Wednesday, May 25, 2011

Dr Chua: 300 Terbaik Patut Diberi Biasiswa Luar Negara

Oleh NG CHENG YEE & MANJIT KAUR
Selasa Mei 24, 2011


KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menegaskan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sepatutnya menganugerahkan biasiswa ke luar negara kepada 300 pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa perlu melalui proses temuduga sepertimana yang diamalkan sekarang.

Ia, katanya, haruslah berasaskan merit.

Menurut beliau lagi, keempat-empat menteri yang mewakili MCA dalam kabinet akan mengenegahkan perkara ini dalam mesyuarat mingguan Jemaah Menteri, Rabu.

Buat masa ini, katanya, sesetengah daripada pelajar terbaik SPM hanya diberikan biasiswa untuk belajar di dalam negara.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Presiden MCA di sini, Selasa, Dr Chua menegaskan, apa yang menjadi amalan pada masa ini ialah, 20% daripada biasiswa JPA diberikan kepada pelajar terbaik berasaskan merit, tetapi mereka terpaksa terlebih dahulu melalui proses saringan temuduga. Dr Chua berkata, beliau dan beberapa pemimpin MCA yang lain telahpun mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah JPA, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, Selasa bagi membincangkan isu tersebut. Kata Dr Chua, hasil daripada pertemuan itu, JPA telah memberi perakuan bahawa mereka akan melihat semula isu yang melibatkan 66 pelajar cemerlangan yang ditawarkan kursus bukan pilihan mereka.

Dr Chua juga menambah, JPA menyatakan bahawa mereka akan turut melihat kepada isu yang melibatkan 102 pelajar cemerlang yang memohon untuk menyertai program pra-ijazah tetapi sebaliknya ditawarkan program diploma.

Malah katanya, dua pelajar kurang upaya cemerlang yang gagal memperolehi biasiswa kini akan menerimanya.

Dalam pada itu, Dr Chua memberitahu, tahun ini daripada 4,000 penerima biasiswa JPA, 1,552 telah diberikan kepada pelajar keturunan Cina. Daripada jumlah 1,552 itu, 466 pelajar telah menerima tawaran biasiswa untuk menyambung pengajian mereka ke luar negara.

Sementara itu di Ipoh, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong sekali lagi mengingatkan bahawa MCA memperjuangkan nasib para pelajar cemerlang berasaskan merit dan bukannya kaum.

”Oleh itu, tolong jangan mencampur adukkan isu ini dengan sentimen perkauman. Jika anda hendak tahu, yang menduduki senarai teratas pelajar yang MCA perjuangkan ialah seorang berketurunan India dan bukannya Cina. Jadi MCA membawa isu ini kepada JPA berasaskan merit dan bukannya perkauman,” ujar beliau.

No comments: