Monday, July 25, 2011

TAFSIR SURAH AL-ANFAL : AYAT 2

Wednesday, July 7, 2010
TAFSIR SURAH AL-ANFAL : AYAT 2

PENGENALAN SURAH

Surah Al-Anfaal ini diturunkan pada waktu Perang Badar al-Kubra, pada bulan Ramadhan, tahun kedua Hijrah. Ianya berlaku setelah sembilan belas bulan Rasulullah saw berhijrah iaitu berdasarkan kepada pendapat yang lebih kuat. Seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Ishak dari Ubadah ibnu Samit r.a. Ia berkata, “Surah ini diturunkan mengenai kami yang terlibat dalam Perang Badar ketika kami berselisih mengenai harta rampasan perang, dan akhlak kami sangat buruk ketika itu. Lalu, Allah swt melepaskannya dari tangan kami, dan menyerahkan kepada Rasulullah saw untuk membahaginya. Kemudian beliau membahaginya secara sama.”

Syed Qutb dalam Tafsirnya Fi Zhilalil Quran menyatakan bahawa Allah swt telah memberikan tarbiah Rabbaniah kepada para sahabat ketika itu dengan perkataan dan perbuatan, dengan dilepaskanNya seluruh harta rampasan dari tangan mereka dan dikembalikanNya kepada Rasulullah saw. Selanjutnya, Dia menurunkan hukum mengenai pembahagian harta rampasan ini secara keseluruhan. Pengajaran yang diperolehi daripada kesah ini menjelaskan bahawasanya harta rampasan ini bukan hak mereka yang patut diperselisihkan. Akan tetapi ianya merupakan kurniaan dari Allah swt kepada mereka, yang dibahagikan sama rata oleh Rasulullah saw sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada baginda. Hal ini selain dari pengajaran secara praktikal sekaligus juga merupakan pengajaran jangka panjang yang dimuatkan dalam ayat-ayat awal Surah ini, dan seterusnya berlanjutan dengan ayat-ayat berikutnya.


TAFSIR AYAT 2 SURAH AL-ANFAL
Setelah menerangkan persoalan mengenai pembahagian harta rampasan perang serta arahan bertakwa dan ketaatan kepada Allah dan Rasulnya di ayat pertama, ayat kedua Surah ini dilanjutkan dengan menetapkan karakteristik iman yang “sebenarnya” sebagaimana yang dikehendaki oleh Rabb bagi agama Islam ini.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlan iman mereka(kerananya). Kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. (Surah Al-anfal – ayat 2)
Menurut Syed Qutb dalan Fi Zhilalil Quran, ayat ini memaparkan getaran perasaan yang menyentuh kalbu orang mukmin ketika disebut nama Allah swt dalam sesuatu perintah atau larangan. Ia merasa tertutup oleh keagungan-Nya, meluap rasa takutnya kepada-Nya, dan terbayang olehnya keagungan Allah dan kehebatan-Nya. Disamping itu, terbayang pula kekurangan .dirinya dan dosa-dosanya, lantas mendorong untuk melakukan amal dan ketaatan
Ungkapan dalam ayat ini merupakan ungkapan yang membatasi serta halus dan lembut petunjuknya, bahawa orang-orang yang sedemikian sifat-sifatnya, amalannya, dan perasaannya adalah orang-orang mukmin iaitu orang-orang yang beriman. Orang-orang yang bukan sedemikian sifat-sifatnya secara keseluruhan maka bukanlah mereka dari kalangan orang mukmin. Taukid penegasan pada akhir ayat, “Mereka itulah orang-orang mukmin yang sebenarnya”, merupakan penegasan terhadap hakikat ini. Ini bermakna bagi orang-orang yang bukan mukmin yang sebenarnya, maka mereka sama sekali bukan orang mukmin.
Sehubungan itu, para ulama salaf mengetahui dari ayat-ayat ini bahawa orang yang pada dirinya tidak terdapat sifat-sifat dan amalan-amalan seperti yang disebutkan ini, bererti tidak terdapat keimanan didalam hatinya dan dia sama sekali bukan orang yang beriman.

“…..Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Nya, maka bertambahlah iman mereka ….”

Hati yang beriman itu dapat menemukan didalam Al-Quran sesuatu yang boleh menambahkan keimanan dan membawa kepada ketenteraman. Sesungguhnya Al-Quran dapat berinteraksi dengan hati manusia tanpa pertantaraan sesiapa pun, dan tidak dapat dihalangi oleh sesuatu pun kecuali kekufuran. Apabila penghalang iman ini tidak ada, maka hati akan merasakan manisnya Al_Quran. Kesan-kesan yang berulang-ulang akan menambah keimanan yang membawa hati kepada ketenangan dan kemantapan.
Menurut HAMKA dalam tafsir Al-Azhar, “ Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, apabila disebut nama Allah maka gementarlah hatinya “ , ayat ini dipangkali dengan kata nama innama. Huruf ini dalam kuasa ertinya dalam bahasa arab sebagai alat pembatas iaitu bermaksud tidak lain, cuma atau hanyalah. Maka kalau ada orang mengakui dirinya beriman, menurut ayat ini belumlah diterima iman itu dan belumlah dikira ikhlas sekiranya hatinya belum bergetar mendengar nama Allah disebut orang. Apabila nama itu disebut, terbayanglah dalam fikiran orang yang beriman itu betapa Maha Besar kekuasaan Allah, mengadakan, menghidupkan, mematikan, dan melenyapkan. Ingatan kepada Allah itu bukan semata-mata kerana disebut, tetapi kerana melihat tanda-tanda kekuasaanNya. Maka berasa takutlah ia jika usianya akan berakhir padahal ia masih belum melaksanakan apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah.
“ Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah bagi mereka keimanan”.
Sedangkan mendengar nama Allah disebut orang, hati jantung mereka sudah terketar kerana takut, betapa lagi jika ayat-ayat Allah itu dibaca orang, maka lebih-lebih lagi ayat itu menambah iman mereka kepada Allah. Ayat-ayat Allah ini dapat dibaca dalam kitab Al- Quran dan dapat dibaca pada alam yang ada di sekeliling kita. Ia dapat dibaca pada segala sudut alam ini dengan alat dan ilmu pengetahuan. Kesemua itu menunjukkan bahawa Allah itu Esa adanya.
Apabila kita menghubungkan ayat nombor 2 ini dengan dengan dua ayat yang penghabisan surah ini, jelaslah bahawa tujuan keduanya adalah satu. Dalam dua ayat penghabisan surah ini menyuruh kita supaya mengingati Allah dengan tenang dan rasa takut, khusyu’ dan tadharru’ dan tidak perlu dengan suara yang keras. Maka ayat yang kedua surah ini adalah kesan dari latihan yang diamalkan oleh orang yang beriman seperti mana dalam ayat kedua terakhir. Apabila telah dilatih berkali-kali dengan menyebut nama Allah dengan lidah dan hati , maka apabila ia disebut oleh orang lain maka kesannya akan terasa di dalam hati seperti mana ia menyebutnya dengan lidahnya.
Di dalam Tafsir Ibn Kathir beliau memetik menurut Ali Ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas sehubungan dengan makna firman “ Sesungguhnya orang-orang beriman apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka” bahawa orang-orang munafik itu tiada sesuatu pun dari sebutan nama Allah yang dapat mempengaruhi hati mereka untuk mendorong mareka mengerjakan hal-hal yang difardhukanNya. Mereka sama sekali tidak beriman kepada satu pun ayat-ayat Allah, tidak bertawakal, tidak solat apabila bersendirian, dan tidak menunaikan zakat harta bendanya. Maka allah menyebut bahawa mereka bukan orang-orang yang beriman, kemudian Allah menyebutkan sifat orang-orang mukmin melalui firmaNya “sesungguhnya orang-orang yang beriman apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka” kerana itu, maka mereka mengerjakan hal-hal yang difardhukanNya.
“ ...dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya , bertambahlah iman mereka (kerananya)…”
Menurut Ibnu Kathi,r ayat ini bermaksud kepercayaan mereka makin bertambah tebal dan mendalam. Keadaan ini sama dengan firmanNya, “Dan apabila dirunkan suatu surah maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata, Siapakah di antara kalian yang bertambah imannya(turunnya) surah ini? Adapun orang-orang yang beriman, maka surah ini menambah imannya sedang mereka merasa gembira” (At-Taubah : 124)
Imam Bukhari dan lain-lainya dari kalangan para imam mengambil kesimpulan dalil dari ayat di atas dan ayat-ayat lain yang semakna bahawa iman itu dapat bertambah dan dapat berkurangan, serta iman itu dalam hati mempuyai grafik naik turunya.
Menurut Syed Qutb Sebagaimana kesan-kesan Al-Quran di dalam hati yang beriman dapat menambah keimanan, maka hati yang beriman inilah yang mengetahui adanya kesan-kesan yang dapat menambah keimanan itu. Oleh kerana itu, penetapan hakikat ini disebutkan secara berulang-ulang di dalam Al-Quran, sepert di dalam firman Allah swt, “Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang mukmin.” Salah seorang sahabat pernah berkata, “ Kami telah diberi iman sebelum diberi Al-Quran.”
Dengan iman ini, mereka mendapati rasa khusus terhadap Al-Quran. Perasaan yang didukung oleh suasana kejiwaan mereka, yang hidup dengan Al-Quran dan mengaplikasi didalam kehidupan nyata. Mereka senantiasa merasakan dan memahaminya.
“ … Kepada Tuhanlah mereka bertawakal.”
HAMKA menjelaskan bertawakal ertinya berserah diri. Imam as-Syafie, Iman Ahmad dan Imam Abu ‘Ubaid mengertikan bertawakal kepada Allah itu ialah jalan tidak berharap kepada yang lain , dan tidak berserah diri atau menyerahkan segala untung nasib dan pekerjaan kepada yang lain. Tawakkal di sini tentu sekali tidak bermaksud mengabaikan ikhtiar. Kerana apabila sudah takut mendengar namanya disebut maka sudah tentu dibuktikan rasa takut itu dengan kepatuhan melaksanakan apa yang diperintah dan menjauhkan apa yang di larang. Jika sudah percaya kepada Allah maka lebih lagi mempercayai bahawa segala perintah yang diturunkan Allah kepada kita, mustahil akan membawa kecelakaan kepada kita.
Mujahid mengatakan bahawa orang yang tergetar hatinya kerana takut apabila nama Allah disebut orang bahawa itulah dia sifat mukmin yang sempurna iman. Takut kalau-kalau terlambat atau terlalai, takut kalau-kalau yang dikerjakan itu tidak sepenuh menurut apa yang diaturkan oleh Allah.
Telah berkata Sufyan As Sauri : “ Aku mendengar as-Suddi mentafsirkan ayat ini maksudnya ialah ada seorang yang bermaksud hendak melakukan maksiat, tiba-tiba sedang ia sedang mengerjakannya, datang orang berkata : Takwalah engkau kepada Allah, kawan!, lalu gementarlah hatinya mendengar teguran itu dan segera kembali ke atas jalan yang benar (membatalkan perbuatan aniaya atau maksiatnya)”. Pengertian lafaz al-wajal fil qalbi atau hati yang gementar, perumpamaanya sama dengan rasa sakit akibat bisul, tidakkah engkau merasakan denutan sakitnya? Dikatakan “Ya” Maka Ummu Darda berkata, “ Apabila engkau merasakan hal tersebut maka berdoalah kepada Allah saat itu juga, kerana sesungguhnya doa dapat melenyapkan hal itu.”
Ibnu Kathir mentafsirkan tentang tawakkal kepada Allah iaitu, tidak mengharap yang lain, tujuannya hanyalah kepada Allah, berlindung hanya kepada Nya, tidak meminta dan memohon sesuatu kecuali hanya kepadaNya dan sedar bahawa yang dikehendakiNya pasti akan terjadi , Dia yang mengatur sesuatu dengan sendirinya tanpa bekerjasama dengan yang lain dan amat cepat perhitunganNya.
Ayat ini mempunyai erti yang sama dengan firman Allah “ Dan(juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah?Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedangkan mereka mengetahui” (Ali Imran : 135)
Ia juga membawa maksud yang sama dengan firman Allah “Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya” (An-Naziat : 40-41)
HAMKA pula memberikan makna tawakal itu adalah satu kekuatan dalam jiwa kerana kita sedar bahawa kita mempunyai sandaran dan pergantungan yang kuat iaitu kepada Allah swt.
Syed Qutb dalam kitab tafsirnya membincang dengan agak panjang lebar mengenai ayat ini. Tawakal kepada Allah Yang Maha Esa ini tidak menghalangi manusia untuk melakukan usaha (asbab). Orang yang beriman menjadikan sebab ini sebagai bab iman kepada Allah dalam mentaati perintah-Nya untuk melakukan usaha itu. Akan tetapi, ia menjadikan sebab itu sebagai sesuatu yang menimbulkan hasil lantas ia bertawakal kepadanya. Yang menimbulkan hasil sebagaimana yang menimbulkan sebab adalah ketentuan Allah. Tidak ada hubungan antara sebab dan hasil di dalam perasaan orang mukmin.
Mengambil sebab dalam melakukan usaha merupakan suatu ibadah kerana itu adalah ketaatan. Sedangkan, realiti keberhasilan merupakan qadar dari Allah yang bebas dari sebab manapun. Tidak ada yang bekuasa menjadikan keberhasilan ini kecuali Allah. Dengan demikian, perasaaan orang yang beriman itu bebas dari menyembah sebab-sebab dan dari bergantung kepada-Nya. Pada waktu yang sama ia melakukan usaha-usaha sesuai dengan kemampuannya untuk mendapatkan pahala dari Allah sebagai perlaksanaan ketaatan.
Apabila hati telah bebas dari tekanan sebab-sebab lahiriah, maka di sana tidak ada tempat untuk bertawakal kepada selain Allah. Qadar Allah itulah yang menjadikan setiap peristiwa. Hanya ini sajalah satu-satunya hakikat yang meyakinkan. Sedangkan, sebab-sebab lahiriah hanya menimbulkan kemungkinan-kemungkinan yang bersifat zhanniyah dugaan belaka. Inilah peralihan besar yang dipindahkan oleh akidah islami terhadap hati manusia dan pemikirannya. Yakni, peralihan yang telah dijalani oleh kejahilan dengan tanpa petunjuk selama tiga abad untuk mencapai tingkatan utama dalam bidang pemikiran
PENUTUP

Rujukan
1. Al-Imam Abul Fida Ismail Ibnu Kathir Ad-Damsyiqi, Tafsir Ibnu Katir,Juz 9, Sinar Baru al-gensido Bandung, Indonesia, 2004.
2.Dr. Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (HAMKA), Tafsir Al-Azhar, Pustaka Nasional PTE LTD Singapura, 1990.
3.Asy-Syahid Syed Qutb , Tafsir Fizilalil Quran, jilid 3 ms 408.

Posted by IKHWAN 'Persaudaraan Islam' at 9:42 PM

No comments: