Monday, August 15, 2011

Lailatul Qadr




Lailatul Qadr (atau lebih dikenal dengan malam Lailatul Qadar) mempunyai keutamaan yang sangat besar, karena malam ini menyaksikan turunnya Al-Qur`anul Karim, yang membimbing orang-orang yang berpegang dengannya ke jalan kemuliaan dan mengangkatnya ke derajat yang mulia dan abadi. Ummat Islam yang mengikuti Sunnah Rasulnya berlomba-lomba untuk beribadah di malam harinya dengan penuh iman dan mengharap pahala dari Allah subhanahu wa ta’ala.

Inilah wahai saudaraku muslim, ayat-ayat Al-Qur`an dan hadits-hadits Nabi yang shahih menjelaskan tentang malam tersebut.

1. Keutamaan Lailatul Qadr
Cukuplah untuk mengetahui tingginya kedudukan Lailatul Qadr dengan mengetahui bahwasanya malam itu lebih baik dari seribu bulan. Allah subhanahu wa ta’ala berfirman (yang artinya):

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Qur`an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (Al-Qadr:1-5)

2. Waktunya
Pendapat yang paling kuat, terjadinya Lailatul Qadr itu pada malam di akhir-akhir bulan Ramadhan sebagaimana ditunjukkan oleh hadits ‘A`isyah, dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam beri’tikaf di sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan dan beliau bersabda:

تَحَرَّوْا (وَفِيْ رِوَايَة: اِلْتَمِسُوْا) لَيْلَةَ القَدْرِ فِي الوِتْرِ مِنَ العَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

“Carilah Lailatul Qadr di malam ganjil pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR. Al-Bukhariy no.2017 dan Muslim no.1169)

Jika seseorang merasa lemah atau tidak mampu, maka janganlah sampai terluput dari tujuh hari terakhir, berdasarkan riwayat dari Ibnu ‘Umar, dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

اِلْتَمِسُوْهَا فِي العَشْرِ الأَوَاخِرِ (يَعْنِي لَيْلَةَ القَدْرِ) فَإِنْ ضَعُفَ أَحَدُكُمْ أَوْ عَجَزَ فَلاَ يُغْلَبَنَّ عَلَى السَّبْعِ البَوَاقِي

“Carilah di sepuluh hari terakhir, jika salah seorang di antara kalian tidak mampu atau lemah maka jangan sampai terluput dari tujuh hari sisanya.” (HR. Muslim no.1165)

Telah diketahui dalam Sunnah, pemberitahuan ini ada karena perdebatan para shahabat. Dari ‘Ubadah bin Ash-Shamit, ia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam keluar pada Lailatul Qadr, lalu ada dua orang shahabat berdebat, maka beliau bersabda:

“Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kalian tentang Lailatul Qadr, tetapi fulan dan fulan berdebat hingga diangkat (tidak bisa lagi diketahui kapan kepastian lailatul qadr terjadi), semoga ini lebih baik bagi kalian, maka carilah pada malam 29, 27 dan 25.” (HR. Al-Bukhariy 2023)

Banyak hadits yang mengisyaratkan bahwa Lailatul Qadr itu terjadi pada sepuluh hari terakhir, hadits yang lainnya menegaskan di malam ganjil sepuluh hari terakhir. Hadits yang pertama sifatnya umum sedangkan hadits kedua sifatnya khusus, maka riwayat yang khusus lebih didahulukan daripada yang umum, dan telah banyak hadits yang lebih menerangkan bahwa Lailatul Qadr itu ada pada tujuh hari terakhir bulan Ramadhan (malam ke-25, 27 dan 29), tetapi ini dibatasi kalau tidak mampu dan lemah. Maka dengan penjelasan ini, cocoklah hadits-hadits tersebut dan tidak saling bertentangan.

3. Bagaimana Mencari Lailatul Qadr?
Sesungguhnya malam yang diberkahi ini, barangsiapa yang diharamkan untuk mendapatkannya, maka sungguh telah diharamkan seluruh kebaikan (baginya). Oleh karena itu dianjurkan bagi muslimin agar bersemangat dalam melakukan ketaatan kepada Allah untuk menghidupkan malam Lailatul Qadr seperti melakukan shalat tarawih, membaca Al-Qur`an, menghafalnya dan memahaminya serta amalan yang lainnya, yang dilakukan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala-Nya yang besar. Jika dia telah berbuat demikian maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa shalat malam/tarawih (bertepatan) pada malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR. Al-Bukhariy 38 dan Muslim no.760)

Disunnahkan untuk memperbanyak do’a pada malam tersebut. Diriwayatkan dari ‘A`isyah, dia berkata: Aku bertanya: Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku tahu kapan Lailatul Qadr (terjadi), apa yang harus aku ucapkan? Beliau menjawab: “Ucapkanlah:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
“Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampunan, maka ampunilah aku.” (HR. At-Tirmidziy 3760 dan Ibnu Majah 3850, sanadnya shahih)

Saudaraku, setelah engkau mengetahui bagaimana keadaan malam Lailatul Qadr (dan keutamaannya) maka bangunlah (untuk menegakkan shalat) pada sepuluh malam terakhir, menghidupkannya dengan ibadah dan menjauhi wanita, perintahkan kepada istrimu dan keluargamu untuk itu, perbanyaklah perbuatan ketaatan.
Dari ‘A`isyah berkata:

“Adalah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam apabila masuk pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, beliau menghidupkan malamnya, membangunkan keluarganya, dan bersungguh-sungguh serta mengencangkan kainnya (yaitu menjauhi istri-istrinya untuk konsentrasi beribadah dan mencari Lailatul Qadr).” (HR. Al-Bukhariy no.2024 dan Muslim no.1174)

4. Tanda-tandanya
Dari Ubaiy, ia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Pagi hari malam Lailatul Qadr, matahari terbit tidak ada sinar yang menyilaukan, seperti bejana hingga meninggi.” (HR. Muslim no.762)
Dan dari Ibnu ‘Abbas, ia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Malam Lailatul Qadr adalah malam yang indah, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin, dan keesokan harinya sinar mataharinya melemah kemerah-merahan.” (HR. Ath-Thayalisiy 349, Ibnu Khuzaimah 3/231 dan Al-Bazzar 1/486, sanadnya hasan)

Tarikh Nuzul Al-Quran




Posted by Abu Anas Madani on 11 September 2009

PERBINCANGAN TARIKH NUZUL AL-QUR’AN

Ulama’ berselisih pendapat berhubung bilakah al-Qur’an diturunkan.
Pendapat yang agak masyhur mengemukakan 17 Ramadhan sebagai tarikh nuzul Al-Qur’an. Pendapat ini dipegangi sebahagian ulama’ sirah.

Antara ulama’ sirah yang kuat berpegang kepada pendapat ini ialah Syaikh al-Khudhari dalam karyanya; Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyyah.[1] Pendapat ini merujuk kepada suatu riwayat daripada al-Waqidi menerusi Abu Ja’far al-Baqir yang mengatakan bahawa (penurunan ) wahyu kepada Rasulullah s.a.w bermula pada hari Isnin, 17 Ramadhan dan dikatakan pada 24 Ramadhan. Riwayat ini dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah:

روى الواقدي بسنده عن أبي جعفر الباقر أنه قال: كان ابتداء الوحي إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم الاثنين لسبع عشرة ليلة خلت من رمضان وقيل في الرابع والعشرين منه.[2]
Ada suatu hal yang agak menarik dalam kita membincangkan pendapat yang menyatakan 17 Ramadhan sebagai tanggal nuzul Al-Qur’an. Setelah saya meneliti kitab Sirah Ibn Hisyam berhubung tajuk “ Ibtida’ Tanzil Al-Qur’an” ( Bermulanya nuzul Al-Qur’an ), terdapat semacam satu kekeliruan apabila Ibn Hisyam ada membuat catatan berikut:

قال ابن إسحاق: فابتدئ رسول الله صلى الله عليه وسلم بالتنزيل في شهر رمضان، يقول الله عز وجل: ] شهر رمضان الذي أنزل فيه القرءان هدى للناس وبينت من الهدى والفرقان [ وقال الله تعالى: ] إنا أنزلنه في ليلة القدر … [ ...وقال تعالى: ] إن كنتم آمنتم بالله وما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان [. وذلك ملتقى رسول الله صلى الله عليه وسلم والمشركون ببدر.
قال ابن إسحاق: وحدثني أبو جعفر محمد بن علي بن حسين: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم التقى هو والمشركون ببدر يوم الجمعة، صبيحة سبع عشرة من رمضان.
قال ابن إسحاق: ثم تتام الوحي إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم، وهو مؤمن بالله مصدق بما جاءه منه ...إلخ[3]
Jika diperhatikan dan dihalusi, kenyataan di atas semacam mengaitkan elemen ‘al-furqan’ yang terdapat dalam al-Qur’an dengan ‘hari al-Furqan’yang membezakan antara haq dan batil yang merujuk kepada hari Peperangan Badr yang berlaku pada 17 Ramadhan. Oleh kerana perkara ini disebut di bawah tajuk “ Ibtida’ Tanzil al-Qur’an”, berkemungkinan ada pihak yang memahami bahawa nuzul Al-Qur’an juga berlaku pada tarikh yang sama.

Pendapat-pendapat lain tentang nuzul Al-Qur’an sebagaimana diutarakan oleh Syaikh Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri, ianya berlaku pada 7 Ramadhan, ada yang mengatakan 18 Ramadhan. Beliau sendiri membuat pilihan dan tarjih yang berbeza dengan ulama’ lain. Menurut beliau, nuzul Al-Qur’an jatuh pada 21 Ramadhan. Antara alasan yang dikemukakan seperti berikut:

1- Semua ulama’ sirah atau majoriti dari kalangan mereka sepakat mengatakan bahawa Nabi s.a.w dibangkitkan pada hari Isnin berdasarkan hadith Abu Qatadah r.a dalam Sahih Muslim dan lain-lain.

2- Hari Isnin pada tahun Nabi s.a.w dibangkitkan jatuh sama ada pada hari 7 Ramadhan, 14 Ramadhan, 21 Ramadhan dan 28 Ramadhan. Hadith-hadith yang sahih ada menyebut bahawa malam al-Qadr tidak berlaku melainkan pada malam-malam ganjil, sepuluh malam terakhir Ramadhan.

3- Setelah dibuat perbandingan antara firman Allah: ( إنا أنزلنه في ليلة القدر ) dan riwayat Abu Qatadah tentang penentuan hari Isnin sebagai hari Nabi s.a.w dibangkitkan serta dipadankan dengan perhitungan taqwim yang tepat bilakah sebenarnya jatuh hari Isnin pada bulan Ramadhan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, jelaslah bahawa baginda dibangkitkan pada malam 21 Ramadhan.[4]



Pendapat seterusnya, nuzul Al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan. Pendapat ini berdasarkan hadith berikut:

قال الإمام أحمد: حدثنا أبو سعيد مولى بني هاشم، حدثنا عمران أبو العوام عن قتادة عن أبي المليح عن واثلة ابن الأسقع أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: أنزلت صحف إبراهيم عليه السلام في أول ليلة من رمضان، وأنزلت التوراة لست مضين من رمضان، والإنجيل لثلاث عشرة خلت من رمضان، وأنزل الله الفرقان لأربع وعشرين خلت من رمضان.[5]
Hadith di atas dihukumkan hasan oleh Syaikh al-Albani, manakala Syaikh Ahmad Shakir menghukumkan sanad hadith ini sebagai sahih.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, hadith di atas bertepatan dengan firman Allah SWT (Surah al-Baqarah: Ayat 185):

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرءان

Dan firmanNya ( Surah al-Qadr : Ayat 1 ) :

إنا أنزلنه في ليلة القدر

Kata beliau, berkemungkinan lailah al-Qadr berlaku pada tahun kebangkitan Nabi s.a.w pada malam tanggal 24 Ramadhan di mana Al-Qur’an diturunkan secara sekali gus ke langit dunia dan pada masa yang sama ( 24 Ramadhan ) wahyu pertama diturunkan, iaitu firman Allah SWT :



اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ [6]
Imam al-Tabari juga ada menyebut satu riwayat dengan sanadnya menerusi Sa’id Bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a katanya: Al-Qur’an diturunkan sekali gus dari Lauh Mahfuz pada malam 24 Ramadhan, kemudiannya ia ditempatkan di Bait al-‘Izzah.[7]

Imam al-Qurtubi pula menyebut hadith Wathilah Bin Al-Asqa’ di atas dan menyatakan bahawa hadith tersebut merupakan dalil atau hujah yang terhadap pendapat Hasan al-Basri yang menegaskan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.[8]

Al-Hafiz Ibn Kathir juga ada membawa hadith Wathilah ini dalam mentafsirkan maksud ayat 185, Surah al-Baqarah, kemudian beliau menyatakan bahawa Ibn Mardawaih juga ada meriwayatkan hadith daripada Jabir Bin ‘Abdullah r.a seumpama hadith Wathilah dengan sedikit perbezaan pada matan hadith berkenaan.[9] Beliau juga ada menyebut hadith ini dalam al-Bidayah wa al-Nihayah dan menyatakan bahawa berdasarkan hadith Wathilah ini, sebahagian ulama’ dari kalangan para sahabat dan tabi’in berpendapat bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.[10]

Turut menyebut hadith Wathilah ,Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di mana beliau mengambil hadith ini bagi menjelaskan nuzul Al-Qur’an berlaku pada tanggal 24 bulan Ramadhan.[11]

Kesimpulan yang dapat dibuat setelah meneliti pendapat-pendapat yang dikemukakan di atas berhubung hari nuzul Al-Qur’an seperti berikut :

1- Pendapat yang menyebut nuzul Al-Qur’an jatuh pada 17 Ramadhan bersandarkan riwayat al-Waqidi. Menurut ulama’ al-Jarh wa al-Ta’dil, al-Waqidi ( m. 207 H ), nama penuh beliau: Muhammad Bin Umar Bin Waqid al-Aslami seorang perawi yang lemah ( matruk ) dan tidak diterima riwayatnya[12]. Pendapat ini juga ditolak oleh Syaikh al-Zurqani kerana ia bercanggah dengan pendapat yang masyhur lagi sahih.[13]

2- Pendapat Syaikh Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri yang menyatakan nuzul Al-Qur’an jatuh pada tanggal 21 Ramadhan merupakan cetusan ijtihad beliau semata-mata berdasarkan penelitian beliau terhadap hadith Abu Qatadah dan perkiraan taqwim yang dipegangi beliau. Malam al-Qadr boleh berlaku pada malam-malam genap dan juga boleh berlaku pada malam-malam ganjil di sepuluh hari terakhir Ramadhan.

3- Pendapat yang menyebut bahawa nuzul Al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan adalah kuat dan rajih. Ini berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:

I- Pendapat ini bersandarkan hadith marfu’ yang sahih dan diperakui oleh tokoh-tokoh dalam bidang hadith. Sebagaimana yang termaklum, apa jua permasalahan dalam Agama Islam perlu dirujuk kepada nas Al-Qur’an dan hadith. Dalam hal ini, hadith Wathilah Bin al-Asqa’ adalah rujukan utama dalam menentukan bilakah berlakunya nuzul Al-Qur’an.

II- Matan hadith dengan jelas menyebut bahawa al-Qur’an diturunkan pada 24 Ramadhan.

III- Maksud atau mafhum hadith diterima pakai oleh ulama’ muktabar dari kalangan ahli hadith dan para mufassirin dan dijadikan hujah bagi menetapkan tanggal 24 Ramadhan sebagai tarikh tepat bagi nuzul Al-Qur’an. Rujuk kata-kata al-Hafiz Ibn Hajar, Imam al-Qurtubi dan al-Hafiz Ibn Kathir.

Oleh:

Dr. Ahmad Najib Abdullah – Pensyarah UM, Nilam Puri.

anis_alqari@yahoo.com

--------------------------------------------------------------------------------

[1] Lihat: al-Mubarakfuri, Syaikh Safiyy al-Rahman, al-Rahiq al-Makhtum, Beirut : al-Maktabah al-Thaqafiyyah, h77.

[2] Al-Dimisyqi, Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Beirut : Dar al-Fikr, 3/6.

[3] Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah,1/239-240.

[4] Lihat: al-Rahiq al-Makhtum, h.77

[5] Imam Ahmad,al-Musnad , Beirut : al-Maktab al-Islami 4/107, al-Baihaqi , al-Sunan al-Kubra 9/188, al-Tabarani, al-Mu’jam al-Kabir, No 185. Al-Tabari, Ibn Jarir, Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Qur’an, ( Tahqiq: Ahmad Shakir ),al-Qahirah: Dar al-Ma’arif, 3/446, Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No 1575. Lihat : Yasin, Dr. Hikmat Bashir,( 1994 ), Marwiyyat al-Imam Ahmad Bin Hanbal Fi al-Tafsir, Riyadh: Maktabah al-Muayyad, 1/128.

[6] Al-‘Asqalani, Ibn Hajar,( 1988 ), Fath al-Bari, al-Qahirah: Dar al-Rayyan li al-Turath 8/621.

[7] Al-Tabari, Jami’ al-Bayan 3/445.

[8] Al-Qurtubi, Muhammad Bin Ahmad al-Ansari, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, Beirut: Muassasah Manahil al-‘Irfan 2/198

[9] Al-Dimisyqi, Ibn Kathir, ( 2004 ),Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Riyadh: Dar ‘Alam al-Kutub, 2/180, lihat juga: 14/411

[10] Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/6

[11] Al-Albani, Muhammad Nasiruddin,( 1421 H ), Sahih al-Sirah al-Nabawiyyah, Amman : al-Maktabah al-Islamiyyah, h.90

[12] Al-Baghdadi, al-Khatib, Tarikh Baghdad, 3/31, al-Zahabi, Muhammad Bin Ahmad Bin Uthman, ( 1992 ), Siyar A’lam al-Nubala’,Beirut : Muassasah al-Risalah, 9/454, 469, Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Ta’dil, 8/20

[13] Lihat: Manahil al-‘Irfan, 1/52

Friday, August 5, 2011

Doa untuk orang Sakit






CARA seorang Muslim melawat saudaranya yang sakit berbeza dengan cara yang dilakukan oleh bukan Islam kerana disertakan dengan jampi dan doa. Maka di antara sunnahnya ialah kita hendaklah mendoakan si sakit dan menjampinya (membaca bacaan tertentu) yang ada diriwayatkan oleh Rasulullah SAW.

Contohnya: Imam al-Bukhari menulis “Bab Du’a al-’Aa’id lil Maridh” (Bab Doa Menziarahi Orang Sakit) dan menyebutkan hadis Aisyah bahawa Rasulullah SAW apabila menziarahi orang sakit atau orang yang menderita sakit itu didatangkan kepada baginda SAW, Baginda mengucapkan (doa yang bermaksud): “Hilangkan penyakit ini, wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah, Engkau adalah Maha Penyembuh. Tidak ada kesembuhan selain kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.” (Riwayat al-Bukhari dalam Fathul-Bari No.5675).

Dan Nabi SAW juga pernah menjenguk Sa’ad bin Abi Waqash kemudiannya Baginda SAW mendoakannya (yang bermaksud): “Ya Allah sembuhkanlah Sa’ad dan sempurnakanlah hijrahnya.” (Riwayat al-Bukhari dalam fathul-Bari No.5659).

Ada sesetengah orang mengemukakan pandangan tidak perlu didoakan kesembuhan kerana mereka beralasan bahawa sakit dapat menghapuskan dosa dan mendatangkan pahala seperti disebutkan dalam beberapa hadis. Bagi kemusykilan itu, al-Hafiz Ibnu Hajar memberikan jawapan demikian, “Sesungguhnya doa itu adalah ibadat dan tidaklah menafikan antara pahala dan kafarat (penghapus dosa).

Sebab keduanya diperoleh pada permulaan sakit dan dengan sikap sabar terhadapnya. Adapun orang yang mendoakan, akan mendapat dua macam kebaikan, iaitu mungkin memperoleh apa yang dimaksudkan atau diganti dengan mendapatkan manfaat lain atau ditolaknya suatu bahaya yang mana semuanya itu adalah kurniaan Allah SWT.”

Memanglah seorang Muslim itu hendaklah bersabar ketika menderita sakit atau ditimpa musibah, tetapi hendaklah juga ia meminta keselamatan kepada Allah SWT seperti hadis sabda Baginda SAW: “Janganlah kamu mengharapkan bertemu musuh dan mintalah keselamatan kepada Allah SWT. Tetapi apabila kamu bertemu musuh, maka bersabarlah dan ketahuilah bahawasanya syurga itu di bawah bayang-bayang pedang.” (Hadis Muttafaqun ‘alaih daripada Abdullah bin Abi Aufa).

Dalam hadis Ibnu Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda: “Perbanyakkan berdoa memohon ‘afiat (keselamatan).” (Riwayat al-Tabrani dan adh-Dhiya’).

Salah satu doa Nabi SAW (yang bermaksud): “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu penjagaan daripada yang terlarang dan keselamatan dalam urusan dunia dan agamaku, keluarga dan hartaku.” (Hadis riwayat al-Bazzar daripada Ibn Abbas).

Di antara doa lain yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amir, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang menjenguk orang sakit, maka hendaklah ia mendoakannya dengan mengucapkan, “Ya Allah, sembuhkanlah hamba-Mu, agar dia dapat membunuh musuhmu atau berjalan kepada-Mu untuk melakukan solat.” Maksud musuh di sini mungkin orang-orang kafir yang memerangi umat Islam atau Iblis dan tenteranya.

Selain itu ada lagi hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas berhubung sabda nabi SAW: “Barang siapa yang menjenguk orang sakit yang belum tiba ajalnya, lalu ia mengucapkan doa ini di sisinya sebanyak tujuh kali (yang bermaksud “Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan bagi ‘arasy yang agung, semoga Ia berkenan untuk menyembuhkanmu”) nescaya Allah SWT akan menyembuhkannya daripada penyakit itu. (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi). Doa-doa ini saudara boleh dapatkan dalam buku-buku doa keluaran Telaga Biru Sdn.Bhd.

Di antara sunnahnya lagi iaitu kita harus memberi harapan sembuh kepada pesakit seperti ucapan yang sering diucapkan oleh Baginda SAW iaitu “La Ba’sa Tohurun, Insya-Allah” (maksudnya: tidak apa-apa, bersih (sembuh), Insya-Allah). Maksud tidak apa-apa itu ialah jangan bimbang kerana penyakit yang dihidap akan sembuh.

Ucapan ini menimbulkan keyakinan, sekali gus menjadi doa semoga hilang penyakit dan penderitaannya serta kembali sihat di samping dapat menghapuskan dosa-dosanya.

Imam al-Tirmizi dan Ibn Majah meriwayatkan hadis daripada Abu Sa’is al-Khudri secara marfu’ (maksudnya): “Apabila kamu menjenguk orang sakit, maka hendaklah kamu beri harapan akan panjang umur. Kerana yang demikian itu, meskipun tidak dapat menolak takdir sedikit pun, tetapi dapat menyenangkan hatinya.” (Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi).

Sementara itu, bagi pesakit yang tiada harapan untuk sembuh, mengikut Sunnatullah- maka hendakah si pelawat itu memohon kepada Allah SWT agar Dia memberikan kasih sayang dan tunjukkanlah sikap yang lemah lembut kepadanya dan meringankan penderitaannya.