Monday, October 20, 2008

Serangan emosi atau makhluk halus

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
bhnews@bharian.com.my


Kejadian histeria berulang kali di SMK Tanjung Lumpur masih misteri


KEJADIAN menimpa 35 daripada 800 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang yang terpaksa berhadapan dengan serangan histeria berulang kali sejak kes pertama dikesan Mei lalu terus menjadi misteri.

Pelbagai tekaan, rumusan dan kupasan dibuat berikutan kejadian dianggap akibat gangguan makhluk halus tetapi satu pun belum dapat menyelesaikan masalah itu, malah pengurusan sekolah tidak mampu berbuat apa-apa apabila serangan histeria berlaku terlalu pantas sehingga sukar mengawal keadaan.

Tanggungjawab dan sikap prihatin Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), masyarakat setempat dan kariah masjid sedikit sebanyak membantu pentadbir sekolah mencari jalan penyelesaian.

Susulan itu, mesyuarat khas diadakan pada 28 Julai lalu antara Jabatan Pelajaran Pahang, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR), PIBG, polis dan penduduk setempat bagi mencari jalan penyelesaian.

Selepas hampir tiga bulan, kes histeria berjaya diatasi pada 31 Julai lalu apabila beberapa pengamal perubatan tradisional melakukan ikhtiar termasuk kaedah `pembersihan' bertujuan memindahkan `makhluk halus' yang didakwa mengganggu pelajar berkenaan ke tempat lain yang tidak diketahui umum.

Bagaimanapun, kejadian itu terhenti hanya seketika dan kembali menyerang pelajar sama pada awal Ogos dan berselang seli sehingga rencana ini ditulis.

Kejadian histeria yang didakwa bermula dari tandas sekolah menarik perhatian banyak pihak kerana pelajar dan guru yang didakwa dirasuk dan diganggu makhluk halus akan mengalami sakit sendi hingga menyebabkan mereka terpaksa berjalan bongkok seperti nenek tua yang sudah uzur.

Bagaimanapun, laporan hospital sebelum ini secara jelas mengesahkan semua mangsa tidak mempunyai masalah kesihatan dan berada dalam keadaan normal.

Kejadian histeria di sekolah itu mula menyerang seorang pelajar perempuan pada 13 Mei lalu, sebelum berlarutan kepada 35 pelajar lain secara berulang-ulang dan kebanyakan mangsa adalah pelajar perempuan.

Lebih memburukkan keadaan, pelajar perempuan yang diserang histeria itu mengalami sakit sendi hingga berjalan bongkok seperti orang tua uzur dan kejadian itu dipercayai turut dialami segelintir guru wanita sekolah berkenaan.

Ada pelajar yang meronta dan berjalan terhuyung-hayang ke belakang bangunan sekolah sebelum jatuh, menjerit seperti dirasuk dan apabila sedar, pelajar akan mengadu sakit di bahu kanan.

Ada tanda lebam seperti kesan gigitan pada bahu mereka berdasarkan pemeriksaan dilakukan selepas pelajar berjaya dipulihkan.

Dalam kejadian awal Ogos pula, pelajar yang dirasuk dan diserang histeria berkelakuan lebih agresif dengan cuba memanjat pagar sekolah serta bertutur dengan nada keras dan sukar dikawal.

Beberapa pelajar perempuan cuba melarikan diri dari sekolah dan menunjukkan aksi meronta dan melawan guru yang cuba menghalang mereka keluar dari perkarangan sekolah.

Lebih menyeramkan, pelajar meracau seorang diri di belakang bangunan, bersuara keras dan memandang tajam ke arah guru serta pengawal keselamatan sebelum terhuyung-hayang dan pengsan.

Menurut beberapa mangsa yang ditemui, ingatan mereka samar-samar ketika diserang histeria tetapi mendakwa ada seorang nenek tua yang datang menghampiri mereka dan berbisik sesuatu.

Aziz Basri, 56, bapa kepada seorang pelajar yang kerap diserang histeria berkata, kejadian misteri itu dikhuatiri mendatangkan risiko terhadap kesihatan pelajar selain mengganggu pembelajaran kerana mereka terpaksa mengambil cuti akibat kejadian itu.

Beliau berkata, kes itu dipercayai berlaku pada hujung Mei lalu dan turut menimpa anak perempuannya.

"Kejadian itu berulang dan setiap kali menimpa anak saya yang berusia 14 tahun, dia akan murung dan kami risau ia menjejaskan pelajarannya," katanya.

INFO

Histeria Tanjung Lumpur

Kejadian bermula di tandas awal Mei 2008

Membabitkan 35 pelajar SMK Tanjung Lumpur

Sering berlaku pada waktu rehat

Antara tiga hingga lima pelajar setiap kali serangan dan mereka adalah mangsa yang sama

Serangan mengakibatkan pelajar bertindak agresif, suara bertukar garau dan kasar

Fizikal mangsa histeria berubah seperti orang tua berjalan bongkok

Ada kesan gigitan dan lebam pada bahu

Histeria penyakit psikiatri

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my



Serangan berlaku kerana konflik, tekanan tidak terkawal

KES histeria yang menyerang pelajar sekolah di beberapa negeri sejak awal tahun ini perlukan kajian terperinci kerana jumlah kes yang dicatatkan bertambah dan kerap berlaku berbanding tahun sebelumnya.

Profesor yang juga Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Md Zain, berkata beliau berpendapat satu kajian khusus mengenai kes histeria di sekolah sejak kebelakangan ini perlu dibuat untuk menilai sama ada ia satu epidemik atau tidak selain melihat bagaimana ia boleh berlaku di sekolah.

Katanya, kajian juga perlu dibuat untuk melihat mengapa masih wujud kes histeria di sekolah walaupun masyarakat Malaysia kini semakin moden dan maju.

Beliau menjelaskan histeria berlaku di semua negara di seluruh dunia, termasuk di Barat. Namun, bilangan kes semakin berkurangan apabila sesebuah negara itu semakin maju.

Katanya, histeria adalah penyakit psikiatri yang dikenali sebagai ‘somatoform disorder’ dan dibahagikan kepada dua jenis iaitu ‘Conversion Disorder dan Dissociative Hysteria.

Conversion Disorder adalah keadaan yang mana mereka yang diserang histeria biasanya akan merasai gangguan fizikal seperti merasai badan lumpuh, buta, pekak dan bisu walaupun pada hakikatnya mereka tidak mengalami masalah berkenaan.

Kebiasaannya, histeria jenis Conversion Disorder ini berlaku kerana konflik dan trauma dengan satu-satu kejadian seperti melihat saudara dirogol, kemalangan dan kematian.

Dissociative Hysteria pula menyebabkan mereka yang terkena histeria akan meronta-ronta, meracau dan menjerit-jerit. Malah, ia kerap berlaku kepada kanak-kanak dan remaja akibat konflik yang tidak dapat dikawal.

Prof Azhar berkata, Dissociative Hysteria kerap berlaku dalam masyarakat di Malaysia dan biasanya membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah, penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dan pekerja wanita di kilang manakala di Barat membabitkan histeria jenis Conversion Disorder .

Beliau menjelaskan kira-kira 20 tahun lalu kes histeria dilaporkan banyak berlaku di negara ini dengan kes tertinggi di sekolah berasrama, kilang dan kem motivasi serta minggu orientasi. Namun, ia mulai berkurangan dan menjadi kes terpencil dalam 1990-an.

Beliau menjelaskan berdasarkan kajian terdahulu, kebanyakan kes histeria berlaku ketika musim peperiksaan di sekolah berasrama dan minggu orientasi di IPT. Dalam kes di asrama sekolah, didapati berlaku dalam minggu orientasi yang mana pelajar baru didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang meletihkan hingga mengganggu masa tidur dan rehat pelajar.

Selain itu, kes histeria berkait rapat dengan kepercayaan seseorang individu terhadap perkara mistik dan karut marut seperti pelajar baru sering dimomokkan dengan cerita karut seperti ada hantu dan perkara mistik lain.

“Pelajar asrama juga mudah terkena histeria kerana mereka tidak dapat mengawal konflik seperti terpaksa mengikut disiplin yang ketat di asrama selain kerinduan kepada keluarga. Dalam 1980-an, kebanyakan kes histeria berlaku di sekolah agama yang mana disiplinnya lebih tinggi berbanding sekolah biasa,” katanya.

Kes membabitkan pekerja kilang, biasanya berlaku pada waktu malam. Ia dipercayai berlaku kerana pekerja keletihan tidak cukup tidur selain faktor ketakutan kerana sering mendengar cerita mengenai hantu. Kebanyakan kes membabitkan wanita kerana tahap ketakutan mereka lebih tinggi berbanding pekerja lelaki.

Prof Azhar berkata, histeria sebenarnya berlaku kerana konflik dan tekanan yang tidak dapat dibendung dan dikawal oleh individu itu dan cara mengawalnya adalah dengan memberikan bantuan bukan tekanan kepada mereka yang ada masalah atau lemah.

“Mereka yang terkena histeria adalah individu yang memerlukan bantuan. Oleh itu, cara merawatnya adalah dengan memberikan bantuan kepada mereka. Cara terbaik adalah sesi kaunseling. Bagi mengelakkan ia berjangkit dan menjadi epidemik, mereka yang diserang terkena histeria diasingkan dengan orang lain,” katanya.

Beliau berkata, bagi orang Islam, biasanya pengawal perubatan Islam akan memberi rawatan untuk menenangkan pesakit dengan bacaan ayat al-Quran. Begitu juga dengan agama lain, yang mana mungkin orang yang arif dalam agama mereka akan memberikan rawatan mengikut kepercayaan masing-masing.

Namun, seeloknya selepas rawatan berkenaan pesakit diberikan keyakinan untuk mengawal diri dan selepas pulih pesakit diberikan sokongan seperti bertanyakan masalah dihadapi mereka.

Sementara itu, pengamal perubatan Islam, Fauzi Mustaffa, berkata histeria mengikut perspektif Islam adalah merujuk kepada keadaan yang mana manusia tidak sedar, dirasuk dan hilang ingatan akibat gangguan emosi yang tidak terkawal dan tekanan perasaan akibat masalah peribadi, rumah tangga dan kepincangan masyarakat.

Katanya. ia boleh berlaku apabila seseorang itu tidak sedar diri dan syaitan mula menguasai akal fikiran mereka sehingga menyebabkan ada yang meracau, menjerit dan melakukan perkara di luar batasan manusia normal serta hilang ingatan.

“Ia juga berpunca daripada gangguan emosi yang tidak terkawal yang berpunca daripada tekanan hidup, masalah rumah tangga, kepincangan masyarakat dipendam melampaui fikiran yang mana ketika itu syaitan mengambil tempat dan menyerang otak manusia. Ketika itu otak lemah dan jadi histeria,” katanya ditemui baru-baru ini.

Beliau yang kerap dipanggil membantu sekolah yang menghadapi histeria, berkata, mengikut pengalamannya kebanyakan histeria berlaku menjelang musim peperiksaan.

Ia berlaku kerana pelajar tertekan kerana mengulang kaji pelajaran selain tiada sokongan sebaliknya tekanan ibu bapa yang meletakkan harapan tinggi kepada mereka.

“Kerisauan dan kebimbangan ibu bapa menjadi tekanan yang akhirnya menyebabkan otak menjadi lemah dan syaitan mula menguasai sehingga berlaku gangguan. Selain tekanan ibu bapa, pada minggu peperiksaan biasanya pelajar tidur lewat kerana mengulang kaji pelajaran. Apabila kurang tidur mata mengantuk dan badan keletihan dan ada yang kurang makan menjadikan badan lemah yang membuka ruang untuk syaitan dan makhluk halus menguasai fikiran,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, histeria berlaku kerana manusia mengganggu tempat tinggal atau kawasan makhluk halus yang menyebabkan makhluk berkenaan ‘bertindak balas’ termasuk merasuk manusia.

Imbas kembali

Kronologi kes histeria di seluruh negara tahun ini

28 Ogos 2008

KUANTAN: Kejadian histeria berulang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur membabitkan lapan pelajar perempuan selepas tiga hari sesi persekolahan bermula.

8 Ogos 2008

KUCHING: Seramai 15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bekenu, termasuk dua lelaki, diserang histeria ketika belajar di dalam kelas bermula jam 8 pagi.

KUANTAN: Kejadian histeria berulang semula di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, membabitkan 11 pelajar sehingga menyebabkan sesi pembelajaran terganggu.

7 Ogos 2008

SUBANG JAYA: Pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, diserang histeria selepas dua hari kejadian yang sama berlaku di sekolah itu.

4 Ogos 2008

TELUK INTAN: Seramai 12 pelajar, termasuk empat lelaki, Sekolah Menengah Seri Kandi, histeria ketika mengikuti perkhemahan motivasi dan ceramah.

24 Julai 2008

KUANTAN: Sebilangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, diserang histeria dan sakit sendi hampir setiap hari, terutama menjelang tengah hari.

Setiap hari hampir empat hingga lima pelajar diserang kejadian misteri itu dan mengikut laporan akhbar seramai 35 pelajar terbabit.

17 Julai 2008

NIBONG TEBAL: Seramai 10 pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kawan (SMKBK) diserang histeria di dalam kelas apabila mahu memulakan pembelajaran selepas tamat waktu rehat.

19 Jun 2008

CHERAS: Hampir 30 pelajar lelaki dan perempuan tingkatan lima di Sekolah Menengah Sains Selangor diserang histeria apabila tiba-tiba meracau, menjerit serta melukakan diri sendiri, dipercayai dirasuk makhluk halus.

24 April 2008

TAIPING: Pelajar dan guru sebuah sekolah menengah di Bukit Gantang, gempar apabila 13 pelajar diserang histeria sekembali daripada menziarahi jenazah seorang guru wanita.

Pelajar tingkatan tiga dan lima itu menjerit-jerit seperti orang gila ketika mengikuti pembelajaran di kelas pada jam 11.30 pagi.

14 April 2008

SEREMBAN: Kira-kira 15 pelajar dan seorang guru perempuan sebuah sekolah menengah, dekat Sikamat, diserang histeria.

31 Januari 2008

DUNGUN: Hampir 200 pelajar perempuan dan lelaki Sekolah Menengah Sains Dungun, alami histeria menyebabkan sesi persekolahan di sekolah berasrama penuh itu terpaksa ditutup empat hari. Kejadian dipercayai bermula jam 9.30 pagi selepas seorang pelajar tingkatan dua mula menjerit sebaik tamat perhimpunan.

Sembahyang juga boleh rawat penyakit kritikal

Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my

Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.


HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Berita Minggu mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil kajian masing-masing.

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot
Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.

Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya



Dr Fatimah meneliti kertas bacaan ujian yang keluar dari alat analisis penyepadanan bio.


Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

Terapi solat



Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my

KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.

SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian.

Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.


Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?

Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia.

Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.



Ng Siew Chok memakaikan topi elektrod untuk mengkaji gelombang otak


Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.

Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.

Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan.

Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.



SOLAT terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia

“Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya.

Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris.

Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.

Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud.

Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.

Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.

Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu.

Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.

“Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu.

Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit.

Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.