untuk menyelesaikan masalah, manusia berada dalam keadaan lemah disebabkan dakwaannya terhadap sesuatu tidak diendahkan, dalam keadaan seperti itulah manusia akan bersandar kepada Tuhan untuk dapatkan kekuatan.

Perbuatan mereka yang bersumpah selain nama Tuhan membawa kepada syirik iaitu menyekutukan Allah.

Isu mubahalah menggambarkan umat Islam berpecah belah. Apa pandangan ustaz?

DR. MOHD. RADZI: Sumpah laknat ini perkara serius kerana ia melibatkan maruah seseorang Islam dan ia boleh membawa kepada pelbagai reaksi daripada masyarakat yang pelbagai pengetahuan dan latar belakang manakala tanggapan yang diberi pula datang dalam pelbagai bentuk. Saya khuatir perkara ini boleh membawa kekeliruan, perpecahan dan kekecohan kepada umat Islam. Penyelesaian secara mubahalah sesuatu yang jarang berlaku. Ia satu sejarah pada umat Islam di Malaysia.

Kesan mubahalah ini kepada umat Islam?

DR. MOHD. RADZI: Saya fikir, kita boleh melihatnya dari pelbagai aspek. Pertama, dari segi kebaikannya, umat Islam menjadi lebih berminat untuk mengetahui mengenai mubahalah. Bukan setakat ingin mengetahui tetapi ingin menghayatinya dalam kehidupan dan ingin melihat sesuatu masalah itu dapat diselesaikan dengan cara mubahalah yang betul. Kedua, keburukannya pula, sebahagian umat Islam tidak tahu langsung apa yang dimaksudkan dengan mubahalah.

Mereka juga tidak tahu tentang perkara ini dan membuat tafsiran sendiri yang mengelirukan. Memandangkan mubahalah sudah berlaku, orang yang berpengetahuan kena tampil ke hadapan mendidik masyarakat supaya mereka tidak berpecah belah dan dapat pengetahuan mengenainya dengan lebih jelas.

Apakah nasihat ustaz kepada umat Islam di Malaysia sekarang?

DR. MOHD. RADZI: Dalam menyelesaikan perkara seumpama ini, ia tidak perlulah sampai ke mahkamah. Kita selesaikanlah dengan cara baik. Apabila kita bergaduh, kita boleh berdamai. Berdamai ini banyak kebaikannya. Tapi memandangkan kes ini telah sampai ke mahkamah, jadi kita rujuk kepada mahkamah supaya dapat penyelesaian yang muktamad.

Sekarang kita perlu berusaha mencari jalan bagaimana memulihkan maruah Islam yang mungkin terjejas ekoran peristiwa-peristiwa ini. Untuk masa akan datang, kita kena perbaiki kelemahan. Kita kena belajar dan mengambil pengajaran atas apa yang telah terjadi.

Wednesday, August 13, 2008

Pendedahan komplot politik Umno di sebalik tuduhan terhadap Anwar

Harakahdaily.


Mohd Rashidi Hassan
Tue | Aug 12, 08 | 5:14:35 pm MYT
Dato' Seri Anwar Ibrahim mengulangi beberapa kali peringatan terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang didakwanya secara cuai terbabit dalam konspirasi mengenakan tuduhan liwat ke atas beliau. Iklan


Kata Anwar, PM secara cuai melibatkan dirinya dengan kes ini, dalam usaha untuk menggagalkan sebarang proses perubahan di Malaysia dan untuk menghindari kejatuhan karier politik beliau.

"Saya menasihati mereka di sekeliling beliau untuk menjauhi bahtera kepimpinan beliau yang bakal tenggelam itu selagi mereka mempunyai peluang," ujarnya.

Sebelum ini Ketua Umum KeADILan itu sering mengelak untuk bertembung dengan PM. Kelihatan jelas beliau hanya menumpukan serangan ke atas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang didakwanya terbabit dalam pelbagai kes berkaitan rasuah.

Sehingga timbul suatu persepsi di kalangan rakyat, bahawa seolah-olahnya tercetusnya konflik peribadi Anwar-Najib. Anwar menuduh Najib terbabit dalam kes Altantuya Shaariibuu, manakala Najib mengaitkan Anwar dengan kes liwat Saiful Bukhari Azlan.

Mengapa berlaku sebaliknya? Anwar kini dengan nada yang tegas memberikan peringatan seumpama itu terhadap Abdullah?

Ada sumber mendakwa sewaktu kes pertama yang mendakwa Anwar dituduh meliwat Azizan Abu Bakar, pemandu isterinya, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Abdullah adalah antara yang disebut-sebut terbabit.

Ketika itu, selain Tun Dr Mahathir Mohamad, antara yang didakwa terbabit sebagai konspirator utama yang terbabit dalam 'mengenakan' Anwar adalah Tun Daim Zainuddin, Dato' Aziz Shamsuddin, Dato' Tengku Adnan Tengku Mansor, Dato' Megat Junid Megat Ayob, Dato' Seri Sanusi Junid dan beberapa orang lain.

Sewaktu Mahathir memecat Anwar sebagai TPM dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998, Abdullah ketika itu menjadi Menteri Luar yang berada di Amerika Syarikat.

Selepas Mahathir memecat Anwar, Abdullah adalah antara individu yang pertama membuat kenyataan dari luar negara, menyokong pemecatan Anwar.

Sehingga ada yang sumber yang mengatakan, Mahathir melantik Abdullah menjadi penggantinya, 'sebagai hadiah' daripada kesetiaan yang tidak berbelah bahaginya kepada Mahathir, khususnya dalam kes Anwar.

Pada ketika itu, walaupun Najib menjadi Naib Presiden yang paling kanan, namun beliau tidak dilantik. Barangkali bukan kerana beliau lebih muda daripada Abdullah, tetapi Najib kelihatannya lebih berhati-hati untuk 'mengiyakan' serangan Mahathir terhadap Anwar berbanding Abdullah.

Justeru ada yang berpendapat, Abdullah Badawi sejak awal-awal lagi (sejak sebelum 1998) sudah 'establish' dengan grup yang mempercayai Anwar terbabit dengan salahlaku liwat.

Maka tidak hairan kali ini, ada yang mendakwa beliau terbabit dalam 'second accusation' terhadap Anwar.

Apakah Abdullah benar-benar terbabit, terserah kepada pihak berkenaan membuktikannya.

Apakah Abdullah sahaja yang terbabit? Apakah mungkin menantunya Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas orang kanan Anwar, Mohamed Ezam Md Nor turut menjadi pelakon utama sandiwara terbaru ini?

Cara pembikinan dakwaan pertuduhan liwat ke atas Anwar

Menurut sumber beberapa bulan sebelum pilihan raya umum, dalam satu mesyuarat Gerak, pengerusinya Ezam ada membayangkan bahawa bekas bosnya, Anwar Ibrahim akan terbabit dengan satu lagi kes liwat.

"Waktu itu Ezam membayangkan nama lain (enggan disebut) sebagai pelakon utama yang akan terbabit dengan Anwar, tetapi alih-alih nama Saiful pula timbul.

"Watak-watak dan nama yang disebutkan Ezam waktu itu berbeza dengan watak yang berlaku, tetapi jalan cerita atau plot dramanya sama," kata sumber berkenaan.

Persoalannya bagaimana nama Saiful boleh timbul dalam kes ini. Menurut cerita kawan-kawan yang bertugas di pejabat Anwar, sejurus sebelum pilihan raya Saiful dibawa bertugas di pejabat tersebut oleh seorang bekas staf yang bernama Rahimi.

Rahimi dikenali amat rapat dengan Ezam. Pada waktu itu Ezam sudah lama keluar daripada KeADILan dan sering membuat berbagai kenyataan mengkritik KeADILan dan Anwar sendiri.

Namun, semua mereka menerima kehadiran Saiful dengan sangka baik, dalam keadaan Anwar kekurangan staf kerana kesibukan masing-masing berhadapan dengan pilihan raya umum.

Maka, bermula sebagai tugasan sukarelawan, sebagai 'pembancuh kopi' sehingga kepada tugasan mencatat beberapa perundingan dan perbincangan Anwar dengan pihak-pihak tertentu, Saiful turut terbabit.

Namun, apabila timbul kes yang didakwa Saiful bahawa beliau diliwat Anwar. Semua staf-staf Anwar terkejut dengan dakwaan beliau.

"Sehari sebelum Saiful hilang (difahamkan tiga hari sebelum membuat laporan polis), beliau berbual-bual dengan kami tanpa menunjukkan sebarang apa-apa yang pelik berlaku.

"Beliau menyapa kami, siap dengan senyuman lagi, tetapi apabila tuduhan ini dibuat ke atas bos (Anwar), kami amat terkejut," kata seorang staf Anwar.

Ada sumber yang rapat memberitahu Saiful dibawa untuk mendapatkan 'rawatan akibat diliwat' ke Pusrawi oleh Rahimi dan seorang rakan Ezam (namanya akan didedahkan kemudian).

Mereka juga dikatakan membawa Saiful ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas gagal mendapatkan 'laporan yang memuaskan'.

"Yang sahihnya Saiful berjumpa dengan Ezam, sehari sebelum Saiful membuat laporan polis ke atas Anwar. Rakan-rakan lain juga ada, mereka tidak dibenarkan menyertai perbincangan empat mata antara Ezam dengan Saiful," dakwa satu sumber lain.

Daripada keterangan-keterangan yang diperolehi secara berasingan melalui staf Anwar dan rakan-rakan dalam KeADILan, dapat digambarkan secara jelas bahawa, kemungkinan Ezam terbabit dalam komplot bagi merencanakan pertuduhan ke atas Anwar amat besar.

Jadi bagaimana pula Abdullah dan Khairy turut dibabitkan sama dan adakah Najib benar-benar terbabit dalam komplot ini.

Peranan Ezam-Khairy untuk mengenakan Najib?

Umum mengetahui Ezam memasuki Umno melalui Khairy dan berkawan rapat dengan kroni utama Khairy, Dato' Norza Zakaria yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Kemasukan dalam Umno Ezam tidak ada kena mengena dengan Najib. Tetapi mengapa Najib terheret dalam kes ini?

Jika Ezam memasuk Umno melalui Khairy dan menghantar borang terus kepada Abdullah di Parlimen, mengapa pula dalam kes Saiful ini, Ezam menyuruh Saiful menemui Najib?

Daripada 'appointment' yang disetkan oleh Ezam untuk Saiful berjumpa Najib. Najib mendengar aduan Saiful. Melalui kenyataannya Najib mengakui bahawa Saiful ada berjumpa dengannya.

Persoalannya mengapa Saiful tidak dibawa Ezam untuk mengadu terus kepada Abdullah? Atau siapakah yang menyuruh Ezam mendapatkan 'appointment' dengan Najib? Apakah dalam plot ini, Khairy turut terbabit untuk 'mengenakan' Najib?

Hasil daripada 'appointment' yang disetkan Ezam tersebut, Najib tersepit dan dibelasah kiri dan kanan oleh Anwar dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Ada kawan-kawan media yang rapat dengan orang-orang Umno berkata, jika Najib tidak menemui Saiful (dalam 'appointment' yang disetkan oleh Ezam), Najib boleh 'mencuci tangan' dan beliau tidak perlu hendak 'pening kepala' dengan tekanan Anwar.

Dan, jika Khairy terbabit dalam kes ini, plot drama menjadi lebih besar. Ianya bukan sekadar pertuduhan liwat ke atas Anwar, malah ianya mengheret kepada 'game' pemilihan dalam pucuk pimpinan Umno menjelang Disember depan.

Semua plot-plot cerita ini menggambarkan wujud 'permainan' besar politik. Dan apabila Ezam yang memulakan langkah ini, apakah tidak mustahil ada 'tangan-tangan' utama yang mencatur 'permainan' ini.

Bagi orang-orang Umno, mereka mengesyaki 'tangan' utama yang memainkan peranan untuk mempertahankan kedudukan Abdullah, 'menghapuskan' Anwar dan menghalang kemaaran Najib, tidak lain tidak bukan adalah Khairy dan Norza.

Apakah Khairy dan juak-juaknya mampu melakukan tindakan politik seperti perumpamaan Inggeris 'killing two birds with stone'?

Persoalan di sebalik hubungan Ezam-Khairy-Norza

Apakah sekarang ini Ezam turut sama terbabit menjadi pelakon utama yang turut sama terbabit dalam percaturan politik dalaman Umno?

Menurut sumber-sumber yang rapat dengan Ezam, jelas bahawa bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan itu mendapat pembiayaan daripada Khairy dan Norza melalui Gerak.

Ada sebahagian kenalan penulis, yang juga merupakan kroni-kroni rapat Ezam mengakui mendapat 'laba' yang besar daripada peruntukan yang diperolehi Ezam.

Ada yang bercerita dengan kawan-kawan, mereka hanya mendapat 'kuah' daripada 'setalam lauk' yang diterima oleh Ezam. Kuah-kuah pun nilaiannya ratusan ribu ringgit, sehingga ada yang membeli kereta baru secara 'cash', membeli rumah dan membuat 'renovation' yang mahal harganya.

Jika 'kuahpun' nilaiannya ratusan ribu ringgit, tidakkah Ezam yang menerima 'setalam lauk' boleh diumpamakan menerima jutaan ringgit daripada pihak-pihak berkenaan.

Itu pun ada yang mendakwa, ketika ditanya kepada Ezam adakah itu sahaja (ratusan RM) upah yang diterima oleh beberapa individu tertentu, Ezam dilaporkan sebagai berkata, "....tunggu dulu, ini baru masuk sikit, ada lagi nak masuk."

Selain daripada itu sumber yang rapat dengan Ezam memberitahu, selepas Ezam memasuki Umno dan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Gerak, beliau digantikan oleh Mohd Nazri Yunus.

"Kalau saudara hendak tahu, Nazri ini adalah staf Inska, sebuah institut pemikiran yang dibiayai sepenuhnya oleh Norza," dakwa seorang sumber.

Jika semua dakwaan ini betul, wah hebat betul permainan politik yang dimainkan oleh Khairy, Norza dan Ezam.

Sejauhmana dakwaan ini betul, penulis tidak dapat mempastikannya. Penulis hanya membuat analisis daripada sumber cerita daripada individu-individu berasingan, yang ditemui secara berasingan, lalu digabungjalin menjadi sebuah teori yang ada rasionalnya.

Rumusan daripada 'permainan politik ini' kes liwat ini sebenarnya sudah menjadi lebih besar. Bukan setakat tuduhan terhadap Anwar. Ianya mengheret kepada 'triangle battle' antara Abdullah - Anwar - Najib.

Sama ada Abdullah sedar tentang 'game' ini tidak penting. Tidak ada bezanya jika ianya membabitkan Khairy.

Namun apapun yang berlaku ketika ini, sama sekali tidak akan menjejaskan peluang Anwar untuk memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Masalah yang lebih besar dihadapi Barisan Nasional dan Umno selain daripada menghadapi Anwar ialah kecamukan politik dalaman.

Sama ada Abdullah dapat bertahan sehingga Jun 2010, sama ada Najib dapat menjadi PM sebelum itu, atau mungkin juga Anwar dapat membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat, semuanya dicongkak dengan langkah yang amat berhati-hati dan kritikal. - mks. _

Sunday, August 10, 2008

Kes Anwar: Jika tak ada bukti…polis bukan bodoh – Pak Lah



Dari AGENDADAILY

Berbeza dengan kebiasaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bercakap agak panjang mengenai kes dakwaan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menjabwab soalan di sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di PWTC petang Rabu.

Perdana Menteri antara lain mempersoalkan tumpuan umum hanya kepada Penasihat PKR itu dalam kes itu seolah nasib untung Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa dia diliwat tidak penting langsung.



“Jangan lupa orang lain yang nampaknya dilupakan… Saiful. Anda fikir Anwar itu lebih penting," katanya.

Abdullah juga menyuarakan rasa hairannya bagaimana Anwar boleh menuduh beliau mengarahkan supaya kesnya dihadapkan ke mahkamah Khamis.

"Bagaimana saya boleh berkeras supaya dia didakwa. Jika tiada bukti, polis bukan bodoh hanya kerana si polan itu atau si polan ini mungkin berkata dakwa. Dan saya bukanlah orangnya yang meminta orang itu didakwa.

"Ini adalah isu undang-undang, seseorang itu yang berasa perlu keadilan, dia membuat laporan polis. Oleh itu, polis bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan," katanya.

"Apa yang saya kata adalah jika anda mempunyai sesuatu untuk mendakwa, jika mempunyai bukti untuk mendakwa, kamu dakwa. Jika tiada, gugurkan (dakwaan). Itu yang saya kata", katanya.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Anwar bahawa keputusan kerajaan mendakwa dia di mahkamah adalah satu usaha untuk mengalih tumpuan ramai daripada krisis keyakinan yang dihadapi Perdana Menteri.

Abdullah berkata polis berhak untuk menyiasat dan ia terpulang kepada mereka untuk memutuskan bentuk tindakan berdasarkan daripada siasatan yang dijalankan.

"Jika mereka fikir mereka mempunyai cukup bukti untuk mendakwa, mereka perlu mendakwa kerana jangan lupa orang lain yang nampaknya dilupakan, Saiful. Anda fikir Anwar itu lebih penting," katanya.

Abdullah berkata jika polis tidak mempunyai bukti, baru mereka perlu menggugurkan dakwaan dan keseluruhan siasatan itu.

"Jika mereka mempunyai bukti untuk mendakwa, anda tidak boleh menghalang mereka daripada berbuat demikian," katanya.

Menyentuh tindakan pihak polis mendakwa Anwar sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pilihan raya kecil Permatang Pauh hari ini sebagai satu unsur sabotaj untuk menghalang Anwar bertanding pada pilihan raya kecil itu, Abdullah berkata perkara terbabit adalah dua perkara yang berbeza.

Beliau berkata sekiranya tarikh pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh tidak diumumkan oleh SPR hari ini, pelbagai persoalan juga tetap akan timbul mengenai dakwaan kes terbabit.

Katanya, siasatan tuduhan liwat Anwar telah dilakukan lebih awal daripada tarikh perletakan jawatan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh.

"Ada orang kata mungkin perletakan jawatan Wan Azizah sebagai satu helah supaya mudah-mudahan Anwar tidak dibawa ke mahkamah. Ada juga yang bercakap macam tu.

"Cerita-cerita begini tak pernah satu versi. Cerita ini sekurang-kurangnya dua versi. Kadang-kadang tiga, empat, lima, sepuluh versi. Begitulah selalunya ditambah dengan ratusan cakap-cakap yang keluar daripada blog dan khabar angin," katanya.


Sementara itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar menafikan tindakan mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah telah dirancang seperti yang didakwa oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya dipolitikkan dan bukan merupakan helah kerajaan untuk menghalang Anwar daripada bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

"Kita sendiri pun tidak ambil tahu beliau bertanding atau tidak. Sapina itu dikeluarkan bukan sebab mahu menghalang beliau daripada bertanding," katanya, dan menambah tindakan itu diambil berikutan siasatan ke atas laporan polis yang dibuat oleh bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan telah selesai.

"Beliau (Anwar) juga tidak sepatutnya khuatir sekiranya beliau betul-betul tidak bersalah dan tentunya beliau juga akan dibela oleh peguam-peguam yang hebat," katanya kepada para wartawan selepas menghadiri majlis Tilawah Al-Quran Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat kebangsaan di Maktab PDRM dekat Kuala Lumpur Rabu malam.

Beliau berkata kes tersebut sudah sampai ke peringkat mahkamah, dan semua pihak perlu menghormatinya dengan tidak membuat sebarang perbincangan ataupun spekulasi mengenainya, yang hanya akan menimbulkan prejudis terhadap kes itu.

"Janganlah ada cakap-cakap belakang lagi dan biarkan mahkamah yang menentukan keputusannya, semua keputusan bergantung kepada undang-undang," katanya.

Menyentuh mengenai keadaan keselamatan apabila Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen Jalan Duta esok, Syed Hamid berkata polis sudah bersiap-sedia dengan segala kemungkinan termasuk juga anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU), sekiranya ada pihak yang berkumpul dan mengganggu ketenteraman awam.

"Demi keselamatan dan keamanan orang awam, kita minta kepada semua pihak agar jangan berkumpul. Ini adalah kes mahkamah justeru ia tidak sepatutnya ada perhimpunan," katanya.

Menyentuh kes kehilangan sejumlah besar dadah rampasan jenis Syabu daripada bilik kebal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor minggu lalu, beliau berkata pihaknya memandang serius perkara tersebut dan tidak akan menerima apa jua alasan yang diberi.

Polis sedang menyiasat kes tersebut dan akan mengenalpasti individu yang terlibat yang telah mencemarkan nama baik PDRM, katanya.

"Kita tidak akan bertoleransi terhadap mereka ini dan akan ada lagi yang terlibat ditahan selepas ini," katanya.

Beliau juga mengingatkan media agar tidak mensensasikan berita berunsur jenayah tetapi perlu jujur dan tepat dalam setiap maklumat yang disampaikan kepada masyarakat.- 6/8/2008


Peguam dakwa Anwar ada 'alibi'

Beh Lih Yi | Aug 7, 08 8:29pm


Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa pelanggannya itu memang berada di kondominium Desa Damansara pada masa dakwaan berlakunya liwat, tetapi ketua umum PKR itu berada di sana kerana mengadakan pertemuan dengan beberapa orang.

Menurut peguam Sankara Nair hari ini, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan "kira-kira lima orang" - yang merupakan satu alibi terbaru bagi pemimpin pembangkang tersebut

Beliau berkata, pihaknya mempunyai alibi yang jitu dan "kita telah memberi alibi (dan nama mereka) kepada pihak polis sewaktu siasatannya".

Sankara memberitahu demikian kepada pemberita selepas Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi.

Katanya, Anwar berada bersama mereka kerana mengadakan pertemuan di rumah (unit kondominium).

Ketika dihubungi Malaysiakini kemudiannya, Sankara berkata Anwar tidak pernah menafikan yang beliau pernah pergi ke kondominium tersebut.

Unit tersebut, katanya, adalah milik rakan ketua umum PKR itu.

Sankara mengesahkan bahawa kenyataan mereka yang berada bersama Anwar ketika itu - dan kini adalah alibinya - telah dirakamkan oleh pihak polis.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut sama ada pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, adalah antara mereka yang menghadiri pertemuan tersebut.

Saiful, 23, bekas pembantu Anwar, mendakwa telah diliwat oleh ketua umum PKR itu.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan penghujung Jun lalu.

Menurut kertas pertuduhan terhadapnya (lihat carta), Anwar didakwa melakukan jenayah tersebut pada petang 26 Jun lalu di sebuah bilik di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mahkamah membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin.

Pada 2 Julai, Anwar juga memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak pernah menafikan telah pergi ke kondominium mewah itu, tempat di mana Saiful mendakwa dia diliwat.

Mengulas lanjut mengenai kes Anwar itu, Sankara berkata, pasukan peguam mantan timbalan perdana menteri itu mempunyai pembelaan yang kuat bersama dengan alibi serta satu laporan perubatan yang mendapati tiada tanda-tanda Saiful diliwat.

Sankara juga berkata, pihaknya belum lagi menerima salinan laporan polis Saiful.

Dengan adanya bukti-bukti tersebut, Sankara menyuarakan harapannya, pihak pendakwaraya akan menggugurkan kes tersebut.

“Kita mahu melihat bagaimana mereka (pihak pendakwaraya) akan menjalankan pendakwaan dan kita harap mereka akan menggugurkan kes tersebut," katanya.

Liwat: Doktor Pusrawi pertahan laporan

Aug 7, 08 12:50pm

Dalam akuan berkanunnya bertarikh 1 Ogos lalu, Dr Mohamed Osman Abdul Hamid berkata, beliau tetap berpegang kepada hasil pemeriksaannya ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan - pemuda yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Mohamed Osman, yang memeriksa pemuda itu beberapa jam sebelum membuat laporan polis 28 Jun lalu, berkata beliau tetap berpegang dengan hasil pemeriksaannya itu.

Mohd Saiful ke Hospital Pusrawi dan kemudiannya di Hospital Kuala Lumpur sebelum membuat laporan polis, mendakwa diliwat oleh ketua umum PKR.

Di Hospital Pusrawi, Mohd Saiful diperiksa oleh Dr Mohamed Osman.

Dalam laporan perubatannya, yang dibocorkan kepada media, doktor tersebut menyatakan beliau tidak menemui sebarang bukti berlaku liwat.



Dr Mohamed Osman juga mendakwa beberapa perenggan dan perkataan telah ditambah kepada kenyataannya kepada polis berkaitan perkara tersebut.

Sebelum ini, Hospital Pusrawi menyatakan bahawa Dr Mohamad Osman tidak membuat sebarang pemeriksaan berkaitan liwat ke atas Mohd Saiful.

Tersebar di media

Dalam akuan berkanunnya itu, kini beredar di internet, Dr Mohamed Osman berkata, Mohd Saiful pada mulanya menemui seorang doktor wanita tetapi kemudiannya dirujuk kepadanya kerana pemuda itu mahu diperiksa oleh seorang doktor lelaki.

Katanya, berdasarkan pengalamannya, beliau pernah berdepan dengan ramai pengadu seumpama itu. Oleh itu, beliau menjalankan pemeriksaan yang sesuai ke atas pesakit tersebut.

Dr Mohamed Osman berkata, beliau telah menjalankan pemeriksaan rektum dan mencatatkan laporannya dalam 'folder pemeriksaan perubatan standard' Hospital Pusrawi.

Katanya, beliau kemudiannya terperanjat apabila mendapat tahu bahawa laporan pemeriksaan tersebut telah tersebar luas dalam media dan internet.

Menurutnya lagi, beliau hanya mengetahuai tentang kebocoran laporan perubatan tersebut selepas beliau pergi bercuti.

Menurut Hospital Pusrawi, Dr Mohamed Osman bercuti sejak pertengahan bulan Julai lalu.

Sehubungan itu, Dr Mohamed Osman menegaskan bahawa beliau tidak tahu pihak yang bertanggungjawab membocorkan laporan tesebut kepada sebarang pihak ketiga.

Dalam akuan berkanunnya itu, beliau juga mencerita tentang tiga pertemuannya dengan dua pegawai polis yang mengambil kenyataannya.

Laporan bertaip

Katanya, pada Julai 2008, kenyataannya diambil oleh ASP Rosmi Mat Derus daripada jabatan siasatan jenayah (CID) ibu pejabat polis daerah Brickfields.

Menurutnya, ASP Rosmi menulis kenyataannya, setebal kira-kira sembilan atau sepuluh halaman, dalam bahasa Malaysia dan membawa salinan yang telah ditaip pada minggu berikutnya untuk ditandatanganinya.

Dr Mohamed Osman mengakui bahawa beliau tidak memahami kebanyakan yang ditulis dalam kenyataan tersebut, kerana beliau tidak fasih berbahasa Malaysia.

Apabila ditunjukkan salinan kenyataan yang bertaip itu, beliau terpaksa membuat pindaan-pindaan dengan bantuan pegawai polis berkenaan.

Katanya, beliau bertanya mengapa nama Datuk Seri Anwar Ibrahim terdapat pada beberapa perenggan, sedangkan ia tidak pernah disebut sepanjang beliau memberi kenyataan.

Mohd Saiful juga, tambahnya, tidak pernah menyebut identiti seorang orang berpengaruh (VIP) yang didakwa melakukannya.

Katanya, ASP Rosmi memberitahunya bahawa Anwar adalah seorang suspek dalam siasatan polis.

Dr Mohamed Osman menjelaskan, beliau mengetahui Anwar terbabit dalam siasatan kes tersebut selepas membaca akhbar.

Menurut doktor itu lagi, seminggu kemudiannya, DSP Choo dari bahagian CID ibu pejabat polis daerah Dang Wangi juga mengambil kenyataannya.

Kes berprofil tinggi

Katanya, pegawai wanita berkenaan memintanya menceritakan semuanya sekali lagi, dan beliau menceritakan semua yang diketahuinya secara terperinci mengenai keseluruhan prosedur berkaitan dengan pemeriksaan yang dijalankan ke atas pesakit tersebut.

Menurutnya, mereka berbicara dalam bahasa Inggeris dan DSP Choo menulisnya dalam Bahasa Malaysia.

Kenyataan bertulis tersebut kemudiannya diterjemah kepadanya dalam bahasa Inggeris dan beliau kemudiannya diminta menandatangani empat hingga lima halaman.

Menurutnya lagi, di peringkat permulaannya, DSP Choo memberi tanggapan bahawa beliau akan didakwa jika enggan bekerjasama dengan pihak polis.

Katanya, siasatan polis yang berterusan dalam kes berprofil tinggi itu mengganggunya sehingga beliau bimbang dengan keselamatan dirinya dan keluarganya.

Kira-kira seminggu selepas pertemuan kali ketiga dengan pihak polis, beliau memohon untuk bercuti dan meninggalkan Malaysia bersama keluarganya.

Dr Mohamed Osman dijadual kembali semula bertugas di Hospital Pusrawi pada 1 Ogos - kebetulan pada hari beliau menandatangani akuan berkanunnya itu - tetapi tidak dapat dihubungi.

Semalam, Mstar Online memetik kenyataan pengarah Hospital Pusrawi, Dr Kamaruddin Ahmad yang menyebut Dr Mohamed Osman mungkin bimbang untuk kembali bertugas.

Saiful tidak didakwa – Syed Hamid

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Saiful Bukhari Azlan tidak akan didakwa bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu atas tuduhan liwat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Mohamad Saiful tidak akan didakwa kerana dia kini menjadi saksi utama atas tuduhan meliwat yang didakwa dilakukan oleh Anwar.

‘‘Dia (Mohamad Saiful) adalah orang yang mendakwa Anwar telah melakukan sesuatu ke atas dia.

‘‘Dia adalah pengadu serta menjadi saksi utama dan tidak mungkin akan didakwa,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Menteri Imigresen dan Kewarganegaraan Australia, Senator Chris Evans berhubung kerjasama antara Malaysia dan Australia, di sini hari ini.

Syed Hamid berkata, adalah tidak wajar orang yang membuat laporan polis mendakwa kejadian itu berlaku, turut didakwa di mahkamah.

‘‘Contohnya, dalam kes rasuah, orang yang didakwa menerima sogokan kebiasaannya akan dituduh dan bukannya orang yang memberi serta membuat laporan,’’ jelasnya.

Syed Hamid menegaskan, setakat ini, Anwar tidak bersalah sehingga beliau dapat dibuktikan sebaliknya oleh mahkamah.

Sehubungan itu, dalam kes membabitkan Anwar, kata beliau, segalanya dijalankan mengikut lunas-lunas yang tepat.

‘‘Perkara paling penting diambil kira adalah proses yang sewajarnya dan andaian tidak bersalah hanya dapat ditentukan menerusi proses perundangan dan institusi yang berfungsi di negara ini,’’ katanya.

Menurut beliau, itu adalah cara sistem perundangan di negara ini dan perkara lebih penting adalah wujudnya keadilan.

Sehubungan itu, Syed Hamid meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut dan memberikan kebebasan kepada mahkamah untuk membuat keputusan yang adil.


‘Saya tidak bersalah’



KUALA LUMPUR 7 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada Jun lalu.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membuat pengakuan tersebut sejurus kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya yang didengar di hadapan Hakim S.M. Komathy Suppiah pada prosiding pukul 10.15 pagi.

Beliau dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dan kes itu akan disebut semula pada 10 September ini.

Ketika ditanya apakah pengakuannya, Anwar dengan nada keras mendakwa pertuduhan itu dibuat dengan niat jahat dan khianat.

‘‘Saya tidak bersalah,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang berusia 61 tahun pada 10 Ogos ini.

Pertuduhan menyebut bahawa Anwar didakwa melakukan perbuatan itu pada 26 Jun 2008 antara pukul 3.01 dan 4.30 petang di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini.

Peguam Cara Negara, Datuk Idrus Harun yang mengetuai pasukan pendakwaan memohon satu tarikh sebutan pada September ini untuk memberi masa kepada pihak pendakwa raya mempertimbangkan sama ada hendak memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi mengikut peruntukan Seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah.

Idrus mengendalikan pendakwaan bersama Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden; Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Operasi), Mohamad Hanafiah Zakaria dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Shamsul Sulaiman.

Barisan sembilan peguam bela Anwar yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah bersetuju dengan permohonan itu, namun menyatakan beliau berharap pendakwa raya akan juga mempertimbangkan dengan bijaksana untuk meneruskan kes tersebut.

Lapan peguam bela lagi ialah R. Sivarasa, Leela J Jesuthasan, Sankara Nair, Edmund Bon, Saiful Izham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Mohd. Razlan Jalaludin.

Sehubungan itu, Komathy menetapkan 10 September ini untuk sebutan semula kes terhadap Anwar.

Di samping itu turut hadir, dua peguam pemerhati dari Majlis Peguam, Rajpal Singh dan George Varughes serta Zamri Idrus mewakili mangsa kes itu.

Mahkamah juga dimaklumkan kehadiran empat peguam pemerhati mewakili International Federation For Human Rights, Forum Asia dan Human Right Watch.

Sulaiman kemudian memohon supaya anak guamnya itu dibebaskan dengan ikat jamin dan menyatakan bahawa pendakwa raya tidak membantah.

‘’Biarlah pendakwa raya nyatakan jumlahnya,’’ ujar beliau.

Idrus bangun sambil mencadangkan: ‘’RM20,000 dengan seorang penjamin dan dikenakan syarat pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.’’

Sulaiman lalu memaklumkan bahawa Anwar bakal bertanding kerusi Parlimen dan juga akan menimbulkan masalah jika pasportnya diserahkan kepada mahkamah kerana beliau sering ke luar negara.

Beliau meminta mahkamah menggunakan budi bicara tidak mengenakan syarat agar Anwar menyerahkan pasportnya.

Selain itu, Sulaiman juga memohon mahkamah melaksanakan pertimbangan supaya Anwar dikenakan bon jaminan peribadi.

Sulaiman memberitahu bahawa sebelum ini Anwar telah diberikan jaminan polis sejak Julai lalu. (Pihak polis membebaskan Anwar setelah disoal siasat dan memberi keterangan berhubung kes itu).

Idrus berkata: ‘’Kes ini didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang tidak boleh dijamin namun mahkamah boleh gunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan. Jika disabitkan kesalahan hukuman ialah penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.’’

Sulaiman memohon mahkamah memberikan pertimbangan.

Komathy berkata: ‘’Mahkamah ingin bertanya kepada pegawai penyiasat sama ada tertuduh memberi kerjasama kepada polis.’’

Pegawai penyiasat, Deputi Supritendan Jude Parreira bangun dengan spontan menjawab: ‘’Ya.’’

Komathy berkata lagi: ‘’Sulaiman mencadangkan supaya mahkamah mengunakan budi bicara di bawah Seksyen 388(2) Kanun Tatacara Jenayah dengan menyempurnakan bon tanpa penjamin supaya ia hadir seperti yang diperuntukkan selepas itu. Menurut peguam, tertuduh tidak mungkin melarikan diri.’’

Idrus segera menyampuk: ‘’Ada kemungkinan.’’ Galeri awam yang penuh sesak dan ada setengahnya terpaksa berdiri sehingga kedengaran riuh.

Sulaiman yang membantah, berhujah bahawa mahkamah ada budi bicara untuk melaksana pemohonan Anwar walaupun kes itu jarang berlaku.

‘‘Ini kes kali kedua,’’ kata Sulaiman yang mencetuskan ketawa para hadirin di mahkamah.

Namun Idrus membantah dengan alasan pertuduhan adalah serius yang membawa hukuman sehingga 20 tahun.

Beliau mencadangkan ikat jamin terhadap Anwar memerlukan seorang penjamin.

Komathy berkata: ‘’Seseorang itu tidak bersalah selagi dia belum dibuktikan bersalah. Ikat jamin untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah. Saya tidak fikir Datuk seri Anwar akan melarikan diri. Mahkamah benarkan dia dijamin RM20,000 tanpa penjamin.’’

Sebelum mahkamah mengakhiri sidang, Komathy bertanya Anwar mengenai hari jadinya pada 10 Ogos ini.

Anwar menjawab: ‘’Ya.’’

Anwar pulang ke rumah 11.49 pagi



07/08/2008 12:06pm

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Datuk Seri Anwar Ibrahim pulang semula ke kediamannya di Bukit Segambut di sini pukul 11.49 pagi ini, tidak lama selepas didakwa atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari di Mahkamah Sesyen di Jalan Duta.

Ketibaannya bersama isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya di rumah tersebut diiringi beberapa kenderaan yang berkonvoi dari mahkamah, disambut kira-kira 20 orang penyokongnya.

Beliau dan isteri serta anak-anak kemudian terus memasuki rumahnya sambil melambai tangan ke arah wartawan.

Sebelum itu, di mahkamah, Anwar mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful dan mendakwa mendakwa pertuduhan itu dibuat dengan niat jahat dan khianat.

Pertuduhan berbunyi: Anwar didakwa melakukan perbuatan itu pada 26 Jun 2008 antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang di alamat Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini.

Hakim S.M. Komathy Suppiah memutuskan membenarkan Anwar diikat jamin RM20,000 dengan bon jaminan peribadi .

Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula pada 10 September ini untuk memindahkan perbicaraan ke Mahkamah Tinggi. - Utusan