Monday, September 15, 2008

Penilaian baru untuk murid sekolah rendah pada 2015

Penilaian baru untuk murid sekolah rendah pada 2015


KUALA LUMPUR: Mulai 2015, prestasi murid sekolah rendah tidak akan lagi dinilai sepenuhnya berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana peperiksaan itu hanya mewakili 30 peratus daripada markah keseluruhan murid.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata perubahan itu selaras dengan pelaksanaan sistem penilaian baru murid sekolah rendah yang akan diperkenalkan pada 2010.

Menerusi penilaian baru menggunakan sistem pengumpulan mata seperti di institusi pengajian tinggi (IPT) itu, markah yang diperoleh murid dari Tahun Satu hingga Enam akan dikumpul dan dikira bagi menentukan pencapaian murid sepanjang tempoh itu.



Mengikut perancangan, UPSR mewakili kira-kira 30 peratus daripada markah keseluruhan yang akan digabungkan dengan empat penilaian lain iaitu psikometrik (kecenderungan dan sikap), kokurikulum, peperiksaan sekolah dan peperiksaan kementerian.

Alimuddin berkata, mulai 2010 semua murid Tahun Satu di seluruh negara akan menduduki peperiksaan seragam yang disediakan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). "Bagaimanapun, sekolah masih diberi kuasa menyediakan soalan bagi peperiksaan peringkat sekolah untuk memberi keadilan kerana tidak semua murid mempunyai pengetahuan sama," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Beliau berkata, buat permulaan 50 sekolah rendah termasuk di luar bandar dipilih menjalani sistem penilaian baru itu tahun ini sebelum diperluaskan kepada 500 sekolah, tahun depan.

"Kami akan melihat perkembangan di sekolah terbabit untuk tempoh dua tahun dan melakukan penambahbaikan yang difikirkan sesuai sebelum dilaksanakan kepada semua murid Tahun Satu di seluruh negara pada 2010.

"Jadi, tempoh sebenar kumpulan pertama murid yang akan menduduki UPSR di mana markahnya hanya mewakili sekitar 30 peratus berbanding 100 peratus ketika ini adalah pada 2015," katanya.

Ditanya sama ada UPSR akan dimansuhkan, beliau berkata, perkara berkenaan akan ditentukan selepas tempoh dua tahun kajian projek perintis itu selesai dilaksanakan pada penghujung tahun depan.

"Kalau ada pandangan bahawa UPSR sudah tidak sesuai selepas kami memperkenalkan sistem penilaian baru nanti, maka ia akan dibincangkan dan diputuskan kemudian," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr Haili Dolhan, berkata sistem penilaian baru itu mempunyai dua tahap iaitu tahap satu membabitkan murid Tahun Satu dan Dua, manakala tahap dua (Tahun Tiga hingga Enam).

Murid tahap satu dinilai berdasarkan tafsiran sekolah secara 100 peratus termasuk dalam ujian, aktiviti dan tingkah laku. Pada tahap dua pula, 70 peratus penilaian ditafsir sekolah membabitkan aktiviti, jasmani dan kokurikulum, manakala bakinya melalui penafsiran pusat, termasuk peperiksaan LPM.

No comments: