Showing posts with label MAZA. Show all posts
Showing posts with label MAZA. Show all posts

Wednesday, December 10, 2008

Larangan Menjadikan Bahagian Korban Sebagai Upah

Cara penyelesaiannya telah ditunjukkan oleh Saidina `Ali di dalam hadith yang yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim tadi iaitu kita memberikan upah dari duit kita sendiri bukan dari bahagian kurban yang mengakibatkan rosaknya kurban yang kita lakukan.

Menjelang musim hariraya kurban, maka peringatan-peringatan yang berdasarkan kepada as-Sunnah perlu diulangi agar para pelaksanaannya tidak melanggari batasan yang digariskan.

Seluruh para fuqaha bersependapat bahawa adalah haram hukumnya daging sembelihan kurban(al-Adhiyah) itu dijual. Kata Ibn Rusy di dalam Bidayah al-Mujtahid: “Pada pengetahuanku para ulama telah sepakat bahawa tidak diharuskan menjual daging kurban” (jld. 1, m.s. 703, cetakan Dar al-Khair, Beirut)


Perkara ini telah diketahui oleh kebanyakan kita, namun ada yang terlupa bahawa syarak juga menetapkan bahawa memberi daging kurban kepada penyembelih atau pelapah atau sebagai sebagai upah dari kerja yang mereka lakukan adalah termasuk juga dalam hukum jual beli. Iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja. Larangan memberikan daging atau selainnya sebagi upah kerja kepada penyembelih adalah termaktub dalam hadith-hadith yang sahih yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim.

Riwayat-riwayat hadith tersebut adalah daripada `Ali bin Abi Talib r.a, katanya:“Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku mensedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada al-Jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.” (Riwayat al-Bukhari hadith ke-1716, Muslim, hadith ke-1317)
Di dalam riwayat al-Imam Muslim ditambah dengan ucapan Saidina `Ali: “Kami memberikan kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta) kami sendiri”.

Walaupun hadith di atas berkaitan dengan sembelihan haji namun sama juga hukumnya dalam masalah kurban. Apa yang penting ialah larangan dari menjadi sembelihan yang disembelih bagi melaksanakan suatu tuntutan ibadat sebagai bahan jual beli, iaitu membeli tenaga kerja dengan bayaran daging sembelihan kurban atau al-hadi (sembelihan haji).

Ini telah dijelaskan oleh al-Imam as-Son `ani dalam Subulus as-Salam, katanya: Hadith ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binantang kurban sepertimana disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan sebabkan kedudukan sebagai upah. Hukum sembelihan kurban sama juga dengan hukum sembelih haji dimana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya. (jld. 4, m.s. 148 cetakan Dar al-Ma’rifah, Lubnan)

Dengan hadith di atas jelas bahawa dilarang sesiapa yang melakukan kurban memberikan daging atau apa-apa bahagian yang boleh dimanfaatkan dari binatang kurban kepada penyembelih atau pelapah sebagai upah, seperti memberi daging atau kulit atau apa yang ada dibelakang binatang tersebut seperti pelana dan lain-lainnya. Sehingga al-Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim mengkritik pendapat Hasan al-Basri yang membenarkan diberikan kulit kepada penyembelih atau pelapah. Al-Imam an-Nawawi terus mengulas ringkas pendapat ini dengan katanya: “Pendapat ini telah memcampakkan (membelakangi) sunnah” (juz. 9 m.s. 435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut)

Ketika mengulas hadith ini, al-Imam al-Imam an-Nawawi menyatakan dalam Syarh Sahih Muslim: “Hadith ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan kurban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu juzuk darinya. Ini adalah tidak dibolehkan” (juz. 9 m.s. 435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut)

Maksud al-Nawawi ialah dengan perbuatan ini bererti kita telah menjual daging kurban sebagai tukaran dengan khidmat penyembelihan. Ini juga boleh dikiaskan dengan sebarang upah yang diberikan dari sembelihan korban maka sama hukumnya iaitu haram.

Al-Imam al-Nawawi sekali lagi menegaskan pendirian al-Mazhab al-Syafi`i di dalam kitabnya yang lain iaitu al-Majmu’: “Telah sepakat al-Imam al-Syafi`i dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafi`i bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan `umrah (الهدي) dan sembelihan kurban dijual. Samada ia kurban nazar atau sunat. Ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih ..”(juz. 8 m.s. 419-420 ctk. Dar al-Fikr, Beirut)

Kata al-Imam Taqiyuddin al-Syafi`i di dalam kitabnya Kifayah al-Akhyar: “Tidak boleh dijadikan bahagian dari kurban itu sebagai upah untuk penyembelih walaupun kurban itu adalah kurban sunat.( m.s. 149 ctk. Dar So`ab, Beirut.)

Kata Muhammad Abd al-Qadir Abu Faris iaitu seorang ulama dari Jordan dalam kitabnya Ahkam al-Zabaih fi al-Islam: “Tidak halal (haram) bagi sesiapa yang melakukan kurban memberi walaupun sedikit bahagian kurban kepada penyembelih sebagai upah sembelihan atau melapah.( m.s. 143. Ctk.: Maktabah al-Manar, Jordan)

Seperti yang ditegaskan tadi bahawa termasuk dalam larangan ini ialah memberikan bahagian kurban kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam pengurusan kurban atas dasar upah atau kerja yang dilakukannya

Mungkin akan timbul persoalan apakah para petugas sembelihan tidak memperolehi apa-apa ganjaran dari kerja yang mereka lakukan? Kita perlu jelas bahawa hadith-hadith tersebut bukan melarang memberikan upah kepada para peneyembelih atau pelapah. Larangan dalam hadith-hadith berkenaan hanya jika upah itu diambil dari bahagian kurban.

Adapun jika upah itu berbentuk wang atau selainnya yang tidak dari bahagian kurban maka itu adalah tidak termasuk dalam larangan, bahkan adalah sepatut kerja dan tenaga seseorang itu dibayar upah. Sebab itu dalam riwayat tambahan al-Imam Muslim yang disebutkan tadi, Saidina Ali menyebut: “Kami memberikan kepada penyembelih atau pelapah dari harta kami sendiri. Ertinya mereka akan tetap mendapat ganjaran dari hasil kerja mereka melalui upah yang beri dari wang atau sebagainya tetapi bukan upah itu tidak diambil dari bahagian kurban.

Setelah melihat penjelasan ringkas ini maka perlulah kita sedari kalaulah amalan ini diteruskan iaitu mengambil mana-mana bahagian dari binatang kurban yang disembelih samada daging, kulit atau sebagai upah bererti kita telah merosak pahala kurban yang dijanji dan kurban kita terbatal. Kata Mustafa al-Khin dam Mustafa al-Bugha dalam Al-Fiqh al-Manhaji ketika menjelas fiqh kurban di dalam mazhab al-Syafi`i: “Tidak boleh untuk sesiapa yang melakukan kurban itu menjual atau memberinya kepada penyembelih sebagai upah sembelihan, kerana ini mengurangkan apa yang dikurbankan dan merosakkannya”.( juz 1 m.s.235. Ctk. Dar al-Qalam, Damsyik.)

Walau bagaimanapun pemberian kepada penyembelih dari bahagian kurban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah. Perkara ini dapat diukur dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan kepadanya. Sebaliknya jika diandaikan jika tidak kerana kerja yang dilakukan maka sudah tentu dia tidak memperolehi bahagian tersebut, maka ini dianggap sebagai upah. Ia merosakkan kurban.

Kata Wahbah al-Zuhaili dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: “Jika diberi kepada penyembelih dari apa yang dikurban disebabkan kefakirannya atau sebagai hadiah maka ini tidak mengapa“. (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.)

Ini seperti memberikan kepada penyembelih di atas dasar kemiskinan atau persahabatan yang sekirannya tanpa kerja yang telah dilakukan pun dia tetap akan diberikan. Dalam contoh yang lain, diberikan kepada penyembelih atau pelapah atau petugas upah mereka dalam bentuk wang umpamanya, kemudian ketika dibahagi-bahagikan daging kepada orangramai maka turut diberikan kepada penyembelih atau pelapah atas dasar pemberian biasa, setelah mereka memperolehi upah yang sebenar dalam bentuk wang. Perkara seperti ini tentulah dibolehkan kerana pemberian itu tidak lagi di atas dasar upah dari bahagian kurban kerana upah yang sebenar telah mereka perolehi.

Kata as-Syaukani dalam Nail al-Autar bahawa diriwayatkan daripada Ibn Khuzaimah dan al-Baghawi bahawa dibolehkan memberi bahagian kurban kepada penyembelih jika dia adalah seorang yang fakir dan setelah diberi kepadanya upah yang lain (selain dari bahagian kurban). ( juz. 5 / m.s. 221, Ctk. Dar al-Jil, Beirut)

Apa yang dikehendaki dari keterangan di atas, agar bahagian yang diperolehi oleh penyembelih atau pelapah atau petugas itu tidak disebabkan oleh kerja yang dilakukannya. Jika ini berlaku bererti telah melanggar larangan Rasulullah dan membatalkan kurban.

Setelah kita melihat dalil yang sohih iaitu larangan baginda Nabi dalam hal ini serta ulasan yang jelas yang dibuat oleh para ulama, maka hendaklah kita menjaga agar tidak melanggarnya seperti yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat. Cara penyelesaiannya telah ditunjukkan oleh Saidina `Ali di dalam hadith yang yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim tadi iaitu kita memberikan upah dari duit kita sendiri bukan dari bahagian kurban yang mengakibatkan rosaknya kurban yang kita lakukan.

Sesungguhnya sikap bakhil atau mengambil kesempatan melepaskan diri dari upah wang ringgit kepada penyembelih atau pelapah dan seumpamanya dengan cara memberikan daging atau bahagian korban kepada mereka adalah lambang ketidaktulusan.

Kurban ada peraturannya yang ditentukan syarak. Pastikan agar kurban itu diterima di sisi Allah.

Haji: Antara falsafah, tokok tambah dan nas

Ajaran Islam menentang sebarang unsur keberhalaan. Umat Islam tidak menyembah Kaabah, sebaliknya hanya menghadapkan wajah ke arah Kaabah bagi memenuhi arahan Allah juga kesatuan dalam ibadah. Pada awalnya umat Islam menghadap ke arah Masjid al-Aqsa, kemudian Nabi s.a.w. memohon agar dipilih Masjidilharam sebagai arah kiblat. Lalu Allah menerima harapan baginda. Maka pemilihan arah kiblat Allah adalah ketetapan Allah. Kita tidak menjadikannya seperti agama-agama berhala.

Seorang penceramah haji dalam satu penyampaiannya menyatakan bahawa apabila seseorang melontar di jamrah, dia hendaklah melontar dengan sekuat mungkin dan penuh kemarahan terhadap syaitan yang selalu menghasut kita. Menurutnya, ini kerana jemaah haji ketika itu sedang melontar syaitan yang berada di situ.


Para hadirin ada yang terfikir: Apakah syaitan yang begitu bijak menipu dan menghasut manusia menjadi begitu bodoh sehingga sanggup tunggu di jamrah-jamrah pada waktu haji untuk membiarkan diri mereka dilontar oleh jutaan manusia? Dia bertanya saya tentang kekeliruan itu. Saya berkata, syaitan memang jahat dan dilaknat, namun saya juga tidak fikir untuk mereka menunggu agar dilontar pada hari-hari haji. Saya rasa syaitan tidak sebodoh itu. Beliau kehairanan dengan jawapan saya. Dia bertanya kebingungan: Habis, apakah agama menceritakan sesuatu yang bohong? Saya katakan: Tidak! Tetapi ustaz itu yang cuba berfalsafah tentang ibadah tanpa merujuk kepada dalil dan akal yang waras.

Entah berapa banyak para penceramah yang ‘sewaktu dengannya’. Jika penceramah berkenaan membaca dan memahami nas, tentu dia tidak membuat huraian seperti itu. Dalam hadis daripada Ibn ‘Abbas, katanya: Pada pagi Hari ‘Aqabah (musim haji) Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-‘Aqabah). Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletaknya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: (Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu ghulu (melampau) dalam agama, kerana sesungguhnya ghulu dalam agama telah membinasakan mereka yang sebelum kamu. (Diriwayatkan oleh al-Nasa‘i, Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah dan al-Albani).

Nabi s.a.w. dalam hadis ini memuji Ibn ‘Abbas kerana mengutip batu yang kecil kerana itu memadai. Tidak benarkan melampaui batas dengan mengutip batu-batu yang melebihi ukuran sepatutnya. Baginda juga mengingatkan bahawa rosaknya agama mereka yang terdahulu adalah kerana melampaui batasan yang diajar oleh para Rasul. Dalam erti kata lain, menokok tambah yang bukan-bukan merosakkan agama.

Jika batu-batu yang dilontar itu bertujuan melontar syaitan, tentu tidak memadai dengan anak-anak batu yang kecil. Dengan kefahaman yang salah ini jugalah sesetengah jemaah dari negara-negara tertentu melontar dengan batu atau bahan lain yang melebihi saiz yang disuruh. Akhirnya bukan syaitan yang sengsara tetapi jemaah lain yang cedera.

Sesiapa yang ingin berfalsafah tentang agama, hendaklah merujuk kepada nas-nas yang termaktub dalam al-Quran dan sunah. Walaupun sebahagian amalan haji itu mempu- nyai latar sejarahnya, namun kita yang menunaikan haji melaksanakannya sebagai memenuhi arahan Allah dengan contoh amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Sama seperti kita rukuk, sujud dan segala pergerakan lain dalam solat, kita laksanakan dengan kaedah dan contoh yang ditunjuk oleh Rasulullah.

Sesetengah kita pula yang ingin berangkat ke Mekah mempunyai pelbagai kepercayaan yang bukan-bukan. Ada yang menganggap bahawa jika seseorang yang hendak pergi haji itu sudah berada dalam kenderaan, dia tidak boleh berpatah balik jika ada barang yang tertinggal. Nanti kononnya akan mati di Mekah dan tidak pulang ke rumah lagi.

Kepercayaan ini adalah khurafat. Jika ia benar, alangkah beruntung seseorang yang meninggal dalam perjalanan melaksanakan ibadah! Ada pula yang menganggap bahawa ada upacara khas berangkat ke haji. Maka seseorang tidak boleh berangkat sehingga upacara ‘bawa turun’ ke Mekah diadakan. Padahal Nabi s.a.w. dan para sahabah yang berangkat dari Madinah ke Mekah ketika itu tidak pernah melakukan upacara itu semua. Apa yang baginda ajar adalah doa dan adab-adab musafir.

Seseorang yang menunaikan haji perlu faham teras-teras akidah secara jelas. Jika tidak, dibimbangi mereka tersasar. Bukan sedikit yang kita lihat jemaah haji sesete- ngah negara yang mengusap batu, bukit dan apa sahaja binaan di Mekah dan Madinah yang menimbulkan kekaguman dalam jiwanya. Bahkan beberapa tahun dahulu sebelum telaga zamzam ditutup seperti sekarang, saya pernah melihat ada yang mengusap-usap binaan moden sekeliling telaga berkenaan.

Ada yang semasa tawaf cuba mengoyak kelambu (Kiswah) Kaabah kononnya untuk disimpan kerana ada keajaibannya. Mereka lupa kelambu tersebut adalah tenunan zaman sekarang yang selalu ditukar ganti. Kilangnya di Mekah dengan pelbagai peralatan canggih. Mengoyak kelambu bererti memusnah harta awam dan mencuri. Apakah jenis keberkatan yang mereka cari dari barangan curi dan khianat? Perkara seperti ini jika tidak dikawal dunia Islam akan hanyut seperti sebahagian ajaran tarekat dan Syiah yang mempertuhankan segala unsur yang mereka kagumi, termasuklah mempertuhankan guru-guru atau imam-imam mereka.

Sebab itu Sayidina Umar memerintahkan agar ditebang pokok yang pernah Rasulullah dan para sahabah melakukan baiah (ikrar setia) al-Ridwan di bawahnya, kerana orang ramai mula datang dan bersolat di tempat tersebut. (Lihat: Ibn Hajar, Fath al-Bari, 11/490, Beirut: Dar al-Fikr). Bimbang berlakunya fitnah dalam akidah, warisan sejarah berharga pun terpaksa dihapuskan.

Ajaran Islam menentang sebarang unsur keberhalaan. Umat Islam tidak menyembah Kaabah, sebaliknya hanya menghadapkan wajah ke arah Kaabah bagi memenuhi arahan Allah juga kesatuan dalam ibadah. Pada awalnya umat Islam menghadap ke arah Masjid al-Aqsa, kemudian Nabi s.a.w. memohon agar dipilih Masjidilharam sebagai arah kiblat. Lalu Allah menerima harapan baginda. Maka pemilihan arah kiblat Allah adalah ketetapan Allah. Kita tidak menjadikannya seperti agama-agama berhala.

Kita hanya tunduk mengabdikan diri kepada Allah. Allah Yang Maha Suci dari menyerupai sebarang makhluk itu tidak diwakili oleh apa-apa objek, insan atau haiwan. Jika diandaikan Kaabah itu dicabut dan dipindahkan ke negara lain, umat Islam tidak akan menghadap wajah mereka ke arah yang baru itu atau pergi haji ke negara baru hanya kerana Kaabah di situ. Tetap ke arah Masjidilharam dan Mekah yang asal. Bukan objek yang disembah, tetapi menunaikan ibadah berdasarkan arah dan tempat yang diperintahkan Allah.

Firman Allah: (maksudnya) Kerapkali Kami melihat engkau (Wahai Muhammad), berulang-ulang mengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu hadapkan wajahmu ke arah Masjid Al-Haram dan di mana sahaja kamu berada maka hadaplah wajah kamu ke arahnya (al-Baqarah 144).

Dalam sejarah, puak Qaramitah yang amat terkutuk pernah menyerang Mekah, mencuri Hajarul Aswad, membahagi-bahagikan kelambu Kaabah, dan mencuri pintunya. Mereka membawa Hajarul Aswad ke negara mereka Hijr. Hajarul Aswad berada di sana di antara tahun 319H sehingga tahun 339H. Akhirnya dikembalikan (lihat: Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 11/236, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Namun umat Islam tidak pula menukar tempat haji ketika itu, pergi ke negara Qaramitah. Kerana, bukan batu yang dipuja. Justeru itu, ‘Umar bin al-Khattab apabila datang mencium Hajarul Aswad berkata: “Sesungguhnya aku mengetahui, engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Oleh kerana Rasulullah menciumnya sebagai syiar ibadah maka kita pun menciumnya, bukan kerana ia mempunyai sebarang kesaktian atau unsur ketuhanan. Demikian juga tawaf, sai, wukuf dalan kesemua dilakukan dengan kadar yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan dengan akidah yang diajar baginda. Jika ini tidak difahami, maka itulah yang kita lihat ada yang memanjat Jabal Rahmah di Arafah kononnya untuk menyeru nama-nama kaum keluarga atau kenalan agar dapat datang menunaikan haji pada tahun-tahun berikutnya. Padahal perkara-perkara tersebut tidak dilakukan oleh Nabi dan para sahabah.

Firman Allah: (maksudnya) Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya petunjuk (yang dibawanya), dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya peluang untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (surah al-Nisa 115).

Ini bukan bererti kita menafikan unsur keberkatan dan rahmat Allah yang melimpah yang diturunkan di tempat-tempat mulia lagi terpilih. Allah Maha Mengetahui bahawa hamba apabila merindui Tuhannya, dia ingin merintih, merayu dan mencari tempat dan masa yang dapat menjadi dirinya lebih dekat kepada Tuhannya. Maka dipilih tempat-tempat mulia ini melebihi tempat lain seperti Mekah dan Madinah, zamzam dan Kaabah, Mina dan Arafah. Seperti Allah memilih waktu-waktu yang dilimpahi rahmat-Nya melebihi waktu yang lain seperti malam al-Qadr, bulan Ramadan, hari Jumaat, demikianlah juga hari-hari waktu ibadah haji.

Maka insan Muslim, ketika melalui tempat atau waktu yang dirahmati itu hendaklah segala jiwa dan perasaan mengaitkan sepenuh kerahmatan dan kebaikan yang akan diperolehnya di tempat atau waktu berkenaan adalah kurniaan Allah semata. Hanya daripada- Nya. Allah punca utama segala kebaikan itu; bukan masa, objek ataupun tempat. Jika perasaan dibentuk demikian rupa, maka segalanya menjadi kecil dan kerdil di hadapan jiwa tauhid yang melimpahi ruang keimanan seorang insan.

Ibadah haji juga mengajar erti membulat niat dan nekad hanya kerana Allah. Apalah yang menarik jika kota Mekah itu dilihat di sudut muka bumi dan kesuburannya. Lembah yang kering-kontang tanpa tumbuh-tumbuhan. Namun, manusia tidak pernah putus-putus mengunjunginya, sejak Nabi Ibrahim membina Kaabah yang mulia. Allah memilih tempat yang demikian rupa, agar setiap yang datang ke Mekah tertumpu niatnya untuk mengabdikan diri kepada Allah, bukan untuk melancong dan berseronok suka.

Firman Allah: (maksudnya) Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Mekah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumahmu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan solat (memakmurkannya dengan ibadat) maka jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan, semoga mereka bersyukur. (surah Ibrahim: 37).

Dalam ibadah haji dan umrah, seorang Muslim dapat merasai kesinambungan sejarah agama ini, sejak Nabi Ibrahim sehingga ke hari ini. Perjuangan membela dan menegak tauhid yang kudus dan lurus bukan bermula dalam beberapa hari ini, atau beberapa tahun, bahkan umur perjuangan ini sudah ribuan tahun.

Firman Allah: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa: “Wahai Tuhan kami! terimalah daripada kami (amal kami); Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui;. “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan Jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara Ibadat kami, dan terimalah taubat kami; Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani; “Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat-Mu dan mengajarkan mereka al-Kitab (al-Quran) serta hikmah (sunah atau kebijaksanaan) dan membersihkan mereka . Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (surah al-Baqarah 127-129).

Siapa sangka gerakan yang dimula oleh dua orang nabi, berkesinambungan sehingga ke hari ini. Bagi setiap zaman ada yang meneruskan perjuangan mereka. Sekalipun para pembela tauhid dan menegak titah perintah tulen Tuhan itu akan menghadapi pelbagai rintangan yang tidak pernah putus. Ada yang dihina, dituduh, diusir, ada yang dipenjara, ada yang dibunuh dan berbagai-bagai penderitaan.

Namun, para penerus perjuangan Ibrahim tidak pernah putus asa terhadap kebangkitan ajaran Nabi Ibrahim. Ini kerana mereka sedar bukan mereka yang memula dan mengakhiri perjuangan ini. Sebaliknya perjuangan ini bermula sejak ribuan tahun dan akan terus ada penyambungnya setiap zaman. Nabi Muhammad s.a.w. adalah penyambung agung. Perjuangan ini tidak mati dengan dibunuh atau mati seorang pejuang, kerana hasrat dan seruan perjuangan akan disuburi oleh rahmat dari langit. Jemaah haji mesti menghayati hakikat ini ketika memijak tempat yang telah Nabi Ibrahim mulakan perjuangannya.

Monday, August 25, 2008

Mubahalah agar umat tidak berbalah

Sepatutnya kerja-kerja politik itu adalah urusan menguruskan negara dan rakyat agar hidup dalam keadaan mendapat hidayat dan sejahtera. Inilah juga tanggungjawab kekhalifahan manusia di atas muka bumi ini.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah: ayat 30).

“Khalifah itu bermaksud (segi bahasa) sesiapa yang menggantikan tempat pihak yang lain atau menjadi penggantinya. Yang dimaksudkan dengan khalifah dalam ayat ini adalah Adam a.s. kerana beliau merupakan khalifah Allah di bumi-Nya. Demikian sekalian nabi yang Allah utuskan mereka sebagai pengganti (khalifah) bagi memakmurkan bumi, menguruskan manusia, menyempurnakan keperluan mereka dan melaksanakan perintah Allah ke atas mereka” (lihat: Al-Baidawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Takwil, 1/64.)

Maka urusan kekhalifahan itu memegang amanah Allah dalam perancangan dan pembangunan bagi memakmurkan bumi ini berdasarkan syariat-Nya. Itu bukan hanya tugas Adam a.s seorang, sebaliknya anak cucunya wajib melaksanakan tanggungjawab yang sama. Firman Allah SWT menceritakan tentang nasihat Nabi Solih kepada kaumnya: (maksudnya): “Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Solih. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Tiada bagi kamu tuhan daripadanya. Dialah yang menjadikan kamu daripada (bahan-bahan) bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya”. (Surah Hud: ayat 61)

Maka inilah sepatutnya kerja orang politik. Memakmurkan bumi dengan menghidupkan ketenteraman dan keamanan dalam kehidupan manusia. Maka, amatlah malang melihat gelagat sesetengah ahli politik dalam negara kita yang kebanyakan mereka mengaku muslim tetapi seakan tidak memahami kerja kekhalifahan itu menghidupkan keamanan, bukan kekalutan.

Kerja politik yang sepatutnya menampilkan kepada rakyat idea-idea pengurusan negara demi keadilan dan kedamaian dalam kehidupan rakyat bertukar menjadi kerja selak-menyelak kain masing-masing di khalayak ramai atas nama politik. Cerita-cerita dalam kain mereka yang memalukan kita untuk menjelaskan kepada anak kecil jika hadir di samping kita mendengar berita-berita daripada media menjadi bahan politik mereka. Mereka memakmurkan urusan ‘kekhalifahan’ mereka dengan menjadikan cerita-cerita seperti itu sebagai modal menunjukkan ‘ketajaman’ idea politik ‘menghidupkan kekalutan dan kegusaran’ dalam kehidupan rakyat.

Benarlah dakwaan sesetengah pihak ‘politik itu saudara pembohongan’. Ramai yang menghantar SMS dan e-mel kepada saya menyatakan dukacita mereka yang amat sangat dengan cara politik pemimpin-pemimpin Melayu ini. Sehingga mereka yang dulunya saya kenali mempunyai minat yang tinggi terhadap politik, sama ada pembangkang atau kerajaan, telah bertukar menjadi muak dan bosan dengan ‘politik selak kain’ yang giat ditampilkan sekarang.

Dalam Islam, sepatutnya keaiban peribadi tidak dijadikan mainan atau berita utama yang ditebarkan secara luas dalam masyarakat yang sehingga nanti masyarakat terbiasa dengan akhlak-akhlak buruk lantas maruah orang menjadi taruhan atas kepentingan peribadi. Hanya apabila terpaksa sahaja, seperti kes di mahkamah baru keburukan itu didedahkan. Bukan memperjudikan maruah satu sama lain dalam perlumbaan kuasa.

Firman Allah: (maksudnya) “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa”. (Surah al-Nisa: ayat 148-149).

Soal maruah adalah besar dalam Islam. Bukan seperti Barat yang menjadikan maruah taruhan berita sensasi. Justeru, sekalipun Islam menjatuhkan hukuman sebat 100 rotan kepada penzina, Islam juga menetapkan syarat ketat terhadap yang menuduh orang lain berzina. Maka Islam menghukum penuduh tanpa cukup saksi dalam kes zina dengan 80 rotan. Ini kerana dia telah mempermainkan maruah orang lain. Juga Islam cuba menghalang sikap suka mendedahkan aib orang lain dalam perkara yang tidak cukup keterangan dan bukti.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan orang- orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4)

Namun, Islam tidak mewajibkan pula seseorang yang menuduh isterinya berzina agar mendatangkan empat orang saksi. Ini kerana tuduhan zina kepada isteri sendiri hanya mencalarkan maruah penuduh. Maka, agak sukar untuk seseorang itu menuduh isterinya secara bohong berzina. Juga amat berat untuk seseorang itu mendiamkan diri apabila mengetahui isterinya berzina. Ini kerana kedua-dua keadaan itu merobohkan maruah dan kehormatan dirinya. Jika orang lain yang berzina, mungkin dia mampu mendiamkan diri disebabkan kekurangan saksi. Tetapi sudah pasti tidak bagi kes isterinya.

Justeru Allah menyebut: (maksudnya) “Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar; Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): “bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia dari orang- orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa terhadap isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah dia (isteri) bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu benar-benar daripada orang-orang yang berdusta; - Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang- orang yang benar. (Surah al-Nur ayat 6-9).

Bab ini dinamakan dengan ‘li‘an’ atau penglaknatan. Inilah jalan yang Allah berikan kepada pasangan suami isteri yang tuduh-menuduh dalam perkara seperti ini. Selepas proses ini dilakukan, mereka dipisahkan selamanya, tanpa ada hukuman keseksaan mahkamah yang dijalankan, sebaliknya diserahkan urusan tersebut kepada Allah. Ini kerana, kes ini adalah kes mempalitkan keaiban diri sendiri.

Maka, mereka yang mendakwa diri dirogol atau diliwat juga adalah menampalkan keaiban ke atas diri sendiri. Amat sukar bagi insan normal itu membuat dakwaan seperti itu secara semberono. Melainkan jika ada kepentingan tersembunyi yang lain. Maka mereka juga tidak perlu mendatangkan empat saksi. Sebaliknya boleh diterima pakai kaitan (qarinah) yang membuktikan kejadian itu berlaku. Justeru, paksi dalam hal ini semua, ada demi memelihara keturunan dan maruah.

Jelas, isu-isu aib peribadi tidak patut dijadikan gelanggang permainan dalam masyarakat muslim sehingga setiap individu merasakan dirinya memiliki lesen besar untuk menuduh sesiapa sahaja yang dia mahu atau sesiapa sahaja yang dianggap musuhnya. Namun dalam masyarakat kita sehari dua ini nampaknya keadaan berlaku sebaliknya. Isu dalam kain individu-individu politik telah mencetuskan kegelisahan awam. Sehingga mewujudkan ketegangan, tuduh-menuduh dan maki-memaki yang seakan tiada kesudahannya. Jika dibiarkan, ketenteraman boleh tergadai disebabkan kerenah mereka.

Dalam al-Quran Allah mengajar mubahalah sebagai penyelesaian bagi perbalahan yang tidak diuruskan secara baik dan mengikut peraturan. Ini kerana ada pihak yang menunjukkan sikap keras kepala sehingga menimbulkan kekusutan. Mubahalah bermaksud mereka yang berbalah bertemu dan berdoa agar Allah menurunkan kelaknatan ke atas pendusta antara mereka.(lihat: Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab, 11/71). Disebut juga mulaa‘nah iaitu meminta agar Allah melaknati sesiapa yang berdusta atau bersalah di kalangan yang berselisihan dakwaan tersebut.

Ini seperti firman Allah kepada Nabi Muhammad SAW: (maksudnya) “Sesungguhnya bandingan (kejadian) Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka jadilah ia. Kebenaran itu datang daripada Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi di kalangan mereka yang ragu-ragu. Kemudian sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, isteri-isteri kami serta isteri-isteri kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”. (Surah Ali ‘Imran 59-61).

Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w pernah mencabar puak Kristian daripada Najran agar melakukan mubahalah ini dengan baginda tentang Nabi Isa dan kebenaran ajaran Islam, namun mereka takut dan enggan melakukannya. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H): “Mubahalah itu adalah sunnah bagi sesiapa yang keras kepala di kalangan puak kebatilan. Bahawa menjadi sunnah dalam berdebat dengan ahli kebatilan, apabila telah ditegakkan hujah namun mereka enggan kembali kepada kebenaran sebaliknya terus berdegil, maka diseru mereka agar bermubahalah. Allah telah memerintahkan rasul-Nya berbuat demikian. Tanpa Allah menyatakan ini bukan untuk umatmu selepas ini. Sepupu baginda Abd Allah bin ‘Abbas juga pernah mengajak mereka yang membantah dalam beberapa perkara furu’ bermubahalah dengannya. Tiada seorang sahabat Nabi SAW yang membantah tindakan itu. Juga al-Auza‘i pernah mengajak Sufyan al-Thauri bermubahalah dalam masalah ‘mengangkat tangan’ tanpa ada yang membantah tindakannya. Ini adalah hujah yang kuat” (Ibn Qayyim, Zad al-Ma‘ad 3/562-563).

Dalam mubahalah setiap orang akan memohon kelaknatan Allah ke atas dirinya jika dia berada di pihak yang salah. Ini seperti dalam kes tuduh menuduh dalam negara kita sekarang, maka satu pihak diminta menyebut: “Ya Allah! jika aku lakukan apa yang dituduh ke atasku, maka laknatilah aku”. Sementara pihak yang lain menyebut: “Ya Allah! jika dia tidak lakukan apa yang aku tuduh itu, maka laknatilah aku”. Selepas itu, kita semua tunggu hukuman dalam hal ini. Ramai ulama silam menyebut, biasanya Allah tidak akan menangguhkan hukuman melebihi setahun. Bahkan ramai dalam sejarah hanya beberapa bulan, atau hari.

Al-Imam al-Sakhawi (meninggal 902H) dalam bukunya al-Qaul al-Munbi ‘An Tarjamati Ibn ‘Arabi menceritakan bagaimana gurunya al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) bermubahalah dengan seorang pengikut Ibn ‘Arabi. Ibn ‘Arabi (bukan al-Imam Ibn al-‘Arabi) ada tokoh sufi sesat yang membawa fahaman wahdatul wujud iaitu penyatuan tuhan dengan manusia. Alirannya itu diikuti oleh banyak para pengikut tarekat sehingga ke hari ini.

Di Malaysia, antara pencintanya adalah juru kempen ajaran martabat tujuh. Pada zaman Ibn Hajar al-‘Asqalani, terdapat para pencinta Ibn ‘Arabi ini. Apabila al-Hafiz Ibn Hajar mempertikaikan Ibn ‘Arabi, mereka cuba mendapatkan campur tangan sultan ketika itu dan menuduh al-Hafiz Ibn Hajar menghina orang soleh. Sehingga akhirnya Ibn Hajar bermubahalah dengan syeikh mereka. Kata Ibn Hajar: Sebutlah “Ya Allah, jika Ibn ‘Arabi di atas kesesatan, maka laknatilah aku”. Lalu dia menyahutnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar pula menyebut: “Ya Allah, jika Ibn ‘Arabi berada atas petunjuk, maka laknatilah aku”. Lalu mereka bersurai. Mubahalah itu dalam bulan Ramadan. Pada bulan Zulqaedah, pengikut Ibn ‘Arabi itu menjadi buta lalu ditimpa kematian. Di zaman Harun al-Rasyid juga ada yang menerima hukuman Allah setelah bermubahalah. Al-Imam Muhammad bin Abdul Wahhab (tokoh yang dituduh membawa ajaran Wahhabi) pernah mencabar mereka yang menyanggahinya bermubahalah, namun penentangnya enggan.

Saya bukan inginkan agar Allah menurunkan bala kepada mereka yang tuduh- menuduh. Tetapi pertelingkahan mereka telah mengkucar-kacirkan umat dan negara, maka eloklah mereka bermubahalah agar orang ramai tidak lagi berbalah. Selepas bermubahalah, kita serahkan urusan ini kepada Allah. Dialah Yang Maha Mengetahui mengenai hal hamba-hambanya itu. Jika mereka tidak bersalah, apa yang hendak ditakuti? Orang politik rela belanja berjuta-juta untuk menceriakan imejnya. Mubahalah tidak perlu wang atau modal, namun dapat mengembalikan keyakinan dan menghapuskan prasangka yang telah ditaburkan dalam masyarakat.