Thursday, September 11, 2008

Penghujahan Permohonan Pindah Kes Anwar Ke Mahkamah Tinggi Didengar 24 Sept

10 September, 2008 22:41 PM

Penghujahan Permohonan Pindah Kes Anwar Ke Mahkamah Tinggi Didengar 24 Sept


KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 24 Sept ini untuk mendengar hujah berhubung permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi.

Hakim S.M. Komathy Suppiah menetapkan tarikh itu ekoran bantahan terhadap permohonan itu oleh peguam Anwar, Sulaiman Abdullah.

Beliau juga membenarkan permohonan Sulaiman untuk diberikan masa menyediakan hujah kerana mendakwa pihak pembelaan diberitahu mengenai pemindahan itu hanya 10 minit sebelum prosiding hari ini bermula pada 10 pagi tadi.

Anwar, 60, yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat, mengaku tidak bersalah pada 7 Ogos lepas terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lepas. Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Komathy memberi masa dua minggu kepada pihak pendakwaan dan pembelaan untuk membuat persiapan bagi penghujahan nanti.

Sebelum itu, Sulaiman mempertikaikan kesahihan sijil yang dikemukakan oleh pendakwaan bagi memindahkan perbicaraan itu ke Mahkamah Tinggi yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, dengan alasan Abdul Gani sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah ekoran laporan oleh Anwar yang mendakwa Peguam Negara itu telah memalsukan keterangan dalam kes liwat yang juga melibatkan Anwar pada 1998.

Sijil itu dikemukakan oleh Ketua Unit Pendakwaan Pejabat Peguam Negara, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, mengikut Seksyen 418 Kanun Acara Jenayah.

Sulaiman memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan berpendapat kes itu tidak perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana Komathy adalah seorang hakim yang berpengalaman dan mampu mengendalikannya dengan baik.

"Kami tidak ada apa-apa halangan jika kes ini dijalankan di hadapan Yang Arif," katanya.

Komathy kemudian mencelah dan berkata beliau mempunyai pengalaman 26 tahun dalam bidang itu.

Sulaiman berkata pihak pembelaan gembira kerana kes itu didengar oleh Komathy.

Prosiding selama setengah jam hari ini bermula pada 10 pagi dengan bacaan pertuduhan terhadap Anwar, yang lantas menjawab : "Tidak Bersalah. Ini tindakan jahat melibatkan ramai orang".

Anwar kini dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000.

Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun yang mengetuai pendakwaan tidak hadir pada prosiding hari ini. Selain Yusof, pihak pendakwaan hari ini diwakili Datuk Nordin Hassan, Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Farhan Read dan Shamsul Sulaiman.

Pasukan pembelaan turut mengandungi R.Sivarasa, Sankara N.Nair, Leela Jesuthasan, Edmund Bon, Saiful Idham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Mohd Radzlan Jalaludin.

Kawasan Kompleks Mahkamah Jalan Duta dikawal anggota polis termasuk daripada Unit Simpanan Pesekutuan dan Pasukan Gerakan Am.

Polis membuka kaunter pendaftaran di luar pintu masuk ke kompleks itu.

"Kami ambil butiran setiap orang awam bagi memastikan kompleks ini terkawal dan keadaan keselamatan terurus," kata Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan.

-- BERNAMA

No comments: