Friday, December 11, 2009

Tabloid Melayu kian popular, harian merosot



Salhan K Ahmad
Dis 11, 09
1:15pm

dikemaskini Dua harian berpengaruh bahasa Melayu mencatatkan penurunan jumlah edarannya tetapi tabloid terbitan syarikat media yang sama merekodkan kenaikan, sehingga 12 peratus setahun lalu.

Jumlah edaran Utusan Malaysia menurun sehingga 8 peratus kepada 181,346 nashkah, sementara Berita Harian pula merosot 5 peratus kepada 183,187 naskhah.

Kosmo! mengalami kenaikan tertinggi sebanyak 12 peratus kepada 129,663 naskhah, manakala Harian Metro naik 4 peratus kepada 338,552 naskhah).

Kosmo! dan Harian Metro masing-masing berada satu bumbung dengan Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Laporan audit pengedaran itu – bagi tempoh 1 Julai tahun lalu hingga 30 Jun lalu – bagaimanapun menunjukkan edaran akhbar-akhbar berbahasa Malaysia mencatatkan kenaikan kecil berbanding akhbar-akhbar berbahasa Cina dan Inggeris yang mencatat penurunan.

Data itu, yang dikeluarkan Biro Audit Pengedaran (ABC) Malaysia semalam, menunjukkan jumlah edaran harian berbahasa kebangsaan meningkat 2 peratus kepada 832,718 naskhah.

Menurut data ABC, Utusan Malaysia dan Berita Harian semakin merosot jualannya perlahan-lahan sejak audit 1 Julai 2005 hingga 30 Jun 2006 – masing-masing 213,445 dan 203,704 naskhah – kecuali sedikit kenaikan pada enam bulan pertama tahun lalu.

Sementara Kosmo! dan Harian Metro pula semakin laris dalam tempoh yang sama.

Dalam segmen akhbar mingguan pula, edaran Kosmo Ahad mencatat kenaikan tertinggi sebanyak 8 peratus kepada 130,375 naskhah tahun lalu, diikuti Metro Ahad dengan purata edaran sebanyak 386,795 naskhah tahun ini - meningkat 6 peratus.

Seorang ahli lembaga ABC, Adi Satria Ahmad berkata trend ini menunjukkan kuasa beli pembaca dalam segmen bahasa Malaysia masih kuat berbanding pembaca akhbar-akhbar Cina dan Inggeris.

Tambahnya, kenaikan itu turut disokong dengan kenaikan jumlah perbelanjaan pengiklan dalam akhbar-akhbar berkenaan, berbanding dalam akhbar dua bahasa itu.

Jelasnya, jumlah perbelanjaan iklan yang dilaporkan itu bagaimanapun tidak menggambarkan situasi sebenar kerana terdapat akhbar yang memberikan potongan harga kepada pengiklan dan pada masa sama menaikkan harga akhbar mereka.

"Ini kerana bukan semua akhbar bahasa Malaysia ini diaudit, seperti Sinar Harian, kerana belum sampai masa untuk diaudit," katanya ketika dihubungi Malaysiakini selepas sidang media ABC di Petaling Jaya semalam.

Sementara itu, ketika mengumumkan perangkaan terbaru itu, seorang lagi ahli lembaga ABC Tan Sio Chian berkata peningkatan jumlah pembacaan akhbar bahasa Melayu juga didorong oleh kelembapan ekonomi negara.

"Ia menunjukkan pembaca Melayu membeli lebih banyak akhbar disebabkan pengangguran (untuk cari kerja) dan mengurangkan perbelanjaan untuk kandungan hiburan," katanya.

Jelasnya, peralihan trend ini dikesan melalui penurunan 5 peratus bagi purata edaran majalah dalam segmen bahasa itu sehingga 1,015 naskhah tahun ini.

Bagaimanapun edaran majalah berbahasa Inggeris dan Cina lebih teruk terjejas, masing-masing menurun 40 peratus dan 81 peratus.

Laporan ABC itu juga menunjukan edaran keseluruhan harian berbahasa Inggeris mencatat penurunan sebanyak 2 peratus kepada purata 736,981 naskhah.

Edaran The Star merosot sebanyak 3 peratus kepada 295,479 naskhah tahun lalu, manakala New Straits Times menurun sehingga 12 peratus kepada 120,770 naskhah.

Dua lagi akhbar harian berbahasa Inggeris, The Edge dan The Sun masing-masing menunjukkan kenaikan sebanyak 7 peratus (kepada 23,369 naskhah) dan 6 peratus (287,935 naskhah).

Sementara itu, edaran akhbar-akhbar berbahasa Cina pula menurun hingga 7 peratus kepada 863,976 naskhah.

Sejarah empat mazhab (Bahagian 4/4)



Abdul Latif Rahbar
Bukankah imam-imam mujtahid sendiri tidak pernah memaksa sesiapapun untuk mengikut mereka? Dan bukankah Imam Syafie sendiri mengatakan bahawa apabila sahih sesebuah hadis maka itulah mazhabku?

Menjawab persoalan ini, memang benar imam-imam mujtahid sama sekali tidak pernah memaksa murid mereka mengikut mazhab atau pendapat-pendapat yang mereka keluarkan. Tetapi harus diingatkan bahawa imam-imam mujtahid tersebut mempunyai anak murid yang sudahpun mencapai tahap mempunyai kelayakan dan kemampuan untuk membezakan antara dua dalil.

Jadi perkataan Imam Syafie misalnya ditujukan kepada Imam Muzani, perkataan Imam Abu Hanifah ditujukan kepada Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad.

Apabila Imam Syafie mengatakan bahawa, “Apabila sahih sesebuah hadis maka itulah mazhabku,” yang dimaksudkan ialah apabila sahih sesebuah hadis dan ia menepati usul yang telahku istinbatkan dari al-Quran dan sunnah maka itulah mazhabku. Ini dapat kita ketahui sekiranya kita mempelajari usul-usul dan kaedah istinbat yang ditetapkan oleh Imam Syafii rah.a sendiri.

Bukanlah sahih di sini bermakna sahih pada pandangan ahli-ahli hadis semata-mata. Sekiranya maksud Imam Syafie adalah seperti itu maka sudah tentu Imam Syafie akan mengatakan bahawa menyentuh wanita yang bukan mahram tidak akan membatalkan wudhu. Tetapi memandangkan terdapat dalil-dalil lain yang perlu diambil kira, maka langkah selamat ialah dengan mengatakan bahawa ianya membatalkan wudhuk.

Oleh itu, kita tidak boleh menganggap bahawa kesemua yang kita anggap sahih adalah mazhab Syafie melainkan kita sendiri sudah mencapai darjat Imam Muzani. Pun begitu tidak banyak fatwa Imam Syafie ditolak oleh pengikut beliau walaupun selepas kewafatannya.

Sekiranya maksud kalam Imam Syafie adalah seperti yang didakwa oleh mereka yang tidak bermazhab, sudah tentu pakar-pakar fiqah dan hadis seperti Imam Nawawi dan Hafiz ibnu Hajar akan mengubah fatwa mazhab Syafie kepada "yang lebih sahih." Tetapi hal sedemikian tidak terjadi dan menunjukkan bahawa maksud perkataan Imam Syafie bukanlah seperti yang mereka dakwa.

Imam Abu Hanifah sendiri misalnya tidak pernah memaksa Abu Yusuf mengikut mazhab beliau. Tetapi telah diriwayatkan pada satu ketika Imam Abu Yusuf telah melancarkan halaqah ilmunya sendiri, lalu Imam Abu Hanifah menghantar wakil untuk mengajukan beberapa soalan yang musykil kepada Imam Abu Yusuf sambil mengatakan kepada wakil tersebut sekiranya Abu Yusuf mengatakan "Ya" salah, dan sekiranya dia mengatakan "Tidak" pun salah. Akhirnya Imam Abu Yusuf kembali menghadirkan diri ke majlis Imam Abu Hanifah.

Tindakan Imam Abu Hanifah di atas bukanlah untuk memaksa Imam Abu Yusuf untuk bermazhab dengan mazhab Hanafi, tetapi untuk mengingatkan Imam Abu Yusuf bahawa beliau masih belum bersedia untuk mengemukakan ijtihad beliau sendiri walaupun beliau adalah anak murid Imam Abu Hanifah yang paling kanan.

Kesemua yang mempelajari sejarah tentu tahu bahawa Imam Abu Yusuf telah dilantik sebagai qadi besar empayar Abbasiah. Bukanlah calang-calang boleh menjadi ketua qadi pada zaman yang dipenuhi ilmuan-ilmuan berwibawa.

Mengapa hanya mengiktiraf empat mazhab dan tidak lebih?

Pada zaman Baginda s.a.w. para sahabat berpandukan ajaran yang mereka dapat secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. sendiri. Dan selepas kewafatan Baginda s.a.w. ramai sahabat yang bertaqlid dengan pendapat mereka-mereka yang rapat dengan Bagida s.a.w. seperti khalifah rashidin, Ibnu Mas’ud dan lain-lain. Namun selepas tersebarnya agama ke seluruh pelusuk alam sahabat berhijrah ke tanah-tanah yang dijajah demi untuk mengajar kepada saudara-saudara baru mengenai Islam.

Mereka menyampaikan apa yang mereka lihat dan dengar sendiri dari Baginda s.a.w. Dan bermulalah zaman penyebaran hadis, dengan tabi’in mula mengembara dan berjumpa dengan para sahabat demi untuk mendapat ajaran sunnah Baginda s.a.w. Demikianlah juga pada zaman tabi’-tabi’in. Ketika itu taqlid terhadap individu tertentu sudahpun berlaku.

Penduduk madinah misalnya banyak bertaqlid dengan pendapat Zaid bin Thabit yang juga adalah penulis wahyu rasulullah s.a.w. Penduduk Basrah dan Kufah bergantung dengan pendapat Ibnu Mas’ud. Penduduk Syam bertaqlid dengan Muadz bin Jabal r.a dan penduduk Makkah dengan Ibnu Zubair r.a. begitulah halnya ummat ketika itu memahami bahawa kita perlu mengikut amalan mereka-mereka yang jauh memahami sunnah baginda s.a.w.

Selepas zaman sahabat sehinggalah abad ketiga hijrah memang terdapat ribuan mujtahidin seluruh dunia. Imam-imam mujtahid seperti Abu Hanifah, Hasan Basri, Sufyan Thauri, Sufyan bin Uyainah, Syafie, Malik bin Anas, Ahmad bin Hanbal, Awza’i, Ishaq bin Rahwayh/Rahuyah dan lain-lain adalah di antara mereka-mereka yang mempunyai ramai pengikut dan muqallid.

Namun selepas abad keempat hanya tinggal beberapa mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafii, Hanbali, Awza’i, dan Zahiri. Mazhab-mazhab lain semakin sedikit pengikutnya memandangkan empat mazhab ini menjadi ikutan di kota-kota utama dunia Islam ketika itu. Hanafi dan Hanbali di Iraq, Maliki di Andalusia dan Afrika, Syafie di tanah Parsi dan di Mesir, Awza’i di tanah Syam dan hanya sebilangan kecil Zahiriyyah iaitu mereka-mereka yang bertaqlid dengan Daud az-Zhahiri.

Selepas abad kelima Awza’i dan Zahiriyyah juga lenyap walaupun pendapat mereka dibukukan oleh pengikut-pengikut mereka. Dan kekallah empat mazhab sehingga ke hari ini kerana masih mempunyai pengikut dan tradisi ini diamalkan zaman-berzaman. Ummah sejak dulu hingga kini berasa selesa dengan bertaqlid kerana mereka sedar ketidakmampuan mereka dalam berijtihad.

Dalam tempoh ummah mula bertaqlid iaitu sejak abad ketiga hijrah hingga kini terdapat ramai ulama hadis yang lahir seperti Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa'i, Ibnu Majah, Baihaqi, Tahawi, Daruqutni dan lain-lain yang mana ilmu mereka dalam bidang hadis dan agama tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak. Namun mereka sendiri berasa selesa dengan bertaqlid akan para imam.

Sesungguhnya bertaqlid dengan imam seperti yang dilakukan oleh jumhur ummah dan ulama adalah sesuatu yang amat mustahak lebih-lebih lagi pada masa kini yang penuh dengan kejahilan dan kekufuran. Mereka sudah memudahkan urusan ummah dalam segala segi dan bidang. Memilih untuk berijtihad sendiri dan meninggalkan ajaran mereka yang jauh lebih hebat dari kita adalah sama seperti meninggalkan Mann dan Salwa hanya semata-mata demi untuk mendapatkan timun dan bawang.

Dan Allah ta’ala jualah yang Maha Mengetahui.

Kenapa perlu memilih mazhab? (Bahagian 3/4)



Abdul Latif Rahbar
Kita tidak berijtihad, tetapi kita memilih salah satu dari dua pendapat imam-imam. Bagaimana pula ini dikatakan sebagai ijtihad? Mengapa kita hanya perlu mengikut satu mazhab sahaja? Tidak bolehkah kita mencampur-adukkan semua pendapat dan memilih yang terbaik?

Menjawab persoalan di atas, ijtihad bermakna mengeluarkan pendapat. Apabila terdapat dua pendapat yang berlainan, memilih salah satu dari kedua pendapat itu juga dikira sebagai ijtihad. Ikhtilaf yang timbul antara mazhab hari ini sebenarnya adalah ikhtilaf dan perbezaan pendapat sejak zaman para sahabat lagi.

Sekiranya terdapat percanggahan pendapat antara dua sahabat, maka imam-imam akan terlebih dahulu meneliti yang mana satukah antara percanggahan tersebut yang lebih menepati syarak.

Hasilnya adalah ikhtilaf yang kita lihat pada hari ini. Imam Abu Hanifah lebih condong dalam memilih pendapat Ibnu Mas’ud misalnya dan Imam Syafie lebih kepada Ibnu Abbas. Tidaklah bermakna mereka tidak mengetahui pendapat sahabat-sahabat yang lain.

Jadi, apabila kita melihat terdapat dua pendapat yang berlainan, maka memilih salah satu ke atas yang lain juga dikira sebagai ijtihad kerana ini jualah amalan imam-imam mujtahid yang terdahulu. Dan untuk kita memilih salah satu dari pendapat tersebut kita mestilah mempunyai dalil dan nas yang cukup di samping mengetahui kesemua dalil dan nas, pro dan kontra masalah berkenaan.

Alasan bahawa kita tidak mengeluarkan pendapat dan masih berpegang kepada pendapat seseorang imam tanpa mengikut imam tersebut dalam lain-lain masalah adalah tidak dapat diterima sama sekali. Oleh itu sekiranya ada dalam kalangan kita yang mahu berbuat demikian, hendaklah dia fikirkan kesemua jawapan terhadap persoalan yang bakal dibangkitkan dari segi bahasa, usul, hadis dan lain-lain sebelum dia memilih untuk memilih sebarang pendapat kerana inilah yang telah dilakukan oleh mujtahid-mujtahid terdahulu.

Pernah satu ketika Khalifah Harun ar-Rashid mencadangkan kepada Imam Malik agar disatukan kesemua mazhab dan diambil yang terbaik. Jawapan Imam Malik ialah kesemua perbezaan pendapat adalah berdasarkan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Sekiranya diambil satu sahaja dari kesemua perbezaan tersebut dan ditinggalkan yang lain sedangkan ada kemungkinan yang ditinggalkan itu sebenarnya tepat maka seolah-olah kita meninggalkan sunnah Nabi s.a.w. Jadi tiada keperluan untuk menyatukan semua mazhab apabila kesemua sunnah Nabi s.a.w dapat diamalkan walaupun oleh berlainan puak.

Majoriti ummah pada hari ini membaca al-Quran dengan riwayat Hafs daripada Imam ‘Asim al-Kufi. Seperti yang diketahui umum, terdapat 10 qiraat hari ini yang masih boleh dibaca dalam solat. Di utara Afrika misalnya mereka membaca al-Quran dengan riwayat Qalun atau Warsh dari Imam Nafi’ Madani. Ulama qiraat mengatakan bahawa qiraat yang boleh dibaca pada hari ini hanyalah sepuluh dan setiap sepuluh qiraat tersebut mencapai darjat mutawatir (terlalu ramai bersepakat mengenai cara pembacaannya sejak zaman Rasulullah s.a.w sehingga kini sehingga mustahil untuk mereka berkomplot untuk menipu mengenainya).

Semua ahli qiraat bersetuju bahawa diperbolehkan untuk membaca kesemua qiraat dalam satu tilawah dengan cara kita membaca setiap ayat beberapa kali di samping mengkhatamkan setiap cara bacaan. Ataupun kita kumpulkan kesemua qiraat tanpa mengulang ayat tersebut berulang kali, sebaliknya menghabiskan setiap qiraat terhadap setiap perkataan. Untuk memahami hal ini lebih lanjut kita bolehlah mendengar tilawah dari Syeikh Abdul Basit atau dari bacaan Syeikh Na’ina misalnya.

Pun begitu ahli qiraat mengatakan ketika tilawah tidak dibolehkan membaca satu ayat dalam sesuatu qiraat, kemudian membaca ayat yang berikutnya dalam qiraat yang lain kerana perkara ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pihak. Hal ini disepakati oleh semua sama ada pihak yang bermazhab atau selainnya. Jadi sekiranya kita tidak boleh mengambil qiraat dan membacanya bercampur-aduk dengan sesuka hati, bagaimana pula kita boleh mencampur-adukkan pendapat antara mazhab sesuka-hati?

Mengapa golongan yang tidak bermazhab dalam bidang fiqh bertaqlid dengan Imam Hafs dan Imam ‘Asim dalam bidang qiraat? Mengapa tidak mengatakan bahawa Imam ‘Asim tidak pernah memaksa sesiapun untuk bertaqlid dengan beliau? Mengapa soalan-soalan yang sering diutarakan dalam perbahasan fiqah langsung tidak pernah diutarakan dalam ilmu qiraat?

Sekiranya kita berpendapat perlu kita bertaqlid dengan Imam qiraat, maka tidak dapat tidak kita juga mesti bertaqlid dengan imam-imam mujtahidin.

Ilmu hadith belum cukup tanpa fiqh (Bahagian 2/4)



Abdul Latif Rahbar
Ilmuan-ilmuan Islam yang terkenal seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud dan lain-lain imam muhaddithin yang mana mereka sudahpun menghafal ratusan ribu hadis masih tetap mengamalkan agama berdasarkan mazhab imam-imam mujtahid walaupun pada pandangan mata umum apalah perlunya mereka bertaqlid sedangkan mereka mempunyai ilmu agama yang jauh lebih daripada cukup?

Di sinilah bezanya antara fuqaha (ahli-ahli fiqh) dan muhaddithin (ahli-ahli hadith). Apabila seseorang itu mengetahui beribu hadis sekalipun, tetapi dia tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk membahaskannya, maka dia tidak layak untuk mengeluarkan sesuatu pendapat.

Mereka-mereka yang mempelajari Sunan Tirmizi pasti mengetahui bahawa apabila membincangkan masalah fiqh, Imam Tirmizi tidak pernah mengambil pendapat guru beliau Imam Bukhari, tetapi beliau menyebut nama-nama seperti Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad atau ulama Kufah iaitu Imam Abu Hanifah.



Imam Tirmizi hanya akan mengambil nama Imam Bukhari apabila beliau membahaskan kesahihan atau status sesuatu hadis, kerana beliau mengetahui bahawa walaupun Imam Bukhari adalah pakar dalam bidang hadis, tetapi kepakaran Imam Bukhari dalam ilmu fiqh belum dapat menandingi kepakaran yang ada pada imam-imam mujtahid.

Dapat kita fahami di sini, bahawa setinggi manapun ilmu hadith seseorang itu, belum tentu dia layak mengeluarkan fatwa sekiranya dia tidak mempunyai ilmu fiqh yang cukup. Sekiranya datang dua nas bertentangan antara satu sama lain, yang mana kedua-duanya adalah sahih dan sama kuat, yang mana satukah akan kita ambil? Ini hanya dapat dilakukan seandainya kita mampu memahami selok-belok ilmu fiqah, bukan dengan hanya bersandarkan kepada kesahihan semata-mata.

Sebagai contoh ingin penulis menceritakan di sini perbahasan antara dua imam mujtahid Abu Hanifah dan Awza’I mengenai masalah mengangkat kedua belah tangan selepas bangun dari rukuk. Imam Awza’i mengatakan: “Saya meriwayatkan dari Salim, dari Nafi’ dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. mengangkat tangan dalam solat Baginda s.a.w.”

Lalu Imam Abu Hanifah menjawab: “Saya meriwayatkan dari Hammad, dari Ibrahim An-Nakh’i dari ‘Alqamah dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah s.a.w tidak mengangkat tangan Baginda s.a.w.”

Imam Awza’i membalas: “Saya membawa sanad (rangkaian periwayat) yang lebih sedikit dan tuan ingin berhujah dengan sanad yang lebih perantaraannya?” (Mengikut pendapat ulama hadis, hadis yang lebih kurang perantaraannya antara perawi dengan Baginda s.a.w adalah lebih kuat dari hadis yang mempunyai lebih perawi, seperti yang tertera di atas bahawa antara Imam Awza’i dan Rasulullah s.a.w hanya tiga perawi dibandingkan dengan Imam Abu Hanifah yang mempunyai empat perawi).

Jawab Imam Abu Hanifah: “Hammad lebih faqih daripada Salim, Ibrahim An-Nakh’i lebih faqih daripada Nafi’ dan ‘Alqamah lebih faqih daripada Ibnu Umar walaupun beliau adalah seorang sahabat Nabi s.a.w. Dan Ibnu Mas’ud adalah Ibnu Mas’ud (siapakah yang dapat menafikan kefaqihan Ibnu Mas’ud?).”

Di sini Imam Abu Hanifah mengambil kira faktor kefaqihan perawi dalam mengeluarkan fatwa dan bukan bersandarkan kepada kekuatan dan nilai sesebuah hadis semata-mata. Pun begitu perlu diingatkan bahawa menurut pendapat Imam Syafie mengangkat tangan selepas rukuk adalah sunnah kerana ia adalah amalan penduduk Tanah Haram dan Syam, yang mana terdapat sekurang-kurangnya 35,000 sahabat dikebumikan di Syam.

Dalam sebuah hadith riwayat Sunan, Nabi s.a.w. bersabda: "Semoga Allah ta’ala menyegarkan fikiran orang yang mendengar perkataanku, lalu dia menyampaikannya sepertimana yang dia dengar. Betapa ramai orang yang disampaikan itu lebih memahami dari si pendengar asal itu sendiri."

Di sini Nabi s.a.w. sendiri mengkategorikan antara mereka yang menghafal hadis dan mereka yang memahami hadis. Kerana itulah Imam A’mash salah seorang perawi Bukhari telah berkata kepada anak murid beliau Imam Abu Hanifah: “Kamu wahai golongan fuqaha’ adalah doktor dan kami (golongan muhaddithin) hanyalah penjual ubat.”

Dalam I’lam al-Muwaqqi’in Imam Ibnul-Qayyim meriwayatkan bahawa satu ketika Muhammad bin Ubaidullah bin Munadi telah mendengar seorang lelaki bertanya kepada guru beliau Imam Ahmad bin Hanbal: “Apabila seseorang itu menghafal 100,000 hadith, adakah dia dikira sebagai seorang yang faqih?” Imam Ahmad menjawab: “Tidak.”

Dia ditanya lagi: “Sekiranya 200,000 hadith?” Balas beliau: “Tidak.” Orang itu bertanya lagi: “Sekiranya 300,000?” dan sekali lagi Imam Ahmad menjawab tidak.

Kemudian orang itu bertanya: "Bagaimana sekiranya dia menghafal 400,000 hadith?” Lalu Imam Ahmad mengisyaratkan dengan tangan beliau, “Lebih kurang begitulah.”

Riwayat di atas memberi gambaran jelas kepada semua, dengan hanya mempelajari beberapa ribu hadis belum tentu kita mampu untuk melayakkan diri kita dalam mengeluarkan pendapat sewenang-wenangnya. Apatah lagi bila hanya tahu beberapa kerat hadis?

Mengapakah kita perlu bermazhab?

Inilah soalan yang sering diajukan oleh ghair muqallidin (golongan tidak bermazhab). Jawapannya amat ringkas: Apabila kita tidak mempunyai ilmu yang cukup maka wajib untuk kita mendengar mereka yang paling arif, dan sekiranya kita mempunyai ilmu yang cukup maka haram untuk kita mengikut mana-mana mazhab.

Ini bersesuaian dengan mafhum firman Allah ta’ala dalam surah al-Mulk apabila Allah ta’ala menceritakan perihal penduduk neraka: "Dan mereka berkata: 'Sekiranya kami mendengar (patuh) atau kami memahami (akan agama) maka sudah tentulah kami tidak akan menjadi penduduk Sa’ir (Neraka)'".

Walaupun ayat di atas adalah berkenaan dengan iman, tetapi memandangkan konteks ayat adalah luas maka ulama berhujah tentang betapa pentingnya patuh kepada yang mahir. Dan sekiranya kita tidak mahu patuh maka kita sendiri mestilah menjadi dari golongan yang berakal dan memahami sedalam-dalamnya.

Sekiranya kita tidak berhati-hati, maka dikhuatiri kita akan terjebak lalu tergelungsur jatuh dan jauh menyimpang dari kehendak syariah walaupun pada asalnya niat yang sebenar adalah untuk menegakkan hukum Allah di atas muka bumi bersesuaian dengan yang di bawa oleh Baginda s.a.w.

Amalan ulama yang jauh lebih mahir berbanding kita sendiri adalah hujah yang kuat betapa kita tidak sepatutnya dengan sewenang-wenang mengeluarkan pendapat sendiri. Nama-nama seperti Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa'i, Ibnu Majah, Tahawi, Ibnu Hajar, Ibnu Rushd, Sayuti, Ibnu Kathir adalah antara mereka yang bertaqlid dengan imam-imam mujtahid yang datang sebelum mereka.

Golongan yang tidak mengikut mazhab pada hari ini banyak menggunakan pendapat Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim dalam membahaskan pendapat mereka. Tidakkah mereka sedar bahawa keduanya adalah antara ulama ulung dalam mazhab Hanbali? Dan mengapa tidak sahaja mereka digelar Taimi sekiranya mereka merasakan bahawa pendapat Ibnu Taimiyyah sahaja yang berasaskan al-Quran dan Sunnah?

Adakah imam-imam mujtahid terdahulu tidak memahami sunnah sedangkan zaman mereka jauh lebih dekat dengan zaman Baginda s.a.w. dan para sahabat kalau nak dibandingkan dengan Ibnu Taimiyyah yang datang enam hingga tujuh abad selepas imam-imam mujtahid?

Hakikatnya apabila kita berpegang kepada pendapat imam mujtahid, kita sudahpun berpegang kepada dalil dan tali yang kukuh. Imam Dzahabi seorang ahli sejarah yang terkenal dan alim mengenai ilmu-ilmu perawi hadis dalam kitab-kitab beliau tidak pernah berbahas mengenai imam-imam mujtahid. Ini kerana penerimaan umum dan kehebatan imam-imam mujtahid mencapai darjah mutawatir, iaitu mustahil untuk orang ramai bersepakat untuk berbohong dalam menyatakan keunggulan imam-imam tersebut.

Ghair muqallidin hari inipun lebih banyak berpandukan pendapat ulama yang tidak mengikut mazhab seperti mereka antaranya Syeikh Nasirudin al-Albani. Persoalannya sekarang apabila mereka mengikut al-Albani maka mereka sahajalah Ahlusunnah wal-jama’ah. Dan apabila kita terikat dengan pendapat-pendapat Syafie maka kita tidak digelar sebagai Ahlussunnah. Di manakah keadilan?

Jadi, apabila kita sedia maklum bahawa ilmu yang ada pada kita hari ini belum tentu cukup untuk kita berbahas segala dalil dalam sesuatu masalah agama, apakah hak kita untuk berijtihad apatah lagi memberi keizinan umum kepada orang-orang awam untuk berijtihad sendiri? Sedangkan tahap pemahaman dalam kalangan ulama ada bezanya, apakah perlu kita menyusahkan orang ramai untuk berfatwa?

Memahami keperluan bermazhab (Bahagian 1/4)



Abdul Latif Rahbar
Segala puji bagi Allah ta’ala Pencipta syariah yang sempurna. Salawat dan Salam ke atas junjungan mulia Rasulullah s.a.w. yang telah menyampaikan syariah tersebut sebaik-baiknya.



Juga ke atas keluarga dan sahabat-sahabat Baginda s.a.w. yang mempraktikkannya kepada ummah yang datang kemudiannya. Dan ke atas imam-imam mujtahidin yang telah banyak berkorban dalam memimpin ummah ini dalam memahami syariah yang sempurna ini.

Pembaca yang dimuliakan, dewasa ini kita sering mendengar slogan-slogan yang memanggil kita ke arah pemahaman al-Quran dan Sunnah yang sebenar. Malah ramai di kalangan ahli-ahli akademik sendiri yang menyarankan agar kita mengkaji sendiri sedalam-dalamnya kedua-dua sumber asal syariah kita yang mulia.

Sehinggakan ada di kalangan mereka yang menyatakan bahawa al-Quran dan Sunnah adalah pedoman utama, dan tidak perlu kita bergantung atau mengikut mana-mana mazhab kerana tiada arahan spesifik daripada Baginda s.a.w. supaya kita perlu mengikut individu-individu yang tertentu dalam menghidupkan agama dalam diri kita.

Inilah slogan yang selalu kita dengar akhir-akhir ini, apabila ramai pihak melaung-laungkannya sambil menganggap bahawa bermazhab tidak akan membawa kita kepada kemajuan dan akan meninggalkan kita di bawah tempurung yang amat kecil.

Lalu mereka memberikan keizinan umum kepada semua pihak tidak kira golongan terpelajar atau tidak untuk mengeluarkan pendapat atau melakukan sesuatu amalan asalkan sumber yang didapati benar-benar sahih walaupun pendapat tersebut terang-terang berlawanan dengan pendapat yang telahpun dikeluarkan oleh imam-imam mujtahid yang datang beribu tahun sebelum kita.

Ada juga dalam kalangan mereka yang mengatakan bahawa terdapat pendapat imam tidak mengikut apa yang dinyatakan dalam hadis sahih, oleh itu tidak perlu kita mengamalkannya kerana kita hanya memerlukan sumber yang kuat sahaja dalam agama kita.

Lalu mereka menolak tarawih 20 rakaat, doa qunut pada waktu subuh, bacaan al-Fatihah di belakang imam dan pembatalan wuduk apabila tersentuh dengan wanita kerana pada "kajian" mereka amalan-amalan ini tidak bersandarkan kepada hadis-hadis yang sahih.

Benarkah begitu?

Pertama sekali perlu difahami bahawa untuk mengeluarkan sesuatu pendapat dalam bidang agama kita perlulah mengetahui A-Z bidang tersebut dan mestilah diiktiraf keilmuan kita mengenainya.

Perbuatan mengeluarkan pendapat tanpa ilmu yang diiktiraf adalah salah walaupun pendapat yang dikeluarkan adalah betul.

Sebaliknya, sekiranya seseorang itu sudah diiktiraf mencapai tahap yang mana dia mampu mengeluarkan pendapat berdasarkan sumber agama, lalu dia berfatwa atau berijtihad mengenai sesuatu perkara, maka dia tetap akan mendapat ganjaran walaupun ada kemungkinan untuknya mengeluarkan pendapat yang tidak tepat dalam perkara tersebut.

Seorang yang tidak mempunyai lesen perubatan sekiranya cuba merawat pesakit adalah dikira bersalah walau sehebat manapun ilmunya dalam bidang perubatan. Sekiranya untuk perubatan jasmani kita terlalu berhati-hati, apatah lagi bidang perubatan rohani?

Perlu diingatkan bahawa yang boleh mengiktiraf seseorang untuk menncapai taraf mujtahid hanyalah golongan-golongan yangg sudah mencapai tahap yang sama. Hanya pakar perubatan boleh mengiktiraf sama ada seorang pelajar perubatan sudah layak untuk merawat pesakit atau sebaliknya.

Diriwayatkan dalam Sunan Abu Daud dari Jabir r.a. bahawa: "Satu ketika kami telah melakukan pengembaraan lalu salah seorang dari kami telah terkena batu lalu terlukalah kepalanya. Pada malamnya dia telah berihtilam (mimpi basah) lalu dia bertanya kepada teman-temannya: 'Adakah kamu semua mendapati sebarang kelonggaran untukku bertayammum (tanpa perlu mandi wajib)?'”

Mereka menjawab: 'Kami tidak menjumpai sebarang kelonggaran untukmu sekiranya kamu masih boleh menggunakan air.' Lelaki tersebut menunaikan mandi wajib dan terbukalah luka di kepalanya lalu dia meninggal."

Apabila kami sampai kepada Rasulullah s.a.w dan berita ini disampaikan kepadanya Baginda s.a.w bersabda: 'Mereka (yang berpendapat bahawa dia tidak boleh bertayamum) telah membunuhnya, semoga Allah ta’ala membunuh mereka! Mengapa tidak mereka bertanya sekiranya mereka tidak tahu? Sesungguhnya satu-satunya rawatan bagi kejahilan adalah dengan bertanya.'” (Abu Daud 1.93)

Setiap pendapat yang dikeluarkan oleh imam-imam mujtahid sebelum kita seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafii dan Imam Ahmad bin Hanbal adalah pendapat yang telah ditapis, dikaji dan dibahas sebelum mereka berfatwa mengenainya. Imam-imam tersebut akan terlebih dahulu mengambil kira pro atau kontra sesuatu ayat al-Quran dan Sunnah dan bukan hanya bersandarkan kepada sepotong hadis yang mereka temui.

Imam Malik misalnya tidak pernah mengeluarkan pendapat melainkan pendapat tersebut terlebih dahulu diutarakan dan dipersetujui oleh 70 ulama yang hidup pada zaman beliau.

Imam Abu Hanifah mempunyai majlis fatwa beliau yang terdiri dari puluhan ulama yang membahaskan kesemua masalah agama sebelum meluluskan sesuatu fatwa.

Kerana sifat berhati-hati inilah ulama Ilmu Rijal (ilmu berkenaan sejarah perawi-perawi hadis) sama sekali tidak pernah mempertikaikan imam-imam mujtahid dari segi kemampuan mereka berijtihad.

-----------------------------------------------------------------------------



REAKSI



Menangapi tulisan Abdul Latiff Rahbah: BERMAZHAB

Oleh edu global

Alhamdulillah, dengan izin-Nya semata saya telah dapat membaca bahagian satu tulisan Tuan Abdul Latif tentang memahami Keperluan Bermazhab.

Dari awal tulisan lagi sudah menampakan tentang situasi yang sedang melanda negara ini dimana sekarang ini tengah hangat diperkatan tentang menjamurnya fahaman dan kesadaran terutama kalangan terpelajar akan itikad kembali kepada Quran dan Sunnah seperti yang diserukan oleh beberapa Ulama yang mutabar.. bahawa untuk menjayakan umat Islam kita harus kembali kepada Al Quran dan Sunnah.

Saya yakin pada satu saat negara ini akan ada satu perukhan ketara dalam memahami Islam sesuai dengan perkembangan zamannya dimana sekarang dunia pendidikan di negara ini semakin maju, hampir disetiap negeri sudah ada universiti dan dalam universiti itu ada pengajian islam, maka sudah tentu ia akan ada penemuan penemuan yang dianggap baru oleh setiap pelajar dengan dan atas bimbingan Al Quran dan Sunnah.

Pemikiran kolot dan ortodoc akan lenyap..orang yang masih berpikir tentang hal sifatnya furu' akan ketinggalan zaman...dan digantinya dengan generasi Qurani yang penuh setia kepada kedua Sumber utama al Quran dan al Sunnah... seperti yang disebut oleh Sayid Qutub.

Adapun pahaman tentang bermazhab seperti yang ditulis oleh tuan Abdul Latif dan akan diteruskan dengan siri tulisannya akan berusaha mempertahankan pemahaman tentang pentingnya bermazhab yang empat Syafi'i, Maliki, Hambali dan Hanafi.

Sepatutnya penulis sebaiknya menjelaskan terlebih dahulu apa itu bermazhab. Walaupun telah banyak diperkatakan, tapi ianya perlu terutama bagi orang awam dan jahil seperti saya ini..dimulai dari awal timbulnya dan sampai kepada perkembangannya..

Secara singkatnya, mengulang fahaman bermazhab bahawa ia adalah teori imperialis barat, penjajah terutama Yahudi dan Nasrani untuk menghancurkan Umat Islam dan melumpuhkan dunia Islam. Dan ia memang betul. Melihat tulisan ini ia akan menyerang orang yang tidak Qunut, Fatihah dibelakang imam, tarawih 20 rakaat.

Kasian umat Islam, orang Yahudi dengan segala upaya akan berusaha untuk menghancurkan ummat Islam dengan segala caranya, kita masih berebut hal-hal yang sifatnya furu' (cabang) bukan yang prinsip aqidah dan lain-lain.

Setiap hari umat Islam dibunuh oleh Yahudi terutama di Palestin, ini masih asik bincang fasal qunut dan tak qunut...saya yakin tidak akan membawa pada penyelesaian....ia hanya membuang waktu dan tenaga...Orang kafir sudah berpikir yang lebih maju, umat Islam masih memikir hal yang sifatnya remeh temeh.

Sangat heran kenapa umat Islam ini suka sangat bertelagah terutama dalam hal furu'.. sepatutnya kalau menengok situasi hari ini sudah sepatutnya insaf untuk memikir macamana kita bersatu untuk mempertahan maruah,,untuk membela darah sendiri yang diinjak-injak, dihilangkan haknya oleh manusia yang zalim Yahudi dan Nasrani seperti yang berlaku di Palestin.

Sepatutnya pihak editorpun tidak patut memuat tulisan seumpama ini, kerana ia tidak mencerminkan kesatuan dan perpaduan.. justru memperuncing pada perpecahan..Ini bertentangn dengan missi Rabbani (al Quran)

Firman Allah:
Ertinya: "Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah seraya berjamaah dan jangn berpecah belah" (AliImran 103).

Akhbar Harakah sepatutnya menjadi duta al Quran iaitu untuk menyatukan ummat bukan untuk memcahkannya..tulisan ini jelas akan memecahbelahkan pembaca antara yang pro dan contra...

"Wahai orang-orang yang berimantakutlah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya takut..(al Imrah 102)..

Atas dasar ini, hentikanlah perbalahan kerana tidak akan membawa apa-apa manfa'at kecuali kehancuran...dan bersatulah semua kerana ia merupakan rahmat...hentikan saling serang menyerang antara kita, saling salah menyalah, sudah saatnya kita duduk semeja, bincang dengan suasana kondusif..bersatulah untuk memperkukuh saf perjuangan yang amat dikasihi Allah yang seumpama bangungan yang kuat lagi kukuh (al SAf:3),

Sekiranya ada perbezaan alQuran telah memberi panduan 'sekiranya kamu bertanazu'/berbeza pendapat, maka kembalikanlah kepada Allah (al Quran dan Rasul-Nya (al Sunnah) seperti yang disebut dalan surat al Nisa 59.

Kepada pihak editor sekali lagi saya harapkan muatlah tulisan yang sifatnya kearah mendidik kepada kesatuan dan persatuan dan bukan sebaliknya.

Kepada penulis saya harap tulislah yang lebih bermanfaat untuk mengarah kepada kekuatan saf kita sebagai ummat yang satu seiman se aqidah..fokuskan kearah macamna melawan pihak musuh yang saban hari saban detik memikirkan untuk menghancurkan ummat islam seperti orang Yahudi dan orang kafir yang lain..

Sekian, sekiranya tulisan ini benar, maka kebnaran datang daripada Allah, tapi jika sebaliknya, maka kesalahan dan kekeliruan itu datang dari kejahilan saya. Saya beristigfar atagfirullah, wallahu'alam.

Friday, March 20, 2009

PPSMI: Rosak bangsa, negara jika dasar negara ditentukan oleh pendemonstrasi

14 Mar 2009 2:47PM
Oleh Dr. Mahathir Mohamad

SAYA berasa amat sedih apabila membaca laporan berkenaan demonstrasi yang dipimpin oleh tokoh sastera Melayu menentang pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Kononnya ini akan menidakkan kebolehan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam ilmu ini. Konon ia akan mengurangkan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kita harus ingat bahawa pelajaran bukan semata-mata untuk memaju atau mengembangkan bahasa. Pelajaran adalah untuk penguasaan ilmu, pelbagai jenis ilmu.

Yang boleh meningkatkan taraf dan kemajuan bahasa ialah matapelajaran bahasa itu sendiri dan diperingkat yang lebih tinggi mata pelajaran sastera.

Sains dan matematik tidak mungkin menolong kemajuan bahasa, khususnya bahasa Melayu.

Ini disebabkan bahasa sains dan matematik bukan daripada bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada perkataan-perkataan dalam mata pelajaran ini adalah dalam bahasa Latin yang di-Inggeriskan.

Memang benar kita boleh Melayu-kan perkataan-perkataan ini, seperti juga kita Melayu-kan perkataan daripada lain-lain bahasa.

Memang boleh tetapi perkataan-perkataan sains bukan satu dua tapi beratus-ratus. Dan perkataan ini menjadi asas kepada perkataan yang mempunyai makna yang amat berlainan.

Umpamanya perkataan Oxygen (Oksigen) - satu jenis gas. Derivative (cabang) daripada perkataan ini adalah seperti berikut;

• Oxygenation

• Oxidation

• Oxide

• Oxidants

• Deoxydation

• Oxidise

• Oxidification

• Dioxide

• Monoxide

• Peroxide

Ini hanya bagi satu elemen daripada sebanyak 120 (118) elemen.

Tiap satu mempunyai banyak derivative. Tetapi ada perkataan-perkataan lain yang hanya untuk ilmu sains. Jika semuanya nak di-Melayukan, bahasa Melayu akan bertukar menjadi bahasa Inggeris, ejaan lain bunyi semacam. Sebenarnya ia bukan bahasa Melayu lagi.

Ilmu sains dan matematik bukan ilmu yang statik. Ilmu-ilmu ini berkembang sepanjang masa. Tiap hari ada hasil kaji selidik, penerokaan, ciptaan dan perluasan yang diperkenal melalui ratusan kertas-kertas yang ditulis.

Hampir semua ditulis dalam bahasa Inggeris. Untuk menterjemah tulisan ini kita perlu orang yang fasih dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan faham ilmu yang hendak diterjemah.

Kita ada beberapa kerat sahaja orang yang berkebolehan seperti ini. Itupun dalam dua tiga bidang sahaja. Orang yang layak seperti ini tidak berminat menjadi penterjemah seumur hidup. Apabila sains dan matematik diajar dalam bahasa Melayu, orang seperti ini tidak akan ada lagi. Bagaimanakah kita hendak ikuti perkembangan ilmu sains?

Sebaliknya kertas ilmiah akan terus dikeluarkan beratus-ratus lagi, semuanya dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain. Maka tanpa kebolehan menterjemah semua ilmu baru ini akan tertinggallah orang Melayu dalam bidang ilmu yang amat penting di zaman ini.

Kalau kita masih tidak dapat menerima kenyataan di atas, kaji sahaja jumlah Phd dalam bidang sains yang hanya belajar sains dalam bahasa Melayu dan tidak faham bahasa Inggeris. Berapa ramaikah daripada pakar dalam bidang perubatan yang hanya belajar dalam bahasa Melayu, tanpa buku dalam bahasa Inggeris sebagai buku teks.

Apakah penuntut luar bandar tidak dapat menguasai bahasa Inggeris?

Sekali lagi perhitungan perlu dibuat berkenaan jumlah mereka yang dari kampung yang memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan dan swasta kerana lulus dalam bahasa Inggeris dan mampu berhujah dalam bahasa berkenaan. Yang menentang PPSMI pun dari kampung juga tetapi dapat kelulusan bahasa Inggeris. Bahkan mereka sering berbahasa Inggeris.

Duta dan diplomat kita, berapa ramaikah yang hanya boleh bertutur kata dalam bahasa Melayu yang memegang jawatan penting dalam Kementerian Luar?

Pakar sains dan perubatan dan juga pegawai tinggi Kerajaan sering dikehendaki mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa. Apakah mereka dapat berhujah dan mengambil bahagian secara berkesan dengan mengguna hanya bahasa Melayu?

Saya bukan hendak memandang rendah bahasa bangsa saya sendiri. Tetapi saya perlu terima hakikat yang sebenar.

Bahasa sesuatu bangsa akan dipelajari oleh orang asing jika bangsa itu amat maju dan terkenal dengan ilmu yang dimiliki dan diterokai olehnya. Demikian sebelum abad ke-15 Masihi orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab kerana tamadun Islam pada masa itu gah dan amat dihormati. Tetapi selepas orang Islam ketepikan sains, ilmu perubatan dan hisab, orang Eropah tidak lagi mempelajari bahasa Arab. Sebaliknya orang Arab dan Islam terpaksa belajar bahasa Eropah.

Jika kita ingin bahasa Melayu digunakan dengan meluas kita perlu majukan diri kita dalam semua bidang terutama bidang ilmu dahulu. Sebelum daripada itu minat untuk belajar bahasa Melayu akan terhad kepada sekumpulan kecil sahaja.

Kita belajar sains dan matematik untuk memajukan bangsa kita supaya satu hari mungkin kita akan terkenal berkenaan dengan penerokaan dan kajiselidik oleh kita dan orang lain akan belajar bahasa kita untuk mendapat ilmu yang diteroka oleh kita.

Penguasaan ilmu amat penting bagi masa depan seseorang. Janganlah kita perjudikan masa depan anak orang kerana kononnya kita seorang nasionalis yang begitu sayang kepada bahasa kita. Sayang bahasa tidak boleh melebihi sayang bangsa. Mereka yang sayang bangsa mereka ingin lihat bangsa mereka maju, berilmu dan dihormati dunia. Hanya kerana boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak akan menjadikan bangsa kita dihormati dan disegani orang.

Akan rosaklah bangsa dan negara jika dasar negara ditentukan oleh orang yang berdemonstrasi. Lebih rosak lagi jika yang berdemonstrasi didalangi oleh politik pembangkang. / http://chedet.co.cc/chedetblog

Sains dan matematik tidak mungkin menolong kemajuan bahasa, khususnya bahasa Melayu

PPSMI: Hanya pakar sains dan metematik layak memberi pandangan

16 Mar 2009 12:23AM
Oleh Syed Shatir Asghrar Syed-Hassan

SEJAK akhir-akhir ini isu pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris menjadi salah satu isu yang hangat diperkatakan di seluruh pelusuk negara. Selepas beberapa tahun ianya diperkenalkan hanya baru-baru ini timbul satu gerakan besar-besaran meminta kerajaan menghapuskan perlaksanaan dasar ini. Mungkin perasaan ketidakpuasan hati mereka sudah meluap-luap agaknya.

Apa-apa pun saya lebih suka melihat isu ini di luar konteks politik. Cuba kita lupakan sejenak siapa dan parti mana yang mengilhamkan dasar ini bagi mengelakkan bias dan bagi mendapatkan satu jawapan atau keputusan terbaik untuk masa depan generasi masa depan kita.

Sains dan matematik adalah ilmu asas yang perlu ada bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang sains dan teknologi. Bidang sains dan teknologi pula adalah satu bidang yang terpenting di dunia pada masa kini. Bidang yang perlu dikuasai oleh setiap negara.

Penguasaan sains dan teknologi dapat menjadikan sesebuah negara itu menjadi berkembang dan maju. Sains dan teknologi juga amat penting untuk penyelesaian masalah-masalah dunia seperti dalam pencarian sumber tenaga baru dan juga pencarian vaksin pencegah wabak.

Saya sebagai salah seoarang yang berkecimpung dalam bidang sains dan teknologi ini merasakan perlunya mata pelajaran sains dan matematik diajar dan dipelajari dalam bahasa Inggeris.

Saya dan mereka yang seangkatan dengan saya sudah merasai perit jerih untuk mengadaptasi pembelajaran dalam bahasa Inggeris di universiti sesudah mengenal sains dan matematik dalam bahasa Melayu di peringkat sekolah.

Sehingga tingkatan lima, dengan mudah saya memperolehi bacaan-bacaan dalam bahasa Melayu, tetapi apabila pergi ke alam universiti, semua rujukannya berbahasa Inggeris.

Tuhan saja yang tahu betapa kekok dan susahnya mengalami proses perubahan yang mengejut itu. Kalau boleh, saya tidak mahu melihat generasi masa depan mengalami nasib yang sama seperti mana yang saya alami.

Mengapa kita perlu PPSMI? Sains dan teknologi adalah cabang ilmu yang bergerak begitu pantas. Hampir setiap hari ada penemuan baru.

Penemuan-penemuan ini biasanya diistilahkan dalam bahasa Inggeris dan istilah tersebut amat mungkin tiada lagi tafsirannya dalam bahasa kita. Saintis-saintis kita kemudiannya akan mencari istilah sesuai untuk penemuan tersebut.

Ini sudah pasti mengambil masa. Dalam pada kita mencari istilah tersebut, orang lain sudah menjumpai penemuan yang lebih kehadapan. Kita masih mencari istilah yang sesuai. Selama-lamanya kita akan terkebelakang dalam hal ini.


Kita perlu akui bahawa untuk menguasai sesuatu cabang ilmu itu perlukan penguasaan yang tingi dalam bahasa ilmu itu. Sebagai contoh, untuk mendalami ilmu agama ke peringkat yang tinggi, kita memerlukan mereka yang boleh menguasai bahasa arab dengan baik.

Ini kerana banyak kitab-kitab ditulis dalam bahasa Arab. Begitu juga dengan sains dan teknologi. Hakikat yang perlu diakui adalah bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu bagi sains dan teknologi pada masa kini.

Saintis-saintis negara lain sebenarnya menerima hakikat atas perkara ini. Bahasa inggeris diakui sebagai medium komunikasi saintis-saintis dunia. Saintis-saintis dari negara China dan Jepun juga sekarang ini berlumba-lumba mengusai bahasa inggeris.

Di zaman kegemilangan empayar Islam, memang benar dikatakan bahasa ilmu ketika itu adalah bahasa arab.

Bangsa-bangsa lain sudah pasti harus mempelajari bahasa arab untuk menerokai ilmu tersebut. Walaubagaimanapun, masa telah berubah. Bahasa ilmu bertukar dari zaman ke zaman. Sekarang ini bahasa Inggeris menjadi bahasa ilmu untuk sains dan teknologi.

Tidak mustahil suatu hari nanti jika seseorang yang ingin mendalami ilmu pengajian Islam perlu menguasai bahasa Inggeris di samping bahasa Arab dengan mantap kerana semakin banyak rujukan dalam bidang ini ditulis dalam bahasa Inggeris.


Ada mereka di luar sana berpendapat, kalau nak mahirkan bahasa Inggeris tidak semestinya belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kita boleh tambah masa pembelajaran untuk mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri. Bagi saya, mereka ini tidak faham hujung dan pangkal.

Suka saya tekankan, English for communication, Business English, English for Science and Technology dan banyak lagi English itu perlukan skil-skil yang berbeza. Kalau boleh bertutur bahasa Inggeris dengan baik belum tentu dapat memahami artikel-artikel dalam bidang sains dan teknologi.

Saya sudah acap kali bertemu bangsa Inggeris yang menanyakan tentang bidang yang saya ceburi. Bila saya memberi penjelasan, mereka akan kata: Can you please explain in simple English? Its too technical!

Kalau bangsa Inggeris sendiri tidak dapat memahami istilah-istilah sains dan teknlogi, apatah lagi kita yang menggunakan bahasa Melayu?

Sudah tentu caca marba jadinya kalau setiap satu hendak diterjemahkan. Di bawah ini saya sertakan contoh bahasa Inggeris yang digunakan dalam bidang saya.:


Catalytic oxidative dehydrogenation of light alkanes
Non-reducible complex metal oxide
Catalytic partial oxidation in a circulating fluidized-bed reactor
Irreducible mass-transport limitations
Flash-pyrolysis in a cyclone reactor

Saya akui saya tak mampu menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu yang boleh difahami. Ini hanya sebagai contoh. Banyak lagi istilah-istilah dalam bidang lain. Sains dan teknologi itu sendiri sangat luas.

Untuk memudahkan penterjemahan akhirnya dimelayukan saja istilah-istilah inggeris tersebut. Maka jadilah seperti perkataan-perkataan reformasi, dekadensi,informasi, farmasi, universiti, sosiologi dan banyak lagi. Mengapa tidak digunakan saja bahasa Inggeris kalau begitu?

Di sini saya ingin menekankan bahawa perlunya istilah-istilah sains dan matematik dalam bahasa inggeris didedahkan kepada anak-anak kita dari kecil.

Supaya nanti bila ke universirti tidak menjadi terkejut seperti mana yang saya alami. Akan hilangkah kemelayuan kita kalau belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris?

Saya rasa tidak mungkin sama sekali. Saintis-saintis berketurunan Cina atau Jepun di universiti-universiti terkemuka dunia masih tebal kecinaan dan kejepunan mereka walau mereka sudah mampu berbahasa inggeris lebih baik baik dari orang Inggeris sendiri.

Tiada cacat tiada celanya kecinaan dan kejepunan mereka. Saya boleh berkata begini kerana penyelia PhD saya dan rakan-rakan saya adalah berbangsa China.

Mereka sendiri akui perlunya menguasai bahasa Inggeris untuk menjadi saintis dan teknologis yang hebat. Mengapa kita tidak boleh menerima hakikat ini?


Ada seorang penulis blog kata bangsa Iran tak belajar dalam bahasa Inggeris pun boleh buat roket dan vaksin.

Saya rasa penulis ini terlalu banyak bersastera sampai terlupa akan hakikatnya bahawa ramai pelajar-pelajar dari Iran sedang menuntut di Universiti-universiti dalam negara kita dan lain-lain negara. Saya juga ada rakan dari Iran.

Dia sendiri akui susah nak belajar dalam bahasa Inggeris sebab dulu di Iran dia tak pernah guna bahasa Inggeris. Bagi yang lebih bijak akan menunjukkan hasil-hasil kajian bahawa kononnya PPSMI gagal.

Murid-murid tidak mampu mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan mereka. Bunyinya semacam fakta-fakta ini cukup bijak dan sukar untuk ditangkis oleh mereka yang Pro-PPSMI. Mereka ini juga sebenarnya terlupa bahawa kajian ini dilakukan ke atas kanak-kanak sekolah.

Tujuan PPSMI bukanlah untuk meningkatkan keputusan UPSR kanak-kanak sekolah. Tujuannya amat jauh ke hadapan. Untuk meningkatkan penguasaan sains dan teknologi kita di masa akan datang.

Kajian-kajian ini tidak patut dijadikan rujukan. Sains dan matematik itu sendiri memang agak susah berbanding dengan mata pelajaran lain waima digunapakai bahasa Melayu sekalipun.

Kalau pengkaji menemubual kanak-kanak sekolah, sudah tentu mereka akan kata susah. Saya hairan dengan cara orang kita berfikir.

Terlalu pentingkan keputusan yang baik dalam peperiksaan di sekolah. Sebanarnya peperiksaan di sekolah itu tidak menjamin apa-apa pun masa depan anak-anak kita di masa depan.

Dah banyak saya saksikan pelajar cemerlang di peringkat sekolah tidak mampu menjadi pelajar cemerlang di universiti. Peringkat sekolah adalah lebih kepada peringkat latihan dan persediaan.

Kita patut gembira kalau semua pelajar dapat C dalam matapelajaran Sains di sekolah. Ini menujukkan adanya ruang untuk proses pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak itu.

Sepatutnya kita patut merasa risau kalau semua pelajar dapat A dalam subjek mereka. Ini menunjukkan silibus itu terlalu mudah dan tiadanya ruang mereka untuk menambahbaik. Kita patut berani belajar dari kegagalan.

Salah satu prinsip Leonardo da Vinci juga adalah belajar dari kegagalan. Lebih baik kanak-kanak ini merasa susah diperingkat awal dari bersusah di kemudian hari.

Sekiranya kajian ingin dilakukan ke atas keberkesanan PPSMI, saya cadangkan jangan jadikan pencapaian kanak-kanak sekolah sebagai satu parameter kajian. Sebaliknya tunggu mereka ini masuk universiti dan bergelumang dalam bidang sains dan teknologi di peringkat yang lebih tinggi.

Kalau dilihat balik, banyak yang menentang dasar PPSMI ini datangnya dari bukan yang berlatar belakangkan sains dan teknologi. Rata-rata adalah orang Arts.

Ini masalah sains dan teknologi!!!. Biarlah orang dalam bidang ini yang memberi pendapat. Perlu atau tidak perlunya sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Biarlah orang sains dan teknologi bertegang urat untuk mencari jawapan dalam masalah ini. Mereka lebih tahu dalam perkara ini.

Bagi mereka yang ingin memperjuangkan bahasa dan bangsa melayu, saya rasa banyak lagi yang boleh diperjuangkan. Mengapa tidak diperjuangkan penghapusan musik, filem dan program-program TV berbahasa Inggeris.

Kalau nak dibandingkan dengan PPSMI, musik, filem dan program-program TV Inggeris lebih banyak mudaratnya dan mampu mencemarkan budaya kemelayuan kita.

Kepada orang-orang politik pula, lebih baik duduk diam tunggu apa kata pakar-pakar sains dan teknologi kita.

Pihak pembangkang sudah tentu tak setuju sebab boleh jadi bahan politik mereka. Bagi pihak kerajaan pula, kalau sudah terlalu takut undi hilang, mungkin sanggup buat keputusan yang tak populis. Akhirnya generasi ke hadapan kita yang akan rugi. Sama-sama fikirkanlah…

*Penulis merupakan seorang pembaca KLpos.com yang sedang mengikuti pengajian PhD dalam bidang kejuruteraan kimia di Australia. Tulisan beliau dikirim melalui email untuk disiarkan dalam ruangan Minda Pembaca KLpos.com. Pandangan penulis tidak semestinya menggambarkan pendirian KLpos.com. Pembaca yang ingin menulis diruangan Minda Pembaca ini bolehlah menghantar artikel, berita, rencana atau apa saja bentuk penulisan ke webmasterklpos@gmail.com. Siaran tertakluk kepada kelulusan dari pihak pengarang.


Kalau bangsa Inggeris sendiri tidak dapat memahami istilah-istilah sains dan teknlogi, apatah lagi kita yang menggunakan bahasa Melayu?

Slumdog Millionaire 'cabar' bahasa Inggeris?

Syuaib Zakaria
Thu | Mar 19, 09 | 3:08:28 pm MYT

Ada banyak sebab, kenapakah Slumdog Millionaire diangkat sebagai sebuah filem terbaik baru-baru ini.

Filem ini mengangkat kehidupan masyarakat miskin sebenar di India dan ia berbeza dengan filem-filem Hindi yang lain. Paling jelas, filem ini tidak diselangi tarian dan nyanyian, iaitu perencah dan ramuan biasa yang banyak menghidupkan kekuatan dalam filem Hindi sebelum ini.

Paling jelas, filem ini dianggap terbaik kerana kekuatan ceritanya. Ia mengisahkan perjalanan hidup seorang kanak-kanak lelaki India Muslim; Jamal Malik yang menjalani kehidupan bersama abangnya sejak kematian ibu yang diserang kumpulan penganut Hindu.

"You don't have to be a genius," kata Jamal kepada polis yang menahannya. Beliau disyaki menipu dalam program tv termasyhur di India itu. Memang benar kata Jamal.

Beliau sebenarnya bukannya pintar pun dan hal ini dibuktikan pada akhir cerita di mana beliau sendiri tidak tahu jawapan mengenai nama wira dalam The Three Musketeers, walaupun novel itu adalah antara yang dibacanya sejak zaman kanak-kanak.

Apa yang menyebabkan Jamal Malik mampu menjawab hampir keseluruhan soalan dalam kuiz Who Wants To Be A Millionaire itu?

Keperitan hidup
Sebenarnya, Jamal mengharungi segala keperitan hidup pada zaman kanak-kanaknya. Untungnya, pada setiap jalur kehidupan yang gelap itu, ternyata ada sahaja yang ada kaitan dengan pertanyaan hos rancangan tv tersebut.

"Di atas kertas wang Amerika $100, wajah siapakah yang tertera di atasnya?" tanya hos program itu.

Jamal termenung dan di ruang matanya, dia teringat zaman kecilnya ketika hidup menipu para pelancong di Taj Mahal. Bersama abangnya Salim, mereka mendapat upah yang banyak.

Di situlah Jamal mengenal mata wang Amerika. Dan, dia mengetahui wajah siapakah yang tertera di atas wang not $100 dollar Amerika itu ketika diberitahu rakannya yang telah dibutakan matanya oleh kumpulan penjahat.

"Benjamin Franklin," jawab Jamal tanpa ragu-ragu. Bukan itu sahaja. Ada banyak lagi kisah gelap dan cerita suram lagi kelam yang akhirnya gumpalan pengalaman itulah yang telah membantunya menjawab setiap pertanyaan yang sukar dalam kuiz tersebut.

Mungkin sudah terbiasa dengan penipuan dan hidup mengenal penipuan ini menyebabkan Jamal dapat mengelak daripada ditipu pengacara program itu yang cuba menjebaknya dalam tandas. Ketika rancangan itu berhenti seketika untuk memberikan laluan kepada iklan, sang pengacara memberi jawapan salah di cermin tandas.

Jamal dapat menghidu niat pengacara itu yang mahu beliau kalah dan mahu menggagalkan harapannya memenangi 20 juta rupee itu. Melalui talian hayat, dengan penuh bijak, akhirnya Jamal dapat membebaskan dirinya daripada perangkap pengacara yang memberi beliau jawapan yang salah ketika mereka sempat berbual di tandas sebelum itu.

Kejadian itulah yang menyebabkan pengacara menganggapnya telah menipu. Program itu ditunda pada keesokan hari kerana soalan-soalan belum dapat dijawab semuanya. Dalam perjalanan pulang itulah Jamal diperangkap pengacara dengan meminta polis menyiasatnya di balai polis.

Dalam proses siasatan, dan setelah diseksa dan dipukul dengan teruknya oleh pihak polis, Jamal akhirnya menceritakan satu persatu kisah bagaimana beliau pada akhirnya berjaya menjawab setiap persoalan tadi.

Pengalaman Jamal adalah kritik sosial ke atas masyarakatnya
Satu persatu riwayat hidupnya dikisahkan semula kepada pihak polis. Boleh dikatakan semua kisahnya telah menyebabkan pihak polis sendiri terpaksa akur dengan masalah negara mereka sendiri. Misalnya polis tidak dapat menyelesaikan masalah pergaduhan antara penganut Hindu dan Islam di India.

Jamal dan abangnya Salim setelah menjadi yatim piatu akhirnya diperalatkan sekumpulan lintah darat yang memperalatkan anak-anak yatim untuk dijadikan pelacur, hamba seks, peminta sedekah serta ahli kumpulan samseng yang baru direkrut.

Ketiadaan sokongan sesama masyarakat ke atas anak-anak yatim di India menyebabkan beberapa kumpulan yang tidak bertanggungjawab telah mengambil kesempatan menggunakan anak-anak yatim ini sebagai kumpulan jahat ketika mereka dewasa kelak. Inilah sebabnya kenapa ajaran agama menggalakkan pembelaan ke atas anak-anak yatim ini.

'Kritik halus' ke atas bahasa Inggeris
Slumdog Millionaire, selain itu telah mengangkat filem Hindi yang menggunakan bahasa Urdu ke peringkat dunia walaupun pemikiran rakyat India dan para pemimpinnya masih terbelenggu oleh penjajahan Barat.

Kejayaan filem ini yang 'gagal' dihidu pemimpin Malaysia ialah betapa filem Hindi akhirnya telah berjaya mencipta satu istilah baru dalam perbendaharaan Inggeris; iaitu Slumdog.

Hasil carian penulis ke atas slumdog di http://www.merriam-webster.com/dictionary/slumdog misalnya tidak membawa kepada apa-apa tafsiran ke atas slumdog.

"The word you've entered isn't in the dictionary. Click on a spelling suggestion below or try again using the search bar above," demikian petikan kamus maya Merian Webster daripada internet. Sebagai gantian, Merriam Webster menawarkan pengguna menyemak 14 istilah sebagai gantian ke atas istilah 'slumdog' yang tidak dijumpai itu.

1. slummage
2. sun dog
3. slumdom
4. slummock
5. slumgum
6. psalmody
7. smudge
8. semilog
9. smoodge
10. sandhog
11. slammock
12. psalmodic
13. semology
14. Sumgait

Rakyat India yang kuat asuhannya dalam pengajaran aliran Inggerisnya, telah berjaya 'memaksa' penjajah mereka, manusia Barat untuk akhirnya menerima satu ungkapan yang asalnya tiada dalam perbendaraan kata dan istilah mereka sebelum ini. Antara buktinya, Slumdog Millionaire mendapat pengiktirafan filem terbaik dalam Grammy Award!

Apakah Finas dan lain-lain lembaga perfileman kita mampu mencapai ke taraf itu? Kalaulah Menteri Pelajaran pun masih gagal mencari helah guna mengolah jawapan yang meyakinkan rakyat betapa PPSMI itu amat berguna maka jangan haraplah bahasa Melayu kita akan mampu berpencak di peringkat antarabangsa itu!

Lebih RM3 bilion untuk PPSMI!?
Perkembangan terbaru, sekitar RM3 bilion diperuntukkan oleh kerajaan bagi menjayakan PPSMI ini. Ini bermaksud, kalau para guru dan pelajar yang menderita akibat dasar PPSMI ini mahu kerajaan tidak kerugian agar PPSMI dapat dimansuhkan, mereka perlu memenangi sejumlah wang besar berkali-kali dalam rancangan Who Want's To Be A Millionaire untuk membayar semula kerugian kerajaan Malaysia itu.

Mungkin kita perlukan tukar sedikit istilah daripada Millionaire kepada Billionaire untuk segera menyelesaikan masalah ini. Ini kerana, Hishammuddin Hussein, Kementerian Pelajaran dan kerajaan takut kerugian wang dalam masalah pelajaran.

Dalam segi lain pula, sepupu Hishammuddin, Najib Razak selaku Menteri Kewangan tiada masalah pula menghanguskan wang RM1 juta untuk pembangunan Golf Remaja.

Hai.. Entahlah.. Apa nak jadi dengan kedua-dua adik-beradik sepupu sepapat ini? _

Kajian dapati 98 peratus mempunyai masalah dalam PPSMI

Muhammad Arif Ismail Harakahdaily
Thu | Mar 19, 09 | 2:48:47 pm MYT

BANGI, 19 Mac (Hrkh) - Satu kajian yang dilakukan oleh seorang profesor linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia, mendapati 98 peratus guru mengatakan pelajar mereka mempunyai masalah dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Iklan



Menurut beliau, kajian ini dilakukan pada tahun 2004 ketika dasar PPSMI baru dilaksanakan itu dengan melibatkan 900 orang responden yang terdiri dari guru-guru dan pelajar serta dana sebanyak RM1,500 di seluruh Malaysia.

"Saya tidak hanya bercakap kososng mengenai perkara ini, saya minta soalan kajian ini diseludup ke sekolah-sekolah di seluruh Malaysia tanpa mendapat kebenaran Kementerian Pendidikan.

"Kalau pihak Kementerian tahu, pasti kajian ini akan disekat dengan serta merta.

"Walaupun ada suara sumbang mengatakan dasar ini baru dilaksanakan, tidak ada apa faedahnya membuat kajian kerana baru lagi. Ia mesti diteruskan," tegas beliau.

Beliau berkata demikian dalam satu seminar hala tuju dasar PPSMI dalam dasar Pendidikan Kebangsaan yang diadakan di Dewan Teater, Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) pada 14 Mac lalu.

Hadir sama dalam seminar ini, Setiausaha Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), Hasni Abbas; Timbalan GMP, Dr Shahril Zain dan Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar.

Program ini telah dianjurkan oleh Jaringan Siswazah Malaysia (Jasa) dengan kerjasama Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (PPBBB).

Manakala tambah beliau, sebanyak 96 peratus orang guru tidak bersetuju bahawa ramai pelajar mereka semakin berminat dengan PPSMI.

"94 peratus tidak bersetuju dengan keputusan peperiksaan pelajar sangat membanggakan dalam mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris," tambah beliau.

Selain itu menurut beliau, 84 peratus orang pelajar mengatakan tidak setuju dengan semua pelajaran mesti mengunakan bahasa inggeris.

"Serta 75 peratus pula tidak setuju bahawa belajar sains dan matematik dalam bahasa itu tidak mendatangkan masalah pemahaman," katanya.

Oleh itu beliau berkata, mereka yang suka bercakap dalam bahasa inggeris, mencapai tahap yang baik, boleh berbincang dalam bahasa itu adalah mereka dari bandar dan Sekolah Menengah (SM) bukan Sekolah Kebangsaan Menengah (SMK).

"SMKlah lubuk anak Melayu, SM merupakan sekolah campur dengan semua kaum ada di sekolah itu. Oleh itu, yang dapat untungnya ialah SM bukan SMK, itu lubuk anak Melayu.

"Dan yang malang dan yang tertinggal dalam dasar ini ialah pelajar luar bandar yang merupakan 70 peratus dari populasi rakyat Malaysia yang kebanyakkan anak Melayu," katanya. - mns_

Kongres Melayu mahu PPSMI dibatalkan

Fathi Aris Omar | Mar 17, 09 4:59pm

Pertemuan bersejarah cendekiawan Melayu dalam kongres kebudayaan kedua hari ini meluluskan 10 resolusi penting, termasuk membawa akibat pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Deraf resolusi-resolusi yang menyentuh pelbagai bidang termasuk pendidikan, politik, keperlembagaan, ekonomi dan agama diedarkan di hujung pertemuan dua hari di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur.

"Kami mendesak hanya satu bahasa kebangsaan tunggal dilaksanakan dalam seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah hingga universiti demi perpaduan bangsa, keutuhan negara dan kemajuan seluruh kapisan masyarakat; pelaksanaan dasar pengajaran selain bahasa kebangsaan akan melemahkan maruah bangsa, menjatuhkan martabat negara dan menanam perpecahan antara kaum dan lapisan masyarakat; segala tindakan berkaitan bahasa kebangsaan mestilah selaras peruntukan semua perundangan negara," resolusi kelima dipetik.

Sementara resolusi keenam mengenai 'bahasa, kesusasteraan dan kesenian' berbunyi:

"Dasar bahasa dalam pendidikan mestilah dikembalikan kepada dasar yang berkuatkuasa sebelum 2003 sebagai bahasa pengantar di seluruh sistem pendidikan daripada tahap rendah kepada tahap universiti."

Kongres kedua itu yang diadakan selepas pertemuan pertama pada Disember 1957 juga menegaskan kembali peri pentingnya sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi didaulatkan kerana kedua-dua unsur itu "bahagian sempurna dan utuh bagi kerajaan Malaysia."

"Institusi raja dan Majlis Raja-raja adalah menjadi bahagian utuh daripada sistem pemerintahan Malaysia, maka segala kemuliaan dan kuasa yang termaktub sebagai 'pemerintah tertinggi' mestilah dipelihara dan dijunjung tinggi oleh semua pihak," kata profesor Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Datuk Dr Zainal Kling sewaktu membacakan resolusi mengenai politik.

Kongres itu, yang turut mendapat inspirasi resolusi Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1970 - yang menghasilkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan - turut menentang gagasan multikulturalisme yang dianggap "mengancam dan meruntuhkan seluruh sistem kebudayaan bangsa."

Sewaktu membentangkan hujahnya di kongres tersebut semalam, Dr Zainal berkata gagasan itu yang disebarkan oleh golongan sosialis dan Marxis menggalakkan kebangkitan penentangan kumpulan-kumpulan budaya kecil terhadap dasar-dasar kerajaan.

Tindakan seumpama ini, tambahnya, seperti gagasan Ketuanan Rakyat yang diseru oleh pakatan pembangkang dan idea-idea perjuangan hak asasi manusia yang dibawa NGO boleh menghancurkan negara.

"Kebudayaan Melayu-Bumiputera adalah visi dan kerangka budaya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menjadi landasan pembangunan dan kemajuan kebudayaan Malaysia, maka dengan itu, kami menolak segala gagasan dan tafisran yang berkait dengan multikulturalisme sebagai kerangka pemikiran dan pembangunan kebudayaan kebangsaan Malaysia yang akan mengancam dan meruntuhkan seluruh sistem kebudayaan bangsa," resolusi pertama dipetik.

Kongres menyokong kembali tiga prinsip asas Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai landasan utama kemajuan kebudayaan nasional:

kebudayaan kebangsaan mesti berasaskan kebudayaan pribumi di rantau Alam Melayu,

unsur-unsur kebudayaan lain boleh disesuaikan dengan kebudayaan kebangsaan, dan

Islam adalah unsur utama dalam kebudayaan kebangsaan.

Kumpulan cendekiawan Melayu ini juga melahirkan kebimbangan berhubung pindaan perlembagaan negara secara sewenang- wenangnya yang boleh mendorong kemuliaan raja, kepentingan rakyat, hak istimewa Melayu dan hak asasi semua rakyat dilemahkan dan diremehkan.

"Keluhuran perlembagaan dan dasar-dasar utama negara yakni dasar pendidikan, dasar kebudayaan, Rukun Negara dan dasar bahasa kebangsaan dikembalikan sebagai asas tindakan semasa terutama Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mencapai keseimbangan ekonomi antara kaum," dokumen setebal lapan halaman itu dipetik.

Mereka juga mendesak agar semua kakitangan pentadbiran awam dan penggubal undang-undang "mesti diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan (Melayu) yang baik dan fasih demi pencapaian keadilan dalam masyarakat."

Kongres mencadangkan media filem dimanfaatkan sepenuhnya untuk meneguhkan jati diri bangsa dan menyaring keselamatan bangsa dan negara, selain mendesak kerajaan mengawal kerencaman pemikiran Islam yang boleh menggugat kedudukan agama dan Melayu sebagai "bangsa penakrif" Malaysia.

Kongres ini dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ia ditutup dengan rasmi oleh Pengerusi Bernama, Datuk Seri Annuar Zaini.

Kongres: PPSMI umpama 'jolok sarang tebuan'

Fathi Aris Omar | Mar 16, 09 6:38pm

Kongres Kebudayaan Melayu Ke-2 yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini, dijangka meluluskan sekurang-kurangnya empat resolusi penting esok, antara lain, menyentuh dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Empat resolusi tersebut dibincangkan di peringkat awal oleh panitia kongres tersebut.

Berhubung isu PPSMI, kongres menyifatkan dasar kontroversi tersebut seolah-olah "menjolok sarang tebuan" dan menyentuh kesucian Perlembagaan Persekutuan.

Ia tidak harus disentuh oleh mana-mana, pihak termasuk parti politik di Malaysia, kata ketua satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) Tan Sri Dr Ismail Hussein sewaktu majlis perasmian kongres petang ini.

Dalam masa yang sama, ia juga membuka peluang kepada pihak lain untuk mempertikaikan perlembagaan, tambahnya.

Beliau juga menegaskan, "ada sejuta cara" lain untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar Melayu, bukannya dengan memperkenalkan PPSMI.

Pertemuan bersejarah ini - yang disifatkan sebagai kesinambungan kongres pertama yang berlangsung di Melaka pada hujung 1957 - dijangka turut meluluskan usul untuk mempertahankan kemuliaan Raja-raja dan pihak istana Melayu.

Tentang multikulturalisme

Institusi kesultanan Melayu tersebut merupakan titik perpaduan seluruh bangsa dan titik pertemuan sejarah tanahair yang panjang, hujah Dr Ismail lagi.

Persidangan yang bertemakan "Di Mana Bumi Dipijak" juga dijangka meluluskan usul menentang keras gagasan multikulturalisme dan serta berpegang teguh kepada usul Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971, antara lain, yang menyatakan bahawa budaya Melayu haruslah menjadi teras kebudayaan Malaysia.

Perhimpunan itu dijangka akan meluluskan usul bahawa sejarah dan tamadun Melayu harus dilihat secara global iaitu ia tidak harus dikurung dalam konteks negara bangsa Malaysia sahaja.

Kongres ini yang berlangsung di Wisma Sejarah di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan berakhir tengah hari esok.

Upacara perasmian pembukaan konges tersebut disempurnakan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Kajian: Hanya 4% kuasai BI melalui PPSMI

Jimadie Shah Othman | Mar 18, 09 12:13pm

Kajian mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa asing itu, dan sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari dua subjek tersebut.

"PPSMI hanya mampu menyumbang pada tahap paling minimum, iaitu kurang empat peratus kepada peningkatan pencapaian Bahasa Inggeris secara keseluruhannya," laporan bertajuk 'Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid' dipetik.

Menurut kajian 53 pakar bahasa itu, dasar kontroversi tersebut juga "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

"PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat sekolah rendah lagi."

Kajian yang melibatkan tujuh universiti awam itu dijalankan antara Jun hingga Disember tahun lalu oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina).

Universiti terlibat termasuklah Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Kajian merumuskan PPSMI harus ditamatkan dan mengembalikan sistem pengajaran sebelum dasar itu diperkenalkan pada 2003.

"Dari segi perkiraan analisis kos-faedah dalam konteks pelaburan jangka panjang, amalan PPSMI tidak menguntungkan, sebaliknya membantut tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang.

"Dengan ini, disarankan supaya dasar PPSMI diberhentikan," laporan eksekutif setebal sepuluh halaman itu dipetik.

Menurut kajian, analisis keputusan peperiksaan terhadap 5,595 sampel pelajar tahun lima daripada 56 sekolah kebangsaan mendapati pencapaian pelajar makin merosot dan merudum mendadak apabila berpindah ke tahun enam.

Kajian menjelaskan, kemerosotan berlaku akibat kegagalan pelajar memahami konsep sains dan matematik kerana tidak mampu berinteraksi dengan guru atau murid lain menggunakan bahasa Inggeris.

Pola yang sama didakwa turut ditemui daripada kajian Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Daerah dan sekolah tertentu.

Pengerusi eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raof Hussin yang menaungi kajian itu mengesahkan kajian tersebut kepada Malaysiakini hari ini.

Laporan eksekutif kajian itu diedarkan buat pertama kali kepada umum semalam di hujung Kongres Kebudayaan Melayu Kedua anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara.

Kongres itu turut meluluskan resolusi yang membawa akibat pemansuhan PPSMI apabila mendesak hanya satu bahasa kebangsaan tunggal dilaksanakan dalam seluruh sistem pendidikan dari tahap rendah hingga universiti.

Hasil kajian yang sama pernah dibentangkan dalam mesyuarat meja bulat membahaskan dasar tersebut anjuran Kementerian Pelajaran tahun lepas.

Menjelaskan latar belakang kajian, Abdul Raof berkata, walapun pakar bahasa yang terlibat hanya diberikan saguhati minimum, namun kajian tujuh bulan itu tetap melibatkan kos besar kira-kira RM470,000.

Beliau berharap kajian itu mampu memberikan gambaran sebenar pelaksanaan PPSMI kerana, sampelnya besar dan luas, melibatkan 15,089 orang daripada pelbagai jenis dan aliran sekolah dari pelbagai kawasan perbandaran seluruh negara.

Seramai 553 guru – termasuk pengetua, guru besar dan penolong kanan sekolah – turut dipilih sebagai sampel.

Abdul Rauf menegaskan, kajian itu dilakukan secara bebas dan tidak dibuat berdasarkan kepentingan tertentu.

"Kami hanya mengemukakan hasil kajian. Kalau positif, positiflah, kalau negatif, negatiflah," katanya.

Wednesday, March 4, 2009

Perkasa Masjidil Haram

Oleh Siti Sofiah Ahmad Mazlan
bhminggu@bharian.com.my


Enam arkitek termasuk seorang anak Malaysia dipilih untuk melaksanakan projek pembesaran kota suci umat Islam

Arkitek diminta membina bangunan yang boleh menampung lebih 1.5 juta orang dalam satu masa dan mampu memantulkan haba kerana iklim panas serta mengutamakan alam sekitar

MAKKAH al Mukarramah, kota suci umat Islam menjadi pusat pengumpulan manusia terbesar terutama apabila tiba musim haji setiap tahun.

Saban tahun, jumlah jemaah mengunjungi tempat ibadat itu semakin meningkat, justeru ia memerlukan kawasan yang besar bagi menampung jemaah terbabit melakukan ibadat dengan selesa dan tenang sepanjang berada di sana.


Sehubungan itu, satu perancangan membesarkan kawasan Masjidil Haram sedang giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.

Projek itu memfokuskan kepada dua perkara utama iaitu pembangunan rohani dan konsep mesra alam dalam memberi keselesaan kepada jemaah haji dan umrah yang datang mengunjungi tempat itu untuk melakukan ibadat.

Perancangan itu membabitkan kemudahan semua golongan jemaah termasuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas uzur yang ingin menyempurnakan rukun Islam kelima itu. Antaranya, mewujudkan laluan khas Saie bagi golongan terbabit agar ia tidak bercampur dengan jemaah normal.



Prof Dr Ismawi menunjukkan pelan penstrukturan semula Masjidil Haram.

Bagi merealisasikan projek berkenaan, seramai enam arkitek berpengalaman dan pakar dalam bidang perancangan bandar dan wilayah dilantik menganggotai Panel Antarabangsa Untuk Pembesaran Masjidil Haram.

Mereka ini bertanggungjawab merangka garis panduan untuk pembangunan semula Makkah khususnya pembesaran Masjidil Haram untuk dibentangkan kepada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud .

Mereka masing-masing seorang berasal dari Turki, Arab Saudi, Algeria, Malaysia dan dua dari Lebanon.

Malaysia diwakili Profesor Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ismawi Zen.



Di bawah panel itu, sebanyak 16 kumpulan daripada pelbagai negara sudah membentangkan kertas cadangan masing-masing dan Raja Abdullah bakal memilih lebih satu kumpulan berdasarkan kepakaran yang ada pada setiap kumpulan.

Semua kertas cadangan itu, masih di peringkat awal perbincangan namun begitu, sebahagian kecil pengubahsuaian seperti pembesaran laluan Saie sudah dilakukan bagi memudahkan jemaah haji mengerjakan ibadat itu pada musim haji lepas.

Kerja menyiapkan pelan itu dijangka siap akhir tahun ini manakala kerja fizikal dapat dimulakan selewat-lewatnya awal tahun depan.

Ketika ini, kerja awal sudah dimulakan dengan merobohkan bangunan di sekitar masjid terbabit sejak September tahun lalu dan berterusan hingga ke hari ini. Pembersihan kawasan itu merangkumi kira-kira 650 meter dari kawasan masjid berkenaan.

Apabila siap kelak, kawasan ibadat itu dijangka boleh menampung 1.5 juta orang khususnya pada musim haji dan bulan Ramadan. Untuk tujuan itu, pelbagai perkara diambil kira seperti soal keselamatan dan keselesaan jemaah, sistem pengangkutan, kemudahan tandas dan tempat melakukan ibadat.

Dalam konsep mampan, arkitek diminta merancang bangunan yang mampu memantulkan haba kerana iklim panas serta mengutamakan alam sekitar, kemudahan untuk warga emas dan sistem yang boleh dipraktikkan.

Berdasarkan kepada cadangan bernas yang sudah dibentangkan, pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah bakal mewujudkan satu lagi kumpulan bagi mengumpulkan semua cadangan dengan cara baik dalam usaha menjadikan masjid itu sebagai penghubung kepada umat Islam di seluruh dunia.

Dalam penstrukturan semula kota Makkah ini, beberapa ulama mengutarakan pandangan tidak bersetuju kerana dikhuatiri pembinaannya yang canggih bakal mengundang masalah seperti tidak dapat menumpukan perhatian ketika melakukan ibadat lantaran terpegun dengan reka bentuk masjid itu.

Selain itu, pembangunan semula Makkah ini juga bakal menghidupkan kembali fungsi masjid pada zaman Rasulullah sebagai tempat perkembangan ilmu, yang mana kerajaan Arab Saudi mahu menubuhkan sebuah institusi pengajian di dalam masjid itu.

Ada masa dan kawasan tertentu kota Makkah tidak sesak ketika musim haji dan umrah, menyebabkan kerajaan bercadang membina sebuah universiti di satu bahagian di dalam masjid berkenaan bagi mengimarahkan kawasan ibadat itu agar tidak kelihatan kosong dan sepi.

Universiti ini menawarkan kursus dalam bidang sains dan teknologi membuka peluang kepada umat Islam belajar mengenai ilmu berkenaan juga membuktikan kepada orang luar bahawa masjid tidak hanya sebagai tempat ibadat malah lebih daripada itu.

Di samping itu, pembinaan terowong pejalan kaki dan stesen perkhidmatan awam seumpama sistem transit aliran ringan (LRT) seperti di Malaysia, turut diwujudkan bagi keselesaan jemaah bergerak sepanjang berada di kota suci itu.

Pada masa ini, kenderaan persendirian dibenarkan masuk ke kawasan masjid namun selepas LRT siap, semua kenderaan perlu diletakkan di Masjid Tana’im yang mana jemaah akan menaiki LRT itu untuk ke masjid terbabit.

Sedia lebih kemudahan untuk OKU beribadat

PROJEK pembesaran Masjidil Haram di Makkah akan menyaksikan kemudahan melakukan ibadat tawaf yang lebih selesa untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Pada masa ini, orang kurang upaya termasuk golongan tua dan uzur melakukan tawaf di tingkat dua bersama jemaah biasa dan dengan peningkatan kemudahan yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi itu satu laman khas bagi mereka melakukan ibadat itu diwujudkan.

Perkara ini dimaklumkan Pensyarah Jabatan Landskap, Kulliyah Seni Bina dan Reka Bentuk, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Ismawi Zen pada syarahan berhubung pembangunan semula kota Makkah, baru-baru ini.

Profesor Ismawi adalah antara enam arkitek dari empat negara yang dipilih menganggotai Panel Antarabangsa Untuk Pembesaran Masjidil Haram yang mana kerja pembinaan bermula September lalu.

Bekas timbalan rektor perancangan dan pembangunan UIAM itu berkata, selain kemudahan OKU, satu lagi ciri menarik projek itu adalah pengenalan kepada satu sistem yang membuatkan jemaah menggunakan air dalam jumlah minimum untuk berwuduk, sekali gus mengurangkan pembaziran.

Beliau berkata, kajian menunjukkan purata seorang jemaah menggunakan 1.5 liter air untuk berwuduk.

“Melalui sistem ini seseorang jemaah hanya akan menggunakan 0.5 liter air saja yang bersesuaian dengan ajaran Islam iaitu mengajar umatnya supaya tidak membazir dalam apa juga keadaan,” kata nya.

Katanya, projek pembesaran Makkah al-Mukarramah ini menggunakan teknologi tinggi bagi menaik taraf infrastruktur yang ada ke tahap lebih baik dalam memberi keselesaan kepada jemaah haji dan umrah yang datang mengunjungi tempat suci itu untuk melakukan ibadat.

Ismawi berharap jemaah yang berkunjung ke sana tidak hanya melakukan ibadat semata-mata tetapi menghayati setiap rukun Haji yang dilaksanakan kerana Masjidil Haram satu ketika dulu pernah menjadi pusat pengajian ilmu dan berkembang menjadi pusat pengumpulan cendekiawan dan masyarakat.

Sejarah pembesaran Masjidil Haram pada era moden:


Fasa pertama dilakukan pada 1955 atas arahan Raja Abdul Aziz, pengasas Arab Saudi.


Pada 1988 pula, Raja Fahd Abdulaziz Al Saud mengarahkan pembesaran kawasan solat dari 152,000 kepada 356,000 meter persegi.


Projek pembesaran kali ketiga ini dilakukan di bawah kepimpinan Raja Abdullah Abdul Aziz di bawah tanggungan penuh Kerajaan Arab Saudi.

Empat garis panduan (larangan) kerajaan Arab Saudi dalam merancang pembangunan di Masjidil Haram iaitu:

1) Larangan mengubah suai Kaabah.
2) Lokasi Saie iaitu antara Bukit Safa dan Marwah.
3) Kedudukan telaga Zam Zam.
4) Sempadan tanah haram.

Empat pertimbangan yang diambil kira:1) Konsep mampan.
2) Pembangunan kerohanian
3) Sejarah
4) Kapasiti.