Ditulis oleh Mahir Hujjah
ZAKAT FITRAH
Zakat Fitrah ialah zakat yang diwajibkan ketika pengakhiran bulan
Ramadhan.Ia merupakan sejumlah harta yang tertentu dikeluarkan oleh
setiap orang Islam dan diberikan kepad aorang-orang yang
berhajat,sebagai pembersihan diri juga untuk membaiki
kecacatan-kecacatan yang berlaku pada puasa sepanjang bulan Ramadhan
yang disebabkan oleh percakapan sia-sia,jelek dan sebagainya.
Berkata Ibnu Abbas r.a :
فرض رسول الله عليه وسلم زكاة الفطر طهرة للصائم من اللغو والرفث وطعمة للمساكين
Seorang ulama’,Waki’ bin al-Jarrah menyatakan :” kedudukan zakat fitrah
dinisbahkan kepada bulan Ramadhan seumpama kedudukan sujud sahwi
dinisbahkan kepada solat dimana ia membaiki kekurangan puasa sepertimana
sujud sahwi membaiki kekurangan solat”.
Zakat fitarah ini
mula-mula difardhukan pada bulan Syaaban tahun kedua hijrah iaitu tahun
yang sama difardhukan puasa Ramadhan dan Zakat Harta mengikut pendapat
yang paling kuat.
DALIL KEWAJIPAN ZAKAT FITRAH
حَدَّثَنَا
عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ بْنِ قَعْنَبٍ وَقُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ
قَالَا حَدَّثَنَا مَالِكٌ و حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى وَاللَّفْظُ
لَهُ قَالَ قَرَأْتُ عَلَى مَالِكٍ عَنْ نَافِعٍ عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ
رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ
الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا
مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى مِنْ
الْمُسْلِمِينَ
رواه البخارى و مسلم
وفى البخارى ..........وكان
يعطون قبل الفجر
Berkata jumhur Ulama’ salaf dan Khalaf bahawa maksud
“ فرض “ dalam hadis pertama tadi ialah “ ألزم او أوجب “ . Maka zakat
fitrah yang wajib di sisi Ulama’ Salaf dan Khalaf dimana ia termasuk
dalam pengertian umum bagi firman Allah : وأتو الزكاة .
Menurut
Ibnu Munzir,kewajipan zakat fitrah adalah pendapat ijma’.Walaupun
terdapat di sana Ulama’ yang menyatakan bahawa zakat fitrah adalah sunat
muaakkad tetapi pendapat ini dikatakan oleh Imam Nawawi sebagai
pendapat yang syaz atau mungkar.
KE ATAS SIAPA DIWAJIBKAN ZAKAT FITRAH
Daripada hadis yang disebutkan tadi jelas kepada kita bahawa zakat
fitrah wajib bagi setiap individu muslim samada merdeka taua
hamba,lelaki atau wanita,besar atau kecil,miskin atau kaya,orang bandar
atau pedalaman (kampung). Pendapat ini merupakan pendapat jumhur Ulama’.
Sabda Nabi saw :
حَدَّثَنَا
عَفَّانُ قَالَ سَأَلْتُ حَمَّادَ بْنَ زَيْدٍ عَنْ صَدَقَةِ الْفِطْرِ
فَحَدَّثَنِي عَنْ نُعْمَانَ بْنِ رَاشِدٍ عَنِ الزُّهْرِيِّ عَنِ
ثَعْلَبَةَ بْنِ أَبِي صُعَيْرٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَدُّوا صَاعًا مِنْ قَمْحٍ أَوْ صَاعًا مِنْ
بُرٍّ وَشَكَّ حَمَّادٌ عَنْ كُلِّ اثْنَيْنِ صَغِيرٍ أَوْ كَبِيرٍ ذَكَرٍ
أَوْ أُنْثَى حُرٍّ أَوْ مَمْلُوكٍ غَنِيٍّ أَوْ فَقِيرٍ أَمَّا
غَنِيُّكُمْ فَيُزَكِّيهِ اللَّهُ وَأَمَّا فَقِيرُكُمْ فَيُرَدُّ عَلَيْهِ
أَكْثَرُ مِمَّا يُعْطِي
أخرجه احمد و البيهقي
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa wajib ke atas
orang faqir sepertimana ia wajib ke atas orang kaya.Miskin atau kaya
tidak menjadi syarat dalam kewajipan mengeluarkan zakat fitrah.Ini
adalah pendapat jumhur.Adapun Imam Abu Hanifah ia mensyaratkan nisab
.Jadi orang faqir yang tidak memiliki nisab tidak diwajibkan zakat
fitrah ke atasnya.
Zakat fitrah yang wajib dikeluarkan meliputi
untuk dirinya sendiri dan juga orang-orang yang berada di bawha
tanggungan nafkahnya seperti anak atau khadam nya melainkan sekiranya
orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya itu adalah kafir .
Adapun Az-Zuhri,Rabi’ah dan Al-Laith menyatakan bahawa zakat fitrah
dikhususkan kewajipannya kepada orang bandar sahaja dan tidak diwajibkan
ke atas orang pedalaman (البادية). Pendapat ini ditolak keran ia
bertentangan dengan hadis tadi.Pendapat yang benar ialah pendapat
jumhur.
ZAKAT FITRAH BAGI ISTERI DAN BUDAK KECIL
Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa zakat fitrah wajib ke atas perempuan
samada ia telah bersuami atau tidak.Perempuan yang telah bersuami
diwajibkan zakat fitrah ke atas dirinya sendiri dan dikeluarkan
daripadanya hartanya sendiri bukan harta suaminya.
Imam
syafie,Imam Malik berpendapat bahawa suami wajib mengeluarkan zakat
fitrah untuk isterinya kerana termausk di dalam tanggungan nafkah suami.
Adapun
zakat fitrah budak kecil,jumhur Ulamak berpendapat bahawa ia wajib ke
atas budak kecil itu sendiri bagi hartanya sekiranya ia mempunyai harta
dan walinya lah yang dipertanggungjawabkan untuk mengluarkan zakat
daripada harta budak yang berada di bawah tanggungannya bagi pihak budak
tersebut.Tetapi sekiranya budak kecil itu tidak mempunyai harta maka
zakat fitrahnya tertanggung ke atas wali yang menanggung nafkahnya .
Muhammad bin Al-Hasan berpendapat:”Zakat fitarah adalah wajib ke atas
bapa semata-mata.Sekiranya budak kecil itu tidak mempunyai bapa maka
zakat fotrah tidak diwajibkan ke atasnya secara mutalak”.
Dinaqalkan daripada Said bin Musaayib dan Hasan Al-albasri menyatakan
bahawa zakat fitrah tidak diwajibkan kecuali ke atas orang yang berpuasa
sahaja.Ini kerana zakat fotrah diwajibkan kerana bermatlamatkan
penyucian dosa.Budak kecil tidak memerlukan kepada penyucian doasa
kerana ia tidak mempunyai dosa.Jadi zakat fitrah tidak diwajibkan ke
atas budak kecil.
ZAKAT FITRAH BAGI JANIN
Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa zakat fitrah tidak diwajibkan ke atas
janin.Imam syaukani menyebutkan di dalam kitab Nailul Authar ( juzuk
4/81): “ Ibnu Munzir telah menaqalkan bahawa telah menjadi ijtimak
bahawa zakat fitrah tidak diwajibkan ke atas janin.Adapun Imam Ahmad
menggalakannya dan tidak mewajibkannya”.
Ibnu Hazim
berpendapat: “Apabila telah sempurna janin di dalam perut ibunya selama
120 hari sebelum terbit fajar pada malam hari raya wajib dikeluarkan
zakat fitrah bagi janin tersebut kerana telah sabut di dalam satu hadis
bahawa janin tersebut telah ditiupkan ruh ke dalamnya apabila usianya
genap 120 hari”.Ibnu Hazim telah mengkmukakan beberapa hadis dan amalan
sahabat untuk menguatkan pendapatnya ini yang menyalahi jumhur atau
ijmak Ulamak.Namun demikian Dr.Yusuf Al-Qardhawi menyatakan bahawa
dalil-dalil yang disebut olehibnu Hazim tidak langsung menunjukkan
kepada kewajipan zakat fitrah bagi janin di dalam kandungan.
SYARAT-SYARAT WAJIB ZAKAT FITRAH
1.
Islam- Orang kafir asli tidak wajib membayar zakat fitrah melainkan ke
atas hamba dan qaribnya yang muslim.Adapun orang Islam yang
murtad,maka zakat fitrahnya dan juga orang-orang yang berada di bawah
tanggungan nafkahnya ditangguh sehingga ia kembali kepada Islam
2.
Ada/Wujud ketika terbenam matahari hari penghabisan bulan Ramadhan
(iaitu sempat bertemu dengan juzuk terakhir daripada Ramadhan dan juzuk
terawal daripada syawal ).Tidak wajib zakat fitrah atas anak yang lahir
sesudah terbenam matahari.Orang yang berkahwin sesudah terbenam matahari
tidak wajib baginya untuk membayar zakat fitrah bagi isteri yang baru
dikahwininya itu. Orang yang mati selepas terbenam matahari maka wajib
dikeluarkan zakat fitrah baginya.Adapu orang yang mati sebelumnya tidak
wajib .
3. Ia mempunyai kelebihan harta daripada keperluan makanan
untuk dirinya sendiri dan orang –orang yang berada dibawah tanggungan
nafkahnya (samada manusia atau binatang) pada malam hari raya dan siang
harinya . Orang yang tidak mempunyai kelebihan tidak wajib membayar
zakat fitrah.
لما بعث النبى صلى الله عليه وسلم معاذا الى اليمن قال :
فاعلمهم ان الله افترض عليهم صدقة تؤخذ من اغنيائهم فتردى على
فقرائئهم........... رواه الجماعة
Sabda Rasulullah s.a.w
من سأل وعنده ما يغنيه فانما يستكثر من النار,قالوا يا رسول الله وما يغنسه ؟قال : ما يغذيه ويعشيه....
رواه ابو داود وابن حبان
Harta yang terhitung disini ialah harta yang tidak perlu
baginya dalam kehidupan seharian.Adapun rumah (tempat tinggal ),perkakas
rumah ,pakain,kitab dan sebagainya tidak ternasuk dalam perhitungan
.Jadi barang-barang tersebut tidak perlu dijual untuk membayar zakat
fitrah dan sekiranya ia tidak mempunyai kelebihan harta yang lain,tidak
membayar zakat fitrah.
Tidak disyaratkan Nisab pada zakat fitrah
.Ini adalah menurut pendapat jumhur termasuk Syafei ,Ahmad dan Malik
.Imam Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya menyatakan : “Tidak diwajibkan
zakat fitrah kecuali ke atas orang yang mempunyai nisab”. Mengikut Imam
Syaukani pendapat yang benar ialah pendapat jumhur kerana nas-nas yang
menyatakan tentang kewaaaajipan zakat fitrah adalah umum dan tidak
mengkhususkannya kepada orang kaya atau faqir. Pendapat ini juga
ditarjihkan oleh Dr. Yusof Al Qardhawi.
Orang yang mempunyai
cukup syarat-syarat di atas wajib membayar zakat fitrah untuk dirinya
sendiri dan untuk orang wajib dinafkahinya seperti zakat anaknya yang
masih kecil,zakat isterinya ,zakat ibu bapanya yang sememangnya menjadi
tanggungnnya dan lain-lain yang wajib atasnya menanggung nafkah mereka.
KADAR YANG WAJIB DIKELUARKAN
Kadar yang wajib dikeluarkan ialah sebanyak satu sa’ (صاع: gantang ) sepertimana yang dinyatakan di dalam hadis :
عن ابي سعيد قال كنا نخرج زكاةالفطر صاعا من طعام أو صاعا من شعير أو صاعا
من تمر أو صاعا من اقط أو صاعا من زبيب............أخرجه البخاري و مسليم
Imam Abu Hanifah menyatakan adalah memadai dikeluarkan zakat fitrah
bagi gandum (القمح) dengan kadar setengah sa’ ( صاع) sahaja
UKURAN SA’
-Satu Sa’ (صاع) = 4 Mud (مد)
-Satu mud =-Disisi Ulamak Hanafi : 2 Ritl (رطل)
-Disisi Jumhur Mazhab :1 1/3 Ritl (رطل)
( Jadi satu sa’ disisi Hanafi bersamaan dengan lapan (8) Ritl dan disisi Syafie,Maliki dan Hanbali bersamaan 5 1/3 Ritl ).
-Satu Ritl = Disisi Hanafi : 130 Dirham.
=Disisi Maliki : 128 Dirham
=Disisi Syafie : 128 4/7 (128.571) Dirham.
-Berat Dirham penimbang ( satu Dirham ) = 3.17 Gram
Jadi satu Mud :
-Disisi Hanafi : 2x130 = 260 Dirham x 3.17 = 824.20 Gram
-Disisi Syafie : 1 1/3 x 128.571 = 171.428 Dirham x 3.117 = 543.428 Gram
jadi :
-Satu Sa’ disisi Hanafi =824.20 x 4 = 3.926.80 Gram
-Satu sa’ disisi Syafie =543.428 x 4 = 2.175 Gram.
Walaubagaimanapun Dr. Sulaiman Rasyid menyatakan : Sa’ (صاع) menurut
erti bahasa arab adalah nama ukuran sukatan ( takaran ). Jadi ukuran
banyaknya zakat fitrah ini adalah ukuran takaran,bukan ukuran timbangan.
Penyelidikan Ulamak-ulamak yang menetukan banyaknya zakat fitrah dengan
timbangan ( katian/gram ) adalah kurang teliti ( kurang tepat ) kerana
berat beras satu gantang dari beberapa macam jenis beras tentu tidak
sama.Apalagi kalau dibandingkan dengan segantang jagung atau
lain-lainnya sudah tentu amat berjauhan timbangannya walau takarannya
adalah sama . (rujuk : Fiqh Islam – Dr Sulaiman Rasyid m/s 219 terbitan
DPF )
ADAKAH HARUS DIKELUARKAN LEBIH DARIPADA SATU SA’ (صاع) ?
Disebutkan di dalam sesetengah kitab mazhab Maliki bahawa disunatkan
bagi orang yang mengelurakan zakat fitrah supaya tidak mengeluarkannya
lebih dari satu Sa’ (صاع). Bahkan mengelurakan lebih darinya adalah
suatu yang makruh kerana kadar satu Sa’ itu adalah ketentuan daripada
syara’ .Maka tambahan ke atas kadar yang ditentukan itu adalah
satu bid’ah yang makruh (بدعة مكروهات). Keadaannya adalah sepetimana
menambah bilangan tasbih melebihi 33 (seperti yang ditentukan oleh
syara’ selepas sembahyang ).Namun demikian,tambahan yang dikira makruh
itu ialah ketika tambahan itu berlaku di dalam keadaan nyata ( sengaja
). Adapun tambahan yang berlaku di dalam keadaan syak maka tidak
dimakruhkan.
Pendapat ini ditolak oleh Dr. Yusuf Al-Qordhowi
dimana beliau menyatakan : pada pandanganku : Perbandingan atau
penyamaan ini ( iaitu menyamakan hukum mengeluarkan zakat fitrah lebih
daripda kadar wajib dengan hukum menambah bilangan tasbih melebihi
daripada bilangan yang ditentukan oleh syara’) adalah tidak dapat
diterima.ini kerana urusan zakat bukan terdiri daripada urusan-urusan
bersifat ibadah semata-mata seperti sembahyang dan apa-apa yang
berhubung dengannya daripada zikir dan tasbih.Oleh itu, tambahan yang
berlaku pada zakat melebihi kadar yang diwajibkan adalah harus dan ia
adalah perkara yang baik ( digalakkan ) sepertimana yang disebut oleh
Al-Quran (فمن تطوع خيرا فهو خير له ) ketika memperkatakan tentang
fidyah puasa iaitu memberi makan orang miskin.
JENIS-JENIS MAKANAN YANG HARUS DIKELUARKAN ZAKAT FITRAH DARIPADANYA
Para fuqahak sepakat menyatakan harus untuk mengeluarkan zakat fitrah
daripada lima jenis makanan iaitu البر, الشعير, التمر, الزبيب dan
الأقط ( susu kering ) sekiranya jenis-jenis makanan ini dijadikan
sebagai Qut ( قوت ) (makanan asasi ) di dalam negeri atau sesuatu
tempat.Ini kerana kelima-lima jenis makanan ini adalah sabit sebutannya
dalam hadis-hadis.
Ulamak Syafie dan Maliki berpendapat :
penyebutan lima jenis makanan ini di dalam hadis-hadis buakanlah
bermakna pengeluaran zakat fitrah hanya diharuskan daripada lima jenis
makanan ini sahaja.Ia adalah perlambangan kepada Qut yang wujud di dalam
negeri pada zaman Nabi (s.a.w). Jadi menjadi kewajipan bagi setiap
muslim unutk mengeluarkan zakat fitrah daripadanya Qut yang menjadi
kebiasaan di dalam negara.
Di dalam satu pendapat menyatakan :
“Dikeluarkan daripada Qut yang menjdai kebiasaan seseorang individu itu
sendiri”. Menurut pendapat Imam Ghazali : yang dikira ialah Qut yang
menajdi kebiasaan di dalam negeri pada waktu wajibnya zakat fitrah dan
bukan sepanjang tahun .
Sekiranya di dalam negeri terdapat
pelbagai jenis Qut dan tidak ada daripadanya yang lebih dibiasakan ke
atas yang lain maka hendaklah dipilih salah satu daripadanay dan yang
paling utama ( الافضال ) ialah Qut yang paling baik .Ini melihat kepad
firman Allah :
لن تنال البر حتى تنفقوا مما تحبون .........أل عمران : 92
Adapun mazhab Ahmad,apa yang zahir daripadanya ialah :” Tidak harus
keluar zakat fitrah selain daripada lima jenis makanan ini ( yang
disebut di dalam hadis ) di dalam keadaan ia mampu untuk mengeluarkannya
daripada lima jenis makanan ini samad makanan yang lainnya itu terdiri
daripada Qut di dalam negeri ataupun tidak “.
Mengelurakan zakat fitrah dengan tamar (التمر ) adalah paling afdhal
disisi Imam Ahmad dan Malik.Berkata Imam Syafie : “ gandum adalah lebih
afdhal ”. Sementara Imam Abu Hanifah berpendapat yang paling afdhal
ialah yang paling banyak / mahal harganya.
ADAKAH HARUS MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH DENGAN HARGA?
Membayar zakat fitrah dengan nilaian harga (wang ) makanan,menurut
mazhab Syafie,Malik dan Ahmad tidak harus kerana ia tidak bertepatan
dengan sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Di
dalam mazhab Hanafi tiada halangan kerana zakat fitrah itu adalah hak
orang-orang faqir. Untuk menutup hajat mereka boleh dengan makanan dan
boleh dengan wang,tidak ada bezanya.Barangkali mengeluarkannya dengan
wang lebih baik kerana dengan wang memungkinkan orang faqir membeli apa
sahaja keperluannya dengan mudah seperti makanan,pakaian dan hajat-hajat
yang lain lagi.
Dr. Yusuf Al-Qardhowi telah mentarjihkan
pendapat Imam Abu Hanifah iaitu harus mengelurakan zakat dengan wang
(harga ).Ini kerana, selain daripada pendapat ini bersandar kepada
nas-nas,ia bersesuaian dengan keadaan semasa dan lebih mendatangkan
kemudahan kepada umat Islam pada masa kini. Namun demikian,keharusan ini
adalah dengan syarat ia tidak mendatangkan kemudharatan kepada
orang-orang faqir dan kepada pemilik harta itu sendiri.
Ulamak-ualamk Hanafi berbeza pendapat di dalam menetukan “manakah yang
lebih afdhal?, mengelurakan zakat dengan wang ( harga ) atau
makanan?.”Walau bagaimanapun,apa yang jelas kepada kita ialah : ukuran
yang diambil kira untuk menentukan mana yang lebih afdhal. Kembali
kepada kemanfaatan orang faqir itu sendiri.Sekiranya kemanfaatannya pada
suatu ketika lebih banyak kepada makanan seperti di dalam keadaan
kebuluran dan kesempitan maka mengeluarkan zakat dengan makanan adalah
lebih afdhal. Sekiranya kemanfaatanya lebih banyak kepada wang maka
mengeluarkan zakat dengan zakat wang ( harga ) adalah lebih afdhal.
BILAKAH WAKTU WAJIB MENGELURAKAN ZAKAT FITRAH?
Para Fuqahak bersepakat bahawa waktu wajib untuk mengluarkan zakat
fitrah ialah pada akhir Ramadhan.Kekhilafan berlaku pada menetukan
bilakah waktu wajib itu pada akhir Ramadhan?.
Imam Syafie ,Imam
Ahmad dan Imam Malik ( dalam satu riwayat ) menyatakan bahawa waktu
wajibnya ialah dengan terbenam mataharai pada hari terakhir daripada
bulan Ramadhan.
Imam Abu Hanifahy,Imam Syafie ( dalam qaul qadim
) dan Imam Malik ( dalam satu riwayat yang lain ) berpendapat waktu
wajib ialah dengan terbit fajar pada hari raya.
Kesan khilaf
yang berlaku di atas dapat dilihat pada hukum kanak-kanak yang
dilahirkan selepas terbenam matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan
dan sebelum terbitnya fajar hari raya.Adakah diwajibkan ke atasnya zakat
fitrah atau tidak? Di sisi pendapat pertama , kanak-kanak ini tidak
diwajibkan ke atasnya zakat fitrah kerana ia dilahirkan sebelum waktu
wajib di sisi mereka,iaitu terbitnya fajar hari raya.
MENYEGERAKAN PEMBAYARAN ZAKAT SEBELUM WAKTU WAJIB
Jumhur Fuqahak menyatkan harus menyegerakan pembayaran zakat fitrah satu atau dua hari sebelum hari raya.
Imam Syafie menyatakan :” Harus menyegerakannya bermula daripada awal Ramadhan”.
Imam Abu Hanifah berpendapat :” Harus menyegerakannya seblum bulan Ramadhan lagi”.
Sesetengah Ulamak Hambali menyatakan :” Harus menyegeraknnya bermula daripada pertengahan bulan Ramadhan “.
HUKUM MENTA’KHIRKAN (MELEWATKAN ) MEMBAYAR ZAKAT FITRAH
Jumhur Fuqahak berpendapat melewatkan pembayaran zakat fitrah sehingga
sesudah solat hari raya ( iaitu membayarnya sesudah solat ‘aid )b adalah
makruh .Ibnu Hazim menyatakan ianya adalah haram.
Adapun
melewatkan pembayaran sehingga habis hari raya ( iaitu membayar zakat
fitrah selepas terbenam matahari pada hari raya pertama ) maka berkata
Ibnu Ruslan :” ia adalah haram dengan sepakat ( para Ulamak ) kerana
zakat fitrah adalah zakat yang wajib, maka melewatkan pembayarannya
adalah berdoa sepertimana melewatkan sembahyang sehingga terkeluar
daripada waktunya”. Berkata Ibnu Qudamah di dalam (المغنى ) : “Orang
yang melewatkan pembayaran zakat fitrah sehingga habis hari raya maka ia
adalah berdosa dan wajib ke atasnya qadha’ ( ganti ).
Sepakat
Imam-imam mazhab pada menyatakan bahawa kewajipan menunaikan zakat
fitrah tidak akan gugur dengan menta’khirkannya ( melewatkannya
),selepas ia menjadi wajib ( ke atas seseorang ), bahkan ia menjadi
hutang yang berada di bawah tanggungan oarng yang wajib membayar zakat
fitrah itu sehinggalah ia membayarnya walaupun pada akhir umur.
WAKTU MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH DAN HUKUMNYA DI DALAM MAZHAB SYAFIE
Oleh kerana pengalaman masyarakat Islam Malaysia lebih meraikan feqah
mazhab Syafie, maka di sini adalah lebih baik kita membuat sedikit
penditilan terhadap waktu-waktu mengeluarkan zakat fitrah menurut feqah
mazhab Syafie.
Sebagaimana yang telah diketahui bahawa di dalam
mazhab Syafie waktu wajib zakat fitrah ialah sewaktu terbenam matahari
pada malam hari raya (iaitu hari terkahir daripada bulan Ramadhan).
Sungguhpun begitu tidak ada halangan bila dibayar sebelumnya asalakn di
dalam bulan puasa. Dibawahini diterangkan beberapa waktu dan hukum
membayar zakat fitrah pada waktu itu:
1. Waktu harus : iaitu dari awal Ramadhan sampai hari penghabisan Ramadhan. ( lihat hadis Ibnu Umar tadi )
2. Waktu wajib : iaitu mulai terbenam matahari penghabisan Ramadhan.
3. Waktu sunat : iaitu dibayar sesudah sembahyanga subuhsebelum pergi sembahyang hari raya.
4. Waktu makruh : iaitu membayar sesudah solat hari raya tetapi sebelum terbenam matahari pada hari raya.
5. Waktu haram : iaitu dibayar sesudah terbenam matahari pada hari raya.
PENGAGIHAN ZAKAT FITRAH
Menurut Ibnu Rusyd :” Telah ijma’ para Ulamak pada menyatakan bahawa
zakat fitrah diberikan kepada oarng-orang faqir dari kalangan orang
Islam.Ini berdasarkan kepada sabda Nabi (saw) : (أغنوهم فب هذا اليوم ).
Para
Ulamak berkhilaf pada masalah :” Adakah harus diberikan zakat fitrah
kepada orang-orang faqir dari kalangan orang kafir zimmi (أهل الذمة ).
Jumhur Ulamak berpendapat bahawa ia adalah tidak harus.Manakal Abu
Hanifah mengahruskannya.
Sebab khilaf ialah kembali kepada
persoalan: “ Adakah sebab yang mengharuskan zakat fitrah bagi orang
faqir itu ialah kerana faqir (ألفقير ) sahaj atau kerana faqir dan
Islam sekali gus.Ulamak yang menyatakan sebab faqir dan Islam”, tidak
mengharuskan pemberian zakat fitrah kepada orang kafir zimmi kerana
mereka tidak Islam.Adapun Ulamak yang menyatakan “ sebab faqir sahaja ”
mengharuskannya kepada orang kafir zimmi.Setengah Ulamak mensyaratkan
ahli zimmah yang harus zakat fitrah bagi mereka hendaklah terdiri
daripada paderi atau pendita (رهبان ).
ADAKAH ZAKAT FITRAH MESTI DIAGIHKAN KEPADA SEMUA GOLONGAN YANG LAYAK MENERIMA ZAKAT?
Adakah pengagihan zakat fitrah tertumpu kepada orang-orang faqir dan
miskin sahaja atau diagihkan sama rata kepada lapan golongan yang layak
menerima zakat yang disebutkan oleh Allah di dalam ayat 60,surah
at-Taubah ?. Ulamak berkhilaf di dalam masalah ini kepada tiga pendapat:
1)
Pendapat pertama : menyatakan wajib diagihkan sama rata dikalangan
lapan golongan yang boleh menerima zakat harta atau yang ada dikalangan
mereka.Pendapat ini merupakan pendapat yang masyhur dikalangan Ulamak
Syafie . Ia juga merupakan pendapat Ibnu Hazim. Dalil pendapat ini ialah
ayat 60 aurah At-Taubah.
2) Pendapat kedua : menyatakan
bahawa zakat fitrah wajib dijhususkan kepada orang-orang faqir sahaja
tidak kepada golongan-golongan yang lainnya. Pendaapat ini merupakan
pendapat mazhab Maliki san satu qaul daripada Imam Ahmad.Pendapat ini
ditarjih oleh Ibnul qayyim dan Ibnu Taimiyah. Diantara dalil golongan
ini ialah hadis Nabi ( saw ) yang menyatakan bahawa zakat fitrah adalah
“طعمة للمساكين “ dan hadis yang menyatakan “ وأغنوهم فى هذا اليوم “.
3)
Pendapat ketiga : menyatakn harus mengagihkannya sama rata diantara
semua golongan yang layak menerima zakat dan harus juga mengkhususkannya
hanya kepada orang faqir dan miskin sahaja.Pendapat ini merupakan
pendapat jumhur Ulamak.
Dr Yusuf Al-Qardhowi menyatakn : “
pendapat yang kami pilih ialah mendahului golongan faqir ( di dalam
pengagihan zakat fitrah ) daripada golongan-golongan yang lainnya
kecuali kerana ada keperluan dan maslahat yang diambil kira oleh Islam
“.
Berkata Syeikh Abu Bakar Jabir Al-Jazairy : “ Penggunaan
zakat fitrah yang sohih ialah untuk orang-oarng faqir dan miskin
berdasarkan kepada hadis :
-فى هذا اليوم عن المسألة أغنوهم - يعنى المساكين
Kecualilah
jika Imam ( ketua negara ) melihat di san ada golongan yang lain yang
lebih memerlukan,maka zakat fitrah digunakan untuknya.Ini kerana
penggunaan harta zakat fitrah terbina di atas asas maslahat umum bagi
umat Islam. Begitu juga harus dikumpulkan zakat fitrah dan Imam ( ketua
negara ) menguruskan pengeluaran atau penggunaannya pada tempat yang
dilihat bermanfaat bagi orang Islam “.
CORAK PEMBAHAGIAN ZAKAT FITRAH KEPADA ORANG FAQIR
Jumhur Fuqahak menyatakan harus bagi seorang individu tertentu untuk
membayar zakat fitrahnya kepada seorang faqir-miskin sahaja atau kepada
beberapa oarang.Begitu juga harus bagi satu kumpulan untuk membayar
zakat fitrah kepada seorang faqir-miskin sahaja.
Setengah Ualmak
memakruhkan pembayaran zakat fitrah oleh seorang individu kepada
beberapa orang faqir / miskin kerana dengan pembayaran yang sebegini
rupa tidak memenuhi matlamat menutupi hajat ( الأغنيأ ) oarng
faqir/miskin seperti yang disuruh oleh hadis. Begitu juga pembayaran
satu kumpulan yang banyak kepada seorang faqir/miskin sahaja dalam
keadaan terdapat di sana orang lain yang juga berhajat seumpamanya atau
lebih daripadanya.
ADAKAH HARUS MEMINDAHKAN ZAKAT FITRAH DARIPADA SATU NEGERI KE SATU NEGERI YANG LAIN ?
Pemindahan zakat fitrah dari satu negeri ke satu negeri yang lain
adalah ahrus sekiranya penduduk negeri yang dipindahkan zakat ke
dalamnya terdiri daripada orang yang mempunyai silaturrahim dan
kekeluargaan dengan penduduk negeri yang memindahkan zakat fitrah.Begitu
juga harus sekiranya negeri yang dipindahkan zakat ke dalamnya lebih
berhajat daripada negeri oarng yang membayar zakat.Diharuskan juga
mengumpul zakat fitrah dan mengutuskannya kepada orang-orang yang
ditimpa kesusahan atau bala seperti penduduk Bosnia kerana mereka
merupakan orang yang lebih memerlukan daripada orang faqir.
BEBERAPA HUKUM BERKAITAN DENGAN ZAKAT FITRAH
1)
Orang yang bermusafir diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya
sekiranya tidak menjadi kebiasaan bagi keluarganya mengeluarkan zakat
fitrah untuknya atau ia tidak mewasiatkan keluarganya untuk mengeluarkan
zakat fitrah bagi pihaknya.Zakat fitrah ini dikeluarkan pada tempat
yang ia berada padanya.Sekiranya menjadi kebiasaan bagi keluarganya
mengluarkan zakat untuknya atau ia mewasiatkan keluarganya supaya
mengeluarkan zakat fitrah untuknya ia tidak di wajibkan mengeluarkannya
tetapi hanya sunat sahaja.
2) Sesiapa yang mempunyai harta untuk
dikeluarkan zakat fitrah dan pada masa yang sama ia menanggung hutang
yang sejumlah dengannya maka ia tetap diwajibkan untuk membayar zakat
fitrah kecualilah sekiranya ia dituntut untuk membayar hutangnya
itu.Dalam keadaan ini ia hendaklah menjelaskan hutangnya dan tidak
diwajibkan zakat fitrah ke astasnya.
3) Zakat fitrah tidak harus
dibayar kepada oirang-orang yang berada di bwah tanggungan orang yang
memeberi zakat seperti anak,isteri dan kedu ibu-bapanya.
4) Isteri
diharuskan membayar zaktnya kepada suaminya jikalau suaminya seorang
yang faqir.Ini jelas sebagaimana yang telah dilakukan oleh anak
perempuan Ibnu Mas’ud yang telah memberi zakatnya kepada suaminya
Abdullah dan perkara tersebut telah di taqrir oleh Rasululllah saw.
RUJUKAN
1) فقه الزكاة ( Dr. Yusuf Al-Qardhowi )
2) فقه السنة (Syeikh Sayyid Sabiq )
3) الفقه الواضح من الكتاب و السنة ( Dr. Mohd Bakar Ismail )
4) فقه الزكاة المعاصر ( Mohd Abu As Su’ud )
5) كتاب الفقه على مذاهب الربعة ( Syeikh Abdurrahman Al-Jazairy )
6) الاقناع فى حل الالفاظ ابى شجاع ( Syeikh Syamsuddin Mohd bin Mohd Al-Khatib As-Syarbini )
7) ألسيراج الوهاج على متن المنهاج ( Syeikh Mohd Az-Zuhri Al-Ghamrawi )
8) FIQH ISLAM ( Dr. Sulaiman Rasyid )
9) رحمة الامة فى اختلاف الأئمة ( Abi Abdillah Mohd bin Abdul Rahman Ad-Dimashqi As-Syafie)
10) أحكام الزكاة ( Abdullah Nasih Ulwan )
11) ألزكاة الفريضة الثالثة ( Syeikh Abdullah Ali Al-Abhar )
12) الجمل فى زكاة العمل ( Syeikh Abu Bakar Jabir Al-Jazairy )
13) الموازين والمكايل والمقاييش الشرعية و المعا صرة ( Syeikh Abdullah Ali Al-Abhar )
Ditulis oleh Mahir Hujjah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment