Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Tuesday, June 4, 2013

Bangunan al-Masjid al-Aqsa Yang Sebenarnya

Bangunan-al-masjid-al-aqsa-yang-sebenarnya
November 1, 2009 by abidfana

Al-Masjid al-Aqsa adalah merupakan masjid ketiga tersuci di dalam agama Islam. Ianya juga merupakan tempat di mana Allah memperjalankan nabi Muhammad SAW pada waktu malam semasa peristiwa Isra’ dari al-Masjid al-Haram di Makkah ke al-Masjid al-Aqsa di al-Quds. Lokasinya terletak di kawasan yang diberkati dan suci. Keberkatan kawasan tersebut bukan sahaja dapat dinikmati daripada aspek spiritualnya sahaja, tetapi daripada aspek material pun dapat dirasai, seperti kesuburan tanah yang menghasilkan produk perladangan terbaik, cuaca yang nyaman dan seumpamanya. Ramai nabi menjadikan bumi ini sebagai tempat tinggal di dalam misi dakwah mereka. Masjid ini juga pernah menjadi qiblat pertama bagi umat Islam.
Suatu masa dahulu, umat Islam bebas untuk keluar masuk di dalam al-Aqsa. Ramai yang memulakan pergerakan menunaikan haji dari masjid ini. Apatah lagi terdapat galakan langsung daripada nabi Muhammad untuk menziarahinya. Bersabda nabi Muhammad SAW di dalam sepotong hadith:
وعن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال:   لا تشد الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد: المسجد الحرام، والمسجد الأقصى، ومسجدي   متفق عليه، واللفظ للبخاري
Daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A. Rasulullah SAW dilaporkan berkata: Janganlah bersungguh-sungguh/bersusah-payah pergi berjalan melainkan ke tiga masjid, al-Masjid al-Haram (Makkah), al-Masjid al-Aqsa (Al-Quds) dan Masjidku (Masjid Nabi di Madinah) - Muttafaqun alaihi dengan lafaz daripada Bukhari.
Sehinggalah penjajahan Zionist ke atas Palestin, al-Masjid al-Aqsa kini sunyi daripada pengunjung Muslim bukan Arab. Sekatan serta fatwa pengharaman menziarahinya oleh Mufti Palestin yang turut disokong ramai ulamak kerana perlu membayar wang yang banyak kepada penjajah Zionist, menyebabkan hanya sedikit daripada kita yang mengenali bangunan al-Aqsa yang sebenarnya.
Di dalam bersemangat mempertahankan al-Aqsa, ada antara umat Islam yang cuba untuk memperkenalkan bangunan al-Aqsa. Antara maklumat yang kerap disebarkan melalui rantaian email dan tapak sesawang seperti ini, ialah menyatakan yang Qubbah al-Sakhrah (Dome of the Rock) adalah bukan al-Aqsa. Mereka mendakwa yang ianya adalah propaganda Zionist untuk mengalihkan fokus umat Islam daripada mempertahankan al-Masjid al-Aqsa yang sebenarnya. Ramai daripada kita yang percaya dengan maklumat ini.
aqsa 1
Gambar yang kerap disebarkan untuk menunjukkan al-Aqsa yang sebenar

Dalam artikel ini, saya akan cuba berkongsi maklumat yang sebenar mengenai bangunan al-Masjid al-Aqsa seperti yang dikenali penduduk Palestin. Saya perlu memberikan kredit kepada pensyarah Universiti al-Najah, Dr Haithem F. al-Ratrout yang telah melakukan kajian perkembangan senibina al-Aqsa di dalam kajian PhD semasa menuntut di Al-Maktoum Institute. Saya telah mendapat keizinan beliau untuk menyebarkan maklumat kajiannya, kerana menurut beliau ini merupakan tanggungjawab Muslim bagi memperkenalkan bangunan al-Aqsa yang sebenarnya. Anda boleh membeli buku beliau daripada laman ini untuk mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci.
PEMBINA AL-AQSA YANG SEBENARNYA
Untuk mengetahui al-Aqsa, kita terlebih dahulu perlu mengetahui siapakah pembinanya. Menurut ulamak, tidak ada satu nas yang amat sahih menyatakan secara jelas siapakah pembina al-Aqsa. Cuma terdapat sepotong hadith sahih menceritakan secara umum pembinaan al-Aqsa, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:
حديث سليمان بن مهران الأعمش، عن إبراهيم بن يزيد التيمي، عن أبيه، عن أبي ذر قال: قلت: يا رسول الله أي مسجد وضع أول؟ قال: المسجد الحرام. قلت: ثم أي؟ قال: المسجد الأقصى. قلت: كم بينهما؟ قال: أربعون سنة
Hadith Sulaiman bin Mahran al-A’mash, daripada Ibrahim bin Yazid al-Tamimi, daripada bapanya Abu Zarr beliau berkata, aku bertanya kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah, masjid yang manakah dibina terlebih dahulu (dalam sejarah)?” Nabi menjawab, “al-Masjid al-Haram.” Aku bertanya lagi, “Selepas itu?” Jawab nabi, “al-Masjid al-Aqsa.” Aku bertanya lagi, “Berapa jarak pembinaan antara keduanya?” Nabi menjawab, “40 tahun.”….
Berdasarkan hadith di atas, oleh kerana jarak pembinaan antara al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Aqsa adalah dekat, iaitu 40 tahun, ditambah lagi dengan umur umat terdahulu yang amat panjang, maka ramai ulamak berpandangan pembina kedua-dua masjid ini adalah orang yang sama. Justeru, dalam usaha mencari siapakah pembina al-Aqsa, adalah perlu untuk kita mencari siapakah pembina al-Masjid al-Haram di Makkah.
Sebahagian kita berpandangan yang pembina al-Masjid al-Haram ialah Nabi Ibrahim. Ini berdasarkan kepada ayat al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 127:
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَٰهِيمُ ٱلْقَوَاعِدَ مِنَ ٱلْبَيْتِ وَإِسْمَٰعِيلُ
Dan ketika Nabi Ibrahim dan Ismail mengangkat kembali tapak asas tapak rumah ibadah itu (Al-Masjid al-Haram).
Jumhur ulamak, walau bagaimanapun menyatakan yang ayat di atas hanyalah menunjukkan yang nabi Ibrahim membina kembali tapak al-Masjid al-Haram yang telah dibina oleh nabi sebelumnya. Dengan erti kata lain, nabi Ibrahim bukanlah orang pertama yang membina al-Haram. Sekiranya nabi Ibrahim bukan orang pertama membina al-Haram, maka baginda juga bukanlah orang pertama membina al-Aqsa.
Ketika mentafsirkan ayat di atas, Imam al-Tabari telah merekodkan beberapa riwayat mengenai pembina al-Masjid al-Haram yang sebenarnya. Antaranya ialah seperti yang dilaporkan oleh Ato’ bin Abi Rabah dan Abdullah bin Amru yang menyatakan bahawa pembina Ka’bah yang pertama sebenarnya ialah nabi Adam. Apabila nabi Adam diturunkan dari langit, baginda telah membina rumah ibadah pertama di muka bumi dengan arahan Allah SWT. Baginda tawaf di keliling Ka’bah tersebut, berdasarkan sempadannya yang telah ditetapkan. Ka’bah itulah merupakan asal bagi al-Masjid al-Haram. Kemudian berdasarkan hadith Abu Dzar tadi, baginda telah membina al-Aqsa 40 tahun selepasnya. Adapun nabi Ibrahim, baginda hanyalah membangunkan kembali asas binaan tersebut yang telah roboh berikutan banjir besar serta faktor cuaca yang lain.
Justeru, ramai ulamak yang menyatakan nabi Adam adalah pembina al-Aqsa kerana baginda juga membina Ka’bah.
KONSEP BINAAN MASJID DI DALAM ISLAM
Untuk mengetahui bangunan al-Aqsa, kita juga perlu untuk mengetahui konsep binaan masjid di dalam fiqh Islam. Secara ringkasnya, yang dinamakan masjid itu perlulah mempunyai empat elemen:
1. Lokasi.
2. Sempadan.
3. Qiblah.
4. Aktiviti, termasuklah ritual ibadah dan juga segala aspek kehidupan yang membawa kesejahteraan akhirat.
Gabungan lokasi dan sempadan, menurut ulamak, tidak membawa maksud yang masjid itu perlu berada di dalam satu bangunan. Masjid di zaman nabi Muhammad pun tidak mempunyai bangunan. Yang paling penting ialah, pembina masjid tersebut perlu menentukan lokasi dan sempadannya. Adalah menjadi satu kesilapan sekiranya kita memahami yang masjid itu perlu dibuat di dalam bangunan.
LOKASI AL-AQSA
Dalam peta politik moden, al-Aqsa terletak di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Pekan Lama atau Old City of Jerusalem, Tebing Barat (West Bank). Semasa zaman nabi, banyak istilah yang digunakan untuk merujuk kawasan ini, seperti Eiliya’, Sham, al-Ard al-Muqaddasah, al-Ard al-Mubarakah dan al-Quds. Old City of Jerusalem dikelilingi oleh pagar. Di dalamnya terletak kawasan petempatan lama. Ianya agak padat. Dahulu Muslim Arab merupakan majoriti, akan tetapi selepas penjajahan, orang Yahudi semakin ramai menguasai kawasan petempatan di dalam Old City of Jerusalem. Turut berada di dalam pagar Old City berkenaan, ialah Holy of Sepulchre, gereja utama agama Kristian. Al-Masjid al-Aqsa terletak di tenggara pagar Old City.

aqsa 2
Pandangan udara Old City of Jerusalem dan al-Aqsa

PLAN KA’BAH DI AL-MASJID AL-HARAM
Selain itu, kita juga perlu mengetahui bagaimanakah plan asal Ka’bah yang telah dibina oleh nabi Adam. Ini adalah kerana kita telah faham bahawa pembina kedua-dua bangunan ini kemungkinan besar adalah orang yang sama berdasarkan hadith Abu Dzar tadi. Ramai yang memahami Ka’bah sebagai bangunan berbentuk kiub yang dilitupi oleh kain kiswah hitam. Fakta ini kurang tepat, kerana sebenarnya kawasan Hijir Ismail adalah juga sebahagian Ka’bah berdasar pandangan ramai ulamak. Jika diteliti laporan daripada al-Azraqi (meninggal 222 H), beliau telah melakarkan plan Ka’bah seperti yang telah direnovasi oleh nabi Ibrahim seperti imej berikut:

aqsa 3

BANGUNAN AL-AQSA YANG SEBENAR
Antara gambar terbaik untuk melihat pandangan udara al-Aqsa ialah seperti berikut.
aqsa 4
Secara ringkas, al-Masjid al-Aqsa yang sebenar ialah meliputi semua monumen bangunan dan tanah lapang di sekitar pagar empat segi di atas. Hujjahnya ialah seperti berikut:
1. Nabi Muhammad diisra’ ke al-Aqsa. Kemudian dimikrajkan dari al-Aqsa juga. Semua bersetuju yang nabi dinaikkan ke langit daripada lokasi Dome of the Rock sekarang yang letaknya di bukit paling tinggi di dalam pagar di atas. Justeru tidaklah tepat sekiranya Dome of the Rock dikatakan bukan sebagai al-Aqsa.
2. Masjid tidak semestinya berada di dalam satu bangunan. Ianya boleh jadi di atas tanah lapang, atau dalam bangunan, atau gabungan tanah lapang dan bangunan, selagi mana ditentukan lokasi dan sempadannya.
3. Al-Aqsa mempunyai hubungan dan persamaan dengan Ka’bah. Tidak mustahil, kerana pembinanya adalah orang yang sama. Bahkan jika dibesarkan plan Ka’bah, kita akan dapati yang plannya adalah sama dengan pagar sempadan al-Aqsa. Dengan erti kata lain, sudut bukaan setiap hujung empat seginya adalah sama. Penjelasan lanjut boleh diperolehi daripada buku Dr Haithem yang sebenarnya merupakan thesis PhD beliau.
aqsa 5
4. Memang benar Saidina Umar seakan marah dan tidak bersetuju dengan cadangan Ka’ab al-Ahbar mengenai lokasi di mana perlunya dibina bangunan masjid di dalam al-Aqsa. Ka’ab mencadangkan di lokasi Dome of the Rock sekarang. Umar tidak bersetuju kerana lokasi itu adalah lokasi paling suci dalam agama Yahudi, dan keduanya bangunan utama yang menempatkan Imam sembahyang, perlulah berada di tempat paling hampir dengan qiblat/Ka’bah. Maka dibinalah bangunan masjid kecil di selatan sempadan pagar al-Aqsa yang betul-betul dibina oleh nabi Adam menghadap ke arah Ka’bah. Masjid asal yang dicadangkan saidina Umar itu dikenali penduduk tempatan sebagai Jami’ Qibli atau Jami’ al-Aqsa. Adapun sekiranya menyebut al-Masjid al-Aqsa, maka ianya merujuk kepada semua yang berada di dalam pagar sempadan al-Aqsa tadi, termasuklah Jami’ Qibli, Masjid Buraq, pelbagai masjid kecil di dalamnya, beberapa bilik perpustakaan, pejabat dan kelas pengajian, Dome of the Rock, Dome of Ascension, Dome of Chain, tanah lapang, dan lain-lain.

aqsa 6

KESIMPULAN
1. Al-Aqsa ialah kawasan yang  meliputi semua monumen, bangunan dan tanah lapang di dalam pagar al-Aqsa seperti gambar di atas. Ini termasuklah Dome of the Rock, yang merupakan sebahagian daripada al-Masjid al-Aqsa.
2. Umat Islam perlu menghentikan penyebaran maklumat salah yang kononnya Dome of the Rock bukan sebahagian daripada al-Aqsa. Sasaran Zionist sekarang ialah membina Haikal Sulaiman di atas tapak Dome of the Rock, yang dianggap sebagai The Holiest of Holy oleh orang Yahudi. Sekiranya kita membiarkan fokus kita daripada mempertahankan Dome of the Rock, maka mudahlah orang Yahudi merampas al-Aqsa.
3. Saya amat mencadangkan rakan-rakan pembaca untuk membeli buku Dr Haithem, serta membaca kajian lanjut mengenai pembinaan Ka’bah, pembinaan Jami’ Qibli, Dome of the Rock dan kubah-kubah lain, sejarah pemerintah yang menguasai dan memakmurkan al-Aqsa dan lain-lain.

Untuk bacaan lanjut sila klik Dome of The Rock (English)

Tuesday, June 26, 2012

Meneladani Peristiwa Pertukaran Qiblat



Peristiwa Pertukaran Qiblat Dari Baitul Maqdis ke Kaabah
Tafsir Surah al-Baqarah Ayat 142 – 147
011
“Dan peringatkanlah mereka tentang hari-hari Allah, sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi mereka yang amat bersabar lagi bersyukur” (Surah Ibrahim : 5)
Hari-hari Allah itu sememangnya perlu diperingatkan sesama kita Umat Islam kerana kita ini alpa. Tambahan pula dengan fitnah penggunakan kalendar Gregorian Miladi atau Masehi itu menjadikan umat Islam semakin jauh dan tercuai daripada mengingati ‘hari-hari Allah’.


Menjelangnya Rejab dan Shaaban, umat Islam selalunya lazim memperkatakan tentang peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad SAW. Namun, terdapat suatu lagi peristiwa yang besar dan penting kepada kita semua di mana riwayat Sahih al-Bukhari secara tidak langsung mengisyaratkan bahawa ia berlaku sama ada pada pertengahan bulan Rejab atau pun Shaaban, kira-kira 16 atau 17 bulan selepas hijrah Nabi Muhammad SAW; sejurus sebelum berlakunya Peperangan Badar al-Kubra pada tahun kedua Hijrah itu. Peristiwa yang dimaksudkan itu adalah perpindahan Qiblat daripada Baitul Maqdis ke Masjidil Haram di Makkah.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada al-Barraa’, beliau berkata:

“Apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, Baginda bersolat di dalam keadaan mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 atau 17 bulan. Akan tetapi Baginda SAW amat suka seandainya Baginda berpeluang untuk bersolat mengadap ke arah Kaabah. Lalu Allah SWT menurunkan ayat “Kami sering melihat kamu mendongak-dongakkan wajahmu ke langit”[surah al-Baqarah ayat 144]. Maka berkata-katalah orang-orang yang bodoh dari kalangan manusia dan mereka itu adalah Yahudi, “Apakah yang telah memalingkan orang-orang Islam itu daripada qiblat mereka sebelum ini?” Lalu Allah SWT menjawab dengan menyatakan “Bagi Allah itulah timur dan barat”.

“Orang-orang yang bodoh dari kalangan manusia (iaitulah Yahudi) akan berkata (dengan ejekan): Apakah yang telah memalingkan mereka (orang-orang Islam) itu daripada qiblat mereka sebelum ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Bagi Allah itulah Timur dan Barat, Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki kepada jalan yang lurus {142} Dan (sebagaimana Kami tunjukkan kamu jalan yang lurus dengan berqiblatkan Kaabah), begitu jugalah Kami jadikan kamu sebagai umat yang ‘bersifat sederhana dan pertengahan’ agar dengan itu kamu menjadi saksi ke atas manusia. Manakala Rasulullah SAW itu pula, dia menjadi saksi bagi kamu. Dan tidaklah Kami jadikan qiblat kamu sebelum ini melainkan Kami ketahui siapa yang mengikut perintah Rasul dan siapa pula yang memalingkan lehernya (ingkar). Sesungguhnya perintah itu adalah amat berat melainkan bagi mereka yang diberi petunjuk oleh Allah SWT. Dan tidaklah sekali-kali Allah menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah itu amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya (kepada orang-orang yang beriman) {143}”
“Dan Kami sering melihat kamu mendongak-dongakkan kepalamu ke langit. Maka (pada hari ini) Kami tukarkan bagi kamu ke arah Qiblat yang kamu suka. Oleh yang demikian, hadapkanlah wajahmu ke Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada maka hendaklah kamu mengadap ke arahnya. Sedangkan mereka yang telah diberikan al-Kitab (Yahudi) itu benar-benar tahu bahawa hal ini adalah kebenaran dari Tuhan mereka. Dan tidaklah Allah SWT alpa terhadap apa yang mereka lakukan. {144} 

Dan sekiranya kamu datangkan segala bukti kepada mereka yang telah diberikan al-Kitab kepadanya (Yahudi), tidaklah mereka itu mengikut Qiblat kamu. Dan kamu juga tidak akan sekali-kali mengikut Qiblat mereka. Bahkan mereka sesama mereka juga tidak mengikut Qiblat antara satu dengan yang lain. Dan sekiranya kamu mengikut hawa nafsu mereka selepas datangnya kepada kamu pengetahuan, maka sesungguhnya kamu adalah dari golongan yang zalim. {145} 

Mereka yang Kami berikan al-Kitab itu (Yahudi dan Nasrani), mereka mengenalinya (Muhammad) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka. Akan tetapi sebahagian daripada mereka itu senantiasa menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka mengetahui. {146}Kebenaran itu adalah datangnya dari Tuhanmu, maka janganlah sekali-kali kamu tergolong dari kalangan orang yang zalim. {147}”

CINTA NABI KEPADA KAABAH, QIBLAT IBRAHIM

Ketika di Makkah, sebelum berlakunya peristiwa Hijrah, Rasulullah SAW bersolat di bahagian selatan Kaabah supaya Baginda SAW mengadap Baitul Maqdis sebagai perintah Allah, dan dalam masa yang sama Baginda SAW mengadap Kaabah, Qiblat Nabi Ibrahim A.S yang dikasihinya. Apabila Baginda SAW dan umat Islam berhijrah ke Madinah, Allah memerintahkan supaya solat dilakukan secara mengadap ke Baitul Maqdis. Tujuannya adalah supaya dengan ibadah yang dilakukan seumpama ini, ia akan membolehkan Nabi SAW melembutkan hati orang-orang Yahudi di Madinah untuk menerima Islam. Ia juga sebagai isyarat bahawa Syariat yang dibawa oleh Baginda SAW adalah sama dengan risalah yang diseru oleh Nabi-nabi Bani Israel seperti Musa dan Isa Alayhima as-Salaam.

Akan tetapi sifat mulia yang ditunjukkan oleh Baginda dan umat Islam itu, tidak langsung menggerakkan hati orang-orang Yahudi untuk menerima Islam, bahkan mereka mengejek-ngejek Baginda SAW. Kata mereka “Muhammad itu menentang agama kita, tetapi dalam masa yang sama mengadap Qiblat kita pula. Kalaulah agama kita tidak ada, nescaya Muhammad itu tidak tahu ke arah Qiblat mana dia mahu bersolat!”
Kata-kata seumpama ini amat melukakan hati Nabi SAW. Sehingga diriwayatkan bahawa Nabi SAW menyebut, “aku amat suka jika Allah SWT menghindarkan aku daripada Qiblat Yahudi itu (Baitul Maqdis)”.

ASBAB NUZUL AYAT 142 DAN 144 SURAH AL-BAQARAH

Ibnu Abbas RA dan at-Tabari berpendapat bahawa ayat 144 surah al-Baqarah adalah turun lebih awal daripada ayat 142. Pendapat ini disokong oleh riwayat al-Bukhari dari al-Barraa’ yang telah disebutkan di atas. Akan tetapi az-Zamakhsyari menyatakan bahawa ayat 142 tentang komen Yahudi itu telah turun lebih awal sebelum turunnya ayat perintah menukar Qiblat (Al-Baqarah ayat 144). Ia adalah sebagai mukjizat daripada Allah SWT bahawa Nabi SAW telah lebih awal diperkhabarkan tentang pertukaran Qiblat berkenaan sebelum ia berlaku. Ini adalah supaya hati Baginda SAW dan umat Islam menjadi tenang menghadapi ejekan dan cemuhan Yahudi tersebut.

Di dalam artikel ini, kita akan menghuraikan peristiwa pertukaran Qiblat tersebut dengan menggunakan pendapat Ibnu Abbas RA dan at-Tabari supaya kronologi peristiwa itu dapat difahami dengan mudah oleh pembaca.

Di dalam Sahih al-Bukhari dengan riwayat daripada al-Barraa’, beliau berkata:
“Apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah, Baginda bersolat di dalam keadaan mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 atau 17 bulan. Akan tetapi Baginda SAW amat suka seandainya Baginda berpeluang untuk bersolat mengadap ke arah Kaabah. Nabi SAW bersolat mengadap Kaabah buat kali pertamanya adalah pada solat Asar bersama sahabat-sahabat Baginda. Kemudian keluar salah seorang daripada mereka yang bersolat bersama Nabi SAW itu dan melalui suatu kaum yang pada masa itu sedang rukuk mengerjakan solat, lalu beliau berkata “Aku bersaksi dengan Allah bahawa aku telah bersolat bersama Nabi SAW mengadap Makkah”. Lalu jamaah tersebut berpusing ke arah Kaabah di Masjidil Haram. Dalam pada itu (kami teringat) kepada adanya ramai di kalangan sahabat kami yang telah mati terbunuh dan mereka itu bersolat mengadap Baitul Maqdis. Sesungguhnya kami tidak tahu apa nasib mereka. Lalu Allah SWT menurunkan firmanNya yang bermaksud: “Dan tidaklah Allah sekali-kali mensia-siakan iman kamu”.

KESIMPULAN RIWAYAT YANG ZAHIRNYA SEAKAN BERCANGGAH

Berdasarkan riwayat ini, solat yang pertama dikerjakan oleh Nabi SAW mengadap Kaabah di Makkah adalah solat Asar. Riwayat daripada Malik pula menyatakan bahawa solat itu adalah Solat Fajar dan ada juga yang menyebut Zohor. Muhammad bin Muhammad Abu Shahbah di dalam kitabnya As-Seerah an-Nabawiyyah fee Dhou’ al-Qur’aan wa as-Sunnah (ms.104, juzuk 2, terbitan Darul Qalam 1992 /1412) telah cuba menggabungkan riwayat-riwayat ini dan kesimpulannya adalah seperti berikut:

Pada masa itu Nabi SAW telah pergi menziarahi Ummu Bashar bin al-Barraa’ bin Ma’roor di kediaman Bani Salimah di luar Madinah. Selepas dijamu makan oleh tuan rumah, waktu Zohor menjelang, dan Nabi SAW bersama-sama mengerjakan solat Zohor. Ketika di rakaat kedua, Jibril Alayhi as-Salaam telah datang membawa perintah Allah supaya menukar Qiblat. Jibril memegang tangan Nabi SAW dan memusing Baginda SAW hampir-hampir tepat ke arah belakang iaitu ke arah Kaabah di Masjidil Haram di Makkah dan ia diikuti bersama oleh Jamaah yang bersolat bersama Baginda SAW. Peristiwa di mana berlakunya peristiwa itu, kini dikenali sebagai Masjid al-Qiblatain (Masjid Dua Qiblat) tidak jauh dari Masjid Nabawi di Madinah.

Selepas itu, Nabi SAW kembali ke Madinah dan di situ Baginda SAW bersama para sahabat menunaikan solat Asar secara lengkap sepenuhnya mengadap ke Kaabah. Kemudian salah seorang daripada mereka yang bersolat bersama Nabi SAW itu telah pergi melawat Bani Harithah dan dia telah memaklumkan kepada mereka tentang hal pertukaran Qiblat lalu mereka menukarnya. Selepas itu, lelaki yang sama atau mungkin juga lelaki yang lain telah pergi ke Quba’ dan menyampaikan perkhabaran itu kepada Jamaah di situ lalu mereka menunaikan solat Fajar mengadap Kaabah di Masjidil Haram di Makkah al-Mukarramah.

NABI TERDONGAK-DONGAK KE LANGIT

Kerana cemuhan Yahudi kepada perbuatan Nabi SAW bersolat mengadap Baitul Maqdis, Baginda SAW sering pada waktu malam keluar dan mendongak-dongak ke langit mengharapkan kalau-kalau turunnya wahyu dari Allah untuk menukar Qiblat. Firman Allah SWT:

“Dan Kami sering melihat kamu mendongak-dongakkan kepalamu ke langit. Maka (pada hari ini) Kami tukarkan bagi kamu ke arah Qiblat yang kamu suka. Oleh yang demikian, hadapkanlah wajahmu ke Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada maka hendaklah kamu mengadap ke arahnya. Sedangkan mereka yang telah diberikan al-Kitab (Yahudi) itu benar-benar tahu bahawa hal ini adalah kebenaran dari Tuhan mereka. Dan tidaklah Allah SWT alpa terhadap apa yang mereka lakukan.” (Al-Baqarah : 144)

FirmanNya lagi:
“Dan sekiranya kamu datangkan segala bukti kepada mereka yang telah diberikan al-Kitab kepadanya (Yahudi), tidaklah mereka itu mengikut Qiblat kamu. Dan kamu juga tidak akan sekali-kali mengikut Qiblat mereka. Bahkan mereka sesama mereka juga tidak mengikut Qiblat antara satu dengan yang lain. Dan sekiranya kamu mengikut hawa nafsu mereka selepas datangnya kepada kamu pengetahuan, maka sesungguhnya kamu adalah dari golongan yang zalim. Mereka yang Kami berikan al-Kitab itu (Yahudi dan Nasrani), mereka mengenalinya (Muhammad) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka. Akan tetapi sebahagian daripada mereka itu senantiasa menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka mengetahui.” (Al-Baqarah : 145-146)

HURAIAN

Allah SWT menerangkan di dalam ayat ini bahawa orang-orang Yahudi itu enggan menerima seruan Nabi SAW bukanlah kerana kurangnya pengetahuan mereka. Sebaliknya, mereka itu hanya mengikut kepada hawa nafsu yang degil terhadap kebenaran. Ayat “Mereka yang Kami berikan al-Kitab itu (Yahudi dan Nasrani), mereka mengenalinya (Muhammad) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka. Akan tetapi sebahagian daripada mereka itu senantiasa menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka mengetahui” diturunkan bersempena dengan kisah yang berlaku di antara Umar al-Khattab RA dengan Abdullah bin Salaam iaitu seorang Yahudi yang memeluk Islam. Abdullah bin Salaam berkata,

“Sesungguhnya aku lebih mengenali Rasulullah SAW berbanding dengan pengetahuanku terhadap anak aku sendiri.” Umar bertanya, “bagaimanakah itu boleh terjadi wahai Ibn Salaam?” Abdullah bin Salaam menjawab, “Ini adalah kerana aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah utusan Allah dengan kebenaran dan yakin. Sedangkan aku tidak bersaksi seperti itu terhadap anakku. Bahkan aku tidak tahu apa yang berlaku kepada orang-orang perempuan!” Lantas Umar menyebut, “Semoga Allah bersama denganmu wahai Ibn Salaam”.

Sememangnya Yahudi dan Nasrani itu tahu tentang perihal kebenaran Islam. Namun golongan ini sentiasa menyembunyikan pengetahuan mereka di atas kehendak hawa nafsu, benci dan iri hati kepada Islam. Tetapi mereka memang bertindak mengikut apa yang telah diterangkan oleh Islam. Pembesar-pembesar Kristian di Eropah hari ini amat bimbang dengan kebanjiran pendatang-pendatang asing ke Eropah dari kalangan umat Islam kerana mereka amat yakin dengan janji Nabi Muhammad SAW berkenaan dengan penawanan umat Islam ke atas Rome. Orang-orang Yahudi juga menyedari bahawa kehadiran mereka di bumi Palestin adalah untuk dihancur binasakan oleh umat Islam sebagaimana yang diperkhabarkan pada lisan Nabi Muhammad SAW. Namun, amat benarlah firman Allah SWT:

“Mereka ingkar dengannya sedangkan diri mereka mempercayainya dengan penuh yakin” (An-Naml : 14)

“Dan apabila datang kepada mereka perkara yang mereka ketahui, mereka (sengaja) mengkufurinya” (Al-Baqarah 89)

HUJAH BODOH YAHUDI MENENTANG NABI

“Orang-orang yang bodoh dari kalangan manusia (iaitulah Yahudi) akan berkata (dengan ejekan): Apakah yang telah memalingkan mereka (orang-orang Islam) itu daripada qiblat mereka sebelum ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Bagi Allah itulah Timur dan Barat, Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki kepada jalan yang lurus” (Al-Baqarah: 142)

Orang-orang Yahudi itu tidak langsung terbuka hati mereka untuk mempertimbangkan seruan dakwah Nabi Muhammad SAW. Sebaliknya, strategi Rabbani Rasulullah SAW dan umat Islam bersolat mengadap ke Baitul Maqdis telah dijawab dengan soalan yang mereka lontarkan dengan nada ejekan, “Apakah yang telah memalingkan mereka (orang-orang Islam) itu daripada qiblat mereka sebelum ini?”.

Lantas Allah memerintahkan kepada Nabi SAW supaya membidas sangka dangkal Yahudi itu dengan menyatakan bahawa semua arah yang dihadap adalah milik Allah. Tidak ada keistimewaan bagi suatu arah berbanding suatu arah yang lain. Allah itulah yang memerintahkan hambaNya supaya beribadah mengadap ke mana-mana arah yang dikehendakiNya. Persoalan memilih suatu arah dan tidak suatu arah yang lain, adalah dengan sifat patuh dan taat kepada perintah Allah dan bukannya atas motif-motif cetek seperti yang dipercayai oleh Yahudi berkenaan.

WASATHIYYAH, SIFAT ISTIMEWA UMAT MUHAMMAD
 
“Dan (sebagaimana Kami tunjukkan kamu jalan yang lurus dengan berqiblatkan Kaabah), begitu jugalah Kami jadikan kamu sebagai umat yang ‘bersifat sederhana dan pertengahan’ agar dengan itu kamu menjadi saksi ke atas manusia. Manakala Rasulullah SAW itu pula, dia menjadi saksi bagi kamu. Dan tidaklah Kami jadikan qiblat kamu sebelum ini melainkan Kami ketahui siapa yang mengikut perintah Rasul dan siapa pula yang memalingkan lehernya (ingkar). Sesungguhnya perintah itu adalah amat berat melainkan bagi mereka yang diberi petunjuk oleh Allah SWT. Dan tidaklah sekali-kali Allah menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah itu amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya (kepada orang-orang yang beriman).” (Al-Baqarah: 143)

Di dalam ayat ini Allah SWT menerangkan bahawa umat Muhammad SAW akan menjadi saksi bagi sekalian manusia di hari Qiamat nanti. Manakala Nabi Muhammad SAW pula akan secara khusus menjadi saksi bagi umatnya. Keterangan tentang hal ini terujuk kepada hadith Nabi SAW:

“Sesungguhnya umat-umat pada hari Qiamat mengingkari tentang perutusan para Nabi. Lantas Allah SWT memerintahkan kepada para Nabi supaya mendatangkan bukti (bahawa mereka telah menyampaikan risalah Allah SWT); dan Allah itu terlebih dahulu mengetahui tentang hakikat ini. Lalu para Nabi datang kepada umat Muhammad SAW untuk mendapatkan kesaksian. Umat-umat yang terdahulu bertanya: bagaimanakah kamu tahu tentang perihal kami (sehingga kamu boleh menjadi saksi bagi kami)? Lalu umat Muhammad SAW menjawab: kami mengetahui tentang perihal kamu semua melalui perkhabaran Allah di dalam kitabNya yang menyebut di atas lisan NabiNya yang benar. Lalu umat Muhammad SAW datang kepada Baginda SAW dan ditanya tentang perihal umatnya. Lalu Muhammad SAW menyucikan umatnya (dari anggapan keraguan) dan bersaksi di atas sifat adil mereka sebagai saksi. Dan demikian itulah Allah SWT menyebut (yang bermaksud): “Maka bagaimanakah tatkala Kami datangkan bagi setiap umat itu saksi (bagi mereka) dan Kami datangkan kamu pula sebagai saksi bagi mereka (umat Muhammad SAW)” [An-Nisaa’ : 41]”

Kualiti yang melayakkan umat Muhammad SAW itu menjadi saksi di hadapan Allah untuk sekalian manusia adalah kualiti Wasathiyyah. Maksud Wasathiyyah di sini adalah keseimbangan yang ada pada Islam dan umatnya di antara dua sempadan keji. Lihat sahaja, Yahudi mencaci pada Rasul dengan menuduh mereke dengan tuduhan zina dan sebagainya, manakala Nasrani pula mengangkat martabat Rasul sehingga kepada ketuhanan lantas bertuhankan manusia. Akan tetapi Islam memuliakan seluruh Rasul dan dalam masa yang sama tidak mengangkat martabat mereka ke darjat melampau yang menceroboh hak Allah SWT.

Sistem sosialis menafikan kewujudan individu dengan anggapan bahawa individu itu hanyalah peralatan negara. Semua hasil perlu diserahkan kepada negara dan kemudian negara mengagihkannya sama rata kepada rakyat supaya secara teorinya, ia dapat membasmi kemiskinan dan jurang antara golongan kaya dan fakir. Manakala sistem kapitalis pula memberikan ketinggian kepada individu sebagai pemilik mutlak kepada sekalian hasil usaha individu berkenaan. Secara teori, ia akan menjadi motivasi yang menggalakkan persaingan dan tentunya persaingan akan meningkatkan mutu. Tetapi sistem sosialis menjadikan sekalian rakyat miskin, dan yang kaya hanyalah pemerintah yang berkuku besi. Manakala kapitalisma pula menjadikan golongan kaya bertambah kaya dan memonopoli segala hasil mahsul, sedangkan yang miskin terus ketinggalan dan tercengkam, lantas jurang antara keduanya terus melebar tanpa sekatan. Padahal Islam datang mengimbangkan antara keduanya. Individu berhak ke atas hasil usahanya, namun masih ada tanggungjawab sosial yang dinaiktarafkan sebagai rukun agama. 2.5% daripada pemilikan hendaklah dibayar sebagai zakat, supaya keseimbangan berlaku dan golongan miskin tidak terbiar hancur lebur oleh rempuhan monopoli pesaing gergasi.

Banyak lagi contoh lain tentang sifat Wasathiyyah di dalam Islam termasuklah perbahasan tentang aqidah Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah di antara Qadariyyah dan Jabariyyah di dalam masalah perbuatan hamba, dan sebagainya.

Sesungguhnya amat mulia dan tinggi sekali kualiti Islam sebagai ad-Deen yang Kamil dan Adil. Inilah yang menjadi keistimewaan umat ini sehingga layak menjadi saksi bagi sekalian umat manusia yang terdahulu.

PERTUKARAN QIBLAT ADALAH UJIAN ALLAH

“Dan tidaklah Kami jadikan qiblat kamu sebelum ini melainkan Kami ketahui siapa yang mengikut perintah Rasul dan siapa pula yang memalingkan lehernya (ingkar). Sesungguhnya perintah itu adalah amat berat melainkan bagi mereka yang diberi petunjuk oleh Allah SWT.” (Al-Baqarah: 143)

Solat yang dikerjakan oleh Nabi SAW dan umat Islam dengan berqiblatkan Baitul Maqdis bukanlah suatu perkara yang mudah. Baginda SAW dan sahabat perlu meninggalkan Kaabah yang lebih dikasihi dan dicintai, di samping mengadap Baitul Maqdis yang menjadi qiblat musuh utama mereka iaitu orang-orang Yahudi. Tambahan pula mulut-mulut manusia bodoh itu sentiasa mempersendakan Rasulullah SAW dan umat Islam yang ‘miskin qiblat’ pada pengamatan dangkal mereka. Sesungguhnya semua ini adalah ujian Allah dan ia memang berat kecuali bagi mereka yang beroleh petunjuk dari Allah SWT.

IMAN GOLONGAN TERDAHULU TIDAK SIA-SIA

Dan tidaklah sekali-kali Allah menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah itu amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya (kepada orang-orang yang beriman).” (Al-Baqarah: 143)

Para sahabat tertanya-tanya, bagaimana pula dengan hal mereka yang dahulunya bersolat mengadap Baitul Maqdis dan kemudiannya telah meninggal dunia. Pertanyaan mereka itu adalah dengan rasa kebimbangan kalau-kalau iman mereka itu tersia-sia. Kerana itulah mereka menimbulkan persoalan ini dengan mengemukakan alasan bahawa bahkan mereka yang telah mati itu, mati kerana syahid terbunuh mempertahankan Islam. Alangkah ruginya jika iman mereka tersia-sia. Lantas Allah SWT menjawab, “Dan tidaklah sekali-kali Allah menghilangkan (bukti) iman kamu.”

Di dalam ayat ini juga Allah SWT menamakan solat itu sebagai Iman. Benar sekali kerana solat itu adalah ibu kepada segala ibadah dan di situlah letaknya benih, baja dan tunas kepercayaan kita kepada Allah SWT. Sesungguhnya solat dan Iman mereka tidak akan sekali-kali tersia-sia kerana mereka itu semasa hayatnya, bersolat mengadap Baitul Maqdis adalah kerana ketaatan mereka kepada Allah, sama seperti ketaatan kamu pada hari ini yang bersolat mengadap ke Kaabah, juga dengan perintah Allah SWT.

PENGAJARAN

Banyak sekali pengajaran yang boleh kita perolehi daripada peristiwa ini. Kita melihat bagaimana Nabi SAW dan para sahabat menunjukkan sikap bagaimana perintah Allah SWT itu dilaksanakan serta-merta tanpa bertangguh. Tidak pula mereka menghabiskan dahulu solat yang sedang dilakukan dan menunggu solat berikut untuk mengadap ke arah qiblat yang baru. Berbeza sekali dengan sikap kebanyakan umat Islam hari ini. Di dalam aspek individu, kita suka menangguhkan kewajipan. Dari aspek individu kita tangguhkan qadha’ puasa, kita lewatkan pembayaran hutang, dan tidak mengerjakan solat di awal waktu dan pelbagai lagi kelewatan yang berlaku tanpa uzur dan tanpa sebab selain kerana lemah dan cacatnya iman itu sendiri.

Manakala dari aspek yang lebih besar, bagaimana masyarakat kita amat gemar melewatkan pengagihan harta pusaka dan ‘perbicaraan kuasa’ ke atas tanah sehingga menjadi beban kepada anak-anak di masa hadapan serta kerap kali menjadi punca kepada keretakan hubungan keluarga apabila timbulnya krisis harta pusaka.
Begitu juga di dalam aspek kenegaraan, hukum hakam Islam dari segi ekonomi, politik, perundangan dan sebagainya, banyak sekali hukum Allah yang diK.I.Vkan (keep in view) dengan pelbagai alasan bahkan sesetengahnya tanpa alasan. Jika dilaksanakan peraturan Islam, bimbang nanti timbul masalah ini dan itu.

Keterlibatan badan-badan Islam di dalam perniagaan yang tidak Islamik juga tidak dapat dihentikan serta-merta walaupun hukumnya telah diperjelaskan, kerana beralasan menanti harga saham stabil!. Jauh benar akhlaq kita hari ini dari sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.
Peristiwa ini juga menunjukkan kepada penerimaan pakai Hadith Aahaad, bilamana pemberitaan tentang pertukaran qiblat hanya disampaikan oleh seorang sahabat.

Begitu juga, sikap dan akhlaq Yahudi yang mesti kita berikan perhatian. Banyak sekali usaha yang telah dibuat untuk mencenderungkan hati mereka kepada Islam sehinggakan Nabi SAW berkorban jiwa dan perasaan, bersolat mengadap qiblat mereka bersama ejekan dan sendaan yang tidak lekang dari telinga. Apakah ada faedahnya? Apa yang pasti, pendirian Yahudi itu adalah akhirnya sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT:

“Yahudi itu tidak akan sekali-kali redha dengan kamu, Nasrani itu juga tidak akan sekali-kali redha dengan kamu, sehinggalah kamu mengikut cara hidup dan kehendak mereka.” [al-Baqarah : 120]
Semoga peristiwa ini menjadi teladan kepada kita semua dalam mengharungi kehidupan di akhir zaman yang penuh fitnah. Wallahu A’lam bis Sawaab.

Wassalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
31650 Ipoh
23 Shaaban 1425H /7 Oktober 2004


Untuk bacaan lanjut sila klik  Ustaz Hasrizal 

Thursday, February 9, 2012

Rasulullah SAW Ketika Di Makkah – Bahagian 4

Da`wah Islam ke Luar Kota Makkah

Ta'if
Setelah semakin kuat penentangan oleh orang-orang kafir Makkah, Baginda kemudiannya pergi ke Ta’if dengan harapan untuk menyampaikan da`wah. Baginda telah ke Taif pada bulan Syawwal tahun ke-10 kenabian. Jarak Ta’if dari Makkah ialah sejauh 60 batu. Baginda pergi dan balik berjalan kaki dengan ditemani pembantunya, Zaid bin Harithah.

Setiap kali Baginda berjumpa dengan kabilah di jalan, maka Baginda akan mengajak mereka kepada Islam. Namun tidak satu pun kabilah yang menyahut ajakan Baginda. Apabila sampai di Ta’if, Baginda berjumpa dengan 3 orang bersaudara dari bani Thaqif. Ketiga-tiga mereka telah mengejek dan menghina Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.

Baginda tinggal di Ta’if selama 10 hari. Sepanjang tempoh itu, semua orang kenamaan telah Nabi jumpa. Tetapi semua mereka telah menghina Nabi. Malah mereka menyuruh khadam-khadam mereka membaling batu kepada Nabi ketika Nabi hendak keluar dari Ta’if. Tumit Nabi terkena batu sehingga kasut Baginda dipenuhi darah. Zaid bin Harithah yang cuba melindungi Nabi, telah terkena batu di kepalanya.
Nabi telah dihambat sejauh 3 batu dari Ta’if sehinggalah Nabi masuk ke kebun `Utbah dan Shaybah yang merupakan 2 beradik anak lelaki Rabi`ah. Di kebun itu, Nabi duduk di bawah pohon kurma untuk menenangkan diri. Lalu Baginda pun berdoa kepada ALLAH:

“Ya ALLAH, kepadaMU aku mengadu lemahnya aku ini, serta kurangnya daya upayaku serta hinanya aku di kalangan manusia. Wahai Yang Maha Pengasih di antara yang mengasihani, ENGKAU adalah TUHAN orang-orang yang lemah, ENGKAU adalah TUHANku, kepada siapa ENGKAU serahkan aku ini? Adakah kepada orang jauh yang mencari kesempatan menyerangku? Atau adakah kepada musuh yang ENGKAU serahkan urusanku kepadanya? Jika ENGKAU tidak memurkaiku, maka aku tidak akan mempedulikannya, akan tetapi kesejahteraan daripada-MU adalah lebih luas untukku. Aku berlindung dengan cahaya wajah-MU yang menerangi segala kegelapan serta menyebabkan urusan dunia dan akhirat ini menjadi baik, agar janganlah kemurkaan-MU menimpa kepadaku atau ENGKAU menjadi murka kepadaku. Bagi-MU keredhaan sehingga ENGKAU benar-benar meredhainya, tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan pertolongan-MU jua.”

Walaupun Baginda sangat sedih dengan apa yang berlaku di Ta’if, namun telah berlaku beberapa peristiwa menarik sepanjang perjalanan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam ke Makkah. Peristiwa dipeluk oleh seorang khadam yang beragama Nasrani di kebun tempat Nabi singgah, didatangi Jibril beserta malaikat penjaga bukit ketika di Qarnul Manazil dan dirombongi oleh sekumpulan jin untuk mendengar ayat-ayat al-Qur’an ketika Baginda sampai di Lembah Nakhlah, telah menaikkan semangat Baginda sallAllahu `alaihi wasallam untuk meneruskan da`wah dan merancang strategi baru.

Menawarkan Islam Kepada Kabilah Dan Individu
Pada bulan Zulkaedah tahun ke-10 kenabian, Nabi telah kembali ke Makkah untuk memperbaharui seruan Islam kepada kabilah-kabilah dan individu-individu. Seperti biasa, Makkah akan dikunjungi oleh kabilah-kabilah dari luar sempena musim haji pada bulan Zulhijjah. Sebenarnya Nabi telah berdakwah kepada banyak kabilah yang datang ke Makkah pada musim haji sejak tahun ke-4 kenabian lagi. Tetapi tidak satu kabilah pun menerima dakwah Baginda. Namun terdapat beberapa individu menerima dakwah Baginda dan masuk Islam.

Pada musim haji tahun ke-11 kenabian, Nabi telah bertemu dengan 6 orang pemuda dari Yathrib. Mereka tertarik dengan seruan Nabi kerana mereka pernah mendengar cerita tentang Nabi akhir zaman yang akan keluar dari mulut-mulut orang Yahudi di Yathrib. Mereka pulang ke Yathrib dalam keadaan masih belum masuk Islam, tetapi mereka telah membawa perkhabaran tentang Nabi akhir zaman kepada seluruh masyarakat Yathrib. Jadi, seluruh penduduk Yathrib mula maklum berkenaan Rasulullah.

Perkahwinan Rasulullah SAW Dengan `A’isyah
Pada bulan Syawwal tahun ke-11 kenabian, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah berkahwin dengan `A’isyah radhiAllahu `anha.

Isra’ Mi`raj
Pada saat dakwah Nabi kelihatan seperti samar masa depan, ALLAH telah menghadiahkan Nabi dengan suatu peristiwa agung iaitu Isra’ Mi`raj. Ada beberapa pandangan tentang bila berlakunya Isra’ Mi`raj. Sheikh Safiyyu ar-Rahman al-Mubarakfuri iaitu penulis ar-Rahiq al-Makhtum memilih samada ia berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-12 kenabian, atau bulan Muharram tahun ke-13 kenabian, atau bulan Rabi`ul Awwal tahun ke-13 kenabian.

Di dalam peristiwa yang agung ini, Nabi telah diperjalankan secara dari Makkah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis, lalu diangkat ke Sidratul Muntaha untuk mengadap ALLAH. Setelah menerima pensyariatan solat fardhu sebanyak 5 kali sehari semalam, Nabi pun pulang semula ke Makkah. Peristiwa ini berlaku pada satu malam dan ia benar-benar menguji keimanan orang-orang Islam pada ketika itu. Ada yang setelah mendengar peristiwa ini tetap beriman malah semakin teguh iman mereka, ada yang ragu-ragu dan ada yang terus murtad. Abu Bakr digelar as-Siddiq kerana beliau adalah orang pertama yang membenarkan kata-kata Nabi tanpa ragu.

Bai`ah Pertama
Pada musim haji tahun ke-12 kenabian, Nabi telah membuat pertemuan dengan 12 orang lelaki dari Yathrib, lanjutan dari pertemuan pertama di `Aqabah, Mina pada tahun ke-11 kenabian. Kesemua 12 orang lelaki itu telah bersetuju masuk Islam dan berbai`ah dengan Nabi. Nabi telah menghantar seorang pemuda bernama Mus`ab bin `Umair untuk mengikut rombongan 12 orang tersebut pulang ke Yathrib. Tujuannya ialah supaya Mus`ab bin `Umair dapat mengajar orang-orang yang masuk Islam di Yathrib tentang syari`at-syari`at Islam.

Sebelum tiba musim haji tahun ke-13 kenabian, Mus`ab pulang ke Makkah bertemu Nabi dengan membawa berita yang menggembirakan. Banyak penduduk Yathrib dari pelbagai perkampungan menerima ajaran Islam.

Bai`ah Kedua
Pada musim ke-13 kenabian, seramai 70 orang lelaki dan 2 orang wanita beragama Islam dari Yathrib datang ke Makkah untuk mengerjakan haji. Mereka datang bersama jemaah haji lain yang masih syirik. Kali ini telah berlaku bai`ah kedua dengan kandungan perjanjian yang lebih tegas dan serius iaitu dalam hal taat setia atas segala suruhan Nabi dan sanggup melindungi Nabi walau dalam keadaan apa sekali pun. Seramai 12 orang naqib telah dilantik bagi memikul tanggungjawab memimpin kaum mereka ketika Yathrib. Daripada 12 orang itu, 9 orang dilantik dari kabilah Khazraj dan 3 dari kabilah Aus.

Permulaan Hijrah
Setelah Bai`ah `Aqabah kedua, Islam mula mendapat tapak yang kukuh untuk disebarkan di tanah Arab, iaitu di Yathrib. Walaupun belum pasti dengan masa depan berhijrah ke Yathrib, namun atas keimanan yang sangat tinggi, penduduk Makkah yang beragama Islam sedikit demi sedikit telah berhijrah ke Yathrib. Risikonya terlalu tinggi. Nyawa, keluarga dan harta terpaksa dikorbankan demi penghijrahan ini.

Banyak sekatan telah berlaku terhadap ummat Islam ketika hendak melakukan hijrah. Sekatan dilakukan kerana Musyrikin Makkah khuatir dengan dengan perkembangan Islam yang mula diterima oleh penduduk Yathrib. Antara yang masyhur diceritakan ialah bagaimana kisah Abu Salamah, Ummu Salamah dan anaknya yang dipisahkan oleh kabilah dan keluarga mereka. Iaitu Abu Salamah dilepaskan ke Yathrib, manakala Ummu Salamah ditahan oleh keluarganya, dan anaknya ditahan oleh keluarga Abu Salamah. Selepas setahun barulah Ummu Salamah dibebaskan oleh keluarganya. Ummu Salamah lalu pergi mengambil anaknya yang ditahan oleh keluarga suaminya dan terus ke Yathrib yang jauhnya 500 km dengan berjalan kaki tanpa ada orang pun yang menemani mereka.

Kisah Suhaib yang ditahan oleh kafir Quraisy lalu dilepaskan Suhaib kerana Suhaib sanggup memberikan kesemua hartanya untuk melepaskannya. Dan kisah `Iyash yang ditipu mengatakan bahawa ibunya mengugut untuk berjemur di tengah panas, apabila beliau pergi untuk menemui ibunya, lalu `Iyash ditangkap serta diikat lalu diarak di kota Makkah menunjukkan cara menghukum orang yang hendak ke Yathrib. Begitulah besarnya pengorbanan para sahabat Nabi untuk menjaga aqidah mereka.

Usul Membunuh Nabi oleh Darul Nadwah (Parlimen Quraisy)
Pada hari Khamis, 26 Safar tahun ke-14 kenabian, Darul Nadwah iaitu Parlimen Quraisy telah bersidang untuk berbincang bagaimana untuk terus menghentikan dakwah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam, bukan sahaja di Makkah malah untuk menghentikan terus dari terus merebak ke lain-lain tempat. Ini kerana mereka mulai sangat risau dengan perkembangan terbaru iaitu penghijrahan orang-orang Islam ke Yathrib dan kesediaan orang-orang Yathrib membantu Nabi. Kerisauan ini timbul kerana Yathrib merupakan lokasi strategik laluan perdagangan orang-orang Makkah. Mereka risau perdagangan mereka tergugat dan amalan sembahan berhala mereka turut terencat.

Beberapa cadangan telah dikemukakan namun ditolak oleh seorang tua yang turut serta dalam mesyuarat itu. Lelaki tua itu ialah Iblis yang menyamar sebagai seorang tua dari Najd. Akhirnya cadangan Abu Jahal diterima oleh lelaki tua itu. Iaitu agar dikumpulkan lelaki yang gagah dan terhormat dari setiap kabilah untuk membunuh Nabi. Cadangan ini bukan sahaja pada pandangan mereka akan menghentikan terus dakwah Nabi, tetapi juga dapat mengelakkan dari hanya satu kabilah sahaja diperangi oleh bani `Abdul Manaf. Bani `Abdul Manaf tentu tidak berupaya untuk membalas dendam terhadap semua kabilah yang bersekutu untuk membunuh Nabi. Jika mereka meminta diat (bayaran tebusan), maka itu tentu lebih mudah dan pembesar-pembesar Quraisy sanggup membayarnya.

Parlimen Makkah setuju sebulat suara lalu masing-masing dengan keazaman yang tinggi bersiap sedia mahu melaksanakan usul tersebut.

(bersambung…)

Rasulullah SAW Ketika Di Makkah – Bahagian 3

Pemulauan
4 peristiwa penting iaitu keIslaman Hamzah, kemudiannya keIslaman Umar, penolakan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam terhadap tawaran orang kafir Quraisy dan kesepakatan Bani al-Muttalib dan Bani Hashim yang terdiri daripada yang Muslim dan yang kafir untuk melindungi Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam benar-benar mencabar para pembesar Musyrikin Makkah. Kesemua itu berlaku berturut-turut dalam masa kurang dari empat minggu.

Mereka tidak boleh membunuh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam kerana mereka tahu akan berlaku pertumpahan darah yang besar disebabkan oleh Bani al-Muttalib dan Bani Hashim telah bersepakat untuk melindungi Baginda. Justeru, kafir Quraisy mesti mencari jalan lain untuk membantutkan dakwah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.
Kaum kafir Quraisy telah sepakat untuk memulaukan Bani Hashim dan Bani al-Muttalib. Mereka telah membuat persepakatan di perkampungan Bani Kinanah untuk tidak boleh berkahwin dengan kedua-dua bani ini, tidak boleh berurusniaga, tidak boleh duduk semeja, tidak boleh bergaul dan tidak boleh diziarahi. Pemulauan ini akan terbatal sehinggalah kedua-dua bani ini sanggup untuk menyerahkan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam untuk dibunuh.

Mereka menulis kesepakatan itu di atas sehelai lembaran dan digantungkan di dalam Ka`bah. Lembaran itu telah ditulis oleh Baghid bin `Amir bin Hashim di mana Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam telah mendoakan kecelakaan buatnya, lalu tangannya menjadi lumpuh.

Pemulauan itu bermula pada suatu malam bulan Muharram tahun ke-7 kenabian. Seluruh bani Hashim dan bani al-Muttalib samada yang Muslim atau yang kafir (kecuali Abu Lahab) telah menyisih diri dan berkurung di kampung Abu Talib.

Pengepungan dan pemulauan dijalankan dengan sangat ketat. Segala bekalan makanan disekat sehingga Bani Hashim dan Bani al-Muttalib ada yang terpaksa memakan daun-daun kayu dan kulit-kulit binatang. Kedengaran suara-suara rintihan kanak-kanak dan wanita di sebalik perkampungan itu akibat terlalu lapar. Makanan hanya sampai kepada mereka melalui jalan-jalan sulit.

Mereka tidak dapat keluar dari kampung itu melainkan pada bulan-bulan Haram. Pada musim haji, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan orang-orang Islam dapat keluar dari kampung tersebut untuk menyeru orang ramai yang datang ke Mekah kepada agama Islam.

Setelah 3 tahun berlalu, akhirnya perjanjian pemulauan itu dibatalkan pada bulan Muharram tahun ke-10 kenabian. Hal ini terjadi lantaran terdapat di kalangan orang-orang Quraisy sendiri yang tidak setuju dengan pemulauan itu. Mereka telah menjalankan usaha untuk membatalkannya. Usaha tersebut telah dimulakan oleh Hisham bin `Amru dari Bani `Amir bin Lu’ay, iaitu seorang yang sering membekalkan makanan secara sembunyi kepada bani Hashim pada waktu malam.

Ketika Hisham bin `Amru dan beberapa orang lain yang setuju dengan beliau berdebat dengan Abu Jahal tentang perjanjian pemulauan itu, datanglah Abu Talib menghampiri mereka. Abu Talib membawa berita dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang mengatakan bahawa kandungan perjanjian itu telah dimakan oleh anai-anai kecuali tulisan nama ALLAH sahaja yang tidak dimakan. Apabila diperiksa, memang betul apa yang dikatakan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Walaupun penduduk Makkah telah melihat suatu peristiwa aneh yang merupakan mu`jizat Nabi, namun mereka tetap berdegil untuk menerima da`wah Baginda.

Utusan Quraisy Terakhir Berjumpa Abu Talib
Setelah pemulauan dibatalkan, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah keluar dari kampong Abu Talib dan meneruskan dak`wah Baginda. Namun, usaha menyekat da`wah Rasulullah tetap diteruskan oleh orang-orang kafir Quraisy.

Ketika ini Abu Talib sudah pun dalam keadaan sakit dan melampaui umur 80 tahun. Berita tentang uzurnya Abu Talib telah membuatkan orang-orang kafir Quraisy membuat keputusan untuk berjumpa dengan Abu Talib buat kali terakhir. Tujuannya ialah supaya beliau meminta anak saudaranya berhenti menyeru agama Islam. Mereka tidak mahu ditimpa malu jika Nabi Muhammad dibunuh atau diapa-apakan selepas kematian Abu Talib. Ini akan menunjukkan sifat pengecut mereka terhadap Abu Talib dan mereka tidak sanggup digelar masyarakat sebagai pengecut.

Lalu beberapa orang kenamaan Quraisy telah bertemu dengan Abu Talib. Antara mereka ialah `Utbah bin Rabi`ah, Shaybah bin bin Rabi`ah, Abu Jahal bin Hisham, `Umayyah bin Khalaf, Abu Sufiyan bin Harb dan lain-lain lelaki yang terhormat. Rombongan ini terdiri dari 25 orang.

Abu Talib lalu memanggil Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam untuk menyatakan hasrat orang-orang kenamaan itu. Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menawarkan mereka dengan 1 kalimah yang mana jika mereka mengucapkannya, nescaya orang-orang Arab dan Ajam akan tunduk kepada mereka. Kalimah itu ialah ‘Tiada Tuhan Selain ALLAH dan tinggalkanlah sembahan yang kamu sembah selain ALLAH.’ Mereka menolak seruan itu.

Tahun Dukacita
Sakit Abu Talib semakin berat. Pada bulan Rejab tahun ke-10 kenabian, Abu Talib yang selama ini membela dan melindungi Baginda akhirnya meninggal dunia. Datanglah kesedihan kepada Nabi Muhammad kerana Abu Talib tidak masuk Islam. Hatta, di akhir hayat Abu Talib, Nabi telah cuba mengIslamkannya, namun disebabkan ketika itu Abu Jahal ada di sisi Abu Talib dan mempengaruhinya, maka Abu Talib telah mati dalam keadaan tidak beragama Islam.

Pada tahun yang sama, Khadijah Ummul Mukminin radhiAllahu `anha pula meninggal dunia. Beliau meninggal dunia pada bulan Ramadhan ketika usianya 65 tahun dan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam ketika itu berusia 50 tahun.

Sesungguhnya Khadijah adalah antara satu nikmat terbesar yang ALLAH kurniakan buat Baginda. Khadijah telah hidup bersama Baginda selama 25 tahun merasai saat-saat mencemaskan, membantu Baginda berdakwah dan menemankan Baginda tatkala suasana sukar dan getir. Beliau telah banyak mengorbankan kepentingan dirinya dan hartanya untuk Islam.

Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah bersabda: “Dia (Khadijah) beriman denganku ketika orang ramai mengkufuriku, dia mempercayaiku ketika orang ramai mendustakanku, dia berkongsi denganku harta bendanya ketiak orang ramai menghalangku dan ALLAH mengurniakan kepadaku anaknya dan menghalangku mendapat anak daripada selainnya.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Kematian dua insan penting dalam kehidupan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam ini betul-betul menyedihkan Baginda. Apatah lagi ia berlaku secara berturut-turut pada tahun yang sama. Setelah kematian Abu Talib dan Khadijah, kaum Quraisy Makkah semakin berani dan terbuka mengganggu dan menyakiti Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.

Disebabkan oleh tindakan yang melampau dilakukan oleh kaum Musyrikin, Nabi membuat keputusan untuk cuba untuk berdakwah di Ta’if pula. Nabi ke sana dengan ditemani oleh Zaid bin Harithah. Sampai di sana, layanan mereka lebih teruk lagi ke atas Nabi. Nabi bukan sahaja diejek dan dihina, malah penduduk-penduduk Ta’if telah berbaris melemparkan batu kepada Nabi.

Semua ummat Islam telah dicengkam dengan dahsyat sekali. Sehingga Abu Bakr pun terpaksa berhijrah ke Habsyah, tetapi dalam perjalanan beliau ke sana, beliau telah dibawa ke Makkah oleh Ibn al-Daghinah dengan berjanji untuk melindunginya. Tahun ke-10 kenabian telah digelar sebagai Tahun Kesedihan lantaran bertubi-tubi kesedihan dan cabaran getir yang menimpa Rasulullah dan ummatnya.

Perkahwinan Dengan Sawdah radhiAllahu `anha
Pada bulan Syawwal tahun ke-10 kenabian, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah berkahwin dengan Sawdah binti Zam`ah. Beliau adalah antara wanita yang terawal masuk Islam dan telah berhijrah bersama suaminya ke Habsyah pada penghijrahan kedua. Suaminya, al-Sakran bin `Amru telah meninggal dunia ketika di Habsyah, atau selepas pulang ke Makkah. Nabi melamarnya bagi melindungi kebajikannya dan beliau adalah wanita pertama yang dinikahi Baginda selepas meninggal dunianya Khadijah radhiAllahu `anha.

Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala ali Muhammad…

- www.muzir.wordpress.com

Rasulullah SAW Ketika Di Makkah – Bahagian 2

Penghijrahan Beberapa Orang Islam Ke Habsyah

Peta Habsyah (credit to: sirahnabawiyyah.blogspot)
Penindasan oleh musyrikin Makkah semakin dahsyat pada pertengahan tahun ke-5 kenabian. Orang-orang Islam mula berasa tidak selamat tinggal di Makkah. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam sangat memahami keadaan ini. Pada saat itu, turunlah surah al-Kahfi yang menceritakan tentang 3 hal, iaitu tentang Ashabul-Kahfi, kisah antara Nabi Musa dengan Nabi Khidir dan kisah Zulkarnain. Ketiga-tiga kisah ini memberikan jawapan kepada Baginda dalam berhadapan dengan situasi yang semakin sempit itu.

Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam telah mengetahui tentang kisah seorang raja Habsyi yang adil bernama Ashamah al-Najashi. Tidak ada seorang pun yang dizalimi olehnya. Lalu Baginda sallAllahu `alaihi wasallam telah menyuruh sebahagian ummat Islam agar melarikan diri ke Habsyah untuk menyelamatkan diri. Peristiwa ini berlaku pada bulan Rejab tahun ke-5 kenabian. Kumpulan ini terdiri daripada 12 orang lelaki dan 4 orang wanita. Mereka diketuai oleh `Uthman bin `Affan. Ruqayyah, puteri Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam turut bersama di dalam kumpulan ini. Di Habsyah, mereka mendapat tempat kediaman yang lebih baik.

Penindasan yang semakin berat oleh musyrikin Makkah telah membuat Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam mencadangkan agar sebahagian ummat Islam berhijrah ke Habsyah seperti kumpulan pertama. Hijrah kali ini lebih sukar kerana musyrikin Makkah telah bersiap sedia lebih awal untuk menggagalkannya. Namun, dengan izin ALLAH Ta’ala, mereka dapat juga meloloskan diri berhijrah ke Habsyah. Kumpulan ke-2 ini lebih ramai, iaitu seramai 83 orang lelaki dan 28 orang wanita.
Wakil Quraisy ke Habsyah
Musyrikin Makkah tidak senang dengan kesenangan yang diperolehi oleh orang-orang islam di Habsyah. Mereka telah menghantar 2 orang yang gagah dan pintar iaitu `Amru bin al-`As dan `Abdullah bin Abi Rabi’ah (sebelum mereka berdua masuk Islam). Mereka berdua telah diutuskan untuk bertemu dengan Raja Najashi dengan membawa pelbagai hadiah.

Ja’far bin Abu Talib yang menjadi jurucakap kepada kumpulan ummat Islam di Habsyah telah berdialog dengan Raja Najashi dengan penuh hikmah. Hasilnya mereka telah mendapat perlindungan dan jaminan daripada Raja Najashi sehingga mereka digelar Shuyum oleh beliau. Shuyum dalam bahasa Habsyah bererti orang-orang yang selamat. `Amru bin al-`As dan `Abdullah bin Abi Rabi’ah terpaksa balik dengan kecewa, malah dipulangkan balik hadiah-hadiah yang mereka bawa sebagai tanda ketidaksudian Raja Najashi.

Orang Quraisy Mengancam Abu Talib
Abu Talib yang merupakan bapa saudara Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam telah diberi kata dua oleh musyrikin Makkah, iaitu akan berlaku pertumpahan darah sekiranya dakwah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam tidak dihentikan. Ancaman itu sangat berat untuk ditanggung oleh Abu Talib lalu menyampaikannya kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.

Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menjawab kepada Abu Talib, “Hai bapa saudaraku! Demi ALLAH, jika mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini, sehinggalah ALLAH menzahirkan kemenangannya atau aku terkorban di jalannya, nescaya aku tidak akan meninggalkannya”. Kemudian Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menangis dan bangun. Mendengarkan kata-kata Baginda, lantas Abu Talib memanggil Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam yang ingin beredar dan berkata, “Wahai anak saudaraku, katalah apa yang kamu suka, demi ALLAH, aku tidak akan menyerahkan engkau kepada sesiapa pun selama-lamanya.”

Melihat Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam terus berdakwah, maka tahulah musyrikin Makkah bahawa Abu Talib tetap memberikan perlindungan kepada Baginda. Pujukan demi pujukan dan tawaran demi tawaran yang diberikan, Abu Talib tetap dengan keputusannya untuk melindungi anak saudaranya, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

Tindakan Semakin Ganas Terhadap Rasulullah SAW
Dengan kegagalan untuk memujuk Abu Talib agar bekerjasama dengan pembesar Quraisy, perasaan benci mereka semakin meluap-lupa untuk membunuh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam. Mereka tekad dengan kebencian mereka.

Antaranya Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah di tarik baju dan diludah oleh `Utaybah bin Abu Lahab, tetapi ludahan itu tidak mengena muka mulia Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Pernah juga Baginda dipijak lehernya ketika sedang sujud oleh `Uqbah bin Abi Mu`ayyat. Abu Jahal pernah mengangkat seketul batu yang besar untuk dihempap ke atas Baginda ketika sedang sujud. Tetapi dia tidak meneruskan niatnya kerana ketakutan apabila terlihat seekor unta jantan yang sangat garang menghalangnya. Abu Jahal juga pernah memukul Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dengan seketul batu hingga berdarah kepala Baginda. Pernah juga Baginda dikepung dan dicekik oleh sekumpulan lelaki, namun diselamatkan oleh Abu Bakar as-Siddiq.

Hamzah dan Umar Al-Khattab RadhiAllahu ‘anhuma Memeluk Islam
Dalam keadaan yang genting di mana Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam selalu diancam akan keselamatan nyawanya, pada ketika itulah ALLAH Ta`ala telah mentaqdirkan 2 orang yang gagah perkasa serta digeruni oleh seluruh kaum Quraisy memeluk Islam. Hamzah bin `Abd al-Muttalib radhiAllahu ‘anhu telah memluk Islam pada bulan Zulhijjah tahun ke-6 kenabian. Manakala `Umar al-Khattab radhiAllahu `anhu telah memeluk Islam 3 hari selepas Hamzah radhiAllahu `anhu memeluk Islam.

Dengan keIslaman 2 individu ini, maka Islam telah dikuatkan. Ummat Islam semakin berani untuk beribadah secara terang-terangan dan malah beribadah di sisi Ka`bah. Mereka tidak takut lagi untuk berkumpul dan duduk berhalaqah di sekitar masjid dan untuk bertawaf di Ka`bah. KeIslaman 2 individu ini memberikan keuntungan yang besar kepada perjuangan dakwah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.

Pembesar Quraisy Berdepan Dengan Rasulullah SAW
Setelah Hamzah bin `Abd al-Mutallib dan `Umar bin al-Khattab radhiAllahu `anhuma memeluk Islam, pembesar-pembesar Makkah mula mengambil pendekatan diplomasi dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Namun , semua itu tidak berjaya. Tawaran-tawaran yang diberikan oleh musyrikin Makkah, antaranya oleh `Utbah bin Rabi’ah tidak diendah oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Jawapan yang diberikan oleh Baginda dengan membacakan ayat 1-5 dari surah Fussilat telah membuatkan `Utbah terdiam dan kaku. Di dalam riwayat lain, dikatakan apabila Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam sampai pada ayat ke-13 dari surah Fussilat, `Utbah merayu agar diberhentikan ayat itu kerana bimbang ancaman itu tertimpa kepada kaum musyrikin.

Melihat perkembangan yang terjadi terhadap Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, Abu Talib semakin risau dengan keselamatan anak saudaranya. Kerana nampaknya penduduk Makkah semakin tekad dengan usaha jahat mereka untuk menghapuskan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan dakwah Baginda. Dengan itu, Abu Talib telah mengumpulkan Bani Hashim dan Bani `Abd Al-Muttalib untuk mengajak agar diberi perlindungan kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam. Mereka bersetuju dengan cadangan Abu Talib atas dasar semangat kekeluargaan Arab. Tetapi, Abu Lahab berkecuali. Dia berpihak dengan kaum Quraisy yang lain.

Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala ali Muhammad…

- www.muzir.wordpress.com

Rasulullah SAW Ketika Di Makkah – Bahagian 1

Wahyu Pertama & Kedua

Jabal Nur
Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam telah mengasingkan diri dari kejahilan dan amalan syirik masyarakat dengan beruzlah di Gua Hira’ di atas Jabal Nur yang terletak kira-kira 2 batu dari Kota Makkah. Pada bulan Ramadhan tahun ketiga beruzlah di sana, turunlah wahyu pertama daripada ALLAH Subhanahu wa Ta`ala melalui Malaikat Jibril. Wahyu yang pertama ialah ayat 1-3 dari surah Al-`Alaq.

Menurut pengiraan, peristiwa ini berlaku pada hari Isnin, 21 Ramadhan di waktu malam, bersamaan 10 Ogos 610M. Ketika itu umur Baginda sallAllahu `alaihi wasallam adalah 40 tahun qamariyyah (perkiraan bulan), 6 bulan dan 12 hari. Iaitu kira-kira 39 tahun shamsiyyah (perkiraan matahari), 3 bulan dan 12 hari.
Selepas beberapa hari selepas peristiwa tersebut berlaku, turun pula wahyu yang kedua kepada Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam. Wahyu tersebut ialah ayat 1-5 dari surah Al-Muddaththtir.

Dakwah Secara Rahsia
Peringkat dakwah secara rahsia telah berjalan selama 3 tahun di Makkah. Dakwah telah disampaikan kepada orang-orang yang paling dekat hubungannya dengan Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, iaitu di kalangan ahli keluarga dan teman-temannya.

Pada hari pertama dakwah, seramai 4 orang telah memeluk ISLAM. Mereka ialah Khadijah binti Khuwaylid (isteri Baginda), Zayd bin Thabit bin Shurahbil al-Kalbi (hamba Baginda), Ali bin Abu Talib (sepupu Baginda, beliau masih kanak-kanak dan di bawah jagaan Baginda) dan Abu Bakar as-Siddiq (sahabat setia Baginda).

Melalui Abu Bakar as-Siddiq seramai 5 orang memeluk Islam. Mereka ialah `Uthman bin `Affan al-Umawi, al-Zubayr bin al-`Awwam al-Asadi, `Abdul Rahman bin `Awf al-Zuhri, Sa`ad bin Abi Waqqas al-Zuhri dan Talhah bin `Ubaydullah al-Taymi.

Kemudian, diikuti pula oleh Bilal bin Rabbah al-Habshiy, `Ubaydah `Amir bin al-Jarrah, Abu Salamah bin `Abd al-Asad al-Makhzumi, al-Arqam bin Abi al-Arqam al-Makhzumi, `Uthman bin Maz`un dan 2 beradiknya, iaitu Qudamah dan `Abdullah, `Ubaydah bin al-Harith bin al-Muttalib bin `Abd Manaf, Sa`id bin Zayd al-`Adawi dan isterinya Fatimah binti al-Khattab (adik perempuan `Umar bin al-Khattab), Khabbab bin al-Aratt, `Abdullah bin Mas`ud al-Hudhaliy dan ramai lagi. Golongan yang terawal memeluk Islam ini digelar sebagai al-Sabiqun al-Awwalun. Dikatakan bilangan mereka melebihi 40 orang. Walau bagaimanapun, bilangan mereka dipersilihi di kalangan para ulama.

Antara perintah awal yang diturunkan ialah perintah mendirikan solat. Pada permulaan Islam, ALLAH mewajibkan solat 2 rakaat pada waktu pagi dan 2 rakaat pada waktu petang. Sepanjang tempoh rahsia ini, terbentuk persaudaraan akrab di kalangan orang yang memeluk Islam. Setelah hampir 3 tahun, orang-orang Quraisy Makkah mula mengetahui dakwah sulit itu. Walaupun pada awalnya mereka tidak mempedulikan, namun mereka tetap menghantar orang untuk mengintip untuk mengetahui hasil dakwah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

Dakwah Secara Terbuka
Dakwah secara terbuka berlaku pada tahun ke-4 kenabian. Ayat pertama yang turun berkenaan hal ini ialah ayat 214 dari surah Asy-Shu`ara’. Langkah pertama selepas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menerima wahyu tersebut ialah memanggil Bani Hashim. Turut serta ialah Bani al-Muttalib bin `Abd Manaf. Sebelum Nabi sallAllahu `alaihi wasallam berucap, Abu Lahab telah terlebih dahulu memberikan ucapan. Di dalam ucapan itu, Abu Lahab telah meremehkan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam. Baginda terdiam dan tidak bercakap di dalam majlis tersebut.

Kemudian, Baginda memanggil mereka lagi pada kali kedua. Kali ini, Abu Talib telah mengatakan bahawa sokongan akan diberikan terhadap apa yang diucapkan oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam. Walaupun Abu Lahab sekali lagi menjadi penentang, namun dengan sokongan dan jaminan Abu Talib, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam akan meneruskan usahanya untuk menyampaikan seruan dakwah kepada semua orang.

Di atas Bukit Safa, sekalian kaum Quraisy telah dikumpulkan bagi mendengar apa yang bakal disampaikan oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam. Seperti di dalam majlis keluarga yang diadakan sebelum ini, sekali lagi Abu Lahab menjadi penentangnya. Selesai Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam berucap, Abu Lahab telah menjerit, “Celaka engkau seluruh hari ini, adakah kerana ini engkau mengumpulkan kami?” Kemudian, turunlah ayat dari surah Al-Masad bagi mencela perbuatan Abu Lahab tersebut.

Penentangan Musyrikin Makkah
Kemudian turunlah pula firman ALLAH, ayat 94 surah Al-Hijr yang memerintahkan agar Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam agar menyampaikan dakwah secara berterus-terang dan tidak menghiraukan bantahan musyrikin Makkah. Dengan turunnya ayat tersebut, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam mula mengkritik segala bentuk kesyirikan yang berlaku di dalam masyarakat. Dengan penerangan dan krtitikan itu, maka bermulalah penentangan musyrikin Makkah terhadap dakwah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.

Antara yang diperbuat oleh musyrikin Makkah ialah:

1.Menghantar rombongan untuk bertemu dengan Abu Talib untuk meminta kebenaran agar mereka boleh mengenakan tindakan terhadap Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Namun, Abu Talib telah menjawab permintaan mereka dengan lemah-lembut dan menolak permintaan mereka.
2.Musyrikin Makkah risau yang dakwah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam akan tersebar kepada jemaah haji yang akan datang beramai-ramai ke Makkah. Mereka berbincang bagaimana untuk menyekat dakwah Baginda agar tidak sampai kepada jemaah haji. Mereka menuduh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam sebagai ahli sihir. Abu Lahab mengikut Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam ke mana sahaja Baginda pergi. Dia mengatakan kepada jemaah haji yang mendengar dakwah Baginda bahawa Baginda adalah orang yang telah keluar agama dan pembohong. Perbuatan ini tersebar hingga ke seluruh tanah Arab apabila jemaah haji pulang ke tempat masing-masing.
3.Mengejek, memperleceh, memperolok-olok, mendusta dan mentertawakan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam serta pengikut-pengikut Baginda. Ini bertujuan untuk membuatkan pengikut-pengikut Baginda berasa lemah semangat dan tertekan. Rujuk ayat 6 dari surah Al-Hjir, ayat 4 dari surah Sad, ayat 51 dari surah al-Qalam, ayat 53 dari surah al-An`am dan ayat 29-33 dari surah Al-Mutaffifin.
4.Mengganggu ajaran-ajaran Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, menimbulkan syak serta memperbanyakkan dakyah palsu supaya orang awam tidak mendapat ruang fikir untuk berfikir tentang dakwah Baginda. Rujuk ayat 5 dari surah al-Furqan.
5.Membandingkan al-Quran dengan cerita-cerita dongeng dahulu kala. Al-Nadr bin al-Harith yang mahir tentang cerita-cerita Raja Parsi, Rustam dan Aspandiar selalu menyusuli dakwah Baginda sallAllahu `alaihi wasallam dengan cerita beliau untuk menunjukkan bahawa dia juga pandai bercerita jika dibandingkan dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.
6.Menghantar penyanyi wanita kepada lelaki yang cenderung kepada dakwah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Ini supaya hilang kecenderungan lelaki tersebut untuk mengikuti dakwah Baginda.
7.Tawar-menawar dengan mempertemukan Islam dan Jahiliyyah. Antaranya ialah bergilir-gilir sembah tuhan mereka setahun, dan sembah Tuhan Muhammad selama setahun. Dan ada juga yang tawaran mengajak sama-sama menyembah tuhan di antara satu sama lain untuk melihat tuhan manakah yang lebih baik. Tawar-menawar ini telah disuruh ALLAH Ta’ala berkata dengan tegas bahawa tiada tawar-menawar di dalam agama. Perkara ini dirakam di dalam surah al-Kafirun.
8.Dilakukan penindasan, penghinaan dan penyeksaan terhadap orang-orang yang miskin dan lemah yang mengikuti dakwah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.
Disebabkan oleh penindasan yang dahsyat yang dikenakan oleh musyrikin Makkah ke atas orang-orang Islam, maka sebahagian besar terpaksa menyembunyikan keIslaman mereka. Kerana jika dizahirkan, maka akan berlaku pertumpahan darah dan penghapusan ummat Islam. Oleh itu, adalah lebih hikmah jika semua aktiviti dan ibadah mereka dilakukan secara tersembunyi.

Rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam al-Makhzumi yang terletak di atas Bukit Safa yang kedudukannya agak terpencil telah dijadikan sebagai pusat dakwah dan tempat berkumpul ummat Islam pada tahun ke-5 kenabian. Walau bagaimanapun, berbeza dengan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam, Baginda tetap melakukan dakwah secara terang-terangan dan beribadah berhampiran dengan kaum musyrikin tanpa ada yang dapat menghalang. Antara faktornya ialah Baginda telah mendapat perlindungan dan jaminan daripada Bani Hashim dan Bani `Abd al-Muttalib, khususnya oleh Abu Talib yang merupakan orang penting dan ternama di kalangan Quraisy.

Begitulah sedikit ringkasan kisah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pada awal tempoh Baginda menerima wahyu. Betapa peritnya halangan yang terpaksa Baginda tempuhi dalam membawa risalah agung dari ALLAH Subhanahu wa Ta’ala ini.

Bukanlah mudah untuk Baginda membawa mesej mulia ini ke tengah-tengah masyarakat, apatah lagi mendapat tentangan yang sangat kuat dari segenap lapisan masyarakat, terutamanya dari golongan pembesar-pembesar dan hartawan. Justeru, hendaklah kita bersyukur dan mengambil pengajaran dari kisah ini.

Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas dan lebih menyentuh perasaan, kajilah kisah insan mulia ini iaitu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Nescaya akan terbit rasa cinta dan sayang kepada Baginda lantaran pengorbanan yang telah Baginda lakukan demi menyebarkan dakwah. Antara cara yang mudah ialah dengan mendapatkan buku sirah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam yang berada di pasaran seperti buku Ar-Rahiq Al-Makhtum susunan Sheikh Safiyyu ar-Rahman al-Mubarakfuri. Tulisan di atas diringkaskan dari apa yang terkandung di dalam buku tersebut.

Allahumma solli `ala Muhammad, wa `ala ali Muhammad.

- www.muzir.wordpress.com

Ringkasan Kisah Muhammad SAW Sejak Kelahiran Hingga Dilantik Nabi

Alhamdulillah, solawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam yang dengan nikmat utusan ALLAH melalui Baginda, dapat kita nikmati nikmat Iman dan Islam pada hari ini.

InsyaALLAH, di sini diringkaskan beberapa maklumat berkenaan kelahiran dan kehidupan insan mulia yang kita semua sama-sama sayangi dan kasihi sepenuh hati kita. Maklumat ini dipetik dari kitab al-Rahiq al-Makhtum, tulisan Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri.

Mudah-mudah2an bermanfaat buat kita semua, insyaALLAH.




Abdullah dan Aminah

‘Abd al-Muttalib telah memilih Aminah binti Wahb bin ‘Abd manaf bin Zuhrah bin Kilab menjadi isteri anaknya, ‘Abdullah.
Aminah dianggap wanita yang paling mulia ketika itu dari sudut keturunan dan kedudukan. Bapanya ialah ketua Bani Zuhrah.
‘Abd al-Muttalib telah mengutus ‘Abdullah ke Yathrib untuk mengambil bekalan dagangan untuk didagangkan di Syam.
‘Abdullah telah meninggal dunia di Yathrib dan dikebumikan di Dar al-Nabighah al-Ja’di. Ketika itu, ‘Abdullah berusia 25 tahun.
Kelahiran Bayi Mulia, Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam

Dilahirkan di penempatan Bani Hashim di Mekah sebagai anak yatim.
Dilahirkan pada hari Isnin, 9 Rabi’ul Awwal tahun pertama peristiwa gajah, bersamaan 20 atau 22 April 571 Masehi.
Peristiwa luar biasa (irhas) yang berlaku ketika dilahirkan:
14 lengkungan gerbang Istana Kisra gugur
Api sembahan orang Majusi terpadam
Gereja-gereja di sekitar Bahirah Sawah telah runtuh
Apabila Abd al-Muttalib mendapat tahu berita kelahiran cucunya itu, dia terus ke Ka’bah lalu berdo’a dan bersyukur. Lantas diberi nama MUHAMMAD, nama yang cukup asing bagi masyarakat Arab ketika itu.
Orang yang pertama menyusukan Nabi, selepas ibunya ialah Thuwaybah, iaitu seorang hamba kepada Abu Lahab.
Hidup Dalam Keluarga Bani Sa’ad (sehingga umur 4-5 tahun)

Menurut adat masyarakat Arab setempat, bayi yang baru lahir akan disusukan oleh perempuan yang berada di luar dari masyarakat setempat, supaya bebas dari dijangkiti penyakit masyarakat setempat, menguatkan fizikal kanak-kanak, mengukuhkan urat saraf serta memahirkan anak terebut dengan bahasa Arab jati sejak kecil lagi.
‘Abd al-Muttalib telah menyerahkan bayi bernama Muhammad untuk dipelihara oleh Bani Sa’ad dan disusukan oleh Halimah al-Sa’diyyah.
Selepas 4 atau 5 tahun kelahiran, telah berlaku peristiwa pembelahan dada Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam oleh Jibril.
Ke Pangkuan Ibu Yang Pengasih (sehingga umur 6 tahun)

Selepas peristiwa pembelahan dada itu, Halimah risau akan keselamatan Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, lalu memulangkan Baginda kepada ibunya, Aminah.
Aminah dan anak yatimnya itu telah membuat keputusan untuk menziarahi kubur suaminya di Yathrib, dengan ditemani oleh Abd al-Muttalib dan Ummu Ayman (pembantu wanita).
Mereka menetap di Yathrib (Madinah) selama sebulan.
Dalam perjalanan pulan ke Makkah, Aminah jatuh sakit lalu meninggal dunia di Abwa’, iaitu kawasan di antara Makkah dan Yathrib (Madinah).
Anak kecil bernama Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam itu terpaksa menjadi anak yatim piatu pada umur 6 tahun.
Ke Pangkuan Datuk Yang Penyayang (sehingga 8 tahun)

Abd al-Muttalib sayu dan sedih dengan kejadian yang berlaku. Peristiwa lama iaitu kematian anaknya Abdullah kembali datang menerjah ke dalam memorinya.
Beliau membawa pulang anak kecil itu ke Makkah dan menjaganya dengan penuh kasih sayang.
Apabila umur Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam mencecah 8 tahun, 2 bulan dan 10 hari, datuknya Abd al-Muttalib pula meninggal dunia di Makkah.
Abd al-Muttalib sempat berwasiat agar Muhammad sallAllahu ‘alaihi wassalam dijaga oleh Abu Talib, bapa saudaranya iaitu saudara kandung bapanya.
Ke Pangkuan Bapa Saudara (sehingga 40 tahun)

Abu Talib telah menjalankan amanah menjaga Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam dengan sesempurna mungkin.
Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam telah mendapat perlindungan dan penjagaan dari Abu Talib sehingga akhir hayat Abu Talib.
Antara peristiwa penting yang berlaku sepanjang bersama Abu Talib ialah hujan turun dengan berkat peribadi anak kecil bernama Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam. Yang mana ketika itu Makkah dilanda kemarau.
Pada umur Baginda 12 tahun, Abu Talib yang ketika itu membawa Baginda berdagang ke Syam telah ditegur oleh seorang Rahib bernama Jarjis, atau lebih dikenali sebagai Bahira. Seetlah melihat ciri-ciri yang ada pada Baginda, Bahira telah memberitahu kepada Abu Talib, “Inilah ketua seluruh alam, budak ini diutuskan oleh ALLAH sebagai rahmat untuk sekalian alam.” Bahira menasihatkan agar budak tersebut tidak dibawa ke Syam, kerana ditakuti akan dilakukan sesuatu yang buruk kepadanya. Lalu Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam dibawa pulang ke Makkah semula.
Pada umur 15 tahun, Baginda telah ikut membantu dalam peperangan yang dipanggil Peperangan Fijar. Peperangan tersebut adalah di antara orang Quraisy dan sekutu2 mereka dari Bani Kinanah dengan Qays bin ‘Aylan.
Pada zaman remaja, Baginda tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Banyak riwayat mengatakan Baginda mengembala kambing. Pada usia 25 tahun, Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam telah dikenali sebagai seorang yang amanah. Atas sifat amanahnya itu, Khadijah binti Khuwaylid iaitu pedagang dan hartawan telah memilih Baginda untuk membawa dagangannya ke Syam. Baginda dibantu oleh hamba Khadijah yang bernama Maysarah untuk berniaga di Syam.
Kembali dari urusan perdagangan, Khadijah tertarik dengan kebolehan Baginda yang telah meraih keuntungan yang banyak dari perniagaan tersebut. Malah yang lebih penting ialah perwatakan Baginda yang berakhlaq mulia, berfikiran tajam, tutur kata yang benar dan bersifat amanah. Maklumat ini diperolehi dari Maysarah. Khadijah yang sebelum ini selalu gagal dilamar oleh para pembesar Quraisy, telah tertarik dengan Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam. Khadijah ketika itu berumur 40 telah menyatakan hasrat untuk mengahwini Baginda, dan Baginda setuju. Lamaran telah dibuat oleh bapa-bapa saudara Baginda.
Pada usia 35 tahun, Baginda membawa peranan yang besar dalam pembinaan semula Ka’bah dan Isu Tahkim.
Pada usia 40 tahun, Baginda telah menerima wahyu dari ALLAH. Pada saat inilah, kehidupan Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam mula menerima pelbagai tentangan dan halangan yang besar. Dan Abu Talib telah banyak bertindak melindungi Baginda sehinggalah Abu Talib meninggal dunia…
WAllahu Ta’ala A’lam.

Disarankan tuan/puan untuk mendapatkan kitab al-Rahiq al-Makhtum karangan Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri untuk bacaan lanjut dan lebih terperinci.

Berikut adalah sedikit ringkasan kisah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam ketika Baginda di Makkah:

1.Rasulullah SAW Ketika Di Makkah – Bahagian 1: {LINK}
2.Rasulullah SAW Ketika Di Makkah – Bahagian 2: {LINK}
3.Rasulullah SAW Ketika Di Makkah – Bahagian 3: {LINK}
4.Rasulullah SAW Ketika Di Makkah – Bahagian 4: {LINK}
Mudah2an rasa cinta kita kepada Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, insan yang telah banyak berjasa kepada kita akan semakin subur dan diikuti dengan semangat untuk menyambung perjuangan Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam dan mengamalkan segala sunnah2nya.