Wednesday, December 10, 2008

Zulhijjah & IdilAdha :

www.zaharuddin.net

KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIRIN..


Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.

Disebutkan oleh Nabi SAW :

"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).

Allah SWT pula berfirman :

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ

"Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1).

Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).

Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :

"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).





AMALAN-AMALAN UTAMA

Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-

a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :

"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :

وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب


Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)

Sebuah hadis menyebut :

ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم


Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-

من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي

Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Justeru, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.

Tidak harus juga berqorban hanya dengan mengeluarkan harganya atau daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.

Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain. [2]

Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah :

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)

KONGSI LEMBU

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]

Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :

احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها


Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama"

BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.

Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

PEMBAHAGIAN DAGING

Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :

1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,

1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan

1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT :


فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ

Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. [4]

Bagaimanapun adalah dilarang untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.

Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil qurban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]

DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]

Namun tanpa khilaf adalah lebih baik untuk mendahulukan umat Islam dalam hal ini.

BERKORBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG

Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.

Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam berkenaannya. Sila rujuk di sini. Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.

Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.

Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.

Ia adamat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.

Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.

KORBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?

Jawab ringkas saya:

"tidak boleh !"

Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.

Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.

Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.

APAKAH HAJI AKBAR ?

Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).

Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab:

"Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)

Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah.

Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah [7]. Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya "tiada asalnya".

Kesimpulannya : Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, mankala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq).

Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Idil adha ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan hariraya idilfitri akan berterusan. wallahu 'alam

Sekian

Doha, Qatar

27 Dis 2006 ( 7 Zulhijjah 1427 H)

Kemaskini : 16 Disember 2007 ( 6 Zulhijjah 1428 H - Malaysia ; 7 Zulhijjah 1428 H - Saudi)

KEMAS KINI : 29 Nov 2008 ( 1 Zulhijjah 1429 H )



--------------------------------------------------------------------------------

[1] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197

[2] Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436

[3] Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313

[4] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200

[5] Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225

[6] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201

[7] Ahkam al-Quran, Al-Jassas


10822

Last update: 30-11-2008 03:02

Melaksanakan Ibadah Korban Di Bawah Bimbingan Rasulullah

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

1 – Definisi Dan Hukumnya:

Al-Udhiyah: Adalah haiwan ternakan yang disembelih pada hari ‘Idul Adha dan hari-hari TasyriQ dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah Subahanahu wa Ta’ala. Haiwan ternakan yang dibolehkan untuk korban adalah unta, lembu, kambing, atau biri-biri. (Abu Malik Kamal, Ensikolopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 115. Rujuk juga: ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 3, m/s. 566)

Hukum Berkorban:

Menurut Ibnu Taimiyah:

“Tidak wajib menyembelih korban, melainkan hanya bagi mereka yang mampu.” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 23/162-164)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:

“Sesiapa yang memiliki keluasan (rezeki) namun dia tidak berkorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami.” (Hadis Riwayat Ahmad (1/321))

Manakala sebahagian ulama menyatakannya sebagai sunnah sahaja.

Namun, menurut pendapat yang lebih kuat dan tepat (rajih) hukumnya adalah wajib bagi setiap orang Islam yang berdaya (mampu) untuk berkorban. (Ali Hasan al-Halabi, Meneladani Rasulullah Dalam Berhari Raya, m/s. 86)

2 - Waktu Menyembelih Haiwan Korban:

Hari yang disyari’atkan untuk menyembelih haiwan korban adalah pada 10, 11, 12, dan 13 Dzulhijjah. Imam asy-Syafie rahimahullah berkata:

“Waktu menyembelih haiwan korban adalah ketika imam telah selesai solat Aidiladha… Apabila hari-hari Mina telah berlalu (tarikh 11, 12 dan 13 Dzulhijjah), tidak boleh lagi menyembelih korban.” (Imam asy-Syafi’i, Mukhtasar Kitab al-Umm fi al-Fiqh, edisi terjemahan bertajuk Ringkasan Kitab al-Umm, Peringkas dan peneliti Hussain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, Pustaka Azzam, Jakarta (2004), jil. 1, m/s. 737)

“Sesiapa yang menyembelih sebelum dia solat (Aidiladha), dia hendaklah mengulanginya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, hadis no. 5561)

“Seluruh hari TasyriQ merupakan waktu untuk penyembelihan (korban).” (Hadis Riwayat Ahmad (4/8). Disahihkan oleh Syu’aib al-Arnauth. Manakala Syaikh Ali Hasan al-Halabi menghasankannya)

Lihat juga perbahasan lainnya berkenaan masa untuk menyembelih di dalam Subulus Salam, susunan imam ash-Shan’ani.

3 – Ciri-ciri Haiwan:

Jenis haiwan: Haiwan ternakan yang berupa Unta, Lembu, Kambing, Kibas, atau biri-biri. (Bidayatul Mujtahid, jil. 2, m/s. 559. Dinukil dari Abu Malik Kamal, Shahih Fiqh Sunnah, jil. 3, m/s. 362)

Had umur: Berdasarkan hadis yang umum, harus mencapai usia Musinnah dan Jadza’ah, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya): “Janganlah kamu menyembelih (haiwan ternak) kecuali setelah mencapai usia musinnah (usia yang cukup bagi unta, lembu, dan kambing). Namun apabila mengalami kesukaran, maka sembelihlah binatang yang telah mencapai usia jadza’ah (usia yang cukup/6 bulan) dari domba (kibas).” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1963)

Oleh kerana tidak ada ketentuan syar’i berkenaan batasan usia, maka terjadilah perbezaan pendapat di kalangan ulama. Akan tetapi pendapat yang paling banyak dipilih dari kalangan mereka (ulama) adalah sebagaimana berikut: Unta 5 tahun (atau lebih), lembu 2 tahun (atau lebih), kambing 1 tahun (tidak kurang darinya), dan kibas (domba) 6 bulan. (Pendapat ini dipilih oleh Syaikh Ibnu Utsaimin rahimahullah di dalam kitabnya asy-Syarhul Mumti’, jil. 7, m/s. 460)

Binatang Yang Tidak Boleh Berkorban Dengannya: Yang jelas butanya, Yang jelas sakitnya, jelas cacatnya (tidak boleh berjalan betul), yang tidak bersumsum (yang teramat kurusnya/tidak berlemak), dan yang putus telinganya.

Dari al-Barra’ bin Azib radhiyallahu ‘anhu, katanya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam berdiri di tengah-tengah kami dan bersabda, “Empat haiwan yang tidak boleh dijadikan korban adalah: Yang jelas butanya, yang jelas sakitnya, jelas cacatnya (tidak boleh berjalan betul), dan yang tidak bersumsum (yang teramat kurusnya/tidak berlemak)”.” (Hadis Riwayat Ahmad, dan beliau menghasankannya. Hadis Riwayat at-Tirmidzi, dengan katanya hasan sahih. Rujuk: Imam ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 3, m/s. 577. Juga disahihkan oleh al-Albani, Shahih Sunan Abi Daud, 2802)

Dari Ali radhiyallahu ‘anhu, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam memerintahkan kami supaya memeriksa mata dan telinganya...” (Hadis Riwayat an-Nasa’i, 7/217)

Bagi Setiap Korban Adalah Bagi dirinya Dan Keluarganya: Diriwayatkan dari Abu Ayyub al-anshari, beliau berkata: “Pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam, seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya. Mereka memakan dan memberi makan orang lain, kemudian manusia berbangga sehingga seperti yang engkau lihat.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 1541. Menurut al-Albani, hadis ini Shahih. Lihat juga Imam Malik, al-Muwaththa’, 387 dan Imam ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 3, m/s. 584)

Menurut Imam ash-Shan’ani: “Seekor kambing boleh untuk satu orang lelaki dan keluarganya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam. (Imam ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 3, 584)

Setiap Unta Untuk Sepuluh Orang: Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, “Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam menyebutkan satu unta untuk sepuluh orang.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5543) Juga dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, “Ketika kami bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam dalam musafir, lalu tibalah hari raya korban, kemudian kami bersepakat untuk membeli seekor unta untuk sepuluh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang.” (Hadis Riwayat al-Tirmidzi, no. 907. Menurut al-Albani, hadis ini Shahih)

Manakala sebahagian pendapat yang lain dan lebih masyhur (serta ijma’) adalah seekor unta untuk tujuh orang. Wallahu a’lam.

Setiap Seekor Lembu Untuk Tujuh (bahagian) Orang: “... dan seekor lembu untuk tujuh orang.” (Hadis Riwayat al-Tirmidzi, no. 907. Menurut al-Albani, hadis ini Shahih)

Tidak disyaratkan bahawa tujuh orang yang berkorban dengan satu unta atau lembu adalah orang-orang yang berada dalam satu rumah (atau keluarga). Kerana, para sahabat pun ketika mereka berkorban bersama adalah orang-orang yang berasal dari pelbagai kabilah. (Abu Malik Kamal, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 118)

4 – Penyembelihan Haiwan:

Disunnahkan Untuk Menyembelih Di Musholla: Daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: “Dahulu menjadi kebiasaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam menyembelih haiwan korban di musholla iaitu kawasan lapang tempat menunaikan solat ‘Ied al-Adha.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5552)

Ini adalah sebagaimana yang telah kita fahami dan ketahui (melaui riwayat-riwayat yang sahih) bahawa solat di Masjid Nabawi adalah lebih baik daripada 1000 kali solat di masjid selainnya (kecuali Masjidil Haram). Namun ternyata walaupun dengan keutamaan sebesar ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam tetap memerintahkan para sahabat untuk mendirikan solat Hari Raya di musholla.

Ibnu Qudamah rahimahullah menjelaskan: “Mengerjakan solat Hari Raya di musholla (kawasan lapang) adalah sunnah, kerana dahulu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam keluar ke tanah lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Begitulah juga para khulafa’ al-Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum muslimim. Mereka telah sepakat di setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah lapang ketika melaksanakan solat Hari Raya.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil. 3, ms. 260)

Afdhal Menyembelih Dengan Tangan Sendiri: Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau menjelaskan bahawa, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam pernah memerintahkan dibawa kepadanya seekor kambing kibas bertanduk, yang kaki, perut, dan sekitar matanya berwarna hitam. Maka dibawakanlah haiwan tersebut kepada beliau. Beliau minta dibawakan pisau yang diasah dengan batu. Beliau pun mengambil pisau dan kambing tersebut, lalu membaringkannya dan menyembelihnya dengan berkata (berdoa), “Bismillah, Ya Allah, terimalah (korban ini) dari Muhammad, keluarganya, dan umatnya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1966)

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, katanya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam berkorban dengan dua ekor kambing kibas bertanduk. Beliau mengucapkan “Bismillah” dan bertakbir (بِسْمَ اللهِ وَاللهُ أَكْبَر), lalu beliau meletakkan kaki beliau di atas dahi binatang tersebut. Beliau menyembelihnya dengan tangan beliau sendiri. (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5558)

Disunnahkan supaya Membaringkan Haiwan Korban (Bagi Kambing): “... Beliau pun mengambil pisau dan kambing tersebut, lalu membaringkannya dan menyembelihnya dengan berkata (berdoa), “Bismillah, Ya Allah, terimalah (korban ini) dari Muhammad, keluarganya, dan umatnya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1966)

Berdasarkan hadis ini, menurut Imam ash-Shan’ani:

Hadis ini menjelaskan posisi kambing korban yang direbahkan, sehingga tidak disembelih dalam keadaan berdiri atau duduk. Kerana keadaan tersebut lebih mudah baginya (di mana dengan tangan kanan memegang pisau dan tangan kiri memegang kepala). Dan ini adalah ijma’ (kesepakatan) para ulama. Caranya adalah dengan merebahkan haiwan di atas lambung kirinya.

Disunnahkan juga berdoa supaya diterimanya haiwan sembelihan (ibadah korban yang dilakukan). (ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 3, m/s. 569)

Menyembelih Dengan Pisau Yang Tajam: Ketika Nabi hendak menyembelih, beliau meminta ‘Aisyah mengambil pisau dan mengasahnya terlebih dahulu. (Rujuk Hadis Riwayat Muslim, no. 1966)

Boleh Mewakilkan Dalam Menyembelih & Menguruskan Haiwan Korban: Dari ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam memerintahkanku untuk menyembelih untanya, dan membahagi-bahagikan kulitnya serta peralatan yang biasa diletakkan di punggung unta.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1717)

Mengucapkan Bismillah dan Bertakbir: “... Beliau mengucapkan “Bismillah” dan bertakbir (بِسْمَ اللهِ وَاللهُ أَكْبَر), lalu beliau meletakkan kaki beliau di atas dahi binatang tersebut. Beliau menyembelihnya dengan tangan beliau sendiri. (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5558)

5 - Daging Korban Untuk Dimakan, Disedekahkan, Dihadiahkan, dan boleh juga Disimpan:

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Supaya mereka menyaksikan pelbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara (miskin) dan fakir.” (Surah al-Hajj, 22: 28)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda: “Makanlah, berikanlah (sedekahkanlah) kepada orang lain, dan simpanlah.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1974)

Dari Ali radhiyallahu ‘anhu, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam memerintahkan kepadaku supaya menguruskan korbannya, dan membahagi-bahagikan daging, kulit, dan pakaiannya kepada orang-orang miskin. Dan aku tidak dibenarkan memberi apa pun dari korban tersebut kepada penyembelihnya” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1716)

Tidak Menjadikan Daging Korban Sebagai Upah Dan Bahan Jual-Beli: Dari ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam memerintahkanku untuk menyembelih untanya, dan membahagi-bahagikan kulitnya serta peralatan yang biasa diletakkan di punggung unta. Beliau juga memerintahkanku supaya tidak memberikan daging tersebut kepada tukang sembelih (atau yang mengurus). Akan tetapi kami memberikan upah kepadanya dengan wang kami sendiri.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1717) “...Dan aku tidak dibenarkan memberi apa pun dari korban tersebut kepada penyembelihnya” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1716)

Menurut Ibnu Rusyd, “Ulama bersepakat bahawa menjual daging korban adalah dilarang. Mereka berselisih pendapat dalam masalah kulit dan rambut yang boleh dimanfaatkan. Majoriti ulama menyatakan bahawa perkara tersebut tidak dibolehkan (untuk dujual beli). (ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 3, m/s. 582)

6 – Tidak Memotong Kuku Dan Rambut Bagi Yang Hendak Berkorban:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda: “Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah dan ada di antara kamu semua yang ingin berkorban, maka janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1977)

Menurut Imam al-Nawawi rahimahullah:

”Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut sama ada dengan mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa juga cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atau bulu-bulu lain di bahagain anggota badan yang lain.” (Imam an-Nawawi, Syarh Muslim, jil. 13, m/s. 138-139)

Manakala sekiranya dia melakukan perkara tersebut (memotong kuku atau rambut), Ibnu Qudamah rahimahullah menjelaskan:

“Sesiapa yang melanggar larangan ini (mengunting rambut dan memotong kuku pent.), hendaklah dia memohon keampunan dari Allah dan tidak ada fidyah baginya, sama ada disengajakan atau pun terlupa”. (Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil. 11, m/s. 96)



“تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ”
“Semoga Amalan Kami & Anda Diterima”

Mengagih daging korban

AIDILADHA disambut semalam, 8 Mac 2008 bersamaan 10 Zulhijjah. Tarikh itu menandakan berakhirnya tempoh mengerjakan ibadat haji di Mekah dalam bulan terakhir kalendar hijrah Islam.

Perayaan ini disambut dengan ibadat korban yang bermula selepas selesai solat sunat Aidiladha dan berlanjutan sepanjang tiga hari tasyrik atau sehingga sebelum tenggelam matahari pada 13 Zulhijjah, bertujuan mendekatkan diri umat Islam yang mengerjakan ibadah haji kepada Allah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat dan dari segi istilah, bererti menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ibadat korban merupakan sunat muakkad atau sunat yang dituntut bagi orang yang mampu dan korban itu menjadi wajib apabila seseorang itu bernazar menyembelih binatang korban.

Islam menggalakkan penganutnya sentiasa bersedia berkorban atas nama Allah dan pelaksanaan ibadat korban itu melambangkan semangat yang ada. Jika korban yang dilakukan pada Aidiladha khusus menyembelih haiwan, korban boleh dilakukan dalam pelbagai cara.

Sejak zaman Nabi Adam a.s lagi, kisah mengenai korban sudah ditimbulkan yang berkisar tentang dua anaknya Qabil dan Habil.

Korban yang dilaksanakan umat Islam hari ini memperingati korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim yang sanggup menunaikan perintah Allah mengorbankan anaknya, Nabi Ismail a.s selepas bermimpi diperintah berbuat demikian dan kesabaran Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah, tetapi belum sempat Nabi Ibrahim menyembelih anaknya, Allah menggantikannya dengan seekor Qibas.

Islam mengajak umatnya mengaitkan peristiwa ini supaya tidak terputus hubungan di antara generasi dalam memperjuang iman dan tauhid.

Menurut Al-Imam At-Termidzi, sabda Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan Sayidatina Aisyah: "Tiada dibuat oleh anak Adam akan sesuatu amal pada Hari Raya Aidiladha yang lebih disukai oleh Allah daripada menumpahkan darah haiwan korban."

Agihan daging korban

Dengan nikmat kesenangan hidup yang dirasai umat Islam terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan tanda kesyukuran kepada Allah, ibadat korban dilakukan umat Islam di negara ini dengan meriah sekali.

Berpuluh-puluh ekor lembu, kerbau dan unta dikorbankan bukan setakat di masjid dan surau tetapi juga di kawasan pejabat dan rumah-rumah. Sering dilaporkan di sana dan di sini, orang ternama menyerahkan lembu untuk dikorbankan dan anak-anak yatim dan orang miskin pula menerima sedekah daging korban.

Menjelang Aidiladha, di pinggir jalan raya, di dinding bangunan, kawasan perumahan, masjid dan surau, terpampang poster tawaran pelbagai pihak untuk menguruskan ibadat korban bagi umat Islam yang mahu diwakili.

Disebabkan kemewahan korban di negara ini jugalah, seorang artis pernah bercerita beliau lebih cenderung menyumbang daging korban ke Indonesia bagi fakir miskin di sana.

Seorang kenalan turut mengikuti rombongan ke selatan Thai semata-mata untuk menyempurnakan korban di sana setelah dirasakan di Kuala Lumpur atau di Malaysia sudah memadai daging korban yang mahu diagihkan.

Beliau berpegang kepada hukum bahawa sunat, haiwan yang hendak dijadikan korban itu disembelih oleh orang yang berkorban itu sendiri sekiranya dia pandai menyembelih, ataupun mewakilkan orang lain untuk menyembelih dan dia hadir ketika penyembelihan.

Beliau juga mengharapkan kelebihan korban yang diriwayatkan Saidina Ali bin Abi Talib bahawa sesiapa yang meninggalkan rumahnya dengan maksud membeli dan menguruskan haiwan korban, maka setiap langkahnya akan dikurniakan kebajikan dan malaikat akan mendoakan serta meminta ampun kesalahannya kepada Allah.




--------------------------------------------------------------------------------



Mohd Rozaimi Zainal Abidin yang banyak melihat ibadat korban di Gombak, Selangor tempat tinggalnya, tahun lalu membuat keputusan untuk berurusan dengan sebuah syarikat yang melakukan korban dan akikah di beberapa negara yang banyak umat Islam miskin seperti Bangladesh, Kemboja dan selatan Filipina.

"Saya rasa lebih bermakna jika saya melakukan korban di tempat seperti itu. Ini kerana daging korban itu diagihkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

"Saya difahamkan bahawa mereka akan berebut kerana tidak cukup daging kerana ramai fakir miskin di sana," katanya sambil menjelaskan berurusan dengan pertubuhan seperti itu, cukup mudah dan meyakinkan. Beliau diberikan sijil penyertaan bukti sedekahnya sudah disampaikan.

Kebanyakan umat Islam Malaysia seperti Rozaimi sama ada melalui cerita rakan atau melayari Internet akan menemui beberapa pertubuhan bukan kerajaan atau syarikat yang menawarkan khidmat korban dan akikah di luar negara.

Aktif mengelola korban

Sebuah syarikat mengiklankan perkhidmatannya di Kemboja di dalam akhbar dengan kata-kata 'nasi putih dan daging setahun sekali?.' bagi menarik perhatian umat Islam Malaysia yang pemurah agar beramal kepada fakir miskin di negara-negara tersebut.

Sebuah badan amal antarabangsa, Muslim Aid, sudah bertahun-tahun menggalakkan umat Islam negara ini untuk menjayakan ibadat korban melaluinya bagi membolehkan daging korban diedarkan terus kepada umat Islam di seluruh dunia yang lebih memerlukan.

Malah badan ini memudahkan lagi pengagihan dengan mengetinkan daging di bawah program Qurban For Life.

Pengurus Dana dan Pemasaran Muslim Aid Asia, Muhammad Kamarulazizi berkata, proses memasak dan pengetinan dilakukan di kilang Pertima di Terengganu dan badan itu mempunyai ladang dan pusat penyembelihan sendiri di Australia.

"Kami membantu umat Islam di Malaysia yang mahu mendekatkan diri mereka dengan saudara seagama melalui ibadat korban ini dengan mengagihkan daging kepada mereka yang tidak mampu menikmatinya dan yang hidup dalam kedaifan berbanding kita," katanya.

Muslim Aid Asia, tahun ini masih menawarkan harga RM350 untuk satu bahagian korban penuh yang meliputi harga seekor kambing biri-biri, penyembelihan, proses memasak, pengetinan, penghantaran dan pengagihan. Setiap tahun, badan ini menerima RM1 juta hingga RM2 juta sumbangan korban untuk dikendalikan.

Melayu masih dihimpit kemiskinan

PROFESOR Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, 86, bukanlah seorang usahawan, diplomat, ahli politik dan seorang menteri, namun hasratnya untuk menjadi seorang intelektual tidak menghalang beliau mendekati masyarakat.

Bergelar cendekiawan kelas pertama, walaupun pernah ditawarkan jawatan penting pada zaman Tun Abdul Razak, jiwa pendidiknya amat kental dan beliau sama sekali enggan berpisah dengan dunia pendidikan.

"Sampai sekarang pun pada usia 86 tahun, saya masih menjadi penasihat dan penyelia kepada penuntut pengajian doktor falsafah (Ph.D) dan masih beri ceramah di universiti serta tempat lain dari semasa ke semasa. Dalam hal ini, saya masih lagi seorang guru," katanya.

Selain menjadi pendidik, keprihatinan beliau berhubung kemiskinan yang dialami masyarakat Melayu mendorong beliau melakukan beberapa kajian untuk mencari punca dan penyelesaian kepada masalah itu.

Sumbangan Prof. Ungku Aziz tidak terhenti di situ malah beliau dilihat melibatkan diri dalam usaha pembangunan ekonomi desa, pendidikan negara dan penubuhan institusi masyarakat.

Pendidikan dekatkan masyarakat

Mengajar dan belajar adalah kunci kejayaan yang dipegang oleh Prof. Ungku Aziz.

Pada awal penglibatannya sewaktu di Singapura pada tahun 1950-an, Prof. Ungku Aziz pernah mengajar ilmu kepenggunaan kepada suri rumah di Singapura. Antaranya mengajar isteri-isteri posmen bagaimana mahu menjadi pembeli yang bijak serta membeli lampu picit dan menggunakan dacing.

"Ketika itu, masih ramai yang beli ikan tetapi tidak tahu menggunakan dacing. Waktu itu, saya dibayar seringgit satu jam dan kadangkala apabila bekalan elektrik terputus, saya mengajar menggunakan lampu picit yang disediakan oleh persatuan orang dewasa," cerita beliau yang lebih selesa dipanggil Pak Ungku.


Daripada kelas dewasa, Pak Ungku kemudian berangkat ke Jepun memasuki Universiti Waseda. Di sana, beliau perlu menduduki peperiksaan kelayakan yang seratus peratus dalam bahasa Jepun.

"Saya diberi tiga orang guru dan tekanannya cukup hebat. Hinggakan saya rasa saya bermimpi pun dalam bahasa Jepun," tambahnya yang berjaya menguasai bahasa tersebut dalam tempoh sembilan bulan. Beliau lulus dan menjadi penuntut universiti berkenaan pada usia 18 tahun.

Peperangan menyebabkan kesemua universiti ditutup dan beliau pulang ke tanah air menjadi jurubahasa Jepun sebelum melanjutkan pelajaran ke Kolej Raffles dan menjadi anak Melayu pertama memasuki Universiti Malaya (UM) di Singapura dengan lulus kelas pertama.

Pada 1963, beliau kemudian berkhidmat sebagai pensyarah di UM yang dibuka di Kuala Lumpur. Seterusnya menjadi profesor dan dekan fakulti ekonomi sebelum dilantik sebagai Naib Canselor universiti berkenaan dari tahun 1968 hingga 1988.

Kaji kemiskinan

Sewaktu di UM, beliau ditawarkan biasiswa melanjutkan pengajian di London School of Economic (LSE) tetapi menolaknya kerana lebih berminat memikirkan masalah kemiskinan orang Melayu.

"Saya kata tak payahlah, sebabnya, apa yang orang LSE boleh ajar, saya boleh dapatkannya di sini. Maksud saya, kalau saya pilih London, saya tidak akan tahu tentang kemiskinan orang Melayu.

"Kemiskinan orang Melayu hanya boleh dipelajari melalui penyelidikan di sini. Sampai sekarang, saya masih menulis dan memikirkan kenapa orang Melayu tinggal dalam kemiskinan," jelas Pak Ungku.

Beliau mengambil masa selama enam tahun melakukan penyelidikan tersebut. Bermula di Ulu Tiram, Johor pada tahun 1963, sebelum Kedah dan Perlis.


Kajiannya diteruskan hingga ke Pantai Timur iaitu di Beserah, Pahang. Selepas setahun berulang-alik dengan seorang pembantu, kajian diteruskan pula di Kemaman, Terengganu dan Kelantan.

Daripada penyelidikan tersebut, beliau mendapati penduduk di Ulu Tiram yang rata-ratanya menoreh getah bernasib baik jika dapat makan nasi sehari sekali. Selebihnya, mereka hanya makan lempeng sebagai pengalas perut. Keadaan yang sama turut dialami oleh masyarakat di negeri-negeri utara.

Manakala di Pantai Timur, pengalamannya lebih dahsyat apabila wujud kebuluran di Kemaman. Beliau mendapati, masyarakatnya menangkap ikan untuk dijual dan hasil jualan tersebut digunakan membeli barang keperluan terutamanya beras.

Teori Indeks Sarong

Menerusi kajian tersebut, lahirlah teori Indeks Sarong yang digunakan beliau sebagai pengukur tahap kemiskinan di Kelantan dan Terengganu.

"Ada yang perli saya sebagai profesor kain sarung. Tetapi itulah hakikatnya. Bila pergi ke Kelantan dan Terengganu, cuba masuk ke dalam sikit. Tengok kain yang disidai, berapa helai kain sarung? Boleh tanya berapa helai di setiap rumah. Kalau nasib baik tiga hingga empat helai, kalau tidak, mereka basuh dan gilir.

Melihat dan memahami gaya hidup masyarakat desa itu membuatkan beliau sedih dan berfikir bagaimana mahu melepaskan orang Melayu daripada belenggu kemiskinan.

Caranya ialah menerusi pendidikan. Namun dapatan kajian komuniti itu juga menunjukkan bahawa faktor pemakanan mempengaruhi saiz tumbesaran penduduk.

Makanan yang tidak seimbang membawa kepada masalah cacing dan anemia dan tentu sahaja mempengaruhi kecerdasan mereka.

"Saya buat kajian dan cari lebih ramai pakar mengkaji sebab kesihatan dan pemakanan. Uji darah, tengok ada macam-macam kuman. Menerusi sampel najis murid sekolah rendah, ada cacing. Sampai tiga jenis untuk satu orang. Jadi, bila perut penuh cacing maka pemakanannya terbahagi dua. Menyebabkan badan tak akan sihat dan sel darah kurang merah (anemia)," katanya.

Selain kajian tersebut, Pak Ungku turut menulis rencana-rencana berkaitan sebab-sebab orang Melayu terjerumus dalam kemiskinan.

Antaranya ialah masalah perpindahan mangsa banjir. Menurut beliau hingga ke hari ini, mangsa banjir masih lagi melibatkan 95 peratus orang Melayu.

"Masalah ini berterusan sejak 30 tahun dulu lagi. Kenapa Melayu yang kena pindah? Sebabnya, bangsa lain duduk di tempat yang lebih baik dan tinggi. Berbalik semula kepada masalah kemiskinan," ulasnya.

Menurut beliau, sungguhpun kerajaan dari semasa ke semasa mengeluarkan statistik penduduk miskin dan menyatakan tidak ada lagi kemiskinan tegar, beliau tidak bersetuju dan berpendapat masih lagi wujud kemiskinan di kampung-kampung.

Pendidikan dan komuniti

Kerana minatnya dalam usaha membasmi kemiskinan, beliau turut memainkan peranannya sebagai orang kuat akademik apabila mencetuskan idea penubuhan Pusat Asasi Sains di UM.

Asal penubuhannya masih lagi berpegang kepada falsafah membantu golongan miskin. Menurut beliau, berdasarkan pengalamannya pada tahun 1970-an, kemasukan pelajar ke fakulti perubatan hanyalah seramai lima pelajar. Jika bernasib baik, dua atau tiga orang akan berjaya menjadi doktor.

"Melihat keadaan itu, kita wujudkan satu sistem baru pusat asasi sains. Kita pilih orang yang hendak memasuki kursus perubatan, kejuruteraan dan sains dengan mengambil anak-anak orang kampung. Waktu itu, kebanyakan anak orang kota akan dihantar ke London untuk belajar perubatan.

"Tetapi, di fakulti perubatan, gurunya bercakap dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan anak Melayu yang dipilih berfikir dalam bahasa Melayu. Bukan soal istilah yang menjadi masalah tetapi soal minda yang berfikir dalam bahasa Melayu. Jadi, kita cari guru yang boleh mengajar perubatan dan bidang berkaitan serta mengeluarkan risalah dalam bahasa Melayu," jelas beliau.

Hasilnya, selepas tiga hingga empat tahun persiapan, pelajar Melayu ini telah boleh menyerap istilah dan berfikir dalam bahasa Melayu. Kemudian mereka juga mahir dengan istilah-istilah bahasa Inggeris. Bermakna mereka boleh berdebat dan berbincang tentang perubatan dengan berfikir di dalam bahasa Melayu. Satu perkembangan yang baik untuk negara.

Hari ini, graduan Pusat Asasi Sains UM mungkin telah mencecah tujuh hingga lapan ribu orang. Malah ada yang telah menjadi pakar dan hampir mencecah usia persaraan. - Bernama

Wednesday, November 12, 2008

Sambutan hebat untuk Shah Rukh Khan

Oleh Amirullah Andi Nur
arullah@bharian.com.my


PELBAGAI persiapan dilakukan kerajaan negeri Melaka bagi menyambut kedatangan Shah Rukh Khan dan rombongannya.

Bintang Bollywood hadir bersama rombongan besar untuk menerima anugerah keempat tertinggi kerajaan negeri Melaka

MELAKA, yang kini bergelar Bandaraya Warisan Dunia sudah bersedia untuk menyambut kunjungan bintang terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan @ Shahrukh Khan sempena majlis penganugerahan darjah kebesaran negeri yang membawa gelaran Datuk kepada beliau pada 29 November ini.

Kerajaan negeri sejak beberapa minggu lalu sudah melakukan pelbagai persiapan dan minggu ini, sebahagian besar daripada acara yang akan diadakan sepanjang dua hari tetamu istimewa itu berada di negeri kelahiran Hang Tuah itu, sudah pun dimuktamadkan.



Majlis penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) iaitu anugerah keempat tertinggi kerajaan Melaka itu dijadual diadakan di kira-kira jam 10.30 pagi di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, 21 kilometer dari pusat Bandaraya Melaka Bersejarah dan bakal disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Sepanjang dua hari berada di Melaka, Shah Rukh Khan bakal mempunyai atur cara padat. Mengikut risikan penulis, satu daripadanya adalah sesi bertemu peminat di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jalan Ayer Keroh pada jam 6 petang.

Pelakon ini dijangka tiba di negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi 29 November. Beliau kemudian akan dibawa terus ke Melaka dengan menaiki sebuah kereta khas yang memakan masa perjalanan kira-kira sejam.


Shah Rukh Khan
Sebagaimana lazimnya, kedatangan bintang Bollywood ini disertai rombongan besar dan difahamkan ia membabitkan dua bas besar. Selain pengawal peribadi dan tenaga kerja syarikat produksi miliknya, Dreamz Unlimited, beliau bakal disertai krew stesen televisyen India iaitu Zee TV.

Sebaik tiba di Melaka, beliau akan berehat di sebuah hotel atau resort dan membuat persiapan ke majlis penganugerahan itu. Setakat ini, kerajaan Melaka belum memutuskan hotel atau resort yang bakal menjadi penginapan bintang Bollywood itu.

Seperti diumumkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam satu majlis di Kuala Lumpur lebih dua minggu lalu, penganugerahan Datuk ini akan turut disiarkan secara langsung oleh Zee TV yang berpengkalan di Mumbai, India.

Selepas majlis itu selesai, Shah Rukh Khan dijadual mengadakan sidang media bersama Mohd Ali. Pengumuman Shah Rukh Khan menerima anugerah kebesaran dari kerajaan Negeri Melaka itu khabarnya ia mendapat liputan luas media India sebelum ini.

Selain Zee TV dan wakil media di Melaka, difahamkan lebih 50 wakil media antarabangsa dan tempatan berpusat di Kuala Lumpur serta Singapura dijangka hadir bagi mengikuti majlis penganugerahan itu.

Dalam pada itu, seperti laporan sebelum ini, Shah Rukh Khan dijadual mengadakan sesi lawatan dan rakaman televisyen di beberapa lokasi menarik dan bersejarah di Melaka seperti Kota A'Famosa, Bangunan Stadhuys, Jonker Walk dan Dataran Pahlawan selepas makan tengahari.

Selepas itu, beliau akan singgah di Dataran MBMB bertemu peminat termasuk menandatangani autograf. Pada sebelah malam, beliau akan berkunjung ke beberapa lagi lokasi pelancongan seperti Eye On Melaka, Menara Taming Sari dan Eye On Malaysia selain menyusuri Sungai Melaka dengan bot.

Difahamkan, mulai minggu ini, pengurusan Menara Taming Sari di Bandar Hlir juga sudah memulakan satu peraduan dengan hadiah utamanya adalah sesi menaiki menara berputar tertinggi di Asia Tenggara itu dengan bintang Bollywood berkenaan.

Ada beberapa pihak sudah berura-ura mengadakan peraduan khas bagi membolekan peminat bertuah menikmati makan malam atau bersarapan dengan Shah Rukh Khan, sebagai hadiah utama. Shah Rukh Khan dijadual berlepas balik ke KLIA pada sebelah tengahari dan acara selingan juga kini sedang dalam proses dimuktamadkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Shah Rukh Khan dikatakan sepatutnya sudah datang menerima anugerah berkenaan pada 11 Oktober lalu, iaitu pada hari sambutan ulang tahun Mohd Khalil ke-70, bersama-sama dengan lebih 750 penerima lain.

Sumber memberitahu, pelakon itu sudah berada di Singapura sehari sebelum itu dan bersiap sedia untuk ke Melaka, tetapi membatalkan perjalanannya pada saat akhir. Beliau dikatakan sedih kerana mendapat tahu ada pihak mempertikaikan penganugerahan kerajaan Melaka itu.

"Pagi itu juga dia membatalkan perjalanannya dari Singapura ke Melaka selepas dimaklumkan mengenai pertikaian anugerah itu termasuk menerusi akhbar. Sehari selepas itu, dia terus kembali ke India dengan perasaan sedih," katanya.

Bagaimanapun, Shah Rukh Khan bersetuju untuk datang semula ke Melaka apabila usaha itu dilakukan menerusi bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin selepas mendapat permintaan daripada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, di sebalik kritikan pelbagai pihak terhadap anugerah Datuk kepada Shah Rukh Khan ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi laman blognya chedet.com, menyambut baik usaha kerajaan Melaka pimpinan Mohd Ali itu

"Kita bukan saja dapat menarik pelancong tetapi kegiatan perfileman memaksa syarikat Bollywood belanja wang yang banyak. Ramai pekerja dan orang lain di Malaysia mendapat banyak nikmat. Ada kalanya Shah Rukh mengadakan pertunjukan percuma untuk bantu badan-badan amal.

"Kerana Shah Rukh memilih Malaysia untuk membuat filemnya banyak syarikat perfileman Bollywood lain turut memilih Malaysia untuk membuat filem mereka. Saya fikir Shah Rukh layak mendapat penghormatan sebagai Dato Kehormat," katanya.

Melayu paling ramai pendapatan bawah RM1,000

Oleh WAN SYAMSUL AMLY

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Kaum Melayu merupakan kumpulan terbesar dalam senarai penduduk negara ini yang pendapatannya di bawah RM1,000 sebulan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S. K. Devamany berkata, berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu, sebanyak 301,000 isi rumah kaum Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan.

‘‘Sebanyak 495,500 isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah RM1,000 sebulan secara keseluruhannya.

‘‘Pecahan itu merangkumi 50,900 isi rumah kaum Cina, India (29,000), Kadazan (29,300), Orang Asli (7,500) dan lain-lain (78,800),” katanya semasa menjawab soalan Dr. Micheal Jeyakumar Devraj (PKR- Sungai Siput) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, bagi kumpulan berpendapatan antara RM1,001 hingga RM2,000 pula, keseluruhan bilangan isi rumah ialah 1,695,900 isi rumah dengan 976,500 daripadanya adalah Melayu, 338,300 (Cina), 125,300 (India), 38,800 (Kadazan), 9,800 (Orang Asli) dan 207,200 untuk kaum-kaum lain.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 1,144,700 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM2,001 hingga RM3,000.

‘‘Seramai 614,700 daripada mereka adalah orang Melayu, 300,800 (Cina), 121,500 (India), 15,300 (Kadazan), 2,500 (Orang Asli) manakala 89,900 isi rumah daripada kaum-kaum lain.

‘‘Bagi pendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 terdapat sebanyak 743,000 isi rumah dengan 380,500 daripadanya adalah Melayu, 234,700 (Cina), 73,300 (India), 8,900 (Kadazan), 1,000 (Orang Asli) dan 44,600 kaum lain.

Katanya, seramai 497,800 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM4,001 hingga RM5,000 pula dengan 254,700 daripadanya adalah Melayu, 166,600 (Cina), 44,800 (India), 6,900 (Kadazan), 200 (Orang Asli) dan 24,600 kaum lain.

‘‘Bagi pendapatan antara RM5,001 hingga RM10,000, ia membabitkan seramai 914,200 isi rumah.

‘‘Daripada jumlah itu, 419,200 adalah Melayu, 368,400 (Cina), 76,800 (India), 13,400 (Kadazan) dan 36,500 lain-lain kaum.

‘‘Sebanyak 235,300 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM10,001 hingga RM20,000 dengan 85,700 adalah Melayu, 118,700 (Cina), 23,400 (India), 800 (Kadazan) dan 6,700 kaum lain,” jelasnya.

Sementara itu, terdapat 49,500 isi rumah yang memperoleh pendapatan melebihi RM20,000 sebulan dengan 16,500 adalah Melayu, 27,900 (Cina), 3,600 (India) dan 1,500 dari kumpulan etnik lain.

Monday, November 10, 2008

Anak kanser

Anak kanser
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my


APA agaknya jawapan anda apabila anak kesayangan yang menghidap kanser bertanya soal kematian? Selepas melihat beberapa rakan senasib pergi dulu, bila pula gilirannya? Adakah dia berbuat salah sehingga dihukum dengan mendapat kanser?

Bagaimana anda mahu menerangkan mengenai penyakit kanser kepada kanak-kanak? Apa cara terbaik boleh anda gunakan untuk membantu menenangkan perasaan pesakit kanser kanak-kanak?

Semua soalan ini sukar dijawab kerana selagi tidak mengalaminya sendiri, kita tidak tahu kekacauan perasaan dan fikiran yang melanda pesakit kecil serta ibu bapanya.

Walaupun kanser bukan bererti mati, perkataan itu sendiri mampu membunuh semangat pesakit, sama ada kecil atau orang dewasa.

Malah, ahli keluarga sentiasa diburu kebimbangan mengenai perkembangan penyakit, keberkesanan rawatan, kesan sampingan, kos serta masa depan pesakit.

Punca sebenar kanser (tidak kira apa jenis pun) tidak diketahui. Namun, pakar perubatan percaya setiap orang ada sel tidak normal dalam kuantiti kecil.

Jumlah sel tidak normal ini bertambah dengan peningkatan usia, kehadiran faktor risiko dan luaran yang boleh merangsang aktiviti sel berkenaan yang akhirnya bertukar menjadi sel kanser.

Bagaimanapun, itu hanya teori kerana kanser juga menyerang kanak-kanak. Dianggarkan 10 peratus daripada pesakit kanser di seluruh dunia adalah kanak-kanak yang menghidap jenis kanser berbeza dengan orang dewasa.

Di negara kita, daripada 26,000 hingga 30,000 kes kanser yang dilaporkan setiap tahun, 2,600 hingga 3,000 kes membabitkan pesakit kanak-kanak dan ia meningkat 10 peratus setahun. Daripada jumlah ini, 70 peratus adalah leukemia (kanser darah).

Satu kesilapan yang sering dilakukan ibu bapa apabila anak menghidap kanser ialah cuba merahsiakannya daripada pengetahuan pesakit.

Walaupun tujuannya mahu melindungi dan menjaga perasaan anak, tindakan itu sebenarnya membuatkan pesakit lebih takut, bimbang dan tertekan.

Pesakit kecil, terutama yang bersekolah, boleh faham mengenai penyakit mereka. Jadi tiada sebab untuk ibu bapa merahsiakan keadaan atau perkembangan penyakit anak bagi memudahkan proses rawatan.

Malah, berbincang secara terbuka boleh mententeramkan perasaan pesakit kerana jika dirahsiakan, kanak-kanak mungkin menyangka keadaan mereka sangat teruk sehingga menyebabkan ibu bapa susah hati, kata Pengarah Eksekutif Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr Saunthari Somasundaram.

“Apabila seorang ahli keluarga menghidap kanser, kanak-kanak biasanya boleh mengesan ada sesuatu yang tidak kena walaupun tidak tahu perkara sebenar. Perbincangan ini tidak terhad kepada pesakit saja, bahkan anak lain juga berhak mengetahuinya.

“Kanak-kanak sebenarnya sangat sensitif. Tidak hairan jika ada kanak-kanak beranggapan mereka melakukan sesuatu yang tidak baik atau berbuat salah dan menyebabkan adik beradik menghidap penyakit sebagai balasan. Kekeliruan ini perlu dibetulkan,” katanya.

Pun begitu, bukan mudah untuk ibu bapa menerangkan penyakit kanser kepada pesakit atau anak lain. Selain perlu tahu mengenai penyakit itu, ibu bapa mesti menerangkannya dalam bahasa yang mudah difahami bersesuaian dengan umur anak.

Pada masa sama mereka perlu bersedia menjawab pelbagai soalan yang mungkin dikemukakan anak atau pesakit, terutama membabitkan rawatan, kesan sampingan, penjagaan atau isu lebih sukar iaitu mengenai kematian.

Biasanya isu ini diutarakan pesakit lebih besar, dalam lingkungan sembilan hingga 12 tahun. Bagi pesakit lebih kecil, mereka menerima kanser seperti penyakit lain. Reaksi mereka biasanya adalah disebabkan gejala penyakit atau orang di sekeliling mereka.

Mereka mungkin akan rasa bersalah kerana membuat orang sekeliling, terutama ibu bapa dan ahli keluarga, bersedih. Jika tidak dibendung, perasaan ini bukan saja menyebabkan mereka bersedih, tetapi juga dikhuatiri melemahkan semangat pesakit untuk meneruskan rawatan dan melawan kanser.

Justeru, penerbitan buku Apa Itu Kanser sangat tepat pada masanya, apatah lagi dengan peningkatan kes baru setiap tahun, sama ada di kalangan orang dewasa mahu pun kanak-kanak.

Buku ini disasarkan kepada kanak-kanak berumur antara sembilan hingga 12 tahun yang berdepan kanser secara langsung atau tidak langsung.

Untuk permulaan, ia diterbitkan dalam tiga bahasa (Inggeris, Bahasa Malaysia dan Mandarin)dan 2,000 naskhah diedarkan di semua hospital besar di seluruh negara.

Mengapa saya?

“Mengapa saya? Bagaimana saya boleh mendapat kanser?” antara soalan yang sukar dijawab. Tiada siapa tahu kenapa dan bagaimana seseorang itu mendapat kanser.

Pesakit juga perlu diberitahu, penyakit mereka tidak berjangkit dan tiada alasan untuk menjauhkan diri daripada orang lain. Ibu bapa juga perlu memberitahu anak bahawa mereka tidak perlu risau untuk berkawan, bercakap atau memeluk pesakit kanser.

Adakah saya boleh sembuh?

Kanser kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa, dan dalam kebanyakan kes peluang untuk sembuh adalah tinggi iaitu sehingga 90 peratus, termasuk kes leukemia. Yang penting ialah mendapatkan rawatan seawal mungkin sebaik penyakit dikesan.

“Memang pesakit kanak-kanak akan menderita sepanjang tempoh rawatan, tetapi mereka boleh bertahan. Mereka akan berasa letih, lemah dan mungkin muntah. Apabila ini berlaku, doktor akan memberi ubat tambahan untuk membuatkan mereka lebih baik.

“Selain pembedahan, pesakit perlu menjalani rawatan kemoterapi. Antara kesan sampingan paling ditakuti ialah keguguran rambut.

“Bagaimanapun, jangan bimbang kerana rambut baru akan tumbuh semula enam bulan selepas tamat rawatan. Rambut baru tidak sama dengan rambut asal, tetapi ia jauh lebih sihat,” katanya.

Saya sihat, mengapa masih perlu mengambil ubat?

Ini untuk memastikan semua sel kanser dibunuh dan menghalangnya menyerang semula. Semua ubat mesti dihabiskan sepanjang tempoh rawatan.

Pun begitu, risiko kanser menyerang semula sentiasa ada. Pesakit yang mendapat rawatan ketika kanser dalam peringkat pertama ada risiko pengulangan 10 peratus dan lebih tinggi jika penyakit lambat dirawat. Namun, jangan putus harapan jika ia berlaku kerana masih ada rawatan yang boleh menyelamatkan pesakit.

Jenis kanser kanak-kanak

Menurut Dr Saunthari, ada beberapa jenis kanser kanak-kanak yang lazim iaitu:

Leukemia — Kanser darah dan paling lazim berlaku pada kanak-kanak akibat kehadiran sel darah putih yang tidak normal. Ia menyebabkan pesakit mudah mengalami lebam, sakit tulang dan tidak bermaya.

Ketumbuhan otak — Antara gejala biasa ialah sakit kepala, mual pada waktu pagi, mengalami kesukaran untuk berjalan, menjadi mudah marah dan terasa tidak sihat.

Limfoma (kanser pada nodus limfa) — Nodus limpa adalah ‘kilang’ menghasilkan sel yang melindungi badan dan nodus yang ‘sakit’ perlu dibuang segera.

Neuroblastoma (kanser pada saraf) — Ia boleh berlaku pada mana-mana saraf termasuk di leher, dada dan perut.

Retinoblastoma (kanser mata) — Kanser ini biasanya berlaku pada kanak-kanak kecil. Jika terlewat mendapat rawatan, mata yang diserang kanser terpaksa dibuang dan diganti dengan mata palsu (untuk tujuan kecantikan).

Ketumbuhan otot — Ia boleh berlaku pada mana-mana otot yang menyebabkan pesakit berasa lemah dan sakit pada bahagian diserang.

Nefroblastoma (kanser buah pinggang) — Kanser boleh menyerang sebelah atau kedua-dua buah pinggang dan menyebabkan fungsinya terjejas teruk. Biasanya rawatan dimulakan dengan kemoterapi (untuk mematikan sel kanser) dan disusuli pembedahan.

Pemeriksaan dan rawatan

Buku Apa Itu Kanser terbitan bersama NCSM dan Blackmores (M) Sdn Bhd yang ditulis dengan bahasa mudah dan disertakan karikatur juga menerangkan jenis ujian yang perlu dilalui pesakit kanser. Lapan jenis ujian digunakan untuk pengesahan kanser iaitu:


Ujian darah (dilakukan setiap kali kunjungan ke hospital)


Imbasan CAT (untuk mengambil gambar bahagian dalam badan)


Imbasan Imej Magnetik Resonans (MRI, untuk mengambil gambar bahagian dalam badan)


Ultrabunyi (untuk mengetahui organ berfungsi dengan baik)


Imbasan tulang (bagi memastikan tulang tidak terjejas)


Biopsi ketumbuhan (untuk memastikan jenis kanser dihidapi)


Biopsi sumsum tulang (untuk pengesahan jenis kanser)


Ujian air tulang belakang (bagi memeriksa kehadiran sel kanser pada tulang belakang). Ramai orang percaya pesakit menjadi lebih teruk jika air tulang belakang diambil, tetapi anggapan ini tidak benar. Air tulang belakang tidak akan habis dan badan menggantikannya dengan yang baru. Pengambilan air tulang belakang tidak memburukkan penyakit.

Seperti diketahui umum, kaedah rawatan utama kanser ialah kemoterapi, radioterapi dan pembedahan. Namun dalam sesetengah keadaan (bergantung kepada jenis kanser) pesakit kanak-kanak perlu menjalani pemindahan sumsum tulang, sama ada daripada pesakit atau penderma lain (biasanya ahli keluarga).

Walaupun selamat, kemoterapi ada kesan sampingan seperti penat, mulut dan tekak menjadi kering, masalah kulit, tiada selera makan, keguguran rambut dan berasa tertekan.

Manakala radioterapi biasanya menyebabkan letih, tidak sihat, rambut gugur, terasa asyik hendak kencing, hilang selera makan, perut tidak selesa dan masalah kulit.

Sepanjang tempoh rawatan kemoterapi, daya ketahanan badan pesakit lemah dan mudah mendapat jangkitan. Pastikan pesakit tidak ada berhampiran individu yang alami jangkitan seperti selesema, flu atau demam campak.

Untuk mendapat keputusan terbaik, doktor akan mencadangkan gabungan beberapa rawatan yang disebut di atas, termasuk imunoterapi dan terapi hormon. Pemilihan ini bagaimanapun dibuat mengikut kesesuaian.

Bagi kes serius, rawatan mungkin tidak dapat menyembuhkan kanser, tetapi mampu menghilangkan kesakitan serta meningkatkan kualiti hidup.

Pemakanan

Pemakanan seimbang dan berkhasiat sangat penting untuk menguatkan tubuh pesakit kanser. Ibu bapa perlu bijak menyediakan makanan anak kerana sepanjang tempoh rawatan, mereka tiada selera makan.

Menurut Perunding dan Pelatih Kesihatan, Monitar Tan, jangan paksa pesakit kecil makan makanan pejal kerana jika menjalani kemoterapi, mulut dan tekak menjadi kering dan menyukarkan mereka untuk menelan.

“Sediakan makanan lembut. Lecek buah-buahan dan sayur-sayuran supaya ia mudah ditelan. Beri apa saja yang mereka teringin, termasuk burger atau makanan manis, kerana ini antara cara menggalakkan pesakit makan.

“Jika mereka mahu burger, sebaik-baiknya sediakan di rumah bersama pesakit jika mereka cukup kuat. Cara ini bukan saja menjadikan sesi makan itu menarik, tetapi membantu anak melupakan kesakitan.

“Tidak mengapa jika mereka makan sedikit, tetapi ia perlu kerap supaya anak mendapat khasiat secukupnya. Jika mereka tidak boleh menelan pil vitamin, jadikan ia sebagai manisan untuk diambil bersama makanan lain,” katanya.

Sokongan

Ia penting untuk membantu pesakit melawan kanser dan mempercepatkan proses penyembuhan. Sokongan ini datang dalam dua bentuk iaitu moral dan fizikal.

Pesakit biasanya lebih tenang jika bertemu rakan senasib dan ini boleh dilakukan dengan menyertai kumpulan sokongan atau mana-mana program yang diadakan khusus untuk pesakit kanser.

Sokongan fizikal secara tidak langsung juga penting seperti tidak merokok berhampiran pesakit kanser, tetapi lebih baik jika tabiat ini dapat dihentikan terus. Jika mengalami jangkitan, pastikan anda duduk jauh dari pesakit kerana anda boleh membahayakan nyawanya.

Rakan sekolah pasti ada banyak perkara yang hendak ditanya kepada pesakit. Sebagai guru, anda boleh membantu pesakit dengan mengadakan projek khas mengenai kanser untuk dibentangkan di dalam kelas.

Melalui cara ini pesakit bukan saja tidak perlu menjawab soalan sama berulang kali, tetapi dapat membantu meningkatkan kesedaran kanak-kanak mengenai kanser.

Namun, paling penting ialah sokongan ibu bapa. Mereka perlu berterus terang mengenai status kesihatan pesakit dan sentiasa memberi dorongan untuk menguatkan semangat. Banyak bukti semangat yang kuat boleh melawan kanser.

“Jangan sembunyi status kesihatan anak kerana ia menyebabkan pesakit lebih tertekan. Ibu bapa juga tidak harus mengubah tajuk perbualan apabila anak bertanya soal kematian.

“Memang ia isu sukar, tetapi ibu bapa perlu bijak memberi jawapan kerana kanak-kanak tahu bila mereka akan ‘pergi’. Namun sebelum sampai waktu itu, kita bertanggungjawab memberikan mereka kehidupan sebaik mungkin,” katanya.

Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web www.cancer.org.my untuk mendapat maklumat lanjut mengenai jenis kanser, faktor risiko, saringan dan pengesanan, pilihan rawatan, pemakanan serta pelbagai maklumat lain.