Wednesday, November 12, 2008

Sambutan hebat untuk Shah Rukh Khan

Oleh Amirullah Andi Nur
arullah@bharian.com.my


PELBAGAI persiapan dilakukan kerajaan negeri Melaka bagi menyambut kedatangan Shah Rukh Khan dan rombongannya.

Bintang Bollywood hadir bersama rombongan besar untuk menerima anugerah keempat tertinggi kerajaan negeri Melaka

MELAKA, yang kini bergelar Bandaraya Warisan Dunia sudah bersedia untuk menyambut kunjungan bintang terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan @ Shahrukh Khan sempena majlis penganugerahan darjah kebesaran negeri yang membawa gelaran Datuk kepada beliau pada 29 November ini.

Kerajaan negeri sejak beberapa minggu lalu sudah melakukan pelbagai persiapan dan minggu ini, sebahagian besar daripada acara yang akan diadakan sepanjang dua hari tetamu istimewa itu berada di negeri kelahiran Hang Tuah itu, sudah pun dimuktamadkan.



Majlis penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) iaitu anugerah keempat tertinggi kerajaan Melaka itu dijadual diadakan di kira-kira jam 10.30 pagi di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, 21 kilometer dari pusat Bandaraya Melaka Bersejarah dan bakal disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Sepanjang dua hari berada di Melaka, Shah Rukh Khan bakal mempunyai atur cara padat. Mengikut risikan penulis, satu daripadanya adalah sesi bertemu peminat di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jalan Ayer Keroh pada jam 6 petang.

Pelakon ini dijangka tiba di negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi 29 November. Beliau kemudian akan dibawa terus ke Melaka dengan menaiki sebuah kereta khas yang memakan masa perjalanan kira-kira sejam.


Shah Rukh Khan
Sebagaimana lazimnya, kedatangan bintang Bollywood ini disertai rombongan besar dan difahamkan ia membabitkan dua bas besar. Selain pengawal peribadi dan tenaga kerja syarikat produksi miliknya, Dreamz Unlimited, beliau bakal disertai krew stesen televisyen India iaitu Zee TV.

Sebaik tiba di Melaka, beliau akan berehat di sebuah hotel atau resort dan membuat persiapan ke majlis penganugerahan itu. Setakat ini, kerajaan Melaka belum memutuskan hotel atau resort yang bakal menjadi penginapan bintang Bollywood itu.

Seperti diumumkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam satu majlis di Kuala Lumpur lebih dua minggu lalu, penganugerahan Datuk ini akan turut disiarkan secara langsung oleh Zee TV yang berpengkalan di Mumbai, India.

Selepas majlis itu selesai, Shah Rukh Khan dijadual mengadakan sidang media bersama Mohd Ali. Pengumuman Shah Rukh Khan menerima anugerah kebesaran dari kerajaan Negeri Melaka itu khabarnya ia mendapat liputan luas media India sebelum ini.

Selain Zee TV dan wakil media di Melaka, difahamkan lebih 50 wakil media antarabangsa dan tempatan berpusat di Kuala Lumpur serta Singapura dijangka hadir bagi mengikuti majlis penganugerahan itu.

Dalam pada itu, seperti laporan sebelum ini, Shah Rukh Khan dijadual mengadakan sesi lawatan dan rakaman televisyen di beberapa lokasi menarik dan bersejarah di Melaka seperti Kota A'Famosa, Bangunan Stadhuys, Jonker Walk dan Dataran Pahlawan selepas makan tengahari.

Selepas itu, beliau akan singgah di Dataran MBMB bertemu peminat termasuk menandatangani autograf. Pada sebelah malam, beliau akan berkunjung ke beberapa lagi lokasi pelancongan seperti Eye On Melaka, Menara Taming Sari dan Eye On Malaysia selain menyusuri Sungai Melaka dengan bot.

Difahamkan, mulai minggu ini, pengurusan Menara Taming Sari di Bandar Hlir juga sudah memulakan satu peraduan dengan hadiah utamanya adalah sesi menaiki menara berputar tertinggi di Asia Tenggara itu dengan bintang Bollywood berkenaan.

Ada beberapa pihak sudah berura-ura mengadakan peraduan khas bagi membolekan peminat bertuah menikmati makan malam atau bersarapan dengan Shah Rukh Khan, sebagai hadiah utama. Shah Rukh Khan dijadual berlepas balik ke KLIA pada sebelah tengahari dan acara selingan juga kini sedang dalam proses dimuktamadkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Shah Rukh Khan dikatakan sepatutnya sudah datang menerima anugerah berkenaan pada 11 Oktober lalu, iaitu pada hari sambutan ulang tahun Mohd Khalil ke-70, bersama-sama dengan lebih 750 penerima lain.

Sumber memberitahu, pelakon itu sudah berada di Singapura sehari sebelum itu dan bersiap sedia untuk ke Melaka, tetapi membatalkan perjalanannya pada saat akhir. Beliau dikatakan sedih kerana mendapat tahu ada pihak mempertikaikan penganugerahan kerajaan Melaka itu.

"Pagi itu juga dia membatalkan perjalanannya dari Singapura ke Melaka selepas dimaklumkan mengenai pertikaian anugerah itu termasuk menerusi akhbar. Sehari selepas itu, dia terus kembali ke India dengan perasaan sedih," katanya.

Bagaimanapun, Shah Rukh Khan bersetuju untuk datang semula ke Melaka apabila usaha itu dilakukan menerusi bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin selepas mendapat permintaan daripada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, di sebalik kritikan pelbagai pihak terhadap anugerah Datuk kepada Shah Rukh Khan ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi laman blognya chedet.com, menyambut baik usaha kerajaan Melaka pimpinan Mohd Ali itu

"Kita bukan saja dapat menarik pelancong tetapi kegiatan perfileman memaksa syarikat Bollywood belanja wang yang banyak. Ramai pekerja dan orang lain di Malaysia mendapat banyak nikmat. Ada kalanya Shah Rukh mengadakan pertunjukan percuma untuk bantu badan-badan amal.

"Kerana Shah Rukh memilih Malaysia untuk membuat filemnya banyak syarikat perfileman Bollywood lain turut memilih Malaysia untuk membuat filem mereka. Saya fikir Shah Rukh layak mendapat penghormatan sebagai Dato Kehormat," katanya.

Melayu paling ramai pendapatan bawah RM1,000

Oleh WAN SYAMSUL AMLY

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Kaum Melayu merupakan kumpulan terbesar dalam senarai penduduk negara ini yang pendapatannya di bawah RM1,000 sebulan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S. K. Devamany berkata, berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu, sebanyak 301,000 isi rumah kaum Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan.

‘‘Sebanyak 495,500 isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah RM1,000 sebulan secara keseluruhannya.

‘‘Pecahan itu merangkumi 50,900 isi rumah kaum Cina, India (29,000), Kadazan (29,300), Orang Asli (7,500) dan lain-lain (78,800),” katanya semasa menjawab soalan Dr. Micheal Jeyakumar Devraj (PKR- Sungai Siput) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, bagi kumpulan berpendapatan antara RM1,001 hingga RM2,000 pula, keseluruhan bilangan isi rumah ialah 1,695,900 isi rumah dengan 976,500 daripadanya adalah Melayu, 338,300 (Cina), 125,300 (India), 38,800 (Kadazan), 9,800 (Orang Asli) dan 207,200 untuk kaum-kaum lain.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 1,144,700 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM2,001 hingga RM3,000.

‘‘Seramai 614,700 daripada mereka adalah orang Melayu, 300,800 (Cina), 121,500 (India), 15,300 (Kadazan), 2,500 (Orang Asli) manakala 89,900 isi rumah daripada kaum-kaum lain.

‘‘Bagi pendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 terdapat sebanyak 743,000 isi rumah dengan 380,500 daripadanya adalah Melayu, 234,700 (Cina), 73,300 (India), 8,900 (Kadazan), 1,000 (Orang Asli) dan 44,600 kaum lain.

Katanya, seramai 497,800 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM4,001 hingga RM5,000 pula dengan 254,700 daripadanya adalah Melayu, 166,600 (Cina), 44,800 (India), 6,900 (Kadazan), 200 (Orang Asli) dan 24,600 kaum lain.

‘‘Bagi pendapatan antara RM5,001 hingga RM10,000, ia membabitkan seramai 914,200 isi rumah.

‘‘Daripada jumlah itu, 419,200 adalah Melayu, 368,400 (Cina), 76,800 (India), 13,400 (Kadazan) dan 36,500 lain-lain kaum.

‘‘Sebanyak 235,300 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM10,001 hingga RM20,000 dengan 85,700 adalah Melayu, 118,700 (Cina), 23,400 (India), 800 (Kadazan) dan 6,700 kaum lain,” jelasnya.

Sementara itu, terdapat 49,500 isi rumah yang memperoleh pendapatan melebihi RM20,000 sebulan dengan 16,500 adalah Melayu, 27,900 (Cina), 3,600 (India) dan 1,500 dari kumpulan etnik lain.

Monday, November 10, 2008

Anak kanser

Anak kanser
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my


APA agaknya jawapan anda apabila anak kesayangan yang menghidap kanser bertanya soal kematian? Selepas melihat beberapa rakan senasib pergi dulu, bila pula gilirannya? Adakah dia berbuat salah sehingga dihukum dengan mendapat kanser?

Bagaimana anda mahu menerangkan mengenai penyakit kanser kepada kanak-kanak? Apa cara terbaik boleh anda gunakan untuk membantu menenangkan perasaan pesakit kanser kanak-kanak?

Semua soalan ini sukar dijawab kerana selagi tidak mengalaminya sendiri, kita tidak tahu kekacauan perasaan dan fikiran yang melanda pesakit kecil serta ibu bapanya.

Walaupun kanser bukan bererti mati, perkataan itu sendiri mampu membunuh semangat pesakit, sama ada kecil atau orang dewasa.

Malah, ahli keluarga sentiasa diburu kebimbangan mengenai perkembangan penyakit, keberkesanan rawatan, kesan sampingan, kos serta masa depan pesakit.

Punca sebenar kanser (tidak kira apa jenis pun) tidak diketahui. Namun, pakar perubatan percaya setiap orang ada sel tidak normal dalam kuantiti kecil.

Jumlah sel tidak normal ini bertambah dengan peningkatan usia, kehadiran faktor risiko dan luaran yang boleh merangsang aktiviti sel berkenaan yang akhirnya bertukar menjadi sel kanser.

Bagaimanapun, itu hanya teori kerana kanser juga menyerang kanak-kanak. Dianggarkan 10 peratus daripada pesakit kanser di seluruh dunia adalah kanak-kanak yang menghidap jenis kanser berbeza dengan orang dewasa.

Di negara kita, daripada 26,000 hingga 30,000 kes kanser yang dilaporkan setiap tahun, 2,600 hingga 3,000 kes membabitkan pesakit kanak-kanak dan ia meningkat 10 peratus setahun. Daripada jumlah ini, 70 peratus adalah leukemia (kanser darah).

Satu kesilapan yang sering dilakukan ibu bapa apabila anak menghidap kanser ialah cuba merahsiakannya daripada pengetahuan pesakit.

Walaupun tujuannya mahu melindungi dan menjaga perasaan anak, tindakan itu sebenarnya membuatkan pesakit lebih takut, bimbang dan tertekan.

Pesakit kecil, terutama yang bersekolah, boleh faham mengenai penyakit mereka. Jadi tiada sebab untuk ibu bapa merahsiakan keadaan atau perkembangan penyakit anak bagi memudahkan proses rawatan.

Malah, berbincang secara terbuka boleh mententeramkan perasaan pesakit kerana jika dirahsiakan, kanak-kanak mungkin menyangka keadaan mereka sangat teruk sehingga menyebabkan ibu bapa susah hati, kata Pengarah Eksekutif Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr Saunthari Somasundaram.

“Apabila seorang ahli keluarga menghidap kanser, kanak-kanak biasanya boleh mengesan ada sesuatu yang tidak kena walaupun tidak tahu perkara sebenar. Perbincangan ini tidak terhad kepada pesakit saja, bahkan anak lain juga berhak mengetahuinya.

“Kanak-kanak sebenarnya sangat sensitif. Tidak hairan jika ada kanak-kanak beranggapan mereka melakukan sesuatu yang tidak baik atau berbuat salah dan menyebabkan adik beradik menghidap penyakit sebagai balasan. Kekeliruan ini perlu dibetulkan,” katanya.

Pun begitu, bukan mudah untuk ibu bapa menerangkan penyakit kanser kepada pesakit atau anak lain. Selain perlu tahu mengenai penyakit itu, ibu bapa mesti menerangkannya dalam bahasa yang mudah difahami bersesuaian dengan umur anak.

Pada masa sama mereka perlu bersedia menjawab pelbagai soalan yang mungkin dikemukakan anak atau pesakit, terutama membabitkan rawatan, kesan sampingan, penjagaan atau isu lebih sukar iaitu mengenai kematian.

Biasanya isu ini diutarakan pesakit lebih besar, dalam lingkungan sembilan hingga 12 tahun. Bagi pesakit lebih kecil, mereka menerima kanser seperti penyakit lain. Reaksi mereka biasanya adalah disebabkan gejala penyakit atau orang di sekeliling mereka.

Mereka mungkin akan rasa bersalah kerana membuat orang sekeliling, terutama ibu bapa dan ahli keluarga, bersedih. Jika tidak dibendung, perasaan ini bukan saja menyebabkan mereka bersedih, tetapi juga dikhuatiri melemahkan semangat pesakit untuk meneruskan rawatan dan melawan kanser.

Justeru, penerbitan buku Apa Itu Kanser sangat tepat pada masanya, apatah lagi dengan peningkatan kes baru setiap tahun, sama ada di kalangan orang dewasa mahu pun kanak-kanak.

Buku ini disasarkan kepada kanak-kanak berumur antara sembilan hingga 12 tahun yang berdepan kanser secara langsung atau tidak langsung.

Untuk permulaan, ia diterbitkan dalam tiga bahasa (Inggeris, Bahasa Malaysia dan Mandarin)dan 2,000 naskhah diedarkan di semua hospital besar di seluruh negara.

Mengapa saya?

“Mengapa saya? Bagaimana saya boleh mendapat kanser?” antara soalan yang sukar dijawab. Tiada siapa tahu kenapa dan bagaimana seseorang itu mendapat kanser.

Pesakit juga perlu diberitahu, penyakit mereka tidak berjangkit dan tiada alasan untuk menjauhkan diri daripada orang lain. Ibu bapa juga perlu memberitahu anak bahawa mereka tidak perlu risau untuk berkawan, bercakap atau memeluk pesakit kanser.

Adakah saya boleh sembuh?

Kanser kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa, dan dalam kebanyakan kes peluang untuk sembuh adalah tinggi iaitu sehingga 90 peratus, termasuk kes leukemia. Yang penting ialah mendapatkan rawatan seawal mungkin sebaik penyakit dikesan.

“Memang pesakit kanak-kanak akan menderita sepanjang tempoh rawatan, tetapi mereka boleh bertahan. Mereka akan berasa letih, lemah dan mungkin muntah. Apabila ini berlaku, doktor akan memberi ubat tambahan untuk membuatkan mereka lebih baik.

“Selain pembedahan, pesakit perlu menjalani rawatan kemoterapi. Antara kesan sampingan paling ditakuti ialah keguguran rambut.

“Bagaimanapun, jangan bimbang kerana rambut baru akan tumbuh semula enam bulan selepas tamat rawatan. Rambut baru tidak sama dengan rambut asal, tetapi ia jauh lebih sihat,” katanya.

Saya sihat, mengapa masih perlu mengambil ubat?

Ini untuk memastikan semua sel kanser dibunuh dan menghalangnya menyerang semula. Semua ubat mesti dihabiskan sepanjang tempoh rawatan.

Pun begitu, risiko kanser menyerang semula sentiasa ada. Pesakit yang mendapat rawatan ketika kanser dalam peringkat pertama ada risiko pengulangan 10 peratus dan lebih tinggi jika penyakit lambat dirawat. Namun, jangan putus harapan jika ia berlaku kerana masih ada rawatan yang boleh menyelamatkan pesakit.

Jenis kanser kanak-kanak

Menurut Dr Saunthari, ada beberapa jenis kanser kanak-kanak yang lazim iaitu:

Leukemia — Kanser darah dan paling lazim berlaku pada kanak-kanak akibat kehadiran sel darah putih yang tidak normal. Ia menyebabkan pesakit mudah mengalami lebam, sakit tulang dan tidak bermaya.

Ketumbuhan otak — Antara gejala biasa ialah sakit kepala, mual pada waktu pagi, mengalami kesukaran untuk berjalan, menjadi mudah marah dan terasa tidak sihat.

Limfoma (kanser pada nodus limfa) — Nodus limpa adalah ‘kilang’ menghasilkan sel yang melindungi badan dan nodus yang ‘sakit’ perlu dibuang segera.

Neuroblastoma (kanser pada saraf) — Ia boleh berlaku pada mana-mana saraf termasuk di leher, dada dan perut.

Retinoblastoma (kanser mata) — Kanser ini biasanya berlaku pada kanak-kanak kecil. Jika terlewat mendapat rawatan, mata yang diserang kanser terpaksa dibuang dan diganti dengan mata palsu (untuk tujuan kecantikan).

Ketumbuhan otot — Ia boleh berlaku pada mana-mana otot yang menyebabkan pesakit berasa lemah dan sakit pada bahagian diserang.

Nefroblastoma (kanser buah pinggang) — Kanser boleh menyerang sebelah atau kedua-dua buah pinggang dan menyebabkan fungsinya terjejas teruk. Biasanya rawatan dimulakan dengan kemoterapi (untuk mematikan sel kanser) dan disusuli pembedahan.

Pemeriksaan dan rawatan

Buku Apa Itu Kanser terbitan bersama NCSM dan Blackmores (M) Sdn Bhd yang ditulis dengan bahasa mudah dan disertakan karikatur juga menerangkan jenis ujian yang perlu dilalui pesakit kanser. Lapan jenis ujian digunakan untuk pengesahan kanser iaitu:


Ujian darah (dilakukan setiap kali kunjungan ke hospital)


Imbasan CAT (untuk mengambil gambar bahagian dalam badan)


Imbasan Imej Magnetik Resonans (MRI, untuk mengambil gambar bahagian dalam badan)


Ultrabunyi (untuk mengetahui organ berfungsi dengan baik)


Imbasan tulang (bagi memastikan tulang tidak terjejas)


Biopsi ketumbuhan (untuk memastikan jenis kanser dihidapi)


Biopsi sumsum tulang (untuk pengesahan jenis kanser)


Ujian air tulang belakang (bagi memeriksa kehadiran sel kanser pada tulang belakang). Ramai orang percaya pesakit menjadi lebih teruk jika air tulang belakang diambil, tetapi anggapan ini tidak benar. Air tulang belakang tidak akan habis dan badan menggantikannya dengan yang baru. Pengambilan air tulang belakang tidak memburukkan penyakit.

Seperti diketahui umum, kaedah rawatan utama kanser ialah kemoterapi, radioterapi dan pembedahan. Namun dalam sesetengah keadaan (bergantung kepada jenis kanser) pesakit kanak-kanak perlu menjalani pemindahan sumsum tulang, sama ada daripada pesakit atau penderma lain (biasanya ahli keluarga).

Walaupun selamat, kemoterapi ada kesan sampingan seperti penat, mulut dan tekak menjadi kering, masalah kulit, tiada selera makan, keguguran rambut dan berasa tertekan.

Manakala radioterapi biasanya menyebabkan letih, tidak sihat, rambut gugur, terasa asyik hendak kencing, hilang selera makan, perut tidak selesa dan masalah kulit.

Sepanjang tempoh rawatan kemoterapi, daya ketahanan badan pesakit lemah dan mudah mendapat jangkitan. Pastikan pesakit tidak ada berhampiran individu yang alami jangkitan seperti selesema, flu atau demam campak.

Untuk mendapat keputusan terbaik, doktor akan mencadangkan gabungan beberapa rawatan yang disebut di atas, termasuk imunoterapi dan terapi hormon. Pemilihan ini bagaimanapun dibuat mengikut kesesuaian.

Bagi kes serius, rawatan mungkin tidak dapat menyembuhkan kanser, tetapi mampu menghilangkan kesakitan serta meningkatkan kualiti hidup.

Pemakanan

Pemakanan seimbang dan berkhasiat sangat penting untuk menguatkan tubuh pesakit kanser. Ibu bapa perlu bijak menyediakan makanan anak kerana sepanjang tempoh rawatan, mereka tiada selera makan.

Menurut Perunding dan Pelatih Kesihatan, Monitar Tan, jangan paksa pesakit kecil makan makanan pejal kerana jika menjalani kemoterapi, mulut dan tekak menjadi kering dan menyukarkan mereka untuk menelan.

“Sediakan makanan lembut. Lecek buah-buahan dan sayur-sayuran supaya ia mudah ditelan. Beri apa saja yang mereka teringin, termasuk burger atau makanan manis, kerana ini antara cara menggalakkan pesakit makan.

“Jika mereka mahu burger, sebaik-baiknya sediakan di rumah bersama pesakit jika mereka cukup kuat. Cara ini bukan saja menjadikan sesi makan itu menarik, tetapi membantu anak melupakan kesakitan.

“Tidak mengapa jika mereka makan sedikit, tetapi ia perlu kerap supaya anak mendapat khasiat secukupnya. Jika mereka tidak boleh menelan pil vitamin, jadikan ia sebagai manisan untuk diambil bersama makanan lain,” katanya.

Sokongan

Ia penting untuk membantu pesakit melawan kanser dan mempercepatkan proses penyembuhan. Sokongan ini datang dalam dua bentuk iaitu moral dan fizikal.

Pesakit biasanya lebih tenang jika bertemu rakan senasib dan ini boleh dilakukan dengan menyertai kumpulan sokongan atau mana-mana program yang diadakan khusus untuk pesakit kanser.

Sokongan fizikal secara tidak langsung juga penting seperti tidak merokok berhampiran pesakit kanser, tetapi lebih baik jika tabiat ini dapat dihentikan terus. Jika mengalami jangkitan, pastikan anda duduk jauh dari pesakit kerana anda boleh membahayakan nyawanya.

Rakan sekolah pasti ada banyak perkara yang hendak ditanya kepada pesakit. Sebagai guru, anda boleh membantu pesakit dengan mengadakan projek khas mengenai kanser untuk dibentangkan di dalam kelas.

Melalui cara ini pesakit bukan saja tidak perlu menjawab soalan sama berulang kali, tetapi dapat membantu meningkatkan kesedaran kanak-kanak mengenai kanser.

Namun, paling penting ialah sokongan ibu bapa. Mereka perlu berterus terang mengenai status kesihatan pesakit dan sentiasa memberi dorongan untuk menguatkan semangat. Banyak bukti semangat yang kuat boleh melawan kanser.

“Jangan sembunyi status kesihatan anak kerana ia menyebabkan pesakit lebih tertekan. Ibu bapa juga tidak harus mengubah tajuk perbualan apabila anak bertanya soal kematian.

“Memang ia isu sukar, tetapi ibu bapa perlu bijak memberi jawapan kerana kanak-kanak tahu bila mereka akan ‘pergi’. Namun sebelum sampai waktu itu, kita bertanggungjawab memberikan mereka kehidupan sebaik mungkin,” katanya.

Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web www.cancer.org.my untuk mendapat maklumat lanjut mengenai jenis kanser, faktor risiko, saringan dan pengesanan, pilihan rawatan, pemakanan serta pelbagai maklumat lain.