Monday, August 25, 2008

Didik masyarakat fahami mubahalah

Apakah nasihat ustaz terhadap umat Islam yang mungkin keliru berikutan peristiwa sumpah yang berlaku minggu lepas?

DR. MOHD. RADZI: Saya rasa dalam kes semacam ini, ia boleh diselesaikan dengan cara berbincang antara kedua-dua belah pihak. Secara langsung atau tidak langsung supaya dapat dibendung lebih awal dan tidak mengaibkan mana-mana pihak. Ini yang paling baik dan paling cepat dalam menyelesaikan masalah itu. Ataupun dengan cara melantik wakil daripada kedua-dua pihak andai kata tidak boleh bersemuka kerana perbalahan itu telah membawa kemarahan dan perasaan tidak terkawal. Mereka boleh melantik pihak ketiga untuk menyelesaikannya di luar mahkamah.

Jika tidak, ia boleh dirujuk kepada mahkamah khususnya Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan kes-kes yang boleh diselesaikan di mahkamah mengikut budi bicara dan kebijaksanaan hakim.

Mubahalah hanya merupakan cara terakhir. Barangkali ia dibuat apabila sudah tidak ada pilihan lain. Umumnya kita umat Islam dikehendaki sentiasa dalam keadaan berpadu tenaga, bersatu padu dan tidak membiarkan perbalahan kecil membawa kepada perpecahan umat. Jadi dalam kes-kes yang berlaku, cubalah selesaikan dan bendung sedaya yang boleh. Tambahan pula dalam kes-kes peribadi dan sulit.

Apatah lagi kita hidup dalam negara yang mempunyai kepelbagaian agama dan bangsa. Dalam dunia moden ini, melalui Internet, semua perkara dalam tempoh masa singkat boleh tersebar ke seluruh dunia. Jadi kes semacam ini elok dibendung lebih awal.

Adakah ustaz fikir apa yang berlaku itu telah memalukan umat Islam?

DR. MOHD. RADZI: Saya rasa sedikit sebanyak ia menjejaskan maruah kita umat Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara. Umat Islam secara keseluruhannya berasa tersentuh hati dengan kes seperti ini. Sebab seolah-olah kita menjadikan media massa sebagai hakim, sebagai mahkamah. Atas kesilapan yang kecil terus diperbesar-besarkan khususnya melalui media elektronik sehingga dunia tahu.

Padahal kes seperti ini elok disalurkan melalui saluran yang sedia ada seperti mahkamah. Mahkamah merupakan institusi yang diberi tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah umat manakala para hakim pula akan menggunakan kebijaksanaan mereka untuk melaksanakan amanah yang diberikan.

Ketika ini mubahalah tidak termasuk dalam undang-undang syariah di Malaysia. Adakah kerajaan patut menjadikan mubahalah sebahagian daripada perundangan syariah kita?

DR. MOHD. RADZI: Saya rasa elok kita dari semasa ke semasa membuat semakan terhadap keperluan perundangan yang sedia ada berdasarkan kes-kes yang berlaku. Di mana terdapat keperluan mengemaskinikan atau ditokok tambah bahkan diperbaiki atau diubah suai gaya bahasa dan ayat yang lebih mantap dan jelas.

Respons masyarakat Malaysia mengenai muhabalah menunjukkan mereka berpecah kepada beberapa kumpulan. Apakah nasihat ustaz kepada masyarakat Islam.

DR. MOHD. RADZI: Secara umumnya banyak orang Islam terkejut bila penyelesaian secara mubahalah disebut oleh Mufti Perlis. Tetapi mereka yang berpengetahuan tentang hukum-hakam syarak sepatutnya tidak terkejut. Memang dalam pengajian syariah, perkara ini ada dan dinyatakan secara jelas oleh al-Quran melalui Ayat 61 Surah al-Imran.

Kita mengetahui tentang lafaz sumpah laknat yang dibuat di masjid baru-baru ini. Adakah ia tidak boleh dilakukan di masjid?

DR. MOHD. RADZI: Cara lafaz mubahalah itu betul. Tempat bermubahalah tidak dihadkan kepada tempat tertentu. Tidak semestinya masjid. Cuma bersumpah pegang al-Quran tidak diperlukan.

Saya fikir, kita semua tahu al-Quran ialah kitab suci. Apabila seseorang terdesak untuk mendapat kekuatan, dia akan bersandar pada apa saja. Masjid ialah tempat ibadah. Orang yang terdesak untuk menegaskan apa yang dikatakannya benar akan pilih apa yang ada di depannya untuk membolehkan percakapannya diterima.

Mengenai sumpah, kita kena bersumpah dengan nama Tuhan sahaja. Dalam amalan sumpah ini ada unsur mengagungkan Tuhan. Jadi kita hanya boleh bersumpah kepada Allah. Untuk menyelesaikan masalah, manusia berada dalam keadaan lemah disebabkan dakwaannya terhadap sesuatu tidak diendahkan, dalam keadaan seperti itulah manusia akan bersandar kepada Tuhan untuk dapatkan kekuatan.

Perbuatan mereka yang bersumpah selain nama Tuhan membawa kepada syirik iaitu menyekutukan Allah.

Isu mubahalah menggambarkan umat Islam berpecah belah. Apa pandangan ustaz?

DR. MOHD. RADZI: Sumpah laknat ini perkara serius kerana ia melibatkan maruah seseorang Islam dan ia boleh membawa kepada pelbagai reaksi daripada masyarakat yang pelbagai pengetahuan dan latar belakang manakala tanggapan yang diberi pula datang dalam pelbagai bentuk. Saya khuatir perkara ini boleh membawa kekeliruan, perpecahan dan kekecohan kepada umat Islam. Penyelesaian secara mubahalah sesuatu yang jarang berlaku. Ia satu sejarah pada umat Islam di Malaysia.

Kesan mubahalah ini kepada umat Islam?

DR. MOHD. RADZI: Saya fikir, kita boleh melihatnya dari pelbagai aspek. Pertama, dari segi kebaikannya, umat Islam menjadi lebih berminat untuk mengetahui mengenai mubahalah. Bukan setakat ingin mengetahui tetapi ingin menghayatinya dalam kehidupan dan ingin melihat sesuatu masalah itu dapat diselesaikan dengan cara mubahalah yang betul. Kedua, keburukannya pula, sebahagian umat Islam tidak tahu langsung apa yang dimaksudkan dengan mubahalah.

Mereka juga tidak tahu tentang perkara ini dan membuat tafsiran sendiri yang mengelirukan. Memandangkan mubahalah sudah berlaku, orang yang berpengetahuan kena tampil ke hadapan mendidik masyarakat supaya mereka tidak berpecah belah dan dapat pengetahuan mengenainya dengan lebih jelas.

Apakah nasihat ustaz kepada umat Islam di Malaysia sekarang?

DR. MOHD. RADZI: Dalam menyelesaikan perkara seumpama ini, ia tidak perlulah sampai ke mahkamah. Kita selesaikanlah dengan cara baik. Apabila kita bergaduh, kita boleh berdamai. Berdamai ini banyak kebaikannya. Tapi memandangkan kes ini telah sampai ke mahkamah, jadi kita rujuk kepada mahkamah supaya dapat penyelesaian yang muktamad.

Sekarang kita perlu berusaha mencari jalan bagaimana memulihkan maruah Islam yang mungkin terjejas ekoran peristiwa-peristiwa ini. Untuk masa akan datang, kita kena perbaiki kelemahan. Kita kena belajar dan mengambil pengajaran atas apa yang telah terjadi.

No comments: